"Bismillahirrahmanirrahim" [Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Maha Pengasih].
Bermulanya kewujudan atau aktiviti adalah dengan kuasa Allah jua yang memulakannya. Allah wujud dan makhluk pula diwujudkan daripada kehendakNya dan akan kembali kepadaNya jua. Sunnatullah adalah suatu sistem berdasarkan sabab dan musabbab dijadikan dalam proses penciptaan dan pengembalian makhluk kepadaNya yang Pemurah menganugerahkan sekelian banyak nikmat dalam memberi keselesaan pengabdian makhluk kepadaNya dan penuh kasih sayang menjana aktiviti jagat raya bagi ketenteraman aktiviti sekelian makhluk ciptaanNya dalam mempamerkan pengabdian terhadapNya.
"Qul huallahu ahad" [Katakanlah: Allah (hanya) satu].
Ianya adalah perintah pengakuan individu mengakui keesaan Allah SWT sekaligus perintah seruan menyampaikan ajaran tauhid ke seluruh kelompok umat. Ianya bermaksud pemusatan keimanan makhluk mukallaf kepada pusat kekuasaan jagat raya iaitu sehingga mencapai makrifat ke hadrat Ilahi.
"Allahus somad" [Allah tempat bergantung]
Ianya adalah isyarat yang jelas betapa setiap aktiviti mesti berpandukan sistem yang ditetapkannya melalui addin iaitu sistem kehidupan berpandukan Al-Quran dan sunnah dan sebarang kemusykilan dalam menjalani aktiviti hidup ini mestilah merujuk kepada KalamNya dan penerangan melalui Sunnah RasulNya. Sebarang harapan harus berpusat kepadaNya dan tidak selainNya kerana hanya Dialah saja satu-satunya sumber pengharapan bagi penyelesaian sebarang permasalahan.
"Lam yalid wa lam yulad" [tidak (selamanya takkan) beranak (terbahagi) dan tidak (selamanya takkan) diperanakkan (terpisah)]
Ianya mengisyaratkan kewujudanNya sejak mula tanpa ada sebarang proses kejadian yang bermaksud iaNya tidak terpisah dari sesuatu yang lain sejak azali serta menunjukkan tidak ada sebarang proses pembahagian dari kewujudanNya atau pengklonan yang tak akan berlaku dan selamanya ia tetap wujud dari azali tanpa terpisah dari sesuatu atau membahagi kepada sesuatu yang lain sejak azali dan iaNya kekal satu selamanya.
"Wa lam yakul lahu kufuan ahad" [Dan tidak (selamanya takkan) terjadi baginya persamaan (dari segi) keesaan]
Ianya pernyataan jelas tidak akan ada sebarang makhluk yang dapat menyamai keesaan Allah yang kewujudanNya bukan dari suatu proses dan tidak wujud pula sebarang pengklonan dariNya. Dia tetap esa selamanya tanpa menyerupai sebarang objek dari segala segi.
Mentauhidkan Allah SWT dan menyampaikan seruan tauhid adalah kewajipan setiap individu kepada seluruh umat manusia. Tiada pengharapan yang harus diletakkan pada selain Allah SWT. Makhluk adalah kejadian baru (muhaddas) dan bermula dari sesuatu dan boleh berubah menghasilkan sesuatu yang baru atau seumpamanya. Tiada persamaan yang setara antara makhluk dengan Khaliq dari segi keesaan, kewujudan dan kekuasaan.
Surah Al-Ikhlas membawa mesej kewujudan Allah SWT tanpa sebarang proses kejadian dalam keadaan yang tunggal serta berkuasa penuh mentadbir dan menjadi kiblat iaitu rujukan serta pergantungan sekelian makhluk tanpa pernah terpisah dan membahagi seterusnya menyangkal proses kemusnahan bagiNya yang tidak akan wujud sekaligus menidakkan sebarang persamaan dengan sebarang bentuk makhluk dari segala aspek. Kerana itulah sesiapa yang membaca surah ini dan mengakui isi kandungannya dengan penuh keimanan mendapat jaminan syurga dari Allah SWT kerana ianya merangkumi mesej utama Khaliq kepada makhlukNya menerusi Rasul yang diutuskan iaitu pentauhidan ke hadrat Ilahi. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawasanya Surah Al-Ikhlas itu seumpama satu per tiga (1/3) Al-Quran.
KESUDAHAN YANG BAIK ITU BAGI MEREKA YANG BERTAKWA...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan