Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


06 Februari 2009

JANGAN MARAH...


Marah itu sebenarnya ialah api yang bersumberkan dari api Allah yang menyala berkobar2 serta menjulang tinggi sampai naik ke ulu hati. Marah itu ditimbulkan oleh sifat bongkak yang terpendam dalam kalbu setiap orang sebagaimana terpancarnya api dari batu yang dipukulkan pada besi. Menurut penyelidikan, dikatakan bahawa manusia itu adakalanya urat sarafnya ditarik oleh syaitan ketika marah. Oleh sebab itulah, barangsiapa yang dapat dipengaruhi oleh api kemarahan, maka bererti eratlah hubungannya dengan syaitan.

Menurut satu riwayat bahawa pada suatu hari datanglah seorang laki2 kepada Rasulullah SAW, kemudian berkata: "Ya Rasulullah, berilah saya perintah untuk mengerjakan suatu amalan yang baik, tetapi saya harap yang sedikit saja." Lalu baginda pun bersabda yang bermaksud "Janganlah engkau marah" Orang itu bertanya lagi tetapi baginda tetap berkata, "janganlah engkau marah" sebanyak tiga kali. Jelaslah di sini bahawa menahan api kemarahan itu amatlah dituntut dalam Islam.

Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang paling gagah perkasa di antara kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya di waktu marah dan orang yang tersabar diantara kamu semua ialah orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain padahal ia berkuasa untuk membalasnya" (HR Ibnu Abidunya dan Baihaqi)

Kita perlulah sedar bahawa setiap manusia itu tidaklah sama dalam menangani sifat marah. Dalam menghadapi kemarahan tu ada 3 jenis golongan:

1. Golongan pertama: Tafrith (acuh tak acuh atau hilang kemarahannya)

2. Golongan kedua: Ifrath (berlebih-lebihan kemarahannya)

3. Golongan ketiga: I'tidal (mampu mengawal kemarahannya)

Yang terbaik ialah yang ketiga iaitu pertengahan daripada golongan pertama dan kedua. Bermaksud marah itu dibolehkan pada tempatnya dan sentiasa di dalam kawalan dan mengikut landasan yang Allah SWT tetapkan.

Tafrith iaitu sifat orang yang tak marah langsung dikatakan tidak mempunyai sifat hamiyyah (pembelaan). Ia tidak ingin mempertahankan kehormatan diri sendiri, isteri/suami, keluarga, agama, bangsa dan negara

Ifrath ialah sifat orang yang tidak boleh mengawal kemarahan yang berlebih-lebihan. Mereka ini biasanya menampakkan perubahan fizikal pada warna muka dan mata apabila marah. Ada yang mengertap gigi, kepal penumbuk, menggeletar, kembang kempis hidungnya.

Namun tidak dinafikan bahawa ada masanya kita boleh mengawal diri, dan adakalanya terlepas juga. Kita hanya insan biasa. Latihan mengawal marah ni boleh dilakukan, di samping menerima teguran2 dari sahabat2 kita, saling tegur menegur dan nasihat menasihati. Banyak ganjarannya sekiranya kita berjaya mengawal perasaan marah.

Benarlah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Bersegeralah menuju keampunan dari Tuhanmu serta syurga yang luasnya seperti langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang yang membelanjakan hartanya di waktu hartanya cukup dan juga kurang serta orang-orang yang suka menahan kemarahannya dan gemar pula memaafkan kesalahan para manusia dan Allah itu mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan" (QS Ali Imran:133-134)
.

Tiada ulasan: