Rasulullah SAW sentiasa berwajah ceria. Baginda pernah bersabda: "Janganlah terlalu membebani jiwamu dengan segala kesungguhan hati. Hiburkanlah dirimu dengan hal-hal yang ringan dan lucu. Sebab bila hati terus dipaksa memikul beban-beban yang berat, ia akan menjadi buta".
Sentiasa Rasulullah SAW tersenyum manis sekali dan ini sangat menyenangkan bagi siapapun yang menatapnya. Senyum adalah sedekah. Senyuman yang tulus ikhlas memiliki daya sentuh yang dalam ke lubuk hati siapapun. Senyuman adalah nikmat Allah SWT yang besar bagi manusia yang mencintai kebaikan. Senyum tidak dimiliki oleh orang orang yang keji, sombong, angkuh dan orang yang busuk hati. Pilihlah kata-kata yang paling sopan dan sampaikan dengan cara yang lembut kerana sikap seperti itulah yang dilakukan Rasulullah SAW ketika berbincang dengan para sahabatnya sehingga mewujudkan suasana yang menyenangkan.
Hindarilah kata-kata yang kasar, menyakitkan, merendahkan dan memalukan. Hindari juga nada suara yang keras dan berlebihan. Usahakanlah agar kita selalu menjadi orang yang paling dahulu dalam menyapa dan mengucapkan salam. Jabatlah tangan teman kita dengan penuh kehangatan dan lepaslah tangan sesudah dilepaskan oleh orang lain kerana demikianlah yang dicontohkan Rasulullah SAW.
Jangan lupa untuk menjawab salam dengan sempurna dan penuh perhatian. Rasulullah SAW jikalau berbincang dengan para sahabatnya selalu berusaha menghormati mereka dengan cara duduk yang penuh perhatian. Baginda ikut tersenyum jika ada kelucuan dan ikut merasa takjub ketika sahabatnya mengisahkan hal yang mempesonakan sehingga setiap orang merasa dirinya sangat diutamakan oleh Rasulullah SAW.
Pujilah dengan ikhlas dan tepat terhadap sesuatu yang layak dipuji sambil kita kaitkan dengan kebesaran Allah SWT sehingga yang dipuji pun teringat akan asal nikmat yang diraihnya. Nyatakan terima kasih dan doakan mereka. Ini akan membuatkan mereka merasa bahagia dan ingat jangan lokek untuk berterima kasih.
Gunakanlah pakaian yang rapi, serasi dan harum. Menggunakan pakaian yang baik bukanlah tanda kesombongan. Allah Maha Indah dan menyukai keindahan tapi dalam batas yang sesuai syariat yang disukai Allah SWT. Jadilah pemaaf yang lapang dan tulus terhadap kekurangan dan kesalahan orang lain kepada kita kerana ini akan membuat sesiapapun bahagia dan senang walaupun pada orang yang pernah melakukan kekhilafan terhadap kita. Keuntungan kita bukanlah diukur dari apa yang kita dapatkan tapi dari nilai manfaat yang ada dari kehadiran kita. Bukankah sebaik-baik diantara manusia adalah orang yang paling banyak menfaatnya bagi hamba-hamba Allah yang lain.
Silaturrahim secara berkala penuh perhatian kasih sayang dan ketulusan walaupun hanya beberapa saat benar-benar akan memberi kesan yang mendalam, apalagi jikalau membawa hadiah. InsyaAllah akan menumbuhkan kasih sayang seperti yang biasa diungkap bahawa saling memberi dan berkirim hadiah akan menumbuhkan kasih sayang. Jangan pernah takut miskin dengan memberikan sesuatu kerana Allah yang Maha Kaya telah menjanjikan ganjaran dan jaminan tak akan miskin bagi ahli sedekah yang tulus. Bersegeralah menolong dengan segala kemampuan harta tenaga waktu atau setidaknya perhatian yang tulus walau perhatian untuk mendengar keluh kesahnya. Jika tidak mampu, maka doakanlah dan percayalah bahawa kebaikan sekecil apapun akan diperhatikan dan dibalas dengan sempurna oleh Allah SWT.
Jangan lokek untuk mengajarkan ilmu dan pengalaman yang kita miliki. Kita harus berusaha agar ilmu dan pengalaman yang ada pada diri kita boleh menjadi jalan bagi kejayaan orang lain. InsyaAllah, jikalau hidup kita penuh manfaat dengan tulus ikhlas maka kebahagiaan dalam bergaul dengan siapapun akan terasa nikmat kerana kita tidak mengharapkan sesuatu dari sesiapapun melainkan kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan