Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


27 Februari 2009

IMAM SYAFIE SEWAKTU KECIL


Semenjak kecil Imam Syafie r.a. telah menghafal al-Quran dan banyak dari Hadis Nabi SAW. Sekiranya beliau mendengar ada orang alim, maka beliau segera menemuinya untuk menimba ilmu pengetahuan. Ketika berusia masih kecil yaitu 14 tahun, beliau menceritakan hasratnya kepada ibunya yang sangat dikasihinya tentang keinginannya untuk merantau bagi menambahkan ilmu pengetahuan.

Pada mulanya ibunya keberatan untuk melepaskan Imam Syafie kerana beliaulah seorang yang menjadi harapan ibunya untuk menjaganya di hari tua. Demi ketaatan dan kecintaan Imam Syafie kepada ibunya, maka mulanya beliau terpaksa membatalkan keinginannya itu, demi kasih sayangnya kepada ibunya itu. Meskipun demikian akhirnya ibunya mengizinkan Imam Syafie untuk memenuhi hajatnya untuk menambah ilmu pengetahuan.

Sebelum melepaskan Imam Syafie berangkat, ibunya mendoakannya: "Ya Allah, Tuhan yang menguasai seluruh Alam! Anakku ini akan meninggalkan aku untuk berjalan jauh, menuju keredhaanMu. Aku rela melepaskannya untuk menuntut ilmu pengetahuan peninggalan PesuruhMu. Oleh kerana itu aku bermohon kepadaMu, ya Allah, permudahkanlah urusannya, peliharakanlah keselamatannya, panjangkanlah umurnya agar aku dapat melihat sepulangnya nanti dengan dada yang penuh dengan ilmu pengetahuan yang berguna, amien!"

Selesainya berdoa, ibunya memeluk Imam Syafie dengan penuh kasih sayang dan dengan linangan air mata kerana sedih untuk berpisah. Sambil berkata: "Pergilah anakku! Allah bersamamu! Insya-Allah engkau akan menjadi bintang ilmu yang paling gemerlapan di kemudian hari. Pergilah sekarang kerana ibu telah redha melepaskanmu. Ingatlah bahawa Allah itulah sebaik-baik tempat untuk memohon perlindungan!". Selepas ibunya mendoakan Imam Syafie, beliau mencium tangan ibunya dan mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya. Sambil meninggalkan ibunda yang sangat dikasihinya dengan hati yang pilu, Imam Syafie melambaikan tangan mengucapkan salam selamat tinggal dan mengharapkan ibunya sentiasa mendoakannya kesejahteraan dan kejayaannya dalam menuntut ilmu pengetahuan yang berguna.

Oleh kerana kehidupannya yang sangat miskin, maka Imam Syafie berangkat dengan tidak membawa wang, kecuali dengan berbekalkan doa ibunya dan cita-cita yang teguh untuk menambah ilmu pengetahuan sambil bertawakkal kepada Allah SWT. Imam Syafie mengisahkan perpisahan dengan ibunya dengan mengatakan: "Sesekali aku menoleh ke belakang untuk melambaikan tangan kepada ibuku. Dia masih tercegat di luar pekarangan rumah sambil memperhatikan aku. Lama-kelamaan wajah ibu menjadi samar ditelan kabus pagi. Aku meninggalkan kota Makkah yang penuh barkah, tanpa membawa sedikitpun bekalan wang. Apa yang menjadi bekalan bagi diriku hanyalah iman yang teguh dan hati yang penuh tawakkal kepada Allah SWT serta doa restu ibuku sahaja. Aku serahkan diriku kepada Allah, seru sekalian alam."
.

Tiada ulasan: