ZIKIR mengingati Allah SWT adalah satu amalan mulia dan besar faedahnya di sisi agama. Allah SWT amat menyukai hamba-hambaNya yang sentiasa mengingatiNya. Mereka membasahkan lidah dengan memuji-muji keagungan dan kebesaranNya tanpa mengira waktu, sama ada siang atau malam dan di waktu sakit atau sihat.
Allah SWT telah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang orang yang beriman, sebutlah akan Allah dengan sebutan yang banyak.” FirmanNya lagi: “Sebutlah (zikir) akan Allah dengan sebutan yang banyak semoga kamu mendapat kemenangan.”
Zikir juga mempunyai kelebihan yang tersendiri. Dengan mengingati Allah SWT sebanyak-banyaknya, hati akan menjadi tenang dan tenteram. Ia dijamin sendiri oleh Allah Yang Maha Mengetahui sebagaimana firman-Nya: “Orang-orang yang beriman dan tetap hati mereka dengan menyebut akan Allah, ketahuilah bahawasanya dengan menyebut akan Allah itu menenangkan hati.”
Malah Rasulullah SAW menjelaskan bahawa zikir mengingati Allah termasuk dalam salah satu amalan mulia dan berkedudukan tinggi. Sabda Baginda SAW: “Hendakkah aku khabarkan kepada kamu amalan yang paling baik dan paling suci di sisi Pemilik kamu dan yang paling tinggi pada darjat kamu dan lebih baik dari emas dan perak dan lebih baik dari kamu membunuh musuh kamu atau dia membunuh kamu di medan jihad?”. Para sahabat bertanya: “Apakah dia wahai Rasulullah?” Jawab Baginda SAW: “Zikrullah.“
Kerana kedudukan yang sedemikian tinggi, tidak menghairankan bahawa Allah SWT mengirimkan malaikat-malaikatNya ke majlis-majlis zikir. Mereka akan duduk bersama-sama dengan jemaah majlis tersebut sehinggalah majlis bersurai. Kemudian mereka kembali ke langit. Ketika mereka sampai di langit, Allah bertanya kepada malaikat tersebut (padahal Dia lebih mengetahui): “Dari mana kamu datang?” Jawab para malaikat: “Dari sisi hamba-Mu di bumi“ Firman Allah: “Bagaimana kamu tinggalkan hambaKu itu?” Malaikat menjawab: “Kami meninggalkan mereka dalam keadaan bertasbih, bertahlil, bertahmid dan bermohon kepadaMu.” Allah bertanya lagi: “ Apakah yang mereka pinta padaKu?” Jawab malaikat: “SyurgaMu“ Allah bertanya: "Apakah mereka melihat syurgaKu?” Malaikat menjawab: “Tidak, wahai Tuhan kami.“ Maka Allah berfirman: “Betapa lagi jika mereka melihat syurgaKu.”
Dari dialog antara Allah SWT dan para malaikat di atas yang diriwayatkan oleh Sheikh Abdus Samad al-Falimbani di dalam kitab ‘Hidayatus Salikin’, jelas menunjukkan kelebihan amalan berzikir mengingati Allah SWT. Ganjaran dan pahala yang diterima amatlah besar. Namun demikian dalam melaksanakan amalan mulia ini, ia tertakluk kepada beberapa adab yang ditetapkan. Ini kerana ibadah zikir terbahagi kepada dua iaitu zikir hasanat dan zikir darajat.
Zikir hasanat adalah zikir biasa. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa sebarang syarat dan akan beroleh pahala dari Allah SWT. Manakala zikir darajat pula ialah zikir yang dilakukan sebagai latihan meningkatkan diri ke makam yang lebih tinggi. Ia perlu dilaksanakan dengan menjaga adab-adabnya yang tertentu sama ada sebelum zikir, semasa zikir atau sesudah berzikir.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan