Sabda Rasulullah SAW: "Apabila Allah mahukan kebaikan kepada mana-mana hamba-Nya, Ia jadikannya merasa dirinya kaya dan ia mengisi taqwa di dalam hatinya, dan apabila Allah mahukan keburukan kepada mana-mana hamba-Nya, Ia jadikan kemiskinan itu terbayang di matanya." (HR Al-Hakim dari Abi Hurairah)
Kaya dan miskin sentiasa menjadi persoalan pokok dalam hidup manusia di dunia ini. Yang miskin ingin jadi kaya dan yang kaya ingin jadi lebih kaya lagi. Namun begitu keinginan untuk jadi kaya bukanlah merupakan satu kesalahan di sisi Allah SWT, demikian juga keinginan menjadi lebih kaya. Tetapi yang sering menghilangkan pertimbangan manusia yang wajar dan yang sering menjadikan manusia lupakan daratan ialah perasaan tamak yang keterlaluan, perasaan merasa sentiasa tidak cukup tanpa sempadan.
Dalam hadis ini, Allah SWT mendedahkan dua sifat pokok yang membezakan di antara orang yang disayangi Allah dengan orang yang dibenci Allah. Sifat yang disayangi Allah ialah sifat memadai dan sederhana. Setiap orang yang dapat menikmati sifat itu akan merasa dirinya benar-benar kaya dan merdeka. Ia tidak diburu oleh perasaan bimbang yang melampau dan tidak dirasuk oleh ketamakan-ketamakan yang boleh memesongkan seseorang dari jalan hidup yang dituntut dalam Islam.
Sementara sifat orang yang dibenci Allah SWT ialah orang yang sentiasa merasa dirinya diancam kemiskinan, ia begitu takut jatuh papa dan miskin, panik dengan kemerosotan kekayaannya walaupun kekayaan yang wujud dalam miliknya masih banyak dan masih tidak seteruk kebanyakan orang di dalam masyarakat sekitarnya. Penyakit takut miskin atau 'fobia miskin' merupakan penyakit zaman moden yang amat ditakuti sekali oleh kebanyakan orang dan kerana itu, sebilangan besar orang ramai melindungi dirinya dan anak buahnya dengan berbagai-bagai polisi insurans dan menyisihkan dari jiwa mereka sebarang perasaan menyerah dan bertawakal kepada Allah SWT yang menjadi keutamaan para Mukminin.
Tidak kurang pula yang sanggup menjadi petualang-petualang yang bersedia untuk merompak apa sahaja peluang yang dapat membebaskan mereka dari ketakutan menjadi miskin. Penyakit inilah juga yang menjadikan mereka manusia-manusia bakhil yang hanya sibuk menghitung punca-punca masuk dan keluarnya duit-duit mereka, tanpa mengira kewajipan-kewajipan terhadap fakir miskin, anak-anak yatim, ibnu sabil, dsb.
Di dalam Al-Quran, Allah SWT telah memberi satu sindiran tajam kepada manusia yang dikongkongi penyakit 'fobia miskin' ini: "Katakanlah: Kalau kiranya kamu (wahai manusia) menguasai perbendaharaan-perbendaharaan nikmat Tuhanku tentulah kamu tahankan perbendaharaan itu kerana takut membelanjakannya, sesungguhnya manusia itu amat bakhil." (QS Al-Isra':100)
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan