Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


19 Mac 2009

HAKIKAT IBLIS DAN SYAITAN LAKNATULLAH


Iblis, syaitan, jin dan malaikat telah dijadikan Allah SWT bertubuh halus atau rohani yakni bangsa makhluk yang ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kepala, terkecuali apabila mereka menjelma merupakan diri serupa dengan makhluk yang bertubuh besar.

Diriwayatkan bahawasanya iblis dahulunya adalah makhluk yang saleh dan taat beribadat kepada Allah SWT jauh terlebih dahulu masanya daripada bangsa malaikat. Iblis itu asalnya AZAZIL namanya dia sebangsa malaikat dalam ketaatannya, bahkan diduga bahawa Azazil itu terlebih mulia dari malaikat sebab hampir kesemua permukaan langit dan bumi telah terkena bekas sujudnya kepada Allah.

Azazil itu banyak mempunyai nama gelaran di antaranya sadjid yakni orang yang ramai sujud, syakir yakni orang yang ramai bersyukur semua nama-nama itu sebagai gelaran kehormatan untuk menendakan ketinggian darjatnya di sisi Allah SWT. Allah ingin menguji dalam atau dangkalnya iman Azazil lantas disuruhnya bersujud kepada Nabi Adam AS bersama-sama dengan malaikat namun sebaliknya dia berlaku ingkar dan sombong.

Allah SWT memberikan pernyataan berikut dalam Al-Quran yang bermaksud: "Dan di kala Kami berkata para malaikat; bersujudlah kamu kepada Adam!, maka sujudlah mereka semuanya terkecuali iblis (Azazil) ia tidak mahu sujud serta berlaku sombong dan jadilah ia daripada orang kafir." (QS Al-Baqarah:34)

Dari sejak itulah Allah SWT menurunkan pangkat kebesaran iblis. Iblis itu asal kata ublisa min Rahmatillah yakni di usir daripada Rahmat Allah. Iblis itu mempunyai bala tenteranya yang dinamakan syaitan. Adapun erti syaitan ialah melawan perintah Allah. Kalau Adam dinamakan Abulbasyar yakni nenek manusia, maka iblis dinamakan Abusy-syaitan yakni nenek segala syaitan.

Oleh kerana iblis itu mendapat kutuk laknat disebabkan Adam, maka marahlah iblis dan tenteranya syaitan kepada Adam, yakni hasad dengki mereka itu kepada Adam. Untuk melaksanakan sakit hati, dengki serta marahnya, maka iblis dan syaitan berusaha dengan sekeras-kerasnya agar supaya manusia itu pun dapat kutuk laknat Allah SWT seperti mereka dan masuk bersama-sama mereka ke dalam neraka jahanam.

Perjuangan antara iblis di satu pihak dan manusia di pihak lain, bukanlah hal yang baru, tetapi perjuangan itu telah memakan masa beribu-ribu tahun lamanya sehingga akhirnya kemenangan berada di pihak iblis, dan kekalahan berasa di pihak Adam dan isterinya Hawa. Maka terusirlah keduanya dari syurga dan terbuang ke dunia ini, sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Quran yang maksudnya: "Maka keduanya telah diperdaya oleh syaitan, maka dikeluarkan keduanya dari apa-apa nikmat yang mereka berada di dalamnya (yakni syurga), dan Kami berkata: Pergilah, dan sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, di bumi ada tempat diam dan kesenangan hidup untukmu, sampai waktu yang ditentukan." (QS Al-Baqarah:36)
.

Tiada ulasan: