Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


15 Julai 2009

ADAT ORANG KITA...


Telah menjadi adat orang Melayu bahawa setelah ibu melahirkan anak, urinya akan ditanam. Sekadar menanam uri sahaja setelah dibersihkannya daripada darah kemudian ditanam dengan tujuan tidak mahu ianya dibuang begitu sahaja tanpa niat-niat yang lain, tidaklah menjadi kesalahan. Tetapi apabila uri itu diletakkan di dalam suatu tempat dan kemudian diletakkan asam atau garam kemudian ditanam dan kemudian diletakkan lampu di sebelah tempat yang ditanam itu, maka itu menyerupai adat agama Hindu.

Orang Melayu meletakkan asam dan garam bagi anak perempuan supaya pandai memasak dan meletakkan paku bagi anak lelaki supaya pandai bertukang. Tetapi itu zaman dahulu. Zaman sekarang di mana kemahiran anak perempuan bukan lagi pada masak memasak, tetapi dalam bidang pelajaran, maka apakah kena ditanam uri itu dengan buku-buku sekolah? Dan kalau anak lelaki pula, apakah perlu ditanam komputer bersama uri tersebut? Inilah adat Melayu yang tidak ada logik dan tidak ada gunanya.

Apabila anak itu mencapai usia 7 hari, terutama pada waktu dahulu, anak itu akan diletakkan di satu dulang yang berisi beras atau kunyit. Ini juga menyerupai adat Hindu. Bila anak itu dewasa pula, mereka gemar menonton rancangan Hindustan yang kebanyakannya pelakonnya juga beragama Hindu. Apabila anak itu berkahwin, diadakan persandingan dengan bertepung tawar dan melontar beras dan sebagainya. Mengapa beras padahal minyak wangi banyak dijual di kedai? Kerana orang Hindu mempercayai semangat yang ada pada padi. Dikir barat itu menyerupai gerak laku orang Hindu dalam memuja semangat padi.

Mereka yang belum berumahtangga dan akan berumahtangga hendaklah memikirkan hal ini baik-baik dan ibu bapa hendaklah menasihatkan anak-anak mereka supaya jangan melakukan upacara yang bertentangan dengan ajaran Islam pada hari perkahwinan. Kalau kita sudah bersanding dengan upacara ala Hindu, esok lusa kita jadi ustaz atau ustazah atau pendakwah dan hendak bersyarah atau menasihatkan orang lain mengenai hal ini, orang lain sudah tidak akan mendengar cakap kita sebab kita sendiri sudah menunjukkan contoh yang salah.

Begitu juga tepak sirih yang biasa digunakan oleh orang Melayu di majlis akad nikah, adalah juga daripada adat orang-orang Hindu. Berbincanglah dengan bakal pasangan kita dan juga keluarga bakal pasangan kita dan nyatakan kepada mereka bahawa kita tidak mahu majlis perkahwinan yang bercorak Hindu itu. Sebab kalau kita tidak berdakwah, anak-anak kita nanti semuanya akan mengikut amalan tersebut dan kita akan menanggung dosanya kerana kita telah mewariskan adat agama syirik!

Apabila orang Melayu meninggal, bila sudah ditanam, akan ditabur bunga di atas kubur tersebut. Ini juga adat agama Hindu. Kalau kita perhatikan, orang Hindu yang mati sebelum dibakar, akan diletakkan bunga ke atas mayatnya. Hari ini orang Melayu bukan sahaja menabur bunga di atas kubur, bahkan mayat itu sudah ditabur bunga di rumah lagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Sebab itulah ada pepatah Melayu yang berbunyi: "Biar mati anak, jangan mati adat". Saya rasa pepatah ini berasal daripada orang Hindu juga kerana mereka sangat kuat berpegang kepada adat. Yang betulnya: "Biar yang lain terkorban, Islam jangan digadai." Oleh kerana itulah sebahagian besar ibu bapa hari ini, terutamanya yang tua-tua, bermati-matian menegakkan adat, walaupun sebenarnya bercanggah dengan ajaran Islam, seperti bersanding di atas pelamin dengan upacara yang bukan-bukan. Kalau sepanjang hidup kita ini kita mengikut adat orang Hindu, bagaimanakah kita boleh mati dalam keadaan Islam? Sedangkan Allah telah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati kecuali sebagai orang-orang Islam".

Untuk mati dalam keadaan Islam, hidup kita mestilah dengan cara Islam, daripada hari lahir kita sehinggalah hari kita dikuburkan di bumi. Orang Cina dan India dahulu tinggal sekampung dengan orang-orang Melayu. Jadi sudah tentu banyak adat-adat agama mereka yang mempengaruhi orang Melayu. Namun sebagai orang Islam, kita mesti membersihkan amalan kita daripada sebarang penyerupaan dengan amalan agama lain. Sabda Nabi Muhammad SAW: "Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia daripada kaum itu." Dalam riwayat yang lain: ".....dan akan dibangkitkan bersama-sama mereka (kaum yang diserupainya)."
.
Agama Islam telah disempurnakan oleh Allah SWT melalui RasulNya tanpa perlu ditokok tambah atau dibuang atau diubah...
.
(Sumber: Internet)
.

2 ulasan:

Nik berkata...

Auzubillahhiminassyaitannirrajjim
Ketika Allah menjanjikan, bahawa salah satu dari dua golongan untuk (lawanmu), sedang kamu suka melawan mana yang tiada berkekuatan dan Allah menghendaki, supaya menetapkan kebenaran dengan kalimatNya dan menghapuskan akhir orang2 kafir. (Surah AL-ANFAAL:7)

Nik berkata...

Auzubillahiminassyaitannirrajjim.
(Begitu juga Allah menerima taubat) tiga orang yang tinggal (tidak pergi berperang), sehingga ketika telah sempit bumi yang luas bagi mereka dan telah sempit pula diri mereka sendiri, lalu menyangka, bahawa tiada tempat berlindung dari (siksa) Allah selain kepadaNya. Kemudian Allah menerima taubat mereka, supaya mereka
mereka bertaubat. Sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi penyayang. (Surah ATTAUBAH:118)