1. PENDAHULUAN
Firman Allah Taala : Yang Bermaksud : "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah Ar-Rum : 21)
2. ASAS KELUARGA
Hidup berkeluarga adalah kehendak semulajadi manusia, setiap orang akan berusaha untuk mendapat pasangan hidup yang ideal (sesuai) dengannya bagi menjamin keharmonian hidup berkeluarga. Pembinaan sesebuah keluarga bermula dari perkahwinan. Oleh itu di dalam mencari pasangan hidup keutamaan hendaklah berpandu kepada garis yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, sebagaimana sabdanya : Ertinya : "Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Utamakanlah yang berugama nescaya kamu jadi tenteram."
3. TUJUAN PERKAHWINAN
Perkahwinan mempunyai tujuan dan matlamat yang besar ia adalah sunnah nabi Muhammad SAW, di dalam Islam perkahwinan adalah ibadat, tidak sama dengan fahaman dan pegangan ugama-ugama lain seperti kristian, budha dan lain-lain yang mana para pembesar ugamanya tidak berkahwin kerana mereka percaya berkahwin bukan ibadat. Sedangkan berkahwin mempunyai tujuan yang murni indah diantaranya ialah :
1. Menghindarkan dari berlaku maksiat zina sebagaimana sabda Rasulullah SAW :Ertinya : "Golongan belia sekelian barangsiapa diantara kamu berkuasa (berkemampuan) menyediakan nafkah zahir batin maka hendaklah kamu berkahwin, maka sesungguhnya perkahwinan itu dapat memejamkan mata (mengelak dari melakukan maksiat) dan memelihara kehormatan dan mereka yang tidak berkuasa maka hendaklah ia berpuasa kerana sesungguhnya dengan berpuasa itu adalah menjadi perisai baginya."
2. Menuruti fitrah melahirkan zuriat keturunan anak adam sesuai dengan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
3. Menyempurnakan tuntutan kelamin (seks) mengikut hukum Islam.
4. Mengelak dari penyakit yang berpunca dari hubungan jenis yang tidak seimbang (seperti siflis, aids, dan lain-lain)
5. Membentuk sebuah kehidupan berkeluarga yang aman damai.
6. Mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.
4. KEBAIKAN DARI PERKAHWINAN
Perkahwinan merupakan tali perhubungan di antara lelaki dan perempuan, tali yang dapat mempereratkan kasih sayang, cinta abadi, melahirkan perasaan bertimbang rasa dan bertanggungjawab serta dapat membina sebuah mahligai rumah tangga yang aman damai dan bahagia. Perkahwinan juga dapat menghindarkan daripada perbuatan jahat dan curang serta membenteras dan menghapuskan segala nafsu kehaiwanan dan persundalan penjenayah zina disenaraikan sebagai penceroboh yang amat keji dan merbahaya yang mana amalan perzinaan boleh membawa kepada keruntuhan moral dan budi pekerti dan akhirnya boleh menjahanamkan kehidupan masyarakat yang bermaruah. Ugama Islam telah mendisiplinkan umatnya dengan budi pekerti yang luhur, menghalang dari kerosakkan moral terus bermaharajalela dengan penyakit zina yang mana melalui penyakit itu boleh melahirkan satu generasi yang biadap dan tidak bermoral. Ini adalah merupakan kesan negatif dari anak-anak yang dilahirkan dari proses zina. Kerana mereka tidak mendapat pengawasan dan pengawalan yang sewajar dari kedua ibu bapanya, tidak mendapt asuhan dan didikan yang sempurna seperti anak-anak lain yang mempunyai ibu bapa yang bertanggungjawab. Akhirnya hidup mereka terbiar tanpa teguran dan ajaran, bagaikan telah dibunuh hati nurani mereka, hidup di dalam keadaan frust dan melarat tanpa pembelaan dari mana-mana pihak. Di dalam erti kata yang lain bahawa anak-anak dilahirkan secara haram boleh menimbulkan beraneka bentuk masalah yang sukar diatasi dan menjadi beban yang berat di dalam masyarakat.
5. HUKUM KAHWIN
Berkahwin hukumnya mengikut keadaan seseorang itu :
Wajib : Jika seseorang itu mempunyai nafsu syahwat yang memuncak yang mana sekiranya tidak berkahwin akan menjerumuskannya ke lembah maksiat zina.
Sunat : Jika seseorang itu mampu tetapi masih dapat menjaga dan mengawal dirinya dari melakukan maksiat zina.
Makruh : Jika seseorang itu mempunyai keinginan tetapi tidak mampu dari segi kewangan. Oleh hal yang demikianlah maka Rasulullah SAW menganjurkan kepada golongan ini supaya berpuasa.
Haram : Jika seseorang itu tidak mempunyai keinginan nafsu tetapi berkahwin dengan tujuan tidak jujur yakni mempunyai tujuan jahat terhadap bakal isterinya.
6. PERSEDIAAN SEBELUM KAHWIN
Seseorang yang hendak kahwin hendaklah terlebih dulu mengetahui tentang tugas dan tanggungjawab sebagai suami atau isteri , bapa atau ibu. Perkara yang paling penting kepada seseorang lelaki yang hendak berkahwin ialah mampu menanggung nafkah bakal isterinya, nafkah zahir dan batin termasuk juga di dalam golongan nafkah iaitu tempat kediaman yang sesuai dan pakaian. Suami isteri juga hendaklah mengetahui hukum-hukum yang berkaitan dengan perkahwinan seperti nikah, cerai, rujuk, iddah dan sebagainya.
7. CARA MEMILIH JODOH
Di awal tulisan ini saya ada menyebut tentang garis panduan tentang pemilihan mencari jodoh sebagaimana yang diutarakan oleh baginda Rasulullah SAW iaitu keutamaan ialah perempuan yang berugama. Walaupun di dalam hadis tersebut Rasulullah SAW ada menerangkan bahawa seseorang itu akan memilih jodoh kerana hartanya dan ada pula kerana keturunannya. Dan ada juga yang memilih kerana kecantikannya dan tidak kurang pula yang memilih kerana ugamanya, tetapi Rasulullah memberi penekanan kepada yang berugama, kerana yang mempunyai pegangan ugama yang kukuh menjamin kebahagiaan yang sejati. Wanita yang mempunyai sifat-sifat lain tetapi tidak mempunyai ugama tidak menjamin kebahagiaan yang berkekalan bahkan banyak akan menimbulkan kesulitan.
8. KEWAJIPAN SUAMI TERHADAP ISTERI
Suami adalah payung kepada sebuah keluarga, dialah juga nakhoda kepada sebuah bahtera rumahtangga, oleh itu suami mestilah mengetahui serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isterinya. Di antara tanggungjawab ialah:
>Bergaul dengan cara yang baik serta memimpin dan memberi perlindungan terhadap isteri dan keluarganya.
>Melahir dan memberi kasih sayang yang sejati serta tidak menyakiti isteri.
>Menghormati dan menjaga rahsia dan keaifan isteri serta menjauhkan perasaan cemburu yang membabi buta.
>Berlaku adil dalam memberi nafkah dan menolong isteri di dalam kesempitan dan kesusahan.
>Membantu isteri di dalam tugas-tugas menjaga dan mengasuh anak. Sabar di atas kelemahan isteri.
>Memberi kebebasan berfikir kepada isteri.
>Memberi nasihat kepada isteri sekiranya ia melakukan kesalahan dan bertindaklah mengikut hukum syarak sekiranya nasihat itu tidak diendahkan.
>Memberi bimbingan dan pengajaran ugama dan membenarkannya mendapat pengajaran ugama sekiranya ia tidak mampu memberi pengajaran ugama.
>Berlaku adil di antara isteri-isterinya bagi yang berpoligami.
>Bijaksana ketika timbul perselisihan dengan isteri dan hendaklah suami mengendalikannya dengan penuh cermat dan ajaran-ajaran yang baik serta menahan diri jangan terlalu ikut perasaan hati.
9. KEWAJIPAN ISTERI TERHADAP SUAMI
Isteri ialah orang terpenting bagi pembantu dan menolong tugas-tugas dan peranan suami dan ada kalanya isteri terpaksa mengambil alih tugas suami ketika ketiadaannya. Di antara tugas dan tanggungjawabnya ialah :
>Hormat dan taat kepada suami.
>Membantu suami di dalam mengurus rumah tangga dan mendidik anak-anak menjadi manusia yang berguna.
>Bermanis muka ketika berhadapan dengan suami.
>Menghargai pemberian suami walaupun sedikit.
>Berjimat cermat di dalam perbelanjaan serta sederhana dalam penghidupan.
>Menjaga rahsia suami dan rumahtangga.
>Menjaga keaifan dan maruah suami. Memelihara dan menjaga keaifan diri sendiri.
>Mengurus dan mengatur rumahtangga serta memelihara hubungan kekeluargaan.
>Bersabar di dalam menghadapi masalah-masalah yang timbul di dalam kehidupan berumahtangga.
>Mengadakan hubungan-hubungan keluar hendaklah dengan persetujuan dan izin suami.
10. KEWAJIPAN BERSAMA
Suami isteri adalah bertanggungjawab di dalam mengendalikan urusan rumahtangga, oleh itu mereka berdua mempunyai kewajipan bersama diantara kewajipannya ialah :
>Kedua belah pihak hendaklah saling hormat-menghormati dan tolong-menolong.
>Saling percaya dan mempercayai diantara satu sama lain.
>Mengelakkan dari melahirkan rahsia masing-masing dan juga keaifan yang mungkin timbul dari mana-mana pihak walau di waktu berlaku salah faham dan perbalahan. Jangan mudah terpengaruh dengan hasutan luar, halusi dan periksa dengan teliti terlebih dahulu.
>Jauhi dari perkara-perkara yang boleh membawa kepada salah faham.
>Rela berkorban untuk kebahagian rumah tangga. Kedua belah pihak hendaklah bersabar di atas kelemahan dan kekurangan yang timbul sama ada dari pihak suami ataupun isteri. Hendaklah berbincang dan membuat perundingan di dalam sesuatu masalah.
>Sama-sama bertanggungjawab memimpin dan mendidik anak. Kedua belah pihak hendaklah sanggup menerima teguran dan nasihat dari pihak yang lain dan begitu juga hendaklah sama-sama memberi nasihat dan teguran demi kebaikan bersama. Di dalam penentuan hak tanggungjawab bersama yang mesti disempurnakan oleh suami isteri adalah merupakan asas yang teguh yang dapat menjadi keharmonian rumahtangga, Rasulullah SAW bersabda pada "Hujjatul Wida'" Ertinya : "Jaga ! Sesungguhnya kamu ada mempunyai hak ke atas isteri kamu dan demikian pula isteri-isteri kamu kamu terhadap kamu sendiri."
.
Selain dari itu Islam telah menentukan kelebihan lelaki di atas perempuan kerana beberapa faktor yang tertentu seperti maksud firman Allah SWT : "Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang bersama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya. Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami) mempunyai satu darjah kelebihan atas orang-orang perempuan (isteri) yakni sebagaimana seorang isteri menanggung kewajipan terhadap suami yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik maka si suami juga menanggung kewajipan terhadap isteri yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik." Dan firmanNya lagi : "Orang-orang lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal kepada tanggungjawab di atas perempuan-perempuan (isteri) disebabkan Allah telah melebihkan orang-orang lelaki ke atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki itu memberi nafkah (kepada isterinya)."
11. PERGAULAN YANG BAIK
Perkara yang amat penting di dalam membina kebahagian rumahtangga ialah cara pergaulan yang baik, letakkan segala harapan di atas kerukunan rumahtangga, Rasulullah SAW telah memberi kita banyak panduan tentang pergaulan di dalam kehidupan berumahtangga baginda tidak pernah bermasam muka dengan isteri-isteri baginda. Baginda sendiri yang menjahit kasut baginda manakala terkoyak. Di dalam soal kebaikan ini Rasulullah SAW pernah bersabda : Ertinya : "Sebaik-baik kamu bagi ahlinya dan aku sebaik-baik bagi ahliku." Di dalam pergaulan harian di antara suami isteri mungkin ada ketika tergeser sekali sekala. Maka soal mengatasinya hendaklah berpandukan kepada hukum Islam. Di dalam hubungan ini Allah SWT. berfirman : Ertinya : "Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (Nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukan mereka dari tempat tidur dan (kalau juga mereka masih berdegil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajar) kemudian jika mereka taat kepada kamu maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka, sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar." Para isteri wajib menjaga maruah dirinya samada di hadapan suami atau semasa ketiadaannya dan juga menjaga maruah dan kemuliaan suaminya. Bergaullah dengan suami dengan penuh kasih sayang, turutilah segala perintah dan kehendaknya selama mana perintahnya tidak bercanggah dengan hukum syarak. Di dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda : Ertinya : "Sekiranya aku diperintah akan seseorang supaya menyembah seseorang yang lain nescaya aku menyuruh perempuan menyembah akan suaminya." Isteri adalah ratu rumahtangga bagi suami, dialah tempat untuk melepaskan kerisauan oleh itu jagalah keperibadian sebagai seorang isteri yang solehah. Rasulullah SAW bersabda : Ertinya : "Sebaik-baik wanita ialah isteri yang apabila engkau melihat kepadanya membuat engkau gembira dan apabila engkau menyuruhnya sesuatu ia menuruti engkau dan apabila engkau tiada di sampingnya dia menjaga harta engkau dan mengjaga maruah dirinya."
12. TANGGUNGJAWAB & KEWAJIPAN IBU BAPA TERHADAP ANAK-ANAK
Anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan terhadap dua ibu bapa supaya mengasuh, mendidik dan memberi pengajaran yang sempurna, di antara tanggungjawabnya ialah :
>Membantu keperibadian anak bermula dari cara memilih isteri sebagai bakal ibu kepada anak-anaknya dari perempuan yang solehah, perempuan yang berugama.
>Semasa mengadakan hubungan jenis dengan isteri hendaklah sentiasa memohon perlindungan dari Allah supaya benih yang akan dilahirkan mendapat hidayat dan taufik Allah dengan didahului doa sepertimana yang diajar oleh Rasulullah SAW : Ertinya : "Ya Allah jauhkanlah kami akan syaitan dan jauhilah syaitan ke atas apa (anak) kurniaan Engkau kepada kami."
>Azan dan Iqamah semasa anak mula lahir dari kandungan ibu.
>Menyusu dengan susuan ibunya sendiri.
>Mengadakan aqiqah, bercukur dan memberi nama yang elok pada hari ketujuh.
>Berkhatan sama ada anak lelaki dan perempuan.
>Memberi didikan dan asuhan yang sempurna.
>Memberi pelajaran dunia dan akhirat.
>Memperjodohkan apabila layak dan sesuai.
>Selalulah berunding, berbincang serta memberi nasihat yang berguna tanpa paksaan yang melulu. Rasulullah SAW bersabda : Ertinya : "Muliakanlah olehmu anak-anak kamu dan perelokkan tingkah-laku mereka."
13. KESIMPULANNYA
Keluarga yang bahagia adalah keluarga yang dibina di atas asas yang paling teguh dan betul mengikut Islam serta yang dapat memenuhi ciri-ciri dan kehendak syariat Islam. Dengan terlaksananya aturan tersebut InsyaAllah segala cita-cita untuk membina sebuah istana keluarga akan mendapat kejayaan di samping mendapat rahmat dan nikmat dari Allah SWT. Semua pihak akan dapat menikmati kebahagian dan kerukunan rumahtangga. Sesuai dengan firman Allah SWT : Ertinya : "Supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan diantara kamu (suami isteri)) perasaan kasih sayang dan belas kasihan."
(Dipetik dan disusun oleh :Haji Othman Haji Ahmad Pegawai Dakwah Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan)
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan