BERTUDUNG adalah cara menutup aurat yang sangat dituntut kepada wanita. Bagaimanapun dalam masa bertudung, ramai di kalangan wanita berdepan dengan pelbagai cabaran dan ranjau yang menguji keimanan serta kekuatan akidah mereka. Pengalaman dan kisah ini diceritakan mereka sendiri dalam buku 'Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung'. Antara pengakuan dan luahan serta pengalaman yang dialami mereka sepanjang bertudung ialah:
1. Bekas artis popular tanah air Noorkumalasari berkata: "Bukan saja saya bertudung, malah saya rasa perlu berpakaian seperti mana dituntut Allah. Iaitu bajunya mestilah longgar, daripada kain berwarna yang tidak jarang, akhirnya muncullah fesyen yang menjadi identiti saya iaitu jubah hitam dengan tudung hitam lebar seperti di pakai wanita Arab. Kita mestilah berani untuk lain dari yang lain. Memang dari dulu lagi saya terkenal dengan selalu berpakaian hitam. Jadi saya lakukan semua ini kerana Allah, di samping rasa gembira melakukannya. Kelebihannya berpakaian begini ialah saya sentiasa bersiap sedia untuk ke masjid di mana saja saya berada. Sebaik terdengar seruan azan, saya akan terus ke masjid dan bersembahyang walaupun tidak membawa telekung. Ia mudah hinggakan sekarang ini saya sentiasa berwuduk."
2. Pakar perubatan sakit puan, Dr Harlina Halizah pula berkata: "Hari ini saya begitu yakin dengan ketrampilan saya sebagai wanita Islam yang bertudung. Tudung saya ibarat pakaian seragam saya agar saya boleh dikenali di mana saja sebagai wanita Islam. Memang benar, tudung tidak melambangkan dan mengukur tahap iman seseorang. Namun bagi saya, pemakaian tudung adalah satu langkah pengisytiharan kepada dunia betapa saya mahu dikenali sebagai wanita Islam yang komited dan serius terhadap agamanya. Tidak ada sesiapa yang memaksa saya menutup kepala. Tudung kepala saya bukanlah simbol penindasan suami atau bapa saya terhadap kebebasan diri dan hak asasi saya."
3. Warga Amerika Syarikat, Dr Katherine Bullock, menulis dalam sebuah artikel sebaik saja memeluk Islam, beliau berkata: "Satu hari iaitu pada 1991, saya berada di hadapan televisyen menonton berita mengenai wanita Turki yang dikatakan mula kembali ke zaman dulu kerana memakai tudung. Saya amat terkejut dan berasa sayu. Kasihan mereka. Fikiran mereka sudah dicandu adat lama pusaka. Seperti orang Barat yang lain, saya beranggapan bahawa Islam menindas wanita dan tudung adalah simbol penindasan dan kongkongan. Cuba bayangkan, empat tahun kemudian, sungguh memeranjatkan! Ketika saya berdiri merenung cermin di kedai melihat bayangan diri saya yang berpakaian saling tak tumpah seperti wanita yang tertindas itu!"
4. Perunding swasta yang mahu dikenali sebagai Umm Hannan berkata: "Saya sangka emak saya tidak akan marah kerana setahu saya emak seorang yang konservatif. Tidak pernah terfikir bahawa emak saya tidak akan bersetuju dengan keputusan saya untuk bertudung. Walaupun begitu, saya bersedia untuk menghadapi dugaan sebegitu seperti yang dikatakan di dalam al-Quran iaitu dugaan akan dilalui oleh orang yang berjuang di jalanNya."
5. Pegawai perubatan klinik swasta yang mahu dipanggil Dr Noraini juga berkata: "Saya dituduh bertudung kononnya disebabkan saya sudah hamil sebelum bernikah."
6. Peguam, Zain Azura berkata: "Mengenai rasional bertudung, tidak semua suruhan Allah mesti ada rasionalnya. Kita sebagai makhluk Allah pun tidak tahu secara mutlak apakah rasional sebenarnya. Hanya Allah yang tahu. Tetapi dengan memakai tudung mungkin beberapa manfaat yang boleh diperoleh."
Demikianlah antara petikan penulisan beberapa wanita Islam profesional dalam buku Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung. Penulis wanita ini menyedari kepentingan berkongsi pengalaman dan suka duka dalam mengharungi kehidupan sebagai wanita Islam bertudung. Wanita terbabit yang cintakan dakwah dan Islam membukukan pengalaman mereka dalam bentuk penulisan yang mengusik jiwa serta maklum balas yang menginsafkan. Mereka juga melalui beberapa peringkat kehidupan yang mencabar dalam menghayati salah satu suruhan Allah yang termaktub dalam al-Quran yang menuntut kaum wanita dan lelaki memelihara kehormatan diri mereka.
Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah kepada lelaki yang beriman agar mereka menundukkan pandangan dan memelihara kesopanan mereka. Itulah yang lebih suci untuk mereka dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan. Dan katakanlah kepada wanita beriman agar mereka menundukkan pandangan dan memelihara kesopanan mereka dan agar mereka tidak memperlihatkan kecantikan mereka serta perhiasan kecuali apa yang biasa dilihat dan hendaklah mereka melabuhkan tudung hingga menutupi dada mereka dan tidak mempamerkan kecantikan mereka kecuali kepada suami mereka." (QS An-Nur:30~31).
Allah mengemukakan beberapa pendekatan dalam mengolah persoalan akidah dan panduan bergaul. Salah satu dari pendekatan itu ialah menerusi kisah dalam Al-Quran. Pendekatan ini adalah di antara pendekatan yang menarik untuk diperhatikan. Kadang-kadang seseorang itu beroleh petunjuk dengan mudah umpamanya hanya melalui cerita. Tidak dinafikan sesebuah cerita yang menyentuh perasaan boleh mengubah paradigma insan. Allah SWT bukan hanya memaparkan sejarah sebaliknya Allah SWT juga menganjurkan kepada umat manusia agar turut meriwayatkan sejarah itu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maka ceritakanlah (kepada manusia) akan kisah itu agar mereka dapat berfikir." (QS al-A'raf:176).
Apakah cara terbaik untuk mengingati kembali nostalgia silam dan memberi pengajaran? Bukankah ia dapat dilakukan dengan kaedah penulisan yang boleh dikongsi bersama orang lain? Untuk itu, diharapkan pembaca buku ini dapat menelusuri dan memahami isi hati dan mengambil manfaat beberapa pengalaman penulis yang mahu mengamalkan salah satu suruhan Allah.
Semoga kita lebih memahami dan mengambil manfaat. Malah, sama ada kita sedar atau tidak, koleksi penulisan ini boleh memberikan inspirasi, motivasi, mencetuskan cita-cita Islam, menjadi dorongan kepada orang lain, menolong wanita lain menghadapi kehidupan yang penuh dengan dilema dan konflik. Dalam pada itu, diharapkan juga ia membuka minda dan mencelikkan mata terhadap masyarakat bukan Islam terutama terhadap apakah yang ada di sebalik minda wanita bertudung.
Benarkah mereka tertindas, kolot, tertutup minda, pendek fikiran atau sebaliknya?
(Sumber: Internet)
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan