Sombong, bongkak, angkuh atau takabbur mempunyai satu pengertian yang sama, iaitu sifat mazmumah yakni sifat tercela atau keji. Sekelumit sifat itu menjadi kebencian dan kemurkaan Allah SWT serta boleh menghalang kita dari memasuki syurga. Firman Allah SWT yang bermaksud: "... Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina" (QS Al-Mukmin [Ghafir]:60)
.
Sifat sombong atau takabbur boleh dikenali melalui dua jenis, iaitu takabbur zahir dan takabbur batin. Takabbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakan. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggap lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan iaitu tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat orang lain. Imam Al-Ghazali berkata: "Orang yang takabbur marah apabila ditegur sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan kasar."
Takabbur batin adalah membesarkan diri dalam hati dan ini maksiat hati yang dicela. Contohnya, iblis laknatullah menganggap dirinya lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam AS. Dengan angkuhnya ia enggan tunduk kepada Nabi Adam AS sehingga menyebabkan Allah melaknat iblis dan seluruh keturunannya.
Takabbur juga boleh dibahagi kepada tiga, iaitu takabbur terhadap Allah SWT, takabbur terhadap rasulNya dan takabbur sesama manusia. Takabbur kepada Allah bermaksud tidak mempedulikan perintah Allah, tidak menghiraukan ancamanNya dan memandang rendah segala syariat dan peraturanNya.
Takabbur terhadap Rasulullah SAW ialah enggan mengikut petunjuk dan sunnahnya. Orang Quraisy pada zaman Rasulullah enggan mengikutnya kerana baginda adalah seorang anak yatim piatu. Orang Yahudi pula enggan berbuat demikian kerana baginda bukan daripada keturunan Bani Israel. Orang Yahudi berasa diri mereka lebih tinggi daripada orang lain, iaitu takabbur sesama manusia. Mereka sering memandang rendah terhadap orang lain kerana menganggap diri mereka berilmu, kaya dan berpangkat sedangkan manusia dijadikan sama di sisi Allah.
Takabbur adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit tidak boleh menjadi pendakwah kerana tindak tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah kerana akan turut memburukkan nama jemaah yang diwakilinya.
Imam Ghazali memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takabbur yang ada dalam diri manusia, iaitu:
1. Apabila berjumpa kanak2, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak2 belum dibebani dengan dosa.
2. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah mereka juga lebih mulia kerana mereka lebih lama beribadah daripada kita.
3. Apabila berjumpa orang alim, anggaplah dia lebih mulia kerana banyaknya ilmu di dadanya.
4. Apabila melihat orang jahil anggaplah mereka lebih mulia kerana berbuat dosa kerana kejahilan sedangkan kita dosa dalam keadaan mengetahuinya.
5. Apabila berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakan, mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu bagaimana akhirnya kehidupan kita.
6. Apabila bertemu orang kafir katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan