Menggunakan rotan dalam kaedah pendidikan Islam adalah satu cara psikologi yang paling berkesan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW seperti sabda Baginda: "Allah SWT memberkati rumah yang di dalamnya ada digantung rotan".
Rotan bukan digunakan untuk mendera anak, tetapi fungsinya yang sebenar ialah untuk tujuan pendidikan. Kalau kita memukul anak yang enggan mendirikan sembahyang sedang ia telah berumur sepuluh tahun, apatah lagi yang telah 'Aqil Baligh, mestilah dengan cara dan kaedah yang betul yang benar-benar bertujuan untuk mendidik, bukan mendera atau menyeksa anak.
Perbuatan merotan yang didorong oleh niat yang ikhlas kerana menjalankan perintah Rasulullah SAW itu boleh menghalau syaitan yang bersarang dalam jiwa anak-anak kita. Tetapi merotan anak dengan sesuka hati serta dengan tujuan mendera hanya akan menyebabkan anak kita menjadi pengikut-pengikut syaitan yang menanamkan sifat dendam, benci, marah dan sebagainya.
Kalau kita di rumah tidak merotan anak kita yang layak dirotan sebagai pengajaran, di luar rumah kita tidak dapat memastikan bahawa anak kita tidak menerima hukuman kepada kesalahan yang dilakukannya. Guru disiplin dan guru besar atau pengetua kini diberi lesen untuk menggunakan rotan. Lagipun yang mana lebih baik, di rumah kita gunakan rotan dan diluar anak kita menjadi manusia baik, atau kita tak pernah merotan anak sehingga anak kita menjadi pelesit lalu ditangkap oleh pihak berkuasa dan disumbat ke dalam penjara kerana kesalahan jenayah dan sebagainya.
Anak yang tidak pernah dirotan oleh ibu bapa akan menganggap diri mereka anak manja atau anak emas. Anak yang merasa diri mereka raja di dalam rumah akan menampakkan sikap yang degil seterusnya membawa kepada derhaka. Namun demikian, kita harus menggunakan rotan dengan cara yang berpatutan, bersesuaian dengan tujuan sebenar untuk memberi pendidikan. Kerana jikalau tersilap langkah, maka lain pula jadinya. Dalam hal ini kita jangan menjadi bapa ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan dirinya sendiri berjalan mengiring/mereng.
Ini bermakna kita kenalah mempraktikkan pendidikan lisanul hal (amali/praktik), supaya anak-anak akan menjadikan kita sebagai 'role model' kepada diri mereka.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan