Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


22 Julai 2009

USAH MENGHARAPKAN KEMATIAN...


Daripada Anas r.a katanya: telah bersabda Rasulullah SAW: "Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu bercita-cita untuk mati disebabkan kerana musibah yang menimpanya.(tetapi) Sekiranya dia terpaksa juga berbuat demikian, maka ucapkanlah (berdoalah):"Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan ini lebih baik bagiku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu adalah lebih baik bagiku." (HR Bukhari & Muslim)

Islam melarang kita mengharapkan atau berdoa supaya cepat mati kerana musibah atau bencana yang menimpa kita seperti sakit, kefakiran, ketakutan ataupun sebab-sebab lain yang seumpama itu. Hal ini disebabkan bercita-cita supaya lekas mati boleh membawa kepada beberapa keburukan seperti:

1. Sikap tersebut (bercita-cita untuk lekas mati itu) menandakan bahawa seseorang itu tidak redha dengan musibah yang menimpanya. Walhal kita disuruh agar banyak bersabar menghadapi cubaan Allah SWT dan berusaha untuk mengatasinya. Bercita-cita untuk lekas mati adalah bercanggah dengan prinsip tersebut.

2. Sikap demikian juga dapat melemahkan jiwa, mendorong sifat pemalas dan putus asa. Padahal setiap kita dituntut agar membuang sifat-sifat negatif tersebut atau mengurangi semampu yang boleh dengan harapan semoga usaha kita itu mendapat restu dan taufiq dari Allah SWT.

3. Sikap tersebut juga melambangkan kejahilan dan kebodohan seseorang kerana sebenarnya dia tidak tahu apa yang akan menimpanya setelah dia mati. Barangkali dugaannya meleset dengan menganggap dengan lekas mati dia boleh terlepas daripada penderitaan, rupanya di alam sana (barzakh dan alam akhirat) dia ditunggu oleh penderitaan yang lebih dahsyat. Semoga kita dilindungi oleh Allah daripada keadaan yang demikian.

4. Sesungguhnya dengan kematian bererti terputuslah atau berakhirlah kesempatan atau peluang seorang hamba daripada melakukan amal-amal soleh yang sepatutnya dilakukan bagi menambah bekal di akhirat nanti dan agar sisa umurnya dapat diisi dengan sesuatu yang bermakna. Dan bagaimana dia boleh bercita-cita untuk memutuskan kesempatan beramal, padahal kalaulah satu bibit amal soleh itu dia tanam dalam hayatnya di sini, nescaya dia akan memungut hasilnya kelak di akhirat lebih baik daripada dunia dan segala apa yang terdapat di dalamnya.

5. Dan yang paling merugikan ialah dengan sikap demikian maka akan hilanglah daripadanya ganjaran yang amat besar. Walhal sekiranya dia bersabar menghadapi sesuatu ujian daripada Allah, maka dia akan mendapat bermacam-macam ganjaran daripada Allah seperti pengampunan dosa, kasih sayang Allah dan ganjaran yang tidak terkira. Firman Allah: "Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." (QS Az-Zumar:10)

Oleh yang demikian, atas dasar inilah maka pada akhir hadis tersebut Rasulullah SAW bersabda: "(tetapi) Sekiranya dia terpaksa juga berbuat demikian, maka ucapkanlah(berdoalah): "Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan ini lebih baik bagiku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu adalah lebih baik bagiku."

Dalam hal ini kita disuruh agar menyerahkan perkara berhubungan dengan hidup dan mati kita kepada Allah, Yang Maha Mengetahui tentang mana di antaranya yang lebih baik. Dia mengetahui kemaslahatan (kebaikan) hambaNya yang hambaNya sendiri tidak mengetahui. Ini berbeza dengan kandungan hadis Nabi SAW: "Janganlah hendaknya salah seorang daripada kamu berdoa: "Ya Allah , ampunilah (dosa-dosa) ku jika engkau mahu, ya Allah, kasihanilah aku jika Engkau mahu. Tetapi hendaklah dia memohon dengan azam yang putus (mengharap)."

Di dalam hadis (1) yang menjadi perbahasan kita di atas bahawa yang kita pohon kepada Allah swt itu bergantung erat dengan ilmu dan iradat (kehendak) Allah, iaitu kita selaku hamba tidak mengetahui apalah akibatnya yang akan membawa kebaikan atau keburukan pada masa hadapan. Adapun tentang kandungan hadis (2) adalah sudah jelas kebaikannya, kita tahu akan kepentingannya, malahan setiap insan sangat berhajat kepadanya iaitu Maghfiratullah (ampunan Allah) dan rahmatNya. Setiap muslim mestilah memohon kedua-duanya kepada Allah SWT dengan harapan (raja'), bukan menggantungkannya kepada kemahuan Allah. Ini kerana setiap manusia disuruh dan diwajibkan berusaha ke arah mendapatkannya. Malahan segala tenaga mestilah dicurahkan dan segala jalan mestilah ditempuh untuk membolehkannya mencapai maghfirah dan rahmat-Nya itu.

Kebanyakan ulama mengecualikan dalam hal ini, kebolehan bercita-cita untuk mati jika khuatir ditimpa fitnah. Ini berdasarkan ucapan Maryam r.a.: "Maka rasa sakit akan melahirkan anak memaksa ia (bersandar) pada pangkal pohon kurma, lalu ia berkata: "Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini dan aku menjadi sesuatu yang tidak bererti, lagi dilupakan." (QS Maryam:23)
.
Begitu juga mereka membolehkannya atas sebab terlalu rindu kepada Allah. Ini berdasarkan ucapan Nabi Yusuf AS: "Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta'bir mimpi. (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi, Engkau Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh." (QS Yusuf:101)

Imam Qatadah berkata: "Tidak seorangpun Rasul atau bukan Rasul yang bercita-cita untuk mati kecuali Nabi Yusuf AS ketika telah sempurna nikmat Allah diterimanya. Lalu beliau sangat rindu untuk menemui Allah SWT. Dalam hal ini, pendapat yang lebih kuat ialah sebenarnya Nabi Yusuf AS tidaklah bercita-cita untuk mati tetapi beliau hanya ingin agar mati dalam Islam, ertinya: "jika sampai ajalku maka matikanlah aku sebagai seorang muslim."

Adapun tentang Maryam, ibu Nabi Isa AS, keinginannya untuk mati itu mengandungi dua kemungkinan:

1) Beliau khuatir disangka telah melakukan perkara buruk dalam agamanya (berzina), lalu seterusnya beliau akan dihina.

2) Beliau khuatir kaumnya akan huru hara disebabkan oleh dirinya kerana keadaan (hamil tanpa suami) boleh mendorong mereka untuk memfitnah dan menuduhnya tanpa bukti.

Saidina Umar r.a. pernah berdoa: "Ya Allah, sungguh telah lemah kekuatanku, telah lanjut usiaku dan telah tersebar luas pengikutku. Oleh sebab itu matikanlah aku dalam keadaan sedang tidak mengabaikan dan melalaikan (perintah-Mu)."
.

Tiada ulasan: