Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


29 Julai 2009

KISAH HIDUP UTHMAN AFFAN (HARIAN METRO)


SELALUNYA kisah remaja dan alam percintaan yang menjadi kecenderungan penulis novel. Tetapi ini tidak bermakna genre lain harus dilupakan, lebih-lebih lagi karya yang menyentuh nilai mulia dan terpuji, seperti tema perjuangan, agama dan kemanusiaan.

Karya Abdul Latip Talib, 'Uthman Affan Pengumpul al-Quran' adalah antara genre yang wajar dibaca, lebih-lebih lagi ia menekankan konsep ketuhanan, kemanusiaan dan perjuangan secara seimbang. Buku terbabit menceritakan kehidupan dan jatuh bangun khalifah ketiga itu dari mula, sejak dilahirkan ibunya, Arwa binti Kuraiz, sehinggalah zaman remaja dan dewasanya.

Saidina Uthman r.a. berasal daripada keluarga Umaiyah yang lahir pada tahun 574 dan dilantik menjadi khalifah pada tahun 644 selepas Saidina Umar al-Khattab r.a. meninggal dunia. Ketika itu beliau berusia 70 tahun dan memerintah empayar Islam selama 12 tahun. Beliau meninggal dunia ketika berusia 82 tahun akibat dibunuh.

Di dalam buku ini, gaya bahasa digunakan tidak terlalu kompleks, malah rantaian ayatnya sangat bersahaja dan ringkas, memudahkan segenap lapisan usia untuk memahaminya. Sepintas lalu, pada suatu ketika beliau menjadi kebanggaan suku kaumnya, malah sangat disanjungi, lebih-lebih lagi keluarganya berharta, namun selepas memeluk Islam beliau dicemuh ahli kaumnya yang tidak bersetuju dengan tindakannya.

Tetapi beliau seorang yang berani dan tidak berputus asa, malah selepas mendapat hidayah beliau tidak teragak-agak untuk berada di samping Rasulullah SAW dan perjuangannya, walaupun ramai yang menentang. Saidina Uthman r.a. adalah antara yang terawal memeluk Islam selepas Abu Bakar as-Siddiq r.a. dan tergolong sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga. Beliau mendapat gelaran Zin Nurain yang bererti 'memiliki dua cahaya' kerana Rasulullah SAW mengahwinkannya dengan dua puterinya iaitu Ruqayah dan kemudian dengan Ummu Kalthum selepas Ruqayah meninggal.

Sepanjang pemerintahannya dari tahun pertama hingga keenam, banyak kejayaan diraih. Empayar Islam berkembang hingga ke Iran, Afghanistan, Afrika Utara, Pulau Cyprus, Pulau Rhodes, Samarqand, Libya, Algeria, Tunia, Maghribi dan Eropah.

Antara jasa Khalifah Uthman yang besar ialah penyusunan semula al-Quran dengan sebutan lahjah Arab Quraisy. Al-Quran inilah yang digunakan hingga ke hari ini yang dikenali sebagai Mashaf Uthmani.
.

Tiada ulasan: