Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


04 Julai 2009

RASULULLAH S.A.W. DAN SAHABAT BIASA MENAHAN LAPAR


Abu Nuaim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. katanya, pernah pada suatu hari aku lihat Nabi SAW sedang solat duduk maka aku bertanya pada Baginda: "Apakah sebabnya engkau solat duduk, ya Rasulullah?" Jawab Baginda: "Aku tak kuat berdiri kerana lapar." Mendengar jawapan Nabi SAW ini, Abu Hurairah r.a. menangis dan Nabi SAW bersabda: "Hai Abu Hurairah, janganlah kamu menangis, sesungguhnya sulitnya hisab di hari kiamat tidak sebanding dengan kesulitan lapar di atas dunia."

Pada suatu hari Nabi SAW pernah merasa lapar, maka beliau meletakkan batu pada perut Baginda seraya berkata: "Adakalanya seorang yang kenyang dan hidup mewah di dunia ini kelak akan lapar dan telanjang di hari kiamat, dan adakalanya pula orang yang hina di dunia ini kelak akan mulia di hari kiamat." Saad bin Abi Waqqas r.a. berkata: "Ketika kami masih di Mekah bersama Nabi SAW, kami telah biasa menghadapi lapar, kerana itu setiap kali mendapatkan ujian kami akan bersabar."

Dari Abu Hurairah r.a., dia menceritakan: "Pada suatu hari aku merasa sangat lapar sehingga terpaksa mengganjal perutku dengan batu. Aku diajak oleh Rasulullah SAW masuk ke rumahnya. Di sana terdapat segelas susu, Rasulullah SAW bertanya kepada orang yang di rumah: "Dari manakah segelas susu ini?" Kata mereka: "Susu ini adalah pemberian seseorang." Kemudian Nabi menyuruhku untuk memanggil para ahli Suffah yang tinggal di serambi masjid (mereka adalah tamu Islam yang tidak punya harta dan keluarga. Jika Nabi mendapat hadiah dari seseorang maka beliau mengambil sebahagian sedang sebahagian yang lain diberikan kepada mereka. Dan jika ada sedekah maka Nabi SAW mengirimkan semuanya kepada para ahli Suffah kerana Nabi tidak makan sedekah).
.
Dalam hatiku, aku berkata: "Kalau aku panggil mereka dan mereka ikut minum pasti aku tiada bahagian susu, sedangkan bila tak kupanggil bererti aku tidak taat pada Rasulullah SAW, padahal taat kepada kepada Allah dan RasulNya adalah wajib dan aku ingin minum susu itu semua agar dapat kuat." Setelah mereka datang, maka Nabi SAW menyuruhku untuk memberikan gelas itu kepada mereka terlebih dahulu secara bergantian dan mereka semua minum susu itu sampai puas. Setelah selesai semuanya baru gelas itu diberikan kepada Nabi SAW. Kemudian Nabi SAW melihat wajahku sambil berkata: "Hai Abu Hurairah! Sekarang tinggal untukku dan kamu sahaja." Jawabku: "Benar, ya Rasulullah." Kemudian beliau menyuruhku duduk dan minum dari sisa susu itu sampai aku merasa kenyang lalu kuberikan kepada Rasulullah dan beliau tetap menyuruhku minum sampai aku sendiri tidak mahu, barulah Rasulullah minum sisa susu yang masih ada.
.

Tiada ulasan: