Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


02 Julai 2009

HUDUD: HUKUMAN SEBAT DALAM ISLAM


Anggapan setengah masyarakat hari ini terhadap hukuman sebat yang terkandung dalam hukum dan perundangan Islam telah dipengaruhi oleh keadaan hukuman sebat yang dilaksanakan di penjara-penjara sekarang. Lebih-lebih lagi dari segi alat pemukul (rotan), cara-cara pukulan dan kesakitan yang dialami oleh penerimanya dan berbagai-bagai lagi.

Di sini dijelaskan secara ringkas tentang hukuman sebat sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam terutamanya yang berhubung dengan hukuman sebatan.

Antara hukuman sebat yang dikenakan adalah sebagai siksaan bagi kesalahan jenayah yang menyentuh maruah, akal dan kehormatan. Ianya bertujuan di antara lainnya:

1. Supaya sesiapa yang menerima hukuman itu atau melihatnya akan menjauhi jenayah itu sejauh-jauhnya.

2. Membersihkan serta menghindari masyarakat dari perbuatan dan tabiat yang keji dan hina.

3. Mewujudkan masyarakat yang aman dan terpelihara dari bahaya dan ancaman penjenayah.

4. Untuk menjadi contoh teladan yang paling berguna untuk mengatasi perbuatan-perbuatan jenayah.

5. Supaya anggota masyarakat akan merasa gerun untuk mendekati perbuatan-perbutan yang keji itu.

Hukuman sebat itu terbahagi kepada dua bahagian:

1. Sebat dalam masalah hudud iaitu siksaan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT yang wajib dilaksanakan sebagai menunaikan hak dan perintah Allah SWT.

2. Sebat dalam masalah ta'zir iaitu kesalahan-kesalahan yang dikenakan dengan satu atau lebih daripada siksaan-siksaan ta'zir, selain daripada siksaan hudud, qisas, diat dan kifarat, dan erti ta'zir itu ialah denda yang menjadi pengajaran. Syarak tidak menetapkan sesuatu hukuman tertentu bagi kesalahan ta'zir dan cukup serta memadai dengan menetapkan kumpulan hukuman dari serendah-rendahnya kepada seberat-beratnya dan sesudah itu diserahkan kepada pihak pemerintah untuk memilih dan menentukan mana-mana hukum-hukum yang sesuai mengikut suasana dan keadaan masalah itu sendiri.

Wallahua'lam.
.

Tiada ulasan: