Dalam persoalan maut, para ulama bersetuju bahawa manusia boleh dibahagikan kepada 4 golongan:
Golongan Pertama
Mereka yang tenggelam dalam kecintaan dunia tidak akan memikirkan soal maut sebab maut ini akan menyebabkan mereka terpisah dari kelazatan dunia mereka. Mereka memikirkan tentang maut dengan keadaan marah dan dengan penuh kebencian. Mereka amat takut akan maut sebab bila maut datang kepada mereka, mereka terpaksa meninggalkan segala harta kesayangan mereka.
Golongan Kedua
Mereka berhajat kepada Allah SWT. Mereka boleh dikatakan sebagai di peringkat permulaan. Mereka akan berasa takut bila diperdengarkan tentang kehebatan Allah dan mereka bersungguh-sungguh mahu bertaubat. Tetapi, mereka juga boleh dikatakan takut akan mati. Mereka takut mati bukan kerana cintakan dunia, tetapi mereka rasa mereka belum benar-benar bertaubat. Jadi, mereka akan mengislahkan diri terlebih dahulu dan mereka belum bersedia untuk mati dan tidak suka untuk mati cepat.
.
Golongan ini tidak boleh dikatakan sebagai golongan yang tidak suka bertemu Allah SWT berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak suka menemui Allah, maka Allah juga tidak suka menemuinya.” Kerana mereka bukan benci untuk berjumpa Allah, sebaliknya mereka takut akan kekurangan dan kecacatan amal yang ada pada mereka. Mereka boleh diumpamakan sebagai seseorang yang ingin bertemu dengan sahabatnya. Maka, dia membuat persediaan untuk bertemu dengan sahabatnya supaya sahabatnya itu akan gembira, tetapi dia belum bersedia untuk berjumpa lagi dengan sahabatnya itu disebabkan dia masih sibuk dalam bersiap-sedia. Jadi, orang ini boleh dikatakan sibuk dalam persediaan untuk kehidupan Akhirat. Jika orang ini menyibukkan diri dalam kehidupan dunia, maka dia boleh dikategorikan dalam golongan pertama tadi.
Golongan Ketiga
Mereka ini disebutkan sebagai golongan Arif. Mereka mengenal Allah SWT lebih daripada mereka mengenal yang selainNya. Taubat mereka adalah sempurna. Mereka cintakan maut dan merindukan kedatangannya. Bagi seorang kekasih, masa perjumpaan dengan kekasihnya adalah saat sangat penting daripada segala-galanya. Demikian, masa perjumpaan bagi mereka adalah bila datangnya maut dan mereka sentiasa menanti-nantikan kedatangannya dan mereka tidak sekali-kali leka daripada tugas ini. Orang beginilah dikatakan sebagai mereka yang mencintai mati dan berharap supaya maut ini boleh datang dengan begitu cepat sekali. Mereka sentiasa merindukan kemerdekaan dari dunia yang penuh dengan dosa ini.
.
Satu riwayat menyatakan bahawa Saidina Huzaifah r.a. sewaktu hampir meninggal dunia berkata: “Akhirnya kekasihku (maut) yang aku nanti-nantikan itu sudah tiba pada waktu yang tepat. Sesiapa yang menyesali akan kedatangannya, dia tidak akan berjaya. Ya Allah! Engkau Yang Maha Mengetahui akan daku, aku lebih suka hidup miskin daripada hidup mewah. Aku lebih suka sakit daripada sihat dan aku lebih suka maut daripada hidup. Cepatkanlah maut bagiku supaya aku dapat bertemu denganMu.”
Golongan Keempat
Mereka ini adalah satu golongan yang mempunyai darjat yang lebih tinggi daripada ketiga-tiga golongan di atas. Mereka mengutamakan keredhaan Allah SWT daripada segala-galanya dan ia menjadi matlamat dan tujuan hidup mereka. Mereka tidak mempunyai apa-apa kepentingan diri untuk hidup ataupun mati. Mereka menjadi kekasih Allah dan tandanya, mereka ada sifat Redha (penerimaan tanpa persoalan) dan sifat Tasleem (penyerahan diri yang sempurna).
Wallahua'lam.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan