Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


28 Mei 2009

DOA RASULULLAH S.A.W DITOLAK


Dari 'Amir bin Said dari bapanya berkata bahawa: "Satu hari Rasulullah SAW telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah SAW sampai di masjid Bani Mu'awiyah lalu beliau masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah SAW. Kemudian Rasulullah SAW berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah SWT.

Setelah selesai beliau berdoa, maka Rasulullah SAW pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud: "Aku telah bermohon kepada Allah SWT tiga perkara, dalam tiga perkara itu cuma dia memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi ditolak:

1. Aku telah bermohon kepada Allah SWT supaya ia tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan. Permohonanku ini diperkenankan oleh Allah SWT.

2. Aku telah bermohon kepada Allah SWT supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh AS). Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah SWT.

3. Aku telah bermohon kepada Allah SWT supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam). Tetapi permohonanku telah tidak diperkenankan (telah ditolak)."

Hari ini kita dapat melihat sendiri banyak negara-negara Islam berperang sesama sendiri berpunca dari isu remeh-temeh, bukan kerana ingin kembali menegakkan Islam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ke manakah hilangnya ukhuwah Islamiyah yang teguh diperjuangkan di zaman Rasulullah SAW dahulu? Fikirkan...
.

27 Mei 2009

BENCANA AKIBAT LIDAH...


Lidah seringkali menjadi penyebab kepada kebinasaan. Berikut adalah beberapa punca bencana akibat tidak menjaga tutur kata. Semoga kita semua mendapat manfaat:

1.Berkata yang tidak perlu atau tidak bermanfaat

2.Mengambil tahu tepi kain orang

3.Berbual dalam perkara-perkara yang batil

4.Berbantah-bantahan dan bertengkar

5.Pertanyaan yang pelik-pelik

6.Meniru percakapan yang indah-indah

7.Berkata kotor, memaki hamun dan lidah yang cabul

8.Melaknat seseorang

9.Bernyanyi dan bersyair

10.Bersenda-gurau secara berlebih-lebihan

11.Menghina atau mengejek

12.Membocorkan rahsia seseorang

13.Janji palsu yakni janji yang dimungkiri

14.Berdusta dalam tutur kata dan sumpah

15.Mengumpat orang (ghibah)

16.Mengadu domba (melaga-lagakan antara dua orang)

17.Percakapan dua muka (talam dua muka)

18.Memuji orang secara berlebih-lebihan
.

26 Mei 2009

MENTAATI KEDUA IBU BAPA


BERBAKTI dan berbuat baik kepada ibu bapa satu perintah dan tanggungjawab yang wajib disempurnakan setiap individu bergelar anak tanpa mengira ibu bapanya itu beriman atau sebaliknya.

Dalam surah al-Isra', ayat 23 hingga 25, Allah menerangkan kepada kita supaya berbuat baik kepada mereka, maksudnya: "Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Jika seorang atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, janganlah engkau berkata kepada kedua-duanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.Dan rendahkanlah dirimu kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku ketika kecil. Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada di hatimu; jika kamu orang yang baik, maka sesungguhnya Ia adalah Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat."

Melalui nas terbabit jelas sekali kepada kita, berbakti kepada orang tua bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main dan boleh dipandang ringan kerana ia adalah suatu perintah yang mesti dilakukan. Bahkan berbakti dan berbuat baik kepada mereka tergolong dalam amalan yang sangat disukai Allah. Ini sebagaimana hadis diriwayatkan dalam Sahih Bukhari daripada Abdullah, katanya: "Aku bertanya kepada Nabi SAW, amalan manakah paling disukai Allah Azza Wajalla?" Baginda menjawab: "Solat pada waktunya." Abdullah berkata: "Kemudian apa?" Baginda menjawab: "Kemudian berbakti kepada kedua orang tua." Dia berkata lagi: "Kemudian apa?" Baginda menjawab: "Jihad pada jalan Allah." Hadis berkenaan menunjukkan besarnya kedudukan ibu bapa dalam Islam. Berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa amalan terbaik yang patut didahulukan daripada perkara lain, termasuk berjihad.

Menurut al-Qurthubi, termasuk berbakti dan berbuat baik kepada orang tua ialah tidak mencacinya dan menderhaka kepada mereka. Jika ibu bapa atau seorang daripada mereka menyuruh si anak, wajib anak mentaatinya apabila perintah itu bukan membabitkan perkara yang mengundang dosa dan kemurkaan Allah. Kita mempunyai ibu bapa dan kita sepatutnya bersyukur kepada mereka. Dengan adanya mereka, kita lahir ke dunia dan dapat mengenal segala isinya, malah dengan jasa mereka kita mendapat kenikmatan berlimpah ruah. "Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada orang tuamu, hanya kepada-Ku kamu kembali." (QS Luqman:14)

Bagaimana bersyukur? Antaranya, kita memikul tanggungjawab terhadap mereka, dengan mengambil berat kebajikan mereka setiap waktu, memberikan bantuan serta menjaga dan mengambil tahu makan pakai mereka. Sebagai anak, kita juga perlu menjaga hubungan dengan ibu bapa dan memastikan sentiasa akrab walaupun apabila sudah dewasa dan mempunyai rumah tangga sendiri. Perbuatan derhaka dilarang sama sekali. Mereka yang menderhaka berdosa besar.

Dalam satu hadis menerangkan derhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi SAW pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: "Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu." (Hadis riwayat Muslim) Menurut hadis Nabi juga, orang yang derhaka pada ibu tidak mencium bau syurga. Dalam satu kisah, sahabat Nabi SAW bernama Alqamah, seorang yang kuat beribadat, tetapi apabila di saat kematiannya dia tidak dapat mengucap syahadah kerana perbuatannya menyinggung hati ibunya, akibat terlalu cinta kepada isterinya. Melihat keadaannya yang nazak, Nabi mengancam untuk membakarnya, tetapi apabila ibunya datang dan memaafkannya, azab yang menimpa Alqamah berakhir.

Peristiwa terbabit wajar dijadikan iktibar kepada semua di antara kita. Janganlah kerana isteri hak ibu terabai dan disebabkan suatu perkara remeh, tergamak meninggikan suara terhadap ibu sendiri. Hayatilah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Redha Tuhan (Allah) ada dalam redha kedua-dua ibu bapa dan kemurkaanNya ada dalam kemurkaan kedua-duanya." (HR al-Tabrani)

Petikan: Harian Metro (26 Mei 2009)
.

KISAH POHON, GUNUNG DAN UNTA



Pada suatu hari Uqa'il bin Abi Thalib r.a. telah pergi bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW. Pada waktu itu Uqa'il telah melihat peristiwa ajaib yang menjadikan hatinya tetap bertambah kuat di dalam Islam dengan sebab tiga peristiwa.

Peristiwa pertama adalah, bahawa Rasulullah SAW akan mendatangi hajat yakni membuang air besar dan di hadapannya terdapat beberapa batang pohon. Maka Baginda SAW berkata kepada Uqa'il: "Hai Uqa'il, teruslah engkau berjalan sampai ke pohon itu, dan katalah kepadanya, bahawa sesungguhnya Rasulullah berkata: Agar kamu semua datang kepadanya untuk menjadi aling-aling atau penutup baginya, kerana sesungguhnya baginda akan mengambil air wuduk dan buang air besar." Lalu Uqa'il pun keluar dan pergi mendapatkan pohon-pohon itu dan sebelum dia menyelesaikan tugas itu ternyata pohon-pohon sudah tumbang dari akarnya serta sudah mengelilingi di sekitar Baginda SAW. Maka Uqa'il kembali ke tempat pohon-pohon itu.

Peristiwa kedua adalah, bahawa Uqa'il berasa haus dan setelah mencari air ke mana pun jua namun tidak ditemui. Maka Baginda SAW berkata kepada Uqa'il bin Abi Thalib: "Hai Uqa'il, dakilah gunung itu, dan sampaikanlah salamku kepadanya serta katakan: "Jika padamu ada air, berilah aku minum!" Lalu Uqa'il lalu pergilah mendaki gunung itu dan berkata kepadanya sebagaimana yang telah disabdakan Baginda SAW itu. Maka sebelum ia selesai berkata, gunung itu berkata dengan fasihnya: "Katakanlah kepada Rasulullah, bahawa aku sejak Allah SWT menurunkan ayat yang bermaksud : ("Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu beserta keluargamu dari (seksa) api neraka yang umpannya dari manusia dan batu)." "Aku menangis dari sebab takut kalau aku menjadi batu itu maka tidak ada lagi air padaku."

Peristiwa yang ketiga ialah, bahawa ketika Uqa'il sedang berjalan dengan Rasulullah SAW, tiba-tiba ada seekor unta yang meloncat dan lari ke hadapan Baginda, maka unta itu lalu berkata: "Ya Rasulullah. Aku minta perlindungan darimu." Unta itu masih belum selesai mengadukan halnya, tiba-tiba datanglah dari belakang seorang Arab kampung dengan membawa pedang terhunus. Melihat orang Arab kampung dengan membawa pedang terhunus, Rasulullah SAW berkata: "Hendak apakah kamu terhadap unta itu?" Jawab orang kampung itu: "Wahai Rasulullah. Aku telah membelinya dengan harta yang mahal, tetapi dia tidak mahu taat atau tidak mahu jinak, maka akan kupotong saja dan akan kumanfaatkan dagingnya (kuberikan kepada orang-orang yang memerlukan)." Rasulullah SAW bertanya: "Mengapa engkau menderhakai dia?" Jawab unta itu: "Wahai Rasulullah, sungguh aku tidak menderhakainya dari satu pekerjaan, akan tetapi aku menderhakainya dari sebab perbuatannya yang buruk. Kerana kabilah yang dia termasuk di dalam golongannya, sama tidur meninggalkan solat Isya'. Kalau sekiranya dia mahu berjanji kepada engkau akan mengerjakan solat Isya' itu, maka aku berjanji tidak akan menderhakainya lagi. Sebab aku takut kalau Allah menurunkan seksaNya kepada mereka sedang aku berada di antara mereka." Akhirnya Nabi Muhammad SAW mengambil perjanjian orang Arab kampung itu, bahawa dia tidak akan meninggalkan solat Isya'. Dan Nabi Muhammad SAW kemudiannya menyerahkan unta itu kepadanya. Dan dia pun kembali kepada keluarganya.
.
Wallahua'lam.
.

25 Mei 2009

CHECKLIST MUHASABAH DIRI MUSLIM


1. Apakah anda setiap hari selalu solat subuh berjemaah di masjid ?

2. Apakah anda selalu menjaga solat 5 waktu berjemaah di masjid ?

3. Apakah anda hari ini membaca Al-Quran?

4. Apakah anda rutin membaca zikir setelah selesai melaksanakan solat wajib?

5. Apakah anda selalu menjaga solat sunat rawatib sebelum dan sesudah solat wajib?

6. Apakah anda hari ini khusyu’ dalam solat, menghayati apa yang anda baca? 7. Apakah anda hari ini mengingati mati dan kubur?

8. Apakah anda hari ini mengingat hari kiamat, segala peristiwa dan kedahsyatannya?

9. Apakah anda telah memohon kepada Allah sebanyak 3 kali agar dimasukkan ke dalam syurga?

10. Apakah anda telah meminta perlindungan kepada Allah sebanyak 3 kali agar diselamatkan dari api neraka? Kerana: "Barang siapa yang memohon syurga kepada Allah sebanyak 3 kali, Syurga berkata, "Wahai Allah! Masukkanlah ia ke dalam syurga", dan barang siapa yang meminta perlindungan kepada Allah agar diselamatkan dari api neraka sebanyak 3 kali, Neraka berkata, "Wahai Allah! Selamatkan ia dari api neraka"." (Shahih Al-Jami’ No. 6151 Jilid 6)

11. Apakah anda hari ini membaca hadis Rasulullah SAW?

12. Apakah anda pernah berfikir untuk menjauhi teman-teman yang tidak baik?

13. Apakah anda telah berusaha untuk menghindari banyak tertawa dan bergurau?

14. Apakah anda hari ini menangis kerana takut kepada Allah?

15. Apakah anda selalu membaca zikir di waktu pagi dan petang?

16. Apakah anda hari ini telah memohon ampun kepada Allah atas dosa-dosa yang telah anda perbuat?

17. Apakah anda telah memohon kepada Allah dengan benar untuk mati syahid? Kerana Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang memohon kepada Allah dengan benar untuk mati syahid, maka Allah akan memberikan kedudukan sebagai syuhada meskipun ia meninggal di atas tempat tidurnya." (HR Muslim)

18. Apakah anda telah berdoa kepada Allah agar Ia menetapkan hati anda di atas agamaNya?

19. Apakah anda telah mengambil kesempatan untuk berdoa kepada Allah di waktu-waktu yang mustajab?

20. Apakah anda telah membeli buku-buku Islam untuk memahami Islam? (Tentu dengan memilih buku-buku yang sesuai dengan pemahaman yang diikuti oleh para sahabat Nabi, kerana banyak juga buku-buku Islam yang tersebar di pasaran merosakkan pemahaman Islam yang sebenar).

21. Apakah anda meminta ampun kepada Allah untuk saudara-saudara mukminin dan mukminat? Kerana dengan mendoakan mereka anda mendapat kebaikan pula. (Shahih Al-Jami’ No. 5902)

22. Apakah anda telah memuji Allah dan bersyukur kepadaNya atas nikmat Islam?

23. Apakah anda telah memuji Allah dan bersyukur kepadaNya atas nikmat mata, telinga, hati dan segala nikmat lainnya?

24. Apakah hari ini anda telah bersedekah kepada fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan?

25. Apakah anda dapat menahan amarah yang disebabkan kerana urusan peribadi dan berusaha untuk marah karena Allah semata-mata?

26. Apakah anda telah berusaha untuk selalu menjauhkan diri dari sikap sombong dan membanggakan diri?

27. Apakah anda telah mengunjungi saudara-saudara seiman dan seagama (ikhlas kerana Allah semata-mata)?

28. Apakah anda telah berdakwah untuk keluarga, saudara-saudara, tetangga, dan siapa saja yang yang ada hubungannya dengan diri anda?

29. Apakah anda termasuk orang yang berbakti kepada orang tua?

30. Apakah anda selalu mengucapkan "Innaa Lillaahi wa Innaa Ilaihi Raaji’uun – Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan sesungguhnya kami kembali kepada-Nya" jika anda mendapat musibah dari Allah? Kerana Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah masing-masing kalian melakukan istirja’ (mengucapkan Innaa Lillaahi wa Innaa Ilaihi Raaji’uun) pada setiap hal meskipun ketika tali sandalnya putus kerana hal itu termasuk musibah." (Hadis hasan, lihat Shahih Al-Kalimut Thayyib No. 140)

31. Apakah anda hari ini mengucapkan doa: "Allahumma Innii A’uudzubika an Usyrikabika wa Anaa A’lam wa Astaghfiruka Limaa lah A’lam – Ya allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari menyekutukan-Mu sedangkan aku mengetahui dan aku memohon ampunan-Mu terhadap apa-apa yang tidak aku ketahui." (Shahih Al-Jami’ No. 3625). Barang siapa yang mengucapkannya maka Allah akan menjauhkan darinya dari syirik besar dan syirik kecil.

32. Apakah anda selalu berbuat baik kepada tetangga?

34. Apakah anda telah membersihkan hati dari sombong, riya', hasad dan dengki?

35. Apakah anda telah membersihkan lisan anda dari perkataan dusta, mengumpat, mengadu domba, berdebat berlebihan dan berbuat serta berkata yang tidak ada manfaatnya?

36. Apakah anda selalu takut kepada Allah dalam hal rezeki, makanan, minuman dan pakaian?

37. Apakah anda selalu bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya di segala waktu atas segala dosa dan kesalahan?

"Jawablah pertanyaan-pertanyaan di atas dengan perbuatan nyata, agar engkau mendapat ridha Allah SWT dan menjadi orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat, Insya Allah."

Sumber:
1. Zaadul Muslim Al-Yaumi , Syaikh Abdullah bin Jaarullah bin Ibrahim Al-Jaarullah.
2. Al-Qabru ‘Adzaabuhu wa Na’iimuhu, Syaikh Husain Al-‘Awaisyah.
.

23 Mei 2009

HAK-HAK ALLAH S.W.T. DALAM IBADAT KEPADANYA


Barangsiapa menyembah Allah SWT kerana suatu yang diharapkan daripadaNya atau kerana menolakkan ia dengan taatnya akan datang siksa daripadaNya, maka tiadalah ia berdiri pada haq segala sifatNya kerana bahawasanya Hak Tuhan atas segala hambaNya itu bahawa menyembah mereka itu akan Dia kerana segala SifatNya yang Jamilah.

Mengikut Ahli Tahqiq, yang dimaksudkan 'Menyembah Allah' bukanlah semata-mata dengan maksud mendirikan solat, berpuasa, berzikir dan melaksanakan hak-hak yang dituntut oleh syarak, dan bukanlah pula hanya bermaksud kepada pengabdian diri yang berkaitan dengan seluruh hal-ehwal diri sama ada yang berkaitan dengan makhluk atau pun yang bersangkutan dengan ketuhanan. Bahkan jika benar-benar ditahqiq, maksud penyembahan itu ialah sesuatu yang melampaui setiap tilikan dan pandangan hati kita. Sesuatu, sebagaimana yang terisyarat di sebalik firman Allah: "Ke mana sahaja kamu memandang, di situ ada Wajah Allah." (QS Al-Baqarah:115)

Dengan itu adalah tidak wajar sekali bagi kita, dalam mendirikan segala taat dan ibadat yang yang ala kadar itu, mengendong bersama sesuatu hajat kebaikan, kononnya sebagai penghargaan kepada apa yang telah kita kerjakan. Walaupun bukan kejahatan yang ditujui, bahkan kebaikan diri yang diharapkan, namun adalah tidak patut sekali kita pertaruhkan harapan yang baik itu sebagai galang-ganti di atas amal taat yang dikerjakan itu. Dan adalah tidak wajar juga, dalam mendirikan segala taat dan ibadat yang dipelihara itu, kita menginginkan keselamatan diri di dunia, kesejahteraan hati, keberkatan hidup, keistimewaan-keistimewaan tertentu yang kononnya boleh menyelamatkan diri kita daripada bala musibah dan azab siksaNya di Hari Kiamat.

Jikalau ditagihkan juga kebaikan dan perlindungan tersebut, kerana merasa seolah-olah kita telah mengerjakan satu ketaatan yang ikhlas kerana Allah SWT, maka ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekalian, tiadalah berdiri pada hak segala sifatNya yakni selama-lamanya kita belum mendirikan hak-hak Allah SWT. Kita belum lagi berada di atas jalan ibadat yang lurus, jalan yang tidak dimurkai, jalan yang diredhaiNya. Tetapi bahkan apa yang sepatutnya ditiliki oleh seorang hamba yang sempurna ubudiyahnya ialah kepada Keesaan Zat itu dengan kesempurnaan segala sifat-sifatNya yang Indah. Ini adalah kerana Hak Tuhan atas segala hambaNya itu bahawa Dia patut disembah kerana segala sifatNya yang Jamiilah yakni hak ketuhanan yang wajib dilaksanakan oleh hamba-hambaNya. Memerhati sesuatu dengan disandarkan itulah kenyataan Sifat-Sifat Tuhan Yang Qahar, Yang Qhoni, Yang Rahim dan lain-lain Sifat yang disedari olehnya.

>Mereka solat kerana sedar kepada kenyataan Sifat-SifatNya Yang Maha Tinggi dan Agung.

>Mereka berpuasa kerana sedarnya kepada kenyataan Sifat-Sifat Yang Menahani, Yang Menyempitkan dan Yang Berkehendak

>Mereka berzakat kerana sedar tentang Sifat-SifatNya, Yang Maha Kaya, Yang Maha Pemurah, Yang Maha Adil dan Yang Maha Pemurah

>Mereka mengerjakan haji kerana sedar tentang Panggilan Dan Seruan TuhanNya menghadapNya

Inilah hak Tuhan atas segala hambaNya iaitu menghendaki bahawa menyembah mereka itu akan Dia adalah kerana sedar akan nyata wujudnya segala Sifat Allah yang Jamilah di setiap yang terzahir pada amal-amal taatnya. Oleh itu palingkan kejahilan dan kebebalan kita dalam beramal itu kepada menghadap "Ke mana sahaja kamu memandang, di situ ada Wajah Allah."

Kata-kata ini baik sekali sebagai perumus keterangan di atas. Rahsia kemurahan Tuhan itu terzahir pada wujud yang tidak ada daya upaya kecuali Allah. Jika kita hendakkan syurga sebagai ganjaran dari amal ibadat kita, di manakah kemurahan Tuhan di situ? Jika amal yang kita hendakkan ganjaran itu pun bukan kepunyaan kita, bagaimanakah mungkin kita memandang kepada amal kita itu? Selanjutnya, barangsiapa menyembah Allah SWT kerana sesuatu, terhijablah ia kepadaNya.

Dengan demikian barangsiapa menyembah Allah kerana inginkan sesuatu selain dariNya, maka mereka adalah hamba kepada sesuatu yang diinginkan itu dan tertutuplah pandangan mata hati mereka daripada memandang Keesaan Allah.

>Inginkan barakah, jadilah hamba bagi barakah

>Ingin nama, kedudukan dan kemasyhuran di sisi manusia, maka jadilah hamba bagi manusia

>Inginkan terbuka alam ghaib, jadilah hamba bagi alam

>Inginkan balasan pahala, jadilah hamba bagi pahala

>Inginkan syurga, jadilah hamba bagi syurga

Namun semuanya itu adalah makhluk Allah. Memandang kepada makhluk dengan melupakan Yang Haq menjadikan mereka terhijab daripada maksud ibadat yang sebenarnya yakni memandang kepada segala sifat-sifatNya yang Jamil. Seterusnya, jikalau dikerjakan kerana nafsu, maka tiadalah berdiri pada haq sifat TuhanNya, dan adalah yang demikian kerana jahil dan qaflah dan tiada mengasihi TuhanNya dan tiada makrifatnya. Jika mereka masih tagihkan itu dan ini, mahukan anu dan itu kerana merasa punya sedikit kebaikan yang dilakukan, maka yang demikian itu semata-mata kerana ingin memenuhi bahagian nafsunya yang tersembunyi.

Amat perlu sekali kita menyedari bahawa segala keinginan selain daripada memandang Allah SWT itu adalah daripada runtunan keperluan hawa nafsunya. Jika sudah berdiri kepada bahagian nafsu mereka, maka sama sekali tidak akan berdiri pada hak sifat TuhanNya. Bukankah memilih keinginan nafsu dengan meninggalkan hak ketuhananNya menunjukkan betapa mereka ini adalah termasuk ke dalam golongan mereka yang jahil dan qaflah dan tiada mengasihi TuhanNya dan tiada makrifatnya. Tidak kenal kepada TuhanNya, menyekutukanNya dan menyembah diri mereka sendiri.

Sungguhpun begitu, Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dia mengatur dan menyusun aturan kehidupan hamba-hambaNya mengikut maqam dan martabat yang dikehendakiNya. Dengan itu perbezaan akan sentiasa ada. Sama ada dari segi maqam atau segi martabat atau tahap pemahaman dan kesedaran mereka terhadap Allah. Berlainan maqam, maka berlainanlah hal ehwal dan pengertian mereka kepada hakikat.

Wallahua'lam
.

22 Mei 2009

SYURGA DAN NERAKA BAGI WANITA


Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda bahawa empat jenis wanita yang berada di syurga dan empat jenis wanita yang berada di neraka dan beliau menyebutnya di antara empat jenis perempuan yang berada di syurga ialah:

1. Perempuan yang menjaga diri dari berbuat haram lagi berbakti kepada Allah SWT dan suaminya.

2. Perempuan yang banyak keturunannya lagi penyabar serta menerima dengan senang hati dengan keadaan yang serba kekurangan (dalam kehidupan) bersama suaminya.

3. Perempuan yang bersifat pemalu, dan jika suaminya pergi maka ia menjaga dirinya dan harta suaminya, dan jika suaminya datang ia mengekang mulutnya dari perkataan yang tidak layak kepadanya.

4. Perempuan yang ditinggal mati oleh suaminya dan ia mempunyai anak-anak yang masih kecil, lalu ia mengekang dirinya hanya untuk mengurusi anak-anaknya dan mendidik mereka serta memperlakukannya dengan baik kepada mereka dan tidak bersedia kahwin kerana khuatir anak-anaknya akan tersia-sia (terlantar / terbiar).



Kemudian Rasulullah SAW bersabda bahawa empat jenis wanita yang berada di neraka ialah:

1. Perempuan yang jelek (jahat) mulutnya terhadap suaminya, jika suaminya pergi, maka ia tidak menjaga dirinya dan jika suaminya datang ia memakinya (memarahinya).

2. Perempuan yang memaksa suaminya untuk memberi apa-apa yang di luar kemampuannya.

3. Perempuan yang tidak menutupi dirinya dari kaum lelaki dan keluar dari rumahnya dengan menampakkan perhiasannya dan memperlihatkan kecantikannya (untuk menarik perhatian kaum lelaki).

4. Perempuan yang tidak mempunyai tujuan hidup kecuali makan, minum dan tidur dan ia tidak senang berbakti kepada Allah.
.

19 Mei 2009

MUJAHADAH TERHADAP HAWA NAFSU


Mujahadah bermaksud "berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu." Dalam sebuah hadis bertaraf hasan, Nabi SAW bersabda: "Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah."

Mengikut Said Hawa dalam Al-Asas fit Tafsir: "Secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu agar ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara." Apabila nafsu dapat dikalahkan, seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah SWT dan mengetepikan kehendak peribadi sendiri. Dalam Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali menyatakan: "Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin. Oleh itu seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah.... Dia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang maksiat." Berhubung dengan ini Abdullah ibn Mubarak berkata: "Jika cintamu benar, kamu akan mentaatiNya kerana seseorang yang mencintai sesuatu sanggup mentaati sesuatu."

Mereka yang sanggup melawan nafsu ialah mereka yang percaya kepada akhirat serta hari pembalasan. Inilah kekuatan yang ada pada umat Islam. Kepercayaan ini menjadikan mereka golongan yang sanggup mengetepikan keseronokan sementara demi untuk mencapai matlamat jangka panjang yang kekal abadi. Denis Waitley dalam Empires of the Mind berkata: "Saya berpendapat, salah satu punca utama yang menyebabkan Amerika bermasalah besar pada hari ini ialah, rakyatnya begitu asyik dan ghairah dengan keseronokan jangka pendek dan melupakan kepentingan jangka panjang."

Mereka yang bermujahadah sebenarnya merupakan golongan yang mementingkan kepentingan jangka panjang. Antara perkara yang merangsang mereka untuk mengutamakan kebahagiaan masa depan ialah firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Aku (Allah) telah sediakan bagi hambaKu yang soleh (nikmat) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia."

Mujahadah adalah jambatan kepada takwa. Dalam Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa menyatakan: "Takwa adalah hasil daripada hidayah dan hidayah adalah hasil daripada mujahadah. Justeru mujahadah melawan hawa nafsu adalah titik permulaan kepada takwa. Antara amalan yang membantu usaha untuk melawan hawa nafsu ialah bacaan Al-Quran, solat dan zikir. Nabi ketika disoal tentang jalan untuk mencapai syurga telah menjawab, 'Bantulah dirimu dengan banyak bersujud'. Banyak bersujud bermaksud banyak bersolat dan banyak bersolat bermaksud banyak berzikir dan membaca Al-Quran."

Mereka yang bermujahadah akan mendapat beberapa anugerah istimewa daripada Allah berdasarkan firmanNya dalam surah Al-Ankabut ayat 69, "Mereka yang bermujahadah (yakni berjuang secara bersungguh-sungguh) pada jalan Kami akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami." Berhubung dengan ayat ini Imam Ad-Darani berkata: "Mereka yang bermujahadah berdasarkan ilmu yang diketahui, mereka akan ditunjukkan Allah tentang perkara yang belum diketahui." Fudhail Al-Iyadh berkata: "Mereka yang bermujahadah untuk mencari ilmu, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan untuk beramal." Junaid Al-Baghdadi pula berkata: "Mereka yang bermujahadah dengan bertaubat, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan keikhlasan." Sahabat Rasulullah SAW, Abdullah ibn Abbas r.a. pula berkata: "Mereka yang bermujahadah untuk melakukan ketaatan, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan pahala dan ganjaran."

Wallahua'lam.
.

18 Mei 2009

FADHILAT DAN SEJARAH AYAT KURSI


Dalam sebuah hadis, ada disebutkan tentang seekor syaitan yang duduk di atas pintu rumah. Tugasnya ialah untuk menanam keraguan di hati suami terhadap kesetiaan isteri di rumah dan keraguan di hati isteri terhadap kejujuran suami di luar rumah. Sebab itulah Rasulullah SAW tidak akan masuk ke rumah sehinggalah Baginda mendengar jawapan salam daripada isterinya. Di saat itu syaitan akan lari bersama-sama dengan salam itu.



Fadhilat Ayat Al-Kursi (berdasarkan hadis-hadis):

1) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya sehingga subuh.

2) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap solat Fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah SWT hingga solat yang lain.

3) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap solat, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah-rumah di sekitarnya.

4) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap solat fardhu, Allah SWT menganugerahkan kepadanya setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yang benar, pahala nabi - nabi serta Allah melimpahkan padanya rahmat.

5) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya – mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

6) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir solat, Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.

7) Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan, nescaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.



SEJARAH AYAT KURSI

Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasulullah SAW dengan segera memerintahkan Zaid bin Tsabit r.a. menulis serta menyebarkannya. Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, InsyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah SWT.

Mengikut keterangan dari kitab "Asraarul Mufidah", sesiapa yang mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah. Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, InsyaAllah akan mencerdaskan akal fikirannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya." Sabda baginda lagi: "Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar."

Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah SWT sebagaimana Dia memelihara Nabi Muhammad SAW. Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah SWT daripada gangguan serta hasutan syaitan. Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah. Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya. Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, Insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar. Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insyaAllah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin.

Wallahua'lam.
.

17 Mei 2009

TAKDIR DAN USAHA...


Banyak pertanyaan yang yang timbul dalam masyarakat kita tentang qada' dan qadar (takdir). Kenapa kita harus berusaha sedangkan Allah SWT telah menetapkan takdir pada kita? Inilah yang harus dijawab supaya umat Islam tidak menjadi umat yang statik apabila tidak memahami konsep sebenar takdir.

Takdir dan usaha adalah dua perkara yang berbeza, di mana takdir berhubungan dengan amalan hati sedangkan usaha adalah amalan fizikal, namun tidak salah jika kita mengabungkan keduanya. Sebagai contoh, perbedaan antara amalan hati dan fizikal. Mengimani Allah SWT tidak bererti meninggal ibadah padaNya. Mengimani rasulNya tidak bererti meninggalkan sunnahnya. Mengimani Al-Quran tidak bererti meninggalkan membacanya, memahami, melaksanakan hukum-hukumnya serta berhenti memperjuangkan tegak perintahNya. Demikian pula mengimani takdir tidak boleh diertikan sebagai meninggalkan usaha dan kerja keras.

Itulah sebab mengapa mengimani takdir dimasukkan pada rukun iman yang enam bukan pada rukun Islam. Sungguh bijak ungkapan Imam Al-Jauzi. Kata beliau: "Jika ada orang yang bertanya: "Mengapa kita harus berusaha sedang takdir telah mendahului kita?" Maka katakanlah pada orang itu: "Mengapa kita tidak berusaha sedang yang membuat takdir menyuruh kita berusaha?" Benarlah firman Allah SWT: “Apabila sudah menunaikan solat, maka bertebaranlah kamu dimuka bumi dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung." (QS Al-Jumaah:10 )

Dari ayat ini, bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa mengingat Allah SWT sebanyak-banyaknya tidak bermakna meninggalkan usaha. Di sinilah perlunya umat Islam memahami Al-Quran secara syamil agar tidak di perkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Napoleon Bonaparte ketika memasuki Mesir sempat mengunakan dalil takdir untuk melemahkan semangat perjuangan lawannya dengan ucapannya yang terkenal: “Kalian memang ditakdirkan untuk dijajah!" Namun masih ada yang mampu membalas ucapan ini: "Jika dijajah adalah takdir, maka melawan penjajahan juga takdir”. Mungkin mereka para pahlawan Islam itu mengambil dari ucapan Saidina Umar bin Al-Khattab r.a.: “Lari dari takdir Allah kepada takdir Allah.

Pemahaman takdir secara tidak sempurna akan mengakibatkan kelambatan umat Islam dalam mengejar ketinggalannya. Maka, selamanyalah umat Islam berada di bawah telapak kaki kaum kuffar. Sirah Rasulullah SAW jelas mengatakan bahawa beliau tidak meninggalkan usaha dengan alasan takdir, sedangkan Baginda adalah manusia yang paling bertawakkal pada Allah SWT. Demikian pula Nabi-Nabi sebelum beliau, tidak satupun hanya duduk menunggu pertolongan dan rezeki dari langit. Benarlah ucapan ulama’: “Bertawakkal adalah jiwa Rasulullah sedangkan kerja keras adalah Sunnahnya.

Wallahua’lam.
.

16 Mei 2009

PENGAJARAN DARI SEBUAH MANUSKRIP LAMA


Sebuah manuskrip lama yang dicatatkan di atas kulit kambing telah dijumpai di sebuah negara Timur Tengah, namun penulisnya tidak dapat dikesan. Kandungan manuskrip itu adalah sesuatu yang harus direnungkan dan difikirkan bersama. Semoga kita semua mendapat iktibar dan seterusnya dapat mengelakkan diri kita terjatuh dalam golongan seperti dalam manuskrip tersebut sepertimana berikut:

1. Seorang Nasrani berkata: "Saya amat bersyukur kepada Allah walaupun saya dilahirkan dalam bangsa Nasrani. Ini kerana saya lebih mulia dari bangsa Majusi (penyembah matahari)."

2. Seorang Majusi pula berkata: "Saya juga berasa amat bersyukur kepada Allah walaupun saya dilahirkan dalam bangsa Majusi. Ini kerana saya lebih mulia dari orang kafir." (Cuba kita meneliti dua perbualan diatas, kita dapati, kedua-dua kafir tidak mengaku mereka kafir dan mereka saling bandingkan dengan orang kafir...)

3. Seorang kafir pula berkata: "Saya juga rasa bersyukur kepada Allah walaupun saya dilahirkan kafir. Ini kerana kafir lebih mulia dari dilahirkan sebagai anjing."

4. Anjing pula berkata: "Saya juga bersyukur kepada Allah walaupun saya dilahirkan sebagai anjing. Ini kerana anjing lebih mulia dari dilahirkan sebagai babi." (Apakah yang babi akan kata dan siapakah yang babi akan bandingkan dengan dia...?)

5. Babi pula berkata: "Saya juga bersyukur kepada Allah walaupun saya dilahirkan sebagai seekor babi. Ini kerana saya lebih mulia dari manusia yang tidak solat."

6. Manusia pula berkata: "Saya ini kufur sebab tak sembahyang, tapi bersyukur masih diberi nikmat hidup di dunia oleh Allah sebelum mati dan masuk neraka."

Ini adalah sebuah manuskrip yang memberi kesedaran kepada umat Islam yang masih tidur dan juga umat yang selalu membandingkan diri mereka dengan insan yang lebih buruk dan lemah dari mereka. Jika ini berterusan, umat Islam tidak akan maju.

Tercatat didalam Al-Quran, bahawa umat Islam yang meninggalkan solatnya akan menjadi semakin banyak dan lumrah pada akhir zaman. Nyata sekali, ianya memang benar telah berlaku!

Sesungguhnya mati itu adalah benar, azab neraka itu adalah benar dan syurga itu adalah benar. Maha Suci ALLAH...

Wallahua'lam
.

15 Mei 2009

WANITA SEJATI


"Apabila hati diserahkan kepada Allah, kekallah wanita dengan asal penciptaannya iaitu penyejuk mata dan hati. Apabila wanita terus mengikatkan hati kepada zat yang menjadikannya, kekallah ia sebagai perhiasan yang dijaga rapi. Redup wajahnya mengundang pembelaan dari hati yang menjadi hamba Tuhan dan kerendahan hati yang tunduk kepada syariat meletakkan ia sentiasa dalam keredhaan dan perlindungan dari Zat Yang Maha Agung." Inilah wanita sejati bergelar wanita solehah seperti yang digambarkan oleh Rasullullah SAW: “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah.

Wanita solehah yang hatinya terikat dengan Allah; si gadis dihiasi sifat sopan dan malu; si anak mentaati ibu bapa; srikandi dihiasi keberanian dan ketegasan yang penuh kesopanan serta prihatin terhadap suasana masyarakat; si isteri penuh ketaatan, kesetiaan dan kasih terhadap suami. Semuanya berteraskan rasa cinta kepada Yang Maha Pencipta. Berbahagialah kaum Adam yang berjaya memiliki ‘perhiasan’ sejati ini kerana pastinya hidup akan terarah ke syurga. Syurga dunia yang disegerakan dan syurga hakiki yang kekal abadi.

Sebaliknya, jika hati dibawa jauh dari Allah, hilanglah kejernihan wajah dan jadilah dia duri yang menjadi punca kemelut serta kacau bilau. Apabila wanita lari dari ikatan Tuhan, maka terbukalah segala pintu yang akan menjerumuskannya ke lembah fitnah kehinaan. Hilanglah redup wajah yang menjadi dambaan dan yang terserlah ialah kecantikan palsu yang menanti untuk dieksploitasi oleh manusia buas yang menjadi hamba nafsu. "

Sumber: Internet

" SELAMAT HARI IBU..."
.

13 Mei 2009

KUBUR BERKATA-KATA...


Dikisahkan bahawa sewaktu puteri Rasulullah SAW, Fatimah r.a. meninggal dunia, maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, iaitu:
1. Saidina Ali bin Abi Talib kwj (suami Fatimah r.a.)
2. Saidina Hasan r.a. (anak Fatimah r.a.)
3. Saidina Hussain r.a. (anak Fatimah r.a.)
4. Abu Dzar Al-Ghifary r.a.

Sewaktu jenazah Fatimah r.a. diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzar Al-Ghifary r.a. berkata kepada kubur: "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah SAW."

Maka berkata kubur: "Saya bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun saya adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dari saya, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari saya (akan saya layan dia dengan seburuk-buruknya)."

Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara:
1. Hendaklah ia menjaga solatnya
2. Hendaklah dia bersedekah
3. Hendaklah dia membaca al-Quran
4. Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah:
1. Jangan berdusta
2. Jangan berkhianat
3. Jangan mengadu-domba (melaga-lagakan dua pihak supaya bermusuhan)
4. Jangan kencing sambil berdiri. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing."

Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah SWT. Sebaliknya, kubur itu tidak mengambilkira sama ada orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya. Kubur akan melayan seseorang itu mengikut amalan-amalan yang telah dilakukan oleh si mati sewaktu hidupnya di dunia ini.

Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat, Mungkar dan Nakir, dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil: "Takutlah kamu kepada Allah SWT dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Mungkar dan Nakir," maka mereka mungkin akan menjawab: "Ah! Mudah sahaja. Saya boleh menghafal untuk menjawabnya." Itu adalah kata-kata orang yang kurang berakal.

Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya semasa hidupnya sebab yang akan menjawab soalan Mungkar dan Nakir adalah amal-amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu jugalah dengan amalan-amalan soleh yang lain.
.

12 Mei 2009

10 WASIAT HASSAN AL-BANNA


Berikut adalah 10 wasiat Hassan Al-Banna:

1. Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang serta-merta walau bagaimana keadaan sekalipun.

2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis- majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.

3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam.

4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu rasmi yang sia-sia malah menyakiti hati orang.

8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.

9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslimin yang ditemui kerana asas gerakan dakwah kita ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.

10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.
.

11 Mei 2009

IKHLAS YANG BENAR


Para Rabbani yang terdiri daripada mereka yang aktif dalam pendidikan rohani dan yang berjalan kepada Allah SWT telah bersetuju bahawa kepentingan ikhlas bagi setiap amal untuk bekalan akhirat dan bagi setiap orang yang meniti jalan menuju Allah.

Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali berkata di dalam Muqaddimah kitab An-Niyyah Wal-Ikhlas Qash-Shidq, yang memakan seperempat bahagian dari kitab Al-Ihya': "Dengan hujah iman yang nyata dan cahaya Al-Quran, mereka yang mempunyai hati mengetahui bahawa kebahagiaan tidak akan tercapai kecuali dengan ilmu dan ibadah. Semua orang pasti akan binasa kecuali mereka yang berilmu. Mereka yang berilmu pasti akan binasa kecuali yang aktif beramal. Semua orang yang aktif beramal akan binasa kecuali mereka yang ikhlas."

Jadi sebutan mereka yang ikhlas amat rentan. Amal tanpa niat adalah ketololan, niat tanpa ikhlas adalah riya', yang bererti sama dengan kemunafikan dan tidak berbeza dengan kederhakaan. Ikhlas tanpa kejujuran dan perlaksanaan adalah sia-sia. Allah SWT telah berfirman tentang setiap amal yang dimaksudkan untuk selain Allah, sebagai suatu yang tidak bermatlamat. Di dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: "Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan." (QS Al-Furqan:23)

Perkara yang serupa dengan apa yang dikatakan oleh Imam al-Ghazali itu sebelumnya juga telah dikatakan oleh seorang Rabbani yang arif bernama Sahl bin Abdullah at-Tustary: "Semua manusia seperti orang yang sedang mabuk kecuali mereka yang berilmu. Semua orang yang berilmu adalah orang yang bingung kecuali mereka yang mengamalkan ilmunya." Dalam lafaz lain beliau berkata: "Dunia ini adalah kebodohan dan kematian kecuali ilmu. Semua ilmu merupakan hujah ke atas pemiliknya kecuali yang diamalkannya. Semua amal akan sia-sia kecuali yang dilaksanakan dengan ikhlas. Ikhlas itu dalam bahaya yang besar sehingga tetap berakhir dengannya." Sebahagian yang lain juga berkata: "Ilmu itu laksana benih, amal laksana tanaman dan airnya adalah ikhlas." Ibnu Atha'illah berkata dalam Al-Hikam: "Sesungguhnya Allah tidak menyukai amal yang mendua (berbelah bahagi), dan tidak pula hati yang mendua. Amal yang mendua tidak diterima dan hati yang mendua juga tidak akan diterima."

Amal yang tidak disertai ikhlas adalah ibarat gambar yang mati, dan raga tanpa jiwa. Allah hanya menginginkan hakikat amal, bukan rupa dan bentuknya. Maka dari itu Dia menolak setiap amal yang pelakunya tertipu dengan amalnya. Dalam hadis sahih riwayat Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad dan rupa kamu, tetapi Dia melihat kepada hati kamu." Baginda memberi isyarat ke arah hati dengan jari-jari tangannya lalu bersabda: "Taqwa itu letaknya di sini." Dan Baginda memberi isyarat ke arah dadanya sebanyak tiga kali." (HR Muslim)

Allah SWT berfirman tentang mereka yang menyembelih haiwan qurban, iaitu yang dilakukan oleh mereka yang menunaikan haji dan umrah: "Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya." (QS Al-Hajj:37)
.

10 Mei 2009

FADHILAT SOLAT TAHAJJUD


Malam itu gelap gelita tetapi ia amat indah. Di muka langit bertaburan bintang-bintang yang berkelipan, di sisi bulan yang terang benderang. Untuk apakah Allah SWT jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah SWT dan ada waktu malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah SWT. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.

Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra-mesra dengan Tuhannya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya. Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairan kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah SWT. Berkata Fudhail bin Al-Iyadh: “Apabila terbenam matahari maka saya gembira dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka saya berdukacita kerana datangnya manusia kepadaku!” Abu Sulaiman pula berkata: “Jikalau tidaklah kerana malam, nescaya saya tidaklah menyukai tinggal di dunia ini.

Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-malaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepda hamba-hambaNya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya. Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barangsiapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya saya wajibkan kedua rakaat itu atas mereka.” Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur.

Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah SWT memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggalkan keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wuduk dan berdiri serta sujud kepada Allah SWT. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah SWT menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hambaNya yang menghidupkan malam.

Meskipun itu adalah janji dari Allah SWT kepada kita, namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia dari melakukannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allah SWT, nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwuduk, nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat, nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian, nescaya menjadi keji jiwa dan malas.

Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka dalam golongan manusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah SWT. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan orang-orang soleh. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Haruslah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla, menutup segala dosa, menghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa.

Dipetik dari Panduan Solat Tahajjud, oleh Muhammad Uzair Al Aziz.
.

08 Mei 2009

AIR MASIN DAN AIR TAWAR


"Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi." (QS Al-Furqan:53)

Jika anda termasuk orang yang gemar menonton rancangan TV 'Discovery' pasti mengenali Mr. Jacques Yves Costeau, seorang ahli oceanografer dan ahli selam terkemuka dari Perancis. Orang tua yang berambut putih ini sepanjang hidupnya menyelam kepelbagai dasar samudera di seantero dunia dan membuat filem dokumentari tentang keindahan alam dasar laut untuk ditonton di seluruh dunia.

Pada suatu hari ketika sedang melakukan penyelaman di bawah laut, tiba-tiba ia menemui beberapa kumpulan mata air tawar-segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur / tidak melebur dengan air laut yang masin disekelilingnya, seolah-olah ada dinding yang membatasi keduanya. Fenomena ganjil itu memeningkan Costeau dan mendorongnya untuk mengenalpasti penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan. Ia mulai berfikir, jangan-jangan itu hanya halusinasi atau khalayan sewaktu menyelam. Waktu pun terus berlalu setelah kejadian tersebut, namun ia masih belum mendapatkan jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil tersebut.

Sampai pada suatu hari ia bertemu dengan seorang profesor Muslim, kemudian ia pun menceritakan fenomena ganjil itu. Profesor itu teringat pada ayat Al-Quran tentang bertemunya dua lautan yang sering dikaitkan dengan Terusan Suez iaitu: "DibiarkanNya dua lautan itu bertemu satu sama lain, di antara keduanya ada batas yang tidak boleh dilampauinya." (QS Ar-Rahman ayat 19-20) Kemudian dibacakan surat Al Furqan ayat 53 di atas. Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat tentang bertemunya dua lautan tapi tak bercampur airnya diertikan sebagai lokasi muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut. Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya dari Surah Ar-Rahman ayat 22: "Keluar dari keduanya mutiara dan marjan." Sedangkan mutiara tidak terdapat di muara sungai.

Terpesonalah Costeau mendengar ayat-ayat Al-Quran itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam. Al-Quran ini mustahil disusun oleh Nabi Muhammad SAW yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman saat belum ada peralatan menyelam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di tengah lautan. Benar-benar suatu mukjizat, berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam akhirnya terbukti pada abad 20. Costeau pun meyakini bahawa Al-Quran memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah SWT, yang seluruh kandungannya mutlak benar. Melalui fenomena lautan, Costeau mendapat hidayah lalu beliau pun memeluk Islam. Allahu Akbar...! Maha Benar Allah yang Maha Agung.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air." Lalu seorang bertanya: "Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?" Rasulullah SAW bersabda: "Selalulah ingat mati dan membaca Al-Quran."

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara: "Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Tuhanmu, dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

Wallahua'lam.
.

06 Mei 2009

FADHILAT BASMALAH


BASMALAH adalah sebutan/nama singkat dari lafaz "BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM" yang bermaksud "Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang."

KELEBIHAN-KELEBIHAN BASMALAH

1. Yang pertama ditulis Qalam adalah BASMALAH. Maka apabila kamu menulis sesuatu, maka tulislah BASMALAH pada awalnya kerana BASMALAH tertulis pada setiap wahyu yang Allah SWT turunkan kepada Jibril AS.

2. "BISMILLAH untukMu dan umatMu, suruhlah mereka apabila memohon sesuatu dengan BISMILLAH. Aku tidak akan meninggalkannya sekejap mata pun sejak BISMILLAH diturunkan kepada Adam." (Hadis Qudsi)

3. Tatkala BASMALAH diturunkan ke dunia, maka semua awan berlari ke arah barat, angin terdiam, air laut bergelora, mendengarkan akannya oleh seluruh binatang dan terlempar semua syaitan.

4. Demi Allah dan keagunganNya, tidaklah BASMALAH itu dibacakan pada orang sakit melainkan menjadi ubat untuknya dan tidaklah BASMALAH dibacakan di atas sesuatu melainkan Allah SWT memberi keberkatan ke atasnya.

5. Barangsiapa yang ingin hidup bahagia dan mati syahid, maka bacalah BASMALAH setiap kali memulakan sesuatu perkara yang baik.

6. Jumlah huruf dalam BASMALAH ada 19 huruf dan malaikat penjaga neraka ada 19 (QS Al-Muddatsir:30). Ibnu Mas'ud r.a. berkata: "Sesiapa yang ingin Allah selamatkan dari 19 malaikat neraka maka bacalah BASMALAH 19 kali setiap hari."

7. Tiap huruf BASMALAH ada JUNNAH (penjaga/khadam) hingga tiap huruf berkata, "Siapa yang membaca BASMALAH, maka kamilah kekuatannya dan kamilah kehebatannya."

8. Barangsiapa yang memuliakan tulisan BASMALAH nescaya Allah SWT akan mengangkat namanya di syurga yang sangat tinggi dan diampunkan segala dosa kedua orang tuanya.

9. Barangsiapa yang membaca BASMALAH, maka akan bertasbihlah segala gunung kepadanya.

10. Barangsiapa yang membaca BASMALAH sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan, kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala.

11. Barangsiapa yang membaca BASMALAH sebanyak 50 kali di hadapan orang yang zalim, hinalah si zalim itu dan masuklah ketakutan dalam hati si zalim tersebut serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada si pembaca.

Wallahua'lam.
.

DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA?


Kita tanya diri sendiri DI MANA ALLAH DALAM HATI kita? Adakah kita rasa amat gembira bila dapat berdamping denganNya atau sebaliknya? Adakah kita telah berusaha agar Allah SWT sentiasa bersama kita? Kalau begitu, sejauh manakah kita rasa gembira menerusi solat yang dilaksanakan ketika mendampingi dan bermunajat padaNya? Apakah yang dapat kita rasai ketika sujud di dalam solat dan sejauh mana kita meneruskan zikir terhadapNya? Bukan hanya terbatas selepas solat, ingatlah ketika Allah berfirman dalam hadis qudsi: "Aku bersama hambaKu ketika dia mengingatiKu dan kedua-dua bibirnya bergerak kerana Aku."

Adakah kita dapat meluangkan sepertiga malam untuk menyepi diri bersama Allah? Tidakkah kita teringat akan janji-janji Allah SWT pada kita yang mampu bangun di tengah-tengah malam. Allah berfirman: "Adakah terdapat hambaKu yang bangun di tengah malam untuk bertaubat, di mana Aku menerima taubatnya, yang memohon keampunanKu, maka Aku ampunkan segala dosanya dan memohon sesuatu, maka Aku berikan padanya?"

Tidakkah kita mahu berusaha untuk menjadikan hati-hati ini penuh dengan pujian kepada Allah SWT, berkorban keranaNya untuk meninggikan syiar agamaNya walaupun pelbagai rintangan dan halangan. Berapa banyak ruang dan masa yang ada pada kita untuk memerhatikan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita, terus bersyukur padaNya tanpa sebarang perasaan prejudis.
.
Pernahkah terlintas dalam pemikiran kita bagaimana Allah SWT menganugerahkan nikmat hidayah, kesihatan, harta, ilmu pengetahuan, kepandaian, kemahiran, bakat, anak-anak, ibubapa yang terlalu menyayangi kita walau saat kita tersungkur, suami atau isteri yang mengasihi kita? Atau kita sekadar menerima nikmatNya tanpa melaksanakan amalan-amalan soleh sebagai tanda kesyukuran kepadaNya serta mematuhi segala perintahNya?

Sesungguhnya ketahuilah wahai saudara-saudari seagama! Dunia dan bumi yang kita pijak ini menjanjikan pelbagai kehancuran, ia boleh berlaku pada apa yang kita ada atau kita cari, termasuk harta benda, anak-anak, pangkat dan jawatan tapi apa yang paling penting.., DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA? Jika tergerak hati untuk melakukan sesuatu kejahatan, tanyalah diri kita sendiri: DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA?

Allahkah yang patut diingati atau maksiat yang patut dilayani? Bagaimana keadaan kita ketika hendak bertemu dengan Allah SWT pada hari pembalasan kelak? Atau mungkin pada saat ini kita sedang melakukan maksiat kepadaNya???

(Sumber: Internet)
.

05 Mei 2009

TANDA-TANDA KEKASIH YANG DIKASIHI


Berikut adalah antara tanda-tanda kasih sayang Allah SWT:

1) Suka untuk bertemu yang dikasihi secara terbuka dan terang-terangan di Darus Salam. Tidak tergambar oleh kita bagaimana hati mengasihi seseorang melainkan suka untuk melihat dan berjumpa dengan yang dikasihi. Apabila diketahui bahawa untuk bertemu itu tidak mungkin tercapai melainkan dengan meninggalkan dunia dan mati, maka sepatutnya ia suka untuk mati yang pastinya tidak boleh dielakkannya. Seorang pengasih tidak merasa penat untuk bermusafir dari tanahairnya menuju kediaman kekasihnya agar dapat menatapi wajah kekasihnya. Mati itu adalah kunci pertemuan dan pintu masuk kepada penyaksian. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah suka bertemu dengannya.

2) Mendahulukan apa yang dikasihi Allah SWT berbanding apa yang dia kasihi secara zahir mahupun batin. Ia beriltizam dengan kesusahan amal, menjauhkan diri dari menuruti kehendak nafsu, meninggalkan sifat malas, terus menerus mentaati Allah SWT dan bertaqarrub kepada Allah SWT dengan amalan-amalan sunat. Sentiasa menuntut kelebihan darjat di sisi Allah SWT sepertimana seorang kekasih menuntut kedekatan hati dengan kekasihnya. Kadangkala Allah menyifatkan mereka yang berkasih sayang ini dengan sifat ithar. Firman Allah: “Mereka mengasihi orang yang berhijrah kepada mereka, di dalam dada mereka tidak ada apa-apa keperluan dari apa yang mereka berikan. Mereka mengutamakan yang lain berbanding dirinya sekalipun mereka pun mempunyai keperluan sendiri.

3) Sentiasa tenggelam dalam zikrullah yakni lidahnya dan hatinya sentiasa mengingati Allah SWT. Orang yang menyukai sesuatu tentu sekali akan sentiasa mengingatinya. Oleh kerana itu antara tanda-tanda kasihkan Allah SWT ialah suka mengingatiNya (zikir), sukakan Al-Quran Kalamullah, sukakan Rasulullah SAW serta suka apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah SAW.

4) Kegembiraannya dengan berkhalwat dengan Allah, munajatnya kepada Allah, sentiasa membaca kitab Allah. Dia juga sentiasa melakukan tahajjud, menggunakan ketenangan dan keheningan malam untuk menghapus segala rintangan yang ada. Darjat cinta terendah adalah merasai kenikmatan berada bersama yang dikasihi dan mampu bermunajat kepadaNya. Maka sesiapa yang tidur dan berbual-bual itu lebih seronok lebih baik kepadanya berbanding munajat kepada Allah, maka bagaimanakah nasib kasih sayangnya?

5) Tidak bersedih di atas kehilangan apa-apa selain Allah SWT. Lebih sedih dan pedih hatinya apabila berlalu setiap saat tanpa zikrullah dan tanpa mentaatinya. Selalu menghitung diri di atas kealpaan dengan mohon simpati, hisab diri dan juga taubat.

6) Merasa nikmat dengan melakukan ketaatan dan tidak merasa keberatan atau kepenatan. Kata Al-Junaid Al-Baghdadi: “Tanda orang yang mengasihi adalah berterusan aktiviti. Dengan syahwat fizikalnya lemah namun dengan hati dia tidak akan lemah.

7) Merahmati dan mengasihi seluruh hamba Allah SWT. Tegas terhadap seluruh musuh Allah dan sesiapa sahaja yang mengundang kebencian Allah. Firman Allah: “Orang-orang yang tegas terhadap kuffar dan saling merahmati di antara mereka.” Tidak menjejaskan ke atas mereka sebarang celaan manusia dan tidak ada sesuatu yang boleh mengalih mereka kepada kemurkaan Allah. Kasihnya disertai takut di bawah kehebatan dan kebesaran Allah.
.
Ada yang mengatakan takut itu bertentangan dengan kasih. Sebenarnya tidak betul. Malah memahami kebesaran itu akan melahirkan perasaan hebat sebagaimana menyelami keindahan melahirkan rasa cinta. Khusus bagi orang yang bercinta itu ada beberapa ketakutan pada maqam cinta. Lebih dahsyat dari itu takut terhijab cinta. Lebih dahsyat dari itu lagi adalah takut menjauhkan diri. Makna-makna ini digambarkan oleh Allah SWT di dalam surah Hud yang telah disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai telah memutihkan kepala Baginda: “Hud telah memutihkan kepalaku.” Ungkapan ini disebut oleh Rasulullah SAW ketika mendengar potongan ayat: “Alangkah jauhnya kaum Thamud. Alangkah jauhnya ahli Madyan sebagaimana jauhnya kaum Thamud

Saudaraku, sama-samalah kita gapai cinta Allah yang abadi. Beriltizamlah dengan amalan-amalan fardhu dan tambahkanlah dengan bekalan-bekalan sunat. Ikutilah jejak langkah Nabi SAW. Jadilah orang yang bermanfaat untuk orang lain. Sertai mereka dalam kehidupan mereka. Ziarahi mereka. Belanjakan untuk mereka. Berikan khidmat untuk mereka. Isikan hajat dan keperluan mereka. Masukkanlah kegembiraan dalam hati mereka. Lakukanlah semua ini, nescaya Allah akan memanggil Jibril untuk memberitahu bahawa Dia mengasihi dirimu...
.

04 Mei 2009

KETAATAN KEPADA KEDUA IBU BAPA


Nabi Sulaiman AS dikurniakan oleh Allah SWT dengan pelbagai keistimewaan bagi meyakinkan umatnya pada masa itu kepada kekuasaan dan kebesaranNya. Baginda bukan saja mampu berinteraksi sesama manusia, malah dengan haiwan dan jin. Inilah keistimewaan yang diberikan Allah SWT kepada Nabi Sulaiman AS dalam melaksanakan misinya menyebarkan ajaran Islam kepada umatnya.

Dikisahkan, Nabi Sulaiman AS berkelana antara langit dengan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, Baginda memerintahkan angin agar tenang, lalu tenang pula samudera itu. Kemudian Nabi Sulaiman AS memerintahkan jin menyelam dalam lautan itu hingga ke dasarnya. Di situ, jin melihat sebuah kubah daripada permata putih tanpa lubang, kubah itu diangkat ke atas lautan itu dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman AS.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu, Nabi Sulaiman AS menjadi terlalu hairan. “Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Nabi Sulaiman AS kemudian meminta pertolongan Allah SWT untuk membuka tutup kubah itu. Baginda terkejut, apabila melihat seorang pemuda dalamnya. “Siapakah kamu? Adakah kamu kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman AS kehairanan. "Saya adalah manusia," jawab pemuda itu perlahan-lahan. “Bagaimana engkau berada dalam keadaan begini?” tanya Nabi Sulaiman AS lagi. Pemuda berkenaan kemudian menceritakan riwayatnya hingga boleh tinggal dalam kubah dan berada dasar lautan.

Diceritakan, ibu pemuda itu sudah tidak berdaya untuk bergerak. Pemuda itulah yang memapah dan mengendong ibunya ke mana saja dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya dan ibunya pula tidak putus-putus mendoakannya. Antaranya, ibu itu selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.

Nabi Sulaiman AS kemudian bertanya kepada pemuda itu: “Bagaimana kamu berbakti kepada mereka?” Pemuda itu mula bercerita: “Saya menjaga mereka hingga mereka tua. Kedua-dua ibu bapa saya sangat taat kepada Tuhan. Sejak kecil hingga dewasa, saya dijaga dan dipelihara dengan sempurna. Mereka selalu memohon kepada Tuhan supaya saya menjadi orang yang taat kepada perintah Allah. Ayah saya meninggal dunia pada usia tuanya dalam penjagaan saya. Ibu saya pula lemah dan sering sakit-sakit. Matanya buta dan kakinya lumpuh. Sayalah satu-satunya yang menjaga segala keperluannya seperti membersihkan badannya dan memandikannya. Segala keperluan makan dan minumnya saya uruskan. Saya menyuap makanan dan minuman ke mulutnya seperti dia suapkan saya ketika kecil. Saya selalu bermohon kepada Tuhan. Ibu saya juga bermohon agar saya dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup ini. Ibu saya juga bermohon kepada Tuhan agar selepas kematiannya nanti saya diberi tempat khusus yang letaknya bukan di bumi dan bukan juga di langit,” katanya.

Pemuda itu meneruskan ceritanya: “Selepas ibuku meninggal dunia, saya berjalan di pantai. Dalam perjalanan, saya melihat sebuah tempat yang diperbuat daripada permata. Saya mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu. Saya masuk ke dalamnya.” Nabi Sulaiman AS kagum dengan cerita pemuda itu. Baginda ingin mengetahui lebih lanjut latar belakang pemuda ini. “Kamu hidup pada zaman mana?” tanya Nabi Sulaiman AS. Jawabnya: “Saya hidup pada zaman Nabi Ibrahim.

Nabi Sulaiman AS mengira-ngira berapa usia pemuda itu. Alangkah terkejutnya kerana umur pemuda itu hampir mencecah 1,400 tahun. Namun wajahnya berseri-seri, tiada uban pada rambutnya, kulitnya masih tegang. “Bagaimanakah saudara dapat merasai nikmat dan mendapat rezeki daripada Tuhan dalam kubah ini?” tanya Nabi Sulaiman AS. Pemuda itu menjawab: “Selepas saya berada di sini, barulah saya tahu Tuhan telah menjadikan syurga untuk saya dalam kubah ini.” Nabi Sulaiman AS bertanya lagi: “Tunjukkan pada saya syurga itu.

Pemuda itu diam seketika, kemudian dia menadah tangannya memohon kepada Tuhan. Tiba-tiba suasana kubah yang gelap itu menjadi terang-benderang indah bercahaya. Terpampang pemandangan yang begitu indah di depan Nabi Sulaiman AS dan tenteranya. Sungai mengalir tenang, kebun bunga yang subur, pohon merendang, kolam madu dan susu terpancar indah.

Wahai pemuda, ini syurga! Saudara mendapat anugerah daripada Tuhan,” kata Nabi Sulaiman AS. “Ini kurnia Tuhan kepada saya. Saya mendapat rezeki daripada pelbagai sumber dan buah-buahan beraneka rasa dan jenis. Semua makanan yang saya ingini terhidang,” jawab si pemuda. Nabi Sulaiman AS yang dikenali boleh berjalan antara bumi dengan langit kagum dengan pemuda itu. “Bagaimana engkau boleh hidup dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman AS ingin mengetahui lebih lanjut. Pemuda itu menjelaskan: “Dalam kubah itu sendiri. saya tidak tahu di mana saya berada. Di langit atau di udara. Namun, Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika tinggal dalam kubah itu."

Nabi Sulaiman bertanya lagi: “Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?" Pemuda itu menjawab: "Jika saya lapar, Allah menciptakan pohon dalam kubah, dan buahnya yang saya makan. Jika saya haus, maka keluarlah air yang teramat bersih. Lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu." Nabi Sulaiman AS ingin mengetahui lagi: “Bagaimana engkau mengetahui perbezaan siang dan malam?" Jawab pemuda itu: “Apabila terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih. Dari situ saya mengetahui kalau hari itu sudah siang. Apabila matahari terbenam, kubah akan menjadi gelap dan saya mengetahui hari sudah malam." Nabi Sulaiman AS mendengar penerangan pemuda itu dengan penuh kagum. Baginda seolah-olah tidak mahu berhenti mendengarnya. “Cukuplah sampai di sini. Sekarang saya harus bersembahyang bagi mengadap Tuhan,” kata pemuda itu mengakhiri perbualannya. Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali. Pemuda itu terus tinggal dalamnya.

Itulah balasan Allah SWT terhadap seorang pemuda yang berbakti kepada kedua-dua orang tuanya. Allah SWT memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada mereka. Ini jelas diterangkan melalui firman Allah SWT bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa." (QS Al-Isra’:23)

Berbakti kepada ibu bapa adalah berbuat baik, mentaati, melaksanakan hak, jauh daripada perilaku menyakiti hati dan kehidupan mereka. Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan itu, adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintahNya juga, selagi tidak melanggari perintahNya. Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat.

Daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturrahim."

Wallahua'lam.
.

03 Mei 2009

KEBESARAN SOLAT 2 RAKAAT UMAT NABI MUHAMMAD S.A.W.


Allah SWT telah menciptakan Jibril AS dengan rupa yang cantik, dan Allah SWT menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang, sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap).

Setelah itu Jibril AS memandang dirinya sendiri dan berkata: "Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada saya?" Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tidak" Kemudian Jibril AS berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah SWT dan setiap rakaat itu adalah selama 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail AS solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibril, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaKu seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang Nabi yang mulia yang paling Aku cintai, namanya Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai dari solatmu itu kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."

Kemudian Jibril AS berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?" Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Ya Jibril, akan Aku berikan Syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..."

Kemudian Jibril AS meminta izin kepada Allah SWT untuk melihat Syurga Ma'waa. Setelah Jibril AS mendapat izin dari Allah SWT, maka pergilah Jibril AS dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap kali dia mengembangkan dua sayapnya, dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat Jibrail AS selama 3000 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon lalu sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud: "Ya Tuhanku apakah sudah saya menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"

Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibril, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun Aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan....."

Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha lakukan. Sesungguhnya Allah SWT telah menyembunyikan enam perkara iaitu:

> Allah SWT telah menyembunyikan redhaNya di dalam taat.

> Allah SWT telah menyembunyikan murkaNya di dalam maksiat.

> Allah SWT telah menyembunyikan namaNya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.

> Allah SWT telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.

> Allah SWT telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).

> Allah SWT telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

Wallahua'lam
.