Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


04 Mei 2009

KETAATAN KEPADA KEDUA IBU BAPA


Nabi Sulaiman AS dikurniakan oleh Allah SWT dengan pelbagai keistimewaan bagi meyakinkan umatnya pada masa itu kepada kekuasaan dan kebesaranNya. Baginda bukan saja mampu berinteraksi sesama manusia, malah dengan haiwan dan jin. Inilah keistimewaan yang diberikan Allah SWT kepada Nabi Sulaiman AS dalam melaksanakan misinya menyebarkan ajaran Islam kepada umatnya.

Dikisahkan, Nabi Sulaiman AS berkelana antara langit dengan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, Baginda memerintahkan angin agar tenang, lalu tenang pula samudera itu. Kemudian Nabi Sulaiman AS memerintahkan jin menyelam dalam lautan itu hingga ke dasarnya. Di situ, jin melihat sebuah kubah daripada permata putih tanpa lubang, kubah itu diangkat ke atas lautan itu dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman AS.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu, Nabi Sulaiman AS menjadi terlalu hairan. “Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Nabi Sulaiman AS kemudian meminta pertolongan Allah SWT untuk membuka tutup kubah itu. Baginda terkejut, apabila melihat seorang pemuda dalamnya. “Siapakah kamu? Adakah kamu kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman AS kehairanan. "Saya adalah manusia," jawab pemuda itu perlahan-lahan. “Bagaimana engkau berada dalam keadaan begini?” tanya Nabi Sulaiman AS lagi. Pemuda berkenaan kemudian menceritakan riwayatnya hingga boleh tinggal dalam kubah dan berada dasar lautan.

Diceritakan, ibu pemuda itu sudah tidak berdaya untuk bergerak. Pemuda itulah yang memapah dan mengendong ibunya ke mana saja dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya dan ibunya pula tidak putus-putus mendoakannya. Antaranya, ibu itu selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.

Nabi Sulaiman AS kemudian bertanya kepada pemuda itu: “Bagaimana kamu berbakti kepada mereka?” Pemuda itu mula bercerita: “Saya menjaga mereka hingga mereka tua. Kedua-dua ibu bapa saya sangat taat kepada Tuhan. Sejak kecil hingga dewasa, saya dijaga dan dipelihara dengan sempurna. Mereka selalu memohon kepada Tuhan supaya saya menjadi orang yang taat kepada perintah Allah. Ayah saya meninggal dunia pada usia tuanya dalam penjagaan saya. Ibu saya pula lemah dan sering sakit-sakit. Matanya buta dan kakinya lumpuh. Sayalah satu-satunya yang menjaga segala keperluannya seperti membersihkan badannya dan memandikannya. Segala keperluan makan dan minumnya saya uruskan. Saya menyuap makanan dan minuman ke mulutnya seperti dia suapkan saya ketika kecil. Saya selalu bermohon kepada Tuhan. Ibu saya juga bermohon agar saya dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup ini. Ibu saya juga bermohon kepada Tuhan agar selepas kematiannya nanti saya diberi tempat khusus yang letaknya bukan di bumi dan bukan juga di langit,” katanya.

Pemuda itu meneruskan ceritanya: “Selepas ibuku meninggal dunia, saya berjalan di pantai. Dalam perjalanan, saya melihat sebuah tempat yang diperbuat daripada permata. Saya mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu. Saya masuk ke dalamnya.” Nabi Sulaiman AS kagum dengan cerita pemuda itu. Baginda ingin mengetahui lebih lanjut latar belakang pemuda ini. “Kamu hidup pada zaman mana?” tanya Nabi Sulaiman AS. Jawabnya: “Saya hidup pada zaman Nabi Ibrahim.

Nabi Sulaiman AS mengira-ngira berapa usia pemuda itu. Alangkah terkejutnya kerana umur pemuda itu hampir mencecah 1,400 tahun. Namun wajahnya berseri-seri, tiada uban pada rambutnya, kulitnya masih tegang. “Bagaimanakah saudara dapat merasai nikmat dan mendapat rezeki daripada Tuhan dalam kubah ini?” tanya Nabi Sulaiman AS. Pemuda itu menjawab: “Selepas saya berada di sini, barulah saya tahu Tuhan telah menjadikan syurga untuk saya dalam kubah ini.” Nabi Sulaiman AS bertanya lagi: “Tunjukkan pada saya syurga itu.

Pemuda itu diam seketika, kemudian dia menadah tangannya memohon kepada Tuhan. Tiba-tiba suasana kubah yang gelap itu menjadi terang-benderang indah bercahaya. Terpampang pemandangan yang begitu indah di depan Nabi Sulaiman AS dan tenteranya. Sungai mengalir tenang, kebun bunga yang subur, pohon merendang, kolam madu dan susu terpancar indah.

Wahai pemuda, ini syurga! Saudara mendapat anugerah daripada Tuhan,” kata Nabi Sulaiman AS. “Ini kurnia Tuhan kepada saya. Saya mendapat rezeki daripada pelbagai sumber dan buah-buahan beraneka rasa dan jenis. Semua makanan yang saya ingini terhidang,” jawab si pemuda. Nabi Sulaiman AS yang dikenali boleh berjalan antara bumi dengan langit kagum dengan pemuda itu. “Bagaimana engkau boleh hidup dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman AS ingin mengetahui lebih lanjut. Pemuda itu menjelaskan: “Dalam kubah itu sendiri. saya tidak tahu di mana saya berada. Di langit atau di udara. Namun, Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika tinggal dalam kubah itu."

Nabi Sulaiman bertanya lagi: “Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?" Pemuda itu menjawab: "Jika saya lapar, Allah menciptakan pohon dalam kubah, dan buahnya yang saya makan. Jika saya haus, maka keluarlah air yang teramat bersih. Lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu." Nabi Sulaiman AS ingin mengetahui lagi: “Bagaimana engkau mengetahui perbezaan siang dan malam?" Jawab pemuda itu: “Apabila terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih. Dari situ saya mengetahui kalau hari itu sudah siang. Apabila matahari terbenam, kubah akan menjadi gelap dan saya mengetahui hari sudah malam." Nabi Sulaiman AS mendengar penerangan pemuda itu dengan penuh kagum. Baginda seolah-olah tidak mahu berhenti mendengarnya. “Cukuplah sampai di sini. Sekarang saya harus bersembahyang bagi mengadap Tuhan,” kata pemuda itu mengakhiri perbualannya. Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali. Pemuda itu terus tinggal dalamnya.

Itulah balasan Allah SWT terhadap seorang pemuda yang berbakti kepada kedua-dua orang tuanya. Allah SWT memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada mereka. Ini jelas diterangkan melalui firman Allah SWT bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa." (QS Al-Isra’:23)

Berbakti kepada ibu bapa adalah berbuat baik, mentaati, melaksanakan hak, jauh daripada perilaku menyakiti hati dan kehidupan mereka. Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan itu, adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintahNya juga, selagi tidak melanggari perintahNya. Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat.

Daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturrahim."

Wallahua'lam.
.

Tiada ulasan: