Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


23 Mei 2009

HAK-HAK ALLAH S.W.T. DALAM IBADAT KEPADANYA


Barangsiapa menyembah Allah SWT kerana suatu yang diharapkan daripadaNya atau kerana menolakkan ia dengan taatnya akan datang siksa daripadaNya, maka tiadalah ia berdiri pada haq segala sifatNya kerana bahawasanya Hak Tuhan atas segala hambaNya itu bahawa menyembah mereka itu akan Dia kerana segala SifatNya yang Jamilah.

Mengikut Ahli Tahqiq, yang dimaksudkan 'Menyembah Allah' bukanlah semata-mata dengan maksud mendirikan solat, berpuasa, berzikir dan melaksanakan hak-hak yang dituntut oleh syarak, dan bukanlah pula hanya bermaksud kepada pengabdian diri yang berkaitan dengan seluruh hal-ehwal diri sama ada yang berkaitan dengan makhluk atau pun yang bersangkutan dengan ketuhanan. Bahkan jika benar-benar ditahqiq, maksud penyembahan itu ialah sesuatu yang melampaui setiap tilikan dan pandangan hati kita. Sesuatu, sebagaimana yang terisyarat di sebalik firman Allah: "Ke mana sahaja kamu memandang, di situ ada Wajah Allah." (QS Al-Baqarah:115)

Dengan itu adalah tidak wajar sekali bagi kita, dalam mendirikan segala taat dan ibadat yang yang ala kadar itu, mengendong bersama sesuatu hajat kebaikan, kononnya sebagai penghargaan kepada apa yang telah kita kerjakan. Walaupun bukan kejahatan yang ditujui, bahkan kebaikan diri yang diharapkan, namun adalah tidak patut sekali kita pertaruhkan harapan yang baik itu sebagai galang-ganti di atas amal taat yang dikerjakan itu. Dan adalah tidak wajar juga, dalam mendirikan segala taat dan ibadat yang dipelihara itu, kita menginginkan keselamatan diri di dunia, kesejahteraan hati, keberkatan hidup, keistimewaan-keistimewaan tertentu yang kononnya boleh menyelamatkan diri kita daripada bala musibah dan azab siksaNya di Hari Kiamat.

Jikalau ditagihkan juga kebaikan dan perlindungan tersebut, kerana merasa seolah-olah kita telah mengerjakan satu ketaatan yang ikhlas kerana Allah SWT, maka ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekalian, tiadalah berdiri pada hak segala sifatNya yakni selama-lamanya kita belum mendirikan hak-hak Allah SWT. Kita belum lagi berada di atas jalan ibadat yang lurus, jalan yang tidak dimurkai, jalan yang diredhaiNya. Tetapi bahkan apa yang sepatutnya ditiliki oleh seorang hamba yang sempurna ubudiyahnya ialah kepada Keesaan Zat itu dengan kesempurnaan segala sifat-sifatNya yang Indah. Ini adalah kerana Hak Tuhan atas segala hambaNya itu bahawa Dia patut disembah kerana segala sifatNya yang Jamiilah yakni hak ketuhanan yang wajib dilaksanakan oleh hamba-hambaNya. Memerhati sesuatu dengan disandarkan itulah kenyataan Sifat-Sifat Tuhan Yang Qahar, Yang Qhoni, Yang Rahim dan lain-lain Sifat yang disedari olehnya.

>Mereka solat kerana sedar kepada kenyataan Sifat-SifatNya Yang Maha Tinggi dan Agung.

>Mereka berpuasa kerana sedarnya kepada kenyataan Sifat-Sifat Yang Menahani, Yang Menyempitkan dan Yang Berkehendak

>Mereka berzakat kerana sedar tentang Sifat-SifatNya, Yang Maha Kaya, Yang Maha Pemurah, Yang Maha Adil dan Yang Maha Pemurah

>Mereka mengerjakan haji kerana sedar tentang Panggilan Dan Seruan TuhanNya menghadapNya

Inilah hak Tuhan atas segala hambaNya iaitu menghendaki bahawa menyembah mereka itu akan Dia adalah kerana sedar akan nyata wujudnya segala Sifat Allah yang Jamilah di setiap yang terzahir pada amal-amal taatnya. Oleh itu palingkan kejahilan dan kebebalan kita dalam beramal itu kepada menghadap "Ke mana sahaja kamu memandang, di situ ada Wajah Allah."

Kata-kata ini baik sekali sebagai perumus keterangan di atas. Rahsia kemurahan Tuhan itu terzahir pada wujud yang tidak ada daya upaya kecuali Allah. Jika kita hendakkan syurga sebagai ganjaran dari amal ibadat kita, di manakah kemurahan Tuhan di situ? Jika amal yang kita hendakkan ganjaran itu pun bukan kepunyaan kita, bagaimanakah mungkin kita memandang kepada amal kita itu? Selanjutnya, barangsiapa menyembah Allah SWT kerana sesuatu, terhijablah ia kepadaNya.

Dengan demikian barangsiapa menyembah Allah kerana inginkan sesuatu selain dariNya, maka mereka adalah hamba kepada sesuatu yang diinginkan itu dan tertutuplah pandangan mata hati mereka daripada memandang Keesaan Allah.

>Inginkan barakah, jadilah hamba bagi barakah

>Ingin nama, kedudukan dan kemasyhuran di sisi manusia, maka jadilah hamba bagi manusia

>Inginkan terbuka alam ghaib, jadilah hamba bagi alam

>Inginkan balasan pahala, jadilah hamba bagi pahala

>Inginkan syurga, jadilah hamba bagi syurga

Namun semuanya itu adalah makhluk Allah. Memandang kepada makhluk dengan melupakan Yang Haq menjadikan mereka terhijab daripada maksud ibadat yang sebenarnya yakni memandang kepada segala sifat-sifatNya yang Jamil. Seterusnya, jikalau dikerjakan kerana nafsu, maka tiadalah berdiri pada haq sifat TuhanNya, dan adalah yang demikian kerana jahil dan qaflah dan tiada mengasihi TuhanNya dan tiada makrifatnya. Jika mereka masih tagihkan itu dan ini, mahukan anu dan itu kerana merasa punya sedikit kebaikan yang dilakukan, maka yang demikian itu semata-mata kerana ingin memenuhi bahagian nafsunya yang tersembunyi.

Amat perlu sekali kita menyedari bahawa segala keinginan selain daripada memandang Allah SWT itu adalah daripada runtunan keperluan hawa nafsunya. Jika sudah berdiri kepada bahagian nafsu mereka, maka sama sekali tidak akan berdiri pada hak sifat TuhanNya. Bukankah memilih keinginan nafsu dengan meninggalkan hak ketuhananNya menunjukkan betapa mereka ini adalah termasuk ke dalam golongan mereka yang jahil dan qaflah dan tiada mengasihi TuhanNya dan tiada makrifatnya. Tidak kenal kepada TuhanNya, menyekutukanNya dan menyembah diri mereka sendiri.

Sungguhpun begitu, Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dia mengatur dan menyusun aturan kehidupan hamba-hambaNya mengikut maqam dan martabat yang dikehendakiNya. Dengan itu perbezaan akan sentiasa ada. Sama ada dari segi maqam atau segi martabat atau tahap pemahaman dan kesedaran mereka terhadap Allah. Berlainan maqam, maka berlainanlah hal ehwal dan pengertian mereka kepada hakikat.

Wallahua'lam
.

Tiada ulasan: