Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


11 Mei 2009

IKHLAS YANG BENAR


Para Rabbani yang terdiri daripada mereka yang aktif dalam pendidikan rohani dan yang berjalan kepada Allah SWT telah bersetuju bahawa kepentingan ikhlas bagi setiap amal untuk bekalan akhirat dan bagi setiap orang yang meniti jalan menuju Allah.

Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali berkata di dalam Muqaddimah kitab An-Niyyah Wal-Ikhlas Qash-Shidq, yang memakan seperempat bahagian dari kitab Al-Ihya': "Dengan hujah iman yang nyata dan cahaya Al-Quran, mereka yang mempunyai hati mengetahui bahawa kebahagiaan tidak akan tercapai kecuali dengan ilmu dan ibadah. Semua orang pasti akan binasa kecuali mereka yang berilmu. Mereka yang berilmu pasti akan binasa kecuali yang aktif beramal. Semua orang yang aktif beramal akan binasa kecuali mereka yang ikhlas."

Jadi sebutan mereka yang ikhlas amat rentan. Amal tanpa niat adalah ketololan, niat tanpa ikhlas adalah riya', yang bererti sama dengan kemunafikan dan tidak berbeza dengan kederhakaan. Ikhlas tanpa kejujuran dan perlaksanaan adalah sia-sia. Allah SWT telah berfirman tentang setiap amal yang dimaksudkan untuk selain Allah, sebagai suatu yang tidak bermatlamat. Di dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: "Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan." (QS Al-Furqan:23)

Perkara yang serupa dengan apa yang dikatakan oleh Imam al-Ghazali itu sebelumnya juga telah dikatakan oleh seorang Rabbani yang arif bernama Sahl bin Abdullah at-Tustary: "Semua manusia seperti orang yang sedang mabuk kecuali mereka yang berilmu. Semua orang yang berilmu adalah orang yang bingung kecuali mereka yang mengamalkan ilmunya." Dalam lafaz lain beliau berkata: "Dunia ini adalah kebodohan dan kematian kecuali ilmu. Semua ilmu merupakan hujah ke atas pemiliknya kecuali yang diamalkannya. Semua amal akan sia-sia kecuali yang dilaksanakan dengan ikhlas. Ikhlas itu dalam bahaya yang besar sehingga tetap berakhir dengannya." Sebahagian yang lain juga berkata: "Ilmu itu laksana benih, amal laksana tanaman dan airnya adalah ikhlas." Ibnu Atha'illah berkata dalam Al-Hikam: "Sesungguhnya Allah tidak menyukai amal yang mendua (berbelah bahagi), dan tidak pula hati yang mendua. Amal yang mendua tidak diterima dan hati yang mendua juga tidak akan diterima."

Amal yang tidak disertai ikhlas adalah ibarat gambar yang mati, dan raga tanpa jiwa. Allah hanya menginginkan hakikat amal, bukan rupa dan bentuknya. Maka dari itu Dia menolak setiap amal yang pelakunya tertipu dengan amalnya. Dalam hadis sahih riwayat Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad dan rupa kamu, tetapi Dia melihat kepada hati kamu." Baginda memberi isyarat ke arah hati dengan jari-jari tangannya lalu bersabda: "Taqwa itu letaknya di sini." Dan Baginda memberi isyarat ke arah dadanya sebanyak tiga kali." (HR Muslim)

Allah SWT berfirman tentang mereka yang menyembelih haiwan qurban, iaitu yang dilakukan oleh mereka yang menunaikan haji dan umrah: "Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya." (QS Al-Hajj:37)
.

Tiada ulasan: