Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


06 Mei 2009

DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA?


Kita tanya diri sendiri DI MANA ALLAH DALAM HATI kita? Adakah kita rasa amat gembira bila dapat berdamping denganNya atau sebaliknya? Adakah kita telah berusaha agar Allah SWT sentiasa bersama kita? Kalau begitu, sejauh manakah kita rasa gembira menerusi solat yang dilaksanakan ketika mendampingi dan bermunajat padaNya? Apakah yang dapat kita rasai ketika sujud di dalam solat dan sejauh mana kita meneruskan zikir terhadapNya? Bukan hanya terbatas selepas solat, ingatlah ketika Allah berfirman dalam hadis qudsi: "Aku bersama hambaKu ketika dia mengingatiKu dan kedua-dua bibirnya bergerak kerana Aku."

Adakah kita dapat meluangkan sepertiga malam untuk menyepi diri bersama Allah? Tidakkah kita teringat akan janji-janji Allah SWT pada kita yang mampu bangun di tengah-tengah malam. Allah berfirman: "Adakah terdapat hambaKu yang bangun di tengah malam untuk bertaubat, di mana Aku menerima taubatnya, yang memohon keampunanKu, maka Aku ampunkan segala dosanya dan memohon sesuatu, maka Aku berikan padanya?"

Tidakkah kita mahu berusaha untuk menjadikan hati-hati ini penuh dengan pujian kepada Allah SWT, berkorban keranaNya untuk meninggikan syiar agamaNya walaupun pelbagai rintangan dan halangan. Berapa banyak ruang dan masa yang ada pada kita untuk memerhatikan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita, terus bersyukur padaNya tanpa sebarang perasaan prejudis.
.
Pernahkah terlintas dalam pemikiran kita bagaimana Allah SWT menganugerahkan nikmat hidayah, kesihatan, harta, ilmu pengetahuan, kepandaian, kemahiran, bakat, anak-anak, ibubapa yang terlalu menyayangi kita walau saat kita tersungkur, suami atau isteri yang mengasihi kita? Atau kita sekadar menerima nikmatNya tanpa melaksanakan amalan-amalan soleh sebagai tanda kesyukuran kepadaNya serta mematuhi segala perintahNya?

Sesungguhnya ketahuilah wahai saudara-saudari seagama! Dunia dan bumi yang kita pijak ini menjanjikan pelbagai kehancuran, ia boleh berlaku pada apa yang kita ada atau kita cari, termasuk harta benda, anak-anak, pangkat dan jawatan tapi apa yang paling penting.., DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA? Jika tergerak hati untuk melakukan sesuatu kejahatan, tanyalah diri kita sendiri: DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA?

Allahkah yang patut diingati atau maksiat yang patut dilayani? Bagaimana keadaan kita ketika hendak bertemu dengan Allah SWT pada hari pembalasan kelak? Atau mungkin pada saat ini kita sedang melakukan maksiat kepadaNya???

(Sumber: Internet)
.

Tiada ulasan: