ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah di neraka jahannam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.'' (QS An-Nisa': 120~121)
Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing, sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah, sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri kita. Apabila syaitan sudah merajai diri seseorang, individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.
Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah SWT kepada manusia, pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan laknatullah mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia tersebut. Berlumba-lumbalah nanti para syaitan untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati tersebut dan memujuk nurani manusia secara berterusan untuk melanggar segala perintah Allah. Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan tersebut. Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu (10 sifat mazmumah):
1. BANYAK MAKAN
Makan dan minum yang berlebihan mengakibatkan seseorang itu malas, lemah badannya serta banyak tidur. Ini menyebabkan seseorang itu lalai daripada menjalankan ibadah serta zikrullah. Firman Allah SWT: "Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (QS Al-A'raf:31)
2. BANYAK BERCAKAP
Apabila seseorang itu banyak bercakap maka banyaklah salahnya. Banyak salahnya maka banyaklah dosanya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam." (HR Imam Muslim)
3. PEMARAH
Sifat pemarah yang dimaksudkan ialah kemarahan yang bukan pada tempatnya dan tanpa sebab yang munasabah. Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. katanya: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, apakah yang dapat menjauhkan diri saya daripada kemurkaan Allah Azza wa Jalla? Baginda menjawab: "Janganlah kamu marah." (HR Imam Ahmad dan Ibnu Hibban).
4. HASAD
Orang yang memiliki sifat hasad sentiasa menginginkan agar nikmat yang diperolehi oleh orang lain berpindah kepadanya dan selalu berdukacita apabila orang lain mendapat kesenangan atau kurnia. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: "Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering." (HR Bukhari dan Muslim).
5. BAKHIL
Orang yang memiliki sifat ini bakhil untuk membelanjakan hartanya ke jalan Allah SWT dan untuk agamaNya. Setiap harta benda dan kemewahan yang diperolehi adalah kurniaan Allah SWT semata-mata yang seharusnya dibelanjakan pada jalan yang hak. Kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT sepatutnya digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan, sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah. Firman Allah SWT: "Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurniaNya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya pada hari kiamat. Allah yang mempusakai langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (QS Ali-Imran: 180) Dalam hal ini, Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Seburuk-buruk sifat yang ada kepada seseorang adalah bakhil dan penakut." (HR Abu Daud)
6. HUBBUL-JAH (CINTAKAN KEMEGAHAN)
Orang yang memiliki sifat ini amat kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat. Ini boleh mengakibatkan pekerjaan seseorang itu tidak ikhlas dan mengakibatkan pergaduhan kerana perebutan mengejar pangkat dan kedudukan. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidaklah serigala yang buas itu jika dilepaskan di kandang kambing lebih berbahaya daripada seorang cintakan pangkat, harta dan kemegahan pada keadaan agama seorang Muslim.” (HR At-Tirmidzi dan An-Nasa’i)
7. HUBBUD-DUNYA (CINTAKAN DUNIA)
Orang yang memiliki sifat ini gemarkan kesenangan dan kemewahan hidup, kesenangan duniawi yang menjadikannya lupa daripada mengerjakan kewajipan kepada Allah SWT. Orang seperti ini tidak menyedari bahawa maut sentiasa menghampirinya setiap masa. Daripada Tsauban r.a., beliau berkata: "Rasulullah SAW bersabda: "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya: "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab: "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'". Seorang sahabat bertanya: "Apakah 'wahan' itu, hai Rasulullah?" Nabi SAW menjawab: "Cinta pada dunia dan takut pada mati." (HR Abu Daud)
8. TAKABBUR
Orang yang takabbur sentiasa memandang dirinya lebih mahir dan memandang bahawa orang lain lebih rendah serta hina darinya. Dia merasakan pendapatnya sahaja yang betul. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. Allah SWT berfirman: "Sebenarnya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka terangkan. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takabbur.'' (QS An-Nahl:23)
9. BANGGA DIRI (UJUB)
Orang yang memiliki sifat ini mengakui atau timbul dalam hatinya bahawa dialah orang yang paling sempurna seperti ibadahnya, pelajarannya, akhlaknya, kecantikannya dan lain-lain. Firman Allah SWT: “Jangan kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang terlalu membanggakan diri.” (QS Al-Qashash:76) Sebenarnya perasaan bangga dan kagum terhadap diri sendiri adalah sifat Iblis laknatullah yang memandang rendah terhadap Nabi Adam AS kerana dijadikan daripada tanah sedangkan dirinya daripada api. Firman Allah bermaksud: "Hai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Kuciptakan dengan tanganKu. Apakah kamu menyombongkan diri ataukah kamu (merasa) termasuk orang-orang (yang) lebih tinggi?" Iblis berkata: "Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah.” (QS Shad: 75~76).
10. RIAK
Orang yang memiliki sifat riak suka memperlihatkan atau menunjukkan amalannya kepada orang lain yakni tidak ikhlas kerana Allah SWT semata-mata. Natijahnya, segala amalannya hanya akan menjadi sia-sia saja. Riak ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam berbagai keadaan, termasuklah ketika menunaikan ibadah yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah 'asy syirkul ashghar' (syirik kecil)." Sahabat bertanya: “Apakah dimaksudkan syirik kecil itu?" Baginda menjawab: "Riak.” (HR Imam Ahmad)
Semoga kita semua dihindari daripada sifat-sifat di atas. Wallahua'lam.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan