Alkisah disebutkan bahawa di kota Array terdapat seorang Qadhi yang kaya-raya. Suatu hari kebetulan hari Asyura, datanglah seorang fakir miskin meminta sedekah. Berkatalah si miskin tersebut: "Wahai tuan Qadhi, adalah saya seorang miskin yang mempunyai tanggungan keluarga. Demi kehormatan dan kemuliaan hari ini, saya meminta pertolongan daripada tuan, maka berilah saya sedekah sekadarnya berupa sepuluh keping roti, lima potong daging dan duit dua dirham." Qadhi menjawab: "Datanglah selepas waktu zohor!"
Selepas solat zohor, orang miskin itu pun datang meminta sedekah. Sayangnya si Qadhi itu tidak menepati janjinya dan menyuruh si miskin datang lagi selepas sembahyang Asar. Apabila dia datang selepas waktu yang dijanjikan untuk kali keduanya itu, ternyata si Qadhi tidak memberikan apa-apa. Maka beredarlah simiskin dari rumah si Qadhi dengan penuh kecewa.
Sewaktu si miskin berjalan mencari-cari, ia melintas di depan seorang Nasrani sedang duduk-duduk di hadapan rumahnya. Kepada orang Nasrani itu si miskin minta sedekah: "Tuan, demi keagungan dan kebesaran hari ini berilah saya sedekah untuk menyara keluarga saya." Si Nasrani lalu bertanya: "Hari apakah hari ini?" "Hari ini hari Asyura.", jawab si miskin, sambil menerangkan keutamaan dan kisah-kisah hari Asyura.
Rupanya orang Nasrani itu sangat tertarik mendengar cerita si miskin itu dan dia berkenan untuk memberi sedekah. Berkata si Nasrani: "Katakan apa hajatmu padaku!" Berkata si miskin: "Saya memerlukan sepuluh keping roti, lima ketul daging dan wang dua dirham sahaja." Dengan segera ia memberi si miskin tersebut kesemua keperluan yang dimintanya. Si miskin itu pun pulang dengan senang hati kepada keluarganya.
Adapun Qadhi yang kedekut telah bermimpi di dalam tidurnya. "Angkat kepalamu!" kata suara dalam mimpinya. Sebaik sahaja ia mengangkat kepala, tiba-tiba tersergam di hadapan matanya dua buah bangunan yang cantik. Sebuah bangunan diperbuat dari batu-bata bersalut emas dan sebuah lagi diperbuat daripada yaqut yang berkilau-kilauan warnanya. Si Qadhi bertanya: "Ya Tuhan, untuk siapa bangunan yang sangat cantik ini?" Terdengar jawapan: "Semua bangunan ini adalah untuk kamu andaikan sahaja kamu mahu memenuhi hajat si peminta sedekah itu. Kini bangunan itu dimiliki oleh seorang Nasrani."
Apabila Qadhi bangun dari tidurnya, iapun pergi kepada si Nasrani yang dimaksudkan dalam mimpinya. Qadhi bertanya kepada si Nasrani: "Amal apakah gerangan yang kau buat semalam hingga kau dapat pahala dua buah bangunan yang sangat cantik?" Orang Nasrani itu pun menceritakan tentang amal yang dilakukannya bahawa ia telah bersedekah kepada fakir miskin yang memerlukannya pada hari Asyura itu.
Kata Qadhi: "Juallah amal itu kepadaku dengan harga seratus ribu dirham." Kata si Nasrani: "Ketahuilah wahai Qadhi, sesungguhnya amal baik yang diterima oleh Allah tidak dapat diperjual-belikan sekalipun dengan harga bumi serta seisinya." Orang Nasrani itu lalu membuang tanda salibnya dan mengucapkan dua kalimah syahadat serta mengakui kebenaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Wallahua'lam.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan