Al-Bazzar meriwayatkan dalam kitab Masnadnya dari Muhammad bin Aqil katanya: "Pada suatu hari Ali bin Abi Talib (kwj) pernah berkhutbah di hadapan kaum Muslimin dan beliau berkata: "Hai kaum Muslimin, siapakah orang yang paling berani ?" Jawab mereka: "Orang yang paling berani adalah engkau sendiri, hai Amirul Mukminin."
Kata Saidina Ali: "Orang yang paling berani bukan aku tapi adalah Abu Bakar. Ketika kami membuatkan Nabi Muhammad SAW gubuk di medan Badar, kami tanyakan siapakah yang berani menemankan Nabi Muhammad SAW dalam gubuk itu dan menjaganya dari serangan kaum Musyrik? Di saat itu tiada seorang pun yang bersedia melainkan Abu Bakar sendiri. Dan beliau menghunus pedangnya di hadapan Nabi Muhammad SAW untuk membunuh siapa sahaja yang mendekati gubuk Nabi Muhammad SAW. Itulah orang yang paling berani."
"Pada suatu hari juga pernah aku menyaksikan ketika Nabi Muhammad SAW sedang berjalan kaki di kota Mekah, datanglah orang Musyrik sambil menghalau beliau dan menyakiti beliau dan mereka berkata: "Apakah kamu menjadikan beberapa tuhan menjadi satu tuhan?" Di saat itu tidak ada seorang pun yang berani mendekat dan membela Nabi Muhammad SAW selain Abu Bakar.
Beliau maju ke depan dan memukul mereka seraya berkata: "Apakah kamu hendak membunuh orang yang bertuhankan Allah?" Kemudian sambil mengangkat kain selendangnya, beliau mengusap air matanya. Kemudian Saidina Ali berkata: "Adakah orang yang beriman dari kaum Firaun yang lebih baik daripada Abu Bakar?" Semua jamaah diam sahaja, tidak ada yang menjawab.
Saidina Ali seterusnya berkata: "Sesaat dengan Abu Bakar lebih baik daripada orang yang beriman dari kaum Firaun walaupun mereka sepuluh dunia, kerana orang beriman dari kaum Firaun hanya menyembunyikan imannya sedangkan Abu Bakar menyiarkan imannya."
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan