Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


01 Oktober 2009

LIDAH TERGAMAM APABILA TANGAN BERTUTUR


Kehidupan di dunia ibarat sebuah madrasah pengajian, segala ilmu diajar untuk memberi peluang kepada manusia bagi melengkapkan perbendaharaan ilmu masing-masing. Allah SWT menyediakan tenaga pengajar yang cukup mahir terdiri daripada para Rasul2 dan juga Nabi2 AS dan kemudiannya disambung pula tugas mulia itu oleh para ulama sehingga hari kiamat.

Justeru Allah SWT telah melengkapkan segala keperluan untuk manusia melepaskan diri dari kejahilan, sehingga tidak seorang pun di Padang Mahsyar kelak boleh berdalih untuk menyatakan bahawa tidak ada kemudahan untuk menimba ilmu, dan tidak mungkin dapat menafikan bahawa para rasul telah melaksanakan tugasnya dengan sempurna, kerana setiap rasul itu memiliki sifat tabligh yakni menyampaikan setiap wahyu yang disampaikan oleh Allah SWT melalui Jibril AS.

Para rasul sudah menyediakan garis panduan yang selengkapnya, dan menunjukkan jalan-jalan lurus dan selamat untuk dilalui oleh manusia. Setelah dibentangkan di hadapan mereka jalan yang lurus, para rasul juga memberikan beberapa amaran adanya bahaya jalan yang berliku dan bersimpang-siur itu agar manusia waspada kerana jalan yang bersimpang-siur itu boleh menyebabkan manusia tersesat jalan. Firman Allah SWT: "Dan bahawa inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu tempuhi jalan yang lain, kerana jalan yang bersimpang-siur itu akan mencerai-beraikan (menyesatkan)kamu dari jalanNya . Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa." (QS Al-An'am:153)

Setelah dibentangkan di hadapan mereka jalan yang lurus andainya masih ada juga yang menyimpang ke jalan yg membawa mereka ke arah kesesatan, tiada siapa yang patut dipersalahkan melainkan diri sendiri serta mengakui bahawa mereka tidak mematuhi setiap petunjuk arah yang telah disediakan di sepanjang jalan itu. Ketika manusia terdampar di Padang Mahsyar dan mengharungi kesengsaraan yang amat dahsyat, ramai dikalangan penghuni Mahsyar yang terkenangkan kehidupan di dunia. Mereka menyesali diri kerana memandang sepi seruan para Rasul dahulu dan bersikap dingin terhadap seruan dakwah oleh para ulama terhadap para penyeru ke jalan Allah. Setelah mereka menyaksikan setiap perkara di Mahsyar, teringatlah akan kebenaran hari Kiamat yang dinyatakan oleh para Rasul dahulu.

Di Padang Mahsyar, umat manusia yang datang dalam keadaan berdosa akan merintih merayu kepada Allah SWT agar memberi peluang mereka kembali ke dunia walau sejenak untuk memperbaiki keimanan dan melakukan amal soleh, seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran: "Dan (alangkah ngerinya ) jika sekiranya kamu melihat orang-oranng yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, mereka berkata: "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar , maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin." (QS As-Sajdah:12)

Kesedaran yang terlewat hanyalah penyesalan yang tidak berguna lagi kerana bumi untuk tempat kembali itu sudah hancur. Manusia ingin pulang ke dunia, tetapi tidakkah mereka datang dari dunia? Apakah yang menyebabkan mereka mengabaikan kesempatan yang Allah SWT berikan untuk hidup di dunia dahulu? Rasulullah SAW bersabda: "Di hari akhirat Tuhan akan bertanya kepada setiap manusia: Hai manusia, bukankah Aku telah kurniakan kepada engkau kemeriahan masa remaja? Untuk apakah kamu habiskan masa remajamu? Tidakkah Aku telah kurniakan umur yang panjang? Untuk apa umurmu itu kamu pergunakan? Bukankah telah Aku kurniakan rezeki yang melimpah? Tetapi untuk apa kamu habiskan harta itu? Bukankah Aku telah berikan kamu ilmu? Tetapi untuk apa ilmu itu kamu gunakan."

Empat soalan penting yang dikemukakan oleh Allah SWT di akhirat ialah yang pertamanya mengenai alam remaja, suatu lembaran hidup selepas bermulanya taflik syarak. Tuhan tidak menanyakan seseorang tentang alam kanak-kanak kerana usia kanak-kanak belum diberi beban atau tanggungjawab memikul suruhan dan larangan yg terkandung di dalam syariat. Alam remaja merupakan zaman kejutan kepada suatu perubahan emosi, saat remaja mulai terdedah dengan persoalan kejantinaan. Suatu cabaran baru mengenai panduan, kawalan dan kejayaan dalam menghadapi masa remaja bergantung kepada sejauh mana kefahaman supaya mampu mengendalikan kehidupan yang lurus. Runtunan masa remaja akan menjadi asas yang kukuh untuk menghadapi cabaran usia yang berikutnya, tetapi kegagalannya akan menjadi titik hitam yang merumitkan, terutama ketika menyediakan jawapan terhadap soalan-soalan yang bakal dikemukakan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak.

Apabila menempuh usia dewasa dan hari tua bererti Allah SWT telah mengurniakan umur yang panjang. Mengharungi kehidupan yang panjang bererti lebih banyak peranan yang harus dipikul dan dilaksanakan. Sebagai individu insan, berbagai kelengkapan perlu disediakan, iaitu iman yang berasaskan ilmu wahyu, amal soleh merupakan buah kepada ilmu.

Sebagai ketua keluarga dia adalah 'murabbi', yang memikul peranan dan tanggungjawab memimpin rumahtangga, mengasuh keluarga dengan didikan berasas ketaqwaan. Sebagai anggota masyarakat, dia mempunyai peranan sebagai pemimpin yang mengajak manusia ke arah mematuhi ajaran Islam, atau menjadi manusia yang sedia dipimpin dalam suatu wadah perjuangan Islam. Terlaksanakah semua beban kewajipan itu?

Selain itu, Tuhan menjanjikan rezeki kepada setiap hambaNya yang diciptakan di muka bumi ini. Manusia yg mempunyai peranan sebagai khalifah, adalah makhluk istimewa yang dikurniakan berbagai kekayaan dunia, sama ada kekayaan yang terpendam di perut bumi, kekayaan di lautan, kekayaan di daratan dan juga kekayaan di udara. Tetapi semua itu hanyalah merupakan alat-alat yang mesti dipergunakan untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Bagaimana cara mendapatkan kekayaan harta tersebut, sama ada dengan cara betul dan halal atau cara yang terlarang? Untuk apa pula dipergunakan harta yang melimpah ruah, adakah untuk menjadi penghimpun kekayaan dan lupa daratan seperti Qarun? Segala yg bersangkutan dengan harta kekayaan Allah kurniakan itu, adalah di antara soalan yang mesti dijawab di Padang Mahsyar kelak. Harta halal yang terhimpun banyak, akan melambatkan seseorang masuk syurga sebaliknya harta yang diperoleh dengan cara haram, akan menjadi api pembakar untuk dirinya sendiri di dalam neraka jahannam, nauzubillahi min zalik!

Persoalan ke empat di dalam hadis tersebut ialah mengenai ilmu. Allah SWT bertanya: "Bukankah Aku telah kurniakan engkau ilmu? Bagaimanakah ilmu itu dimanfaatkan?" Sesungguhnya Allah SWT menjadikan manusia sebagai makhluk istimewa mengatasi makhluk yang lain hatta malaikat sekalipun, tidak lain kerana manusia dikurniakan ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT: "Dan Dia mengajarkan kepada Adam (ilmu) nama-nama (benda) seluruhnya, kemudian mengemukakan kepada para Malaikat alaihimussalam lalu berfirman: "Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kamu memang dari golongan yang benar." (QS Al-Baqarah:31) Ternyata cabaran Allah SWT terhadap para Malaikat tentang kelebihan ilmu pengetahuan yang dikurniakan kepada Nabi Adam AS itu tidak dapat disahut oleh Malaikat, sebagaimana pengakuan para Malaikat yang dinyatakan oleh Al-Quran: "Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana." (QS Al-Baqarah:32)

Allah SWT mengiktiraf orang-orang yang berilmu kerana dengan ilmu itu Allah SWT telah mengangkat mereka ke satu martabat yang tinggi, sebagaimana firman Allah: "... Nescaya Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. .." (QS Al-Mujadalah:11) Di samping itu, Allah SWT juga menyifatkan orang yang jahil itu sebagai seteruNya seperti yang diperjelaskan oleh Rasulullah SAW: "Orang alim itu adalah kekasih Allah sekalipun dia fasik, sementara orang yang jahil itu adalah seteru Allah meskipun dia seorang 'abid."

Meskipun demikian Allah SWT akan mempersoalkan juga tentang ilmu yang di kurniakan olehNya terhadap hambaNya, kerana ilmu juga boleh digunakan untuk kebaikan yang memberi manfaat dan mengangkat darjat manusia. Sebaliknya, ilmu juga boleh disalah gunakan sehingga mendatangkan malapetaka dan kemudaratan terhadap manusia sendiri.

Demikianlah di antara beberapa perkara yang akan ditanya oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak, malah perilaku dan amalan baik atau sebaliknya tidak akan terkecuali walau sebesar zarah sekalipun. Firman Allah SWT: "Dan demi Tuhanmu, Kami pasti akan menyoal mereka semuanya. Tentang apa yang telah mereka kerjakan." (QS Al-Hijr:92-93)

Soalan di Padang Mahsyar bukanlah soalan bertaraf ijazah yang bagaimana sulitpun pasti akan dijawab oleh mereka yang menguasai ilmu. Sesungguhnya soalan di Padang Mahsyar tidak akan terjawab oleh lidah. Lantaran itu, lidah yang petah tidak akan bermanfaat lagi. Sebaliknya yang bakal menjawab adalah setiap anggota, iaitu tangan, kaki, dsb. yang akan menjadi saksi bagi mengesahkan amalan semasa hidup mereka di dunia. Firman Allah SWT: "Pada hari Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksian kaki-kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan." (QS Ya Sin: 65) Sesungguhnya tergamamlah lidah apabila tangan dan anggota-anggota lain memberi kesaksian terhadap berbagai dosa yang telah dilakukan semasa di dunia dahulu.

Wallahua'lam.
.

Tiada ulasan: