Kepekaan terhadap sesuatu menjadi ukuran terhadap nilai sesebuah masyarakat. Masyarakat yang dibentuk oleh Rasulullah SAW sangat sensitif terhadap terhadap apa yang diajari oleh Baginda. Seruan untuk berjihad disambut dengan bersemangat dan rela hati. Mereka sanggup mengorbankan harta benda dan diri mereka sendiri semata-mata kerana menyahut seruan untuk menegakkan agama Allah SWT.
Mereka berlumba-lumba mengerjakan kebajikan dan ketaatan walaupun ianya kecil pada pandangan manusia. Kepada mereka semua kebajikan adalah suruhan Allah SWT. Pada masa yang sama mereka menjauhi segala laranganNya, sama ada yang besar atau kecil. Besar atau kecilnya laranganNya pada mereka sama sahaja kerana semua itu adalah larangan Allah SWT.
Lantaran kepekaan terhadap suruhan dan larangan Allah SWT, mereka sangat takut untuk mengerjakan maksiat walau kesalahan yang kecil sekalipun. Jika mereka membuat kesalahan dan dosa walaupun kecil, mereka merasakan tertekan seolah-olah sebuah gunung yang besar akan menimpa diri mereka. Apatah lagi jika ianya melibatkan dosa besar...
Masyarakat di zaman ini sudah jauh menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Kebanyakannya orang Islam kini tidak peka lagi terhadap ajaran Islam. Walaupun telah banyak melakukan dosa-dosa yang besar, namun bebanan dosa-dosa tersebut dirasakan seolah-olah hanya seekor lalat yang hinggap di atas batang hidung; boleh ditepis begitu sahaja. Dosa dan pahala bagi umat kini seolah-olah sesuatu yang tidak dihiraukan lagi.
Ini berbeza sekali dengan generasi terdahulu yang merasakan seolah-olah akan dihempap gunung hanya melakukan dosa yang kecil. Nabi Adam AS menangis untuk satu jangkamasa yang amat panjang hanya kerana melakukan satu dosa sahaja iaitu memakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah SWT, yang akibatnya Baginda dikeluarkan dari Syurga ke bumi dan dipisahkan dari isterinya, Hawa.
Bagaimanakah keadaan kita? Adakah kita tidak pernah melakukan dosa? Adakah kita menangis setelah melakukan dosa; bukan setakat satu malahan mungkin tidak terkira banyaknya dosa yang telah kita dilakukan? Hisablah diri sebelum kita dihisab. Semoga Allah SWT mengampuni kita semua. Amein...
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan