Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


30 Oktober 2009

ADAB-ADAB BERDOA


Berikut adalah kaedah dan adab-adab berdoa:

> Hendaklah dalam keadaan suci dari hadas kecil dan besar selain memakai pakaian bersih serta tempat berdoa yang selesa.
.
> Menghadap kiblat dan berdoalah dengan khusyuk dan tawadhuk selain merendah diri kepada Allah SWT.

> Mulakan doa dengan membaca Surah Al-Fatihah atau memuji-muji Allah SWT dengan sekurang-kurangnya “Alhamdulillahirabbilalamin” diikuti dengan membaca selawat atas Nabi.
.
> Angkat tangan hingga kelihatan kedua-dua ketiak di samping perut anak jari menghadap ke atas.
.
> Selepas selesai berdoa, sapukan kedua-dua tangan ke muka.
.
> Berdoa perlulah dengan penuh keyakinan bahawa Allah SWT akan memperkenankan doa kita. Jangan sekali-kali berdoa dalam keadaan hati yang lalai atau kurang yakin. Rasulullah SAW bersabda: "Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan penuh yakin Dia akan memperkenankan doa kamu. Dan, ketahuilah sesungguhnya Allah tidak akan memperkenankan doa daripada hati yang lalai atau keluh kesah." (Riwayat At-Tirmidzi).
.
> Setiap orang Islam hendaklah banyak berdoa kepada Allah SWT ketika dalam keadaan senang atau lapang supaya Allah akan memperkenankan doanya apabila tiba saat-saat yang sukar.
.
> Berdoalah dengan suara yang perlahan dan merendah diri selain mengakui segala kesalahan serta dosa-dosa yang pernah dilakukan. Firman Allah: "Berdoalah kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan." (Surah al-A'raaf: 55)
.
> Sebaik-baik doa ialah dengan kata-kata yang mudah dan ringkas serta mempunyai pengertian yang luas, contohnya: “Ya, Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.”
.
> Untuk memohon sesuatu hajat, sebaik-baiknya ulangi permintaan itu sekurang-kurangnya tiga kali.
.
> Jangan sekali-kali berdoa untuk meminta sesuatu keburukan atau kejahatan, perpecahan dalam masyarakat atau keluarga.
.
> Apabila berdoa janganlah meminta sesuatu yang mustahil.
.
> Jangan merasa kecewa jika doa kita tidak dikabulkan Allah SWT. Sebaliknya hendaklah bersabar dan terus berdoa selain bertawakkal kepada Allah.
.
> Sebelum mengakhiri dengan ucapan "Amien", setiap doa perlu ditutup dengan selawat ke atas Nabi SAW selain puji-pujian kepada Allah SWT dengan puji-pujian yang layak bagiNya.
.

25 Oktober 2009

ZINA AKAN BERTERUSAN WALAU PUN DAH DI IJABKABUL…


Sesungguhnya, permasalahan ini berat. Perhatikan soalan 1 ~ 5. Perkahwinan seumpama ini hari ini memang tersangat biasa kerana keluarga biasanya memilih jalan ini untuk menutup malu. Bila dapat tahu anak 'pregnant luar nikah', cepat-cepat dikahwinkan. Berdasarkan kenyataan ini, nikah itu TIDAK SAH, maka pasangan itu kelak hidup dalam zina sampai bila-bila
.
Persoalan ini telah diajukan kepada seorang Imam, di mana banyak persoalan lain timbul dari persoalan pokok tersebut. Saya kongsikan bersama anda di sini kerana ianya amat penting:
.
Soalan 1 : Apakah langkah yang sewajarnya sekiranya seorang gadis belum berkahwin didapati hamil anak luar nikah?
Jawapan 1 : Gadis itu tidak boleh berkahwin sehingga bayi itu dilahirkan..
.
Soalan 2 : Sekiranya lelaki yang bertanggungjawab itu bersedia mengahwini gadis itu, bolehkah mereka bernikah?
Jawapan 2 : Tidak. Mereka tidak boleh bernikah sehingga bayi itu dilahirkan.
.
Soalan 3 : Adakah pernikahan itu sah sekiranya mereka berkahwin?
Jawapan 3 : Tidak. Pernikahan itu TIDAK SAH. Seorang lelaki tidak boleh mengahwini seorang wanita hamil, walaupun lelaki itu merupakan ayah kepada bayi yang dikandung itu.
.
Soalan 4 : Sekiranya mereka bernikah, apakah tindakan mereka untuk memperbetulkan keadaan?
Jawapan 4 : Mereka mesti berpisah. Perempuan itu mestilah menunggu sehingga melahirkan, atau sehingga sah dia tidak mengandung, barulah mereka boleh bernikah sekali lagi, secara sah.
.
Soalan 5 : Bagaimana sekiranya keadaan itu tidak diperbetulkan?
Jawapan 5 : Maka mereka akan hidup di dalam zina kerana pernikahan itu tidak sah.
.
Soalan 6 : Apakah hak seorang anak luar nikah?
Jawapan 6 : Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa anak itu TIADA HAK untuk menuntut apa-apa daripada ayahnya..
.
Soalan 7 : Sekiranya hukum mengatakan lelaki itu bukan ayah kepada anak tersebut, adakah itu bermakna dia bukan mahram kepada anak perempuannya sendiri?
Jawapan 7 : Ya. Dia tidak boleh menjadi mahram.
.
Soalan 8 : Sekiranya seorang lelaki Muslim dan seorang wanita Muslim (atau bukan Muslim) ingin bernikah setelah bersekedudukan, apakah tindakan yang sewajarnya?
Jawapan 8 : Mereka mesti tinggal berasingan segera dan menunggu sehingga perempuan itu haid satu kali sebelum mereka boleh bernikah.
.
Soalan 9 : Sekiranya saya kenal/tahu seseorang di dalam keadaan ini, apakah saya perlu memberitahu kepadanya, atau lebih baik menjaga tepi kain sendiri?
Jawapan 9 : Anda wajib memberitahu, kerana itu sebahagian tanggungjawab anda sebagai saudaranya. Mereka harus diberi peluang untuk memperbetulkan keadaan mereka, kalau tidak semua keturunan yang lahir dari pernikahan tidak sah itu adalah anak-anak yang tidak sah taraf.
.
Kesimpulannya: Ibubapa, saudara mara, orang2 kampung, tok2 imam, tok2 kadi dan saksi-saksi yang tahu akan keadaan tersebut tetapi mendiamkan, membiarkan atau membenarkan pernikahan tersebut diteruskan, maka mereka juga tidak terlepas daripada menanggung dosa dan seksaan sama ada di dunia atau pun di akhirat…
.
Wallahua'lam.
.
(Sumber: Internet)
.

21 Oktober 2009

ZINA & HUKUMANNYA


Zina ialah persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak (bukan pasangan suami isteri) dan kedua-duanya orang yang mukallaf, dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif (persetubuhan yang meragukan).
.
Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan dengan seorang perempuan, dan lelaki itu menyangka bahawa perempuan yang disetubuhinya itu ialah isterinya, sedangkan perempuan itu bukan isterinya atau lelaki tadi menyangka bahawa perkahwinannya dengan perempuan yang disetubuhinya itu sah mengikut hukum syarak, sedangkan sebenarnya perkahwinan mereka itu tidak sah, maka dalam kes ini kedua-dua orang itu tidak boleh didakwa di bawah kes zina dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud, kerana persetubuhan mereka itu adalah termasuk dalam wati’ subhah iaitu persetubuhan yang meragukan.
.
Mengikut peruntukan hukuman syarak yang disebutkan di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith yang dikuatkuasakan dalam undang-undang Qanun Jinayah Syar’iyyah bahawa orang yang melakukan perzinaan itu apabila sabit kesalahan di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, iaitu disebat sebanyak 100 kali sebat. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. (QS An-Nur: 2)
.
Zina terbahagi kepada dua iaitu ZINA MUHSAN dan ZINA BUKAN MUHSAN. Zina Muhsan melibatkan lelaki atau perempuan yang telah pernah melakukan persetubuhan yang halal (sudah pernah berkahwin). Manakala Zina Bukan Muhsan melibatkan lelaki atau perempuan yang belum pernah melakukan persetubuhan yang halal (belum pernah berkahwin).
.
Perzinaan yang boleh dituduh dan didakwa dibawah kesalahan Zina Muhsan ialah lelaki atau perempuan yang telah baligh, berakal, merdeka dan telah pernah berkahwin, iaitu telah merasai kenikmatan persetubuhan secara halal. Penzinaan yang tidak cukup syarat-syarat yang disebutkan bagi perkara di atas tidak boleh dituduh dan didakwa di bawah kesalahan zina muhsan, tetapi mereka itu boleh dituduh dan didakwa dibawah kesalahan zina bukan muhsan mengikut syarat-syarat yang dikehendaki oleh hukum syarak.
.
HUKUMAN YANG DIKENAKAN
Seseorang yang melakukan Zina Muhsan, sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan ke atas mereka hukuman had (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab I’anah Al- Thalibin juzuk 2 muka surat 146 yang bermaksud: "Lelaki atau perempuan yang melakukan zina muhsan wajib dikenakan keatas mereka had (rejam), iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati”.
.
Seseorang yang melakukan Zina Bukan Muhsan sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan ke atas mereka hukuman sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun sebagaimana terdapat di dalam kitab Kifayatul Ahyar juzuk 2 muka surat 178 yang bermaksud: ”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsin wajib dikenakan keatas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”.
.
PEREMPUAN YANG DIROGOL DAN DIPERKOSA
Perempuan-perempuan yang dirogol atau diperkosa oleh lelaki yang melakukan perzinaan dan telah disabit dengan bukti–bukti yang diperlukan oleh syarak dan tidak menimbulkan sebarang keraguan di pihak hakim bahawa perempuan itu dirogol dan diperkosa, maka dalam kes ini perempuan itu tidak boleh dijatuhkan dan dikenakan hukuman hudud, dan ia tidak berdosa dengan sebab perzinaan itu.
.
Lelaki yang merogol atau memperkosa perempuan melakukan perzinaan dan telah sabit kesalahannya dengan bukti–bukti dan keterangan yang dikehendaki oleh syarak tanpa sebarang keraguan di pihak hakim, maka hakim hendaklah menjatuhkan hukuman hudud ke atas lelaki yang merogol perempuan itu, iaitu wajib dijatuhkan dan dikenakan ke atas lelaki itu hukuman rejam dan sebat.
.
Perempuan-perempuan yang telah disabitkan oleh hakim bahawa ia adalah dirogol dan diperkosa oleh lelaki melakukan perzinaan, maka hakim hendaklah membebaskan perempuan itu dari hukuman hudud (tidak boleh direjam dan disebat) dan Allah mengampunkan dosa perempuan itu di atas perzinaan secara paksa itu.
Wallahua'lam.
.

16 Oktober 2009

KEWAJIPAN PELIHARA BUMI ALLAH (HARIAN METRO, 16/10/09)


SEBAGAI khalifah Allah di muka bumi, manusia memikul amanah cukup besar. Manusia bertanggungjawab sepenuhnya bagi memakmurkan bumi serta memelihara segala khazanah kekayaan Allah daripada segala bentuk ancaman, kerosakan dan kemusnahan. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya dunia ini cantik, subur menghijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya." (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

Sebenarnya, semua ciptaan Allah yang terdiri daripada haiwan, tumbuhan, lautan, gunung-ganang malah virus yang amat kecil itu mempunyai faedah tersendiri buat kehidupan manusia. Semua diciptakan Allah untuk dimanfaatkan dengan cara yang terbaik bagi memudahkan kehidupan manusia di muka bumi ini. Begitulah kehebatan dan rahmat Allah SWT yang tidak sesekali membiarkan manusia hidup dalam keadaan serba kekurangan dan kedaifan.

Dengan sifat ar Rahmaan dan ar Rahim-Nya, manusia sama ada yang beriman atau kufur terus diberi nikmat. Hal ini sewajarnya menjadikan manusia semakin tunduk patuh kepada-Nya. Bagi hamba yang memiliki iman yang sempurna, segala kejadian ciptaan Allah menjadikan mereka sentiasa berfikir mengenai kehebatan Allah SWT. Penciptaan makhluk di langit dan di bumi menjadi antara tanda jelas membuktikan kewujudan dan kehebatan Allah SWT. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang yang beriman." (Surah al-Jaathiyah, ayat 3).

Secara jelas, Islam melarang umatnya melakukan kerosakan di muka bumi. Kerosakan yang dimaksudkan termasuk melakukan perbuatan maksiat dan keji oleh mereka yang alpa akan larangan Allah serta kerosakan yang membabitkan kemusnahan alam ciptaan Allah.

Dewasa ini, sesetengah pihak bersifat rakus menghimpun kekayaan dunia dengan menjalankan projek pembangunan mega sehingga sanggup merosakkan ekosistem alam. Gunung-ganang ditarah tanpa kajian dan penelitian, pokok balak ditebang secara haram, kawasan tadahan hujan dibotakkan sewenang-wenangnya sehingga seluruh hidupan termasuk manusia dan haiwan menderita menanggung akibatnya.

Disebabkan kerakusan serta sifat tamak manusia yang mengabaikan tanggungjawab memelihara alam semula jadi ini akan menyebabkan berlaku kerosakan dan bencana yang akan mengganggu kehidupan mereka sendiri. Firman Allah yang bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah ar-Ruum, ayat 41).

Allah SWT amat membenci golongan yang melakukan kerosakan di muka bumi. Firman-Nya yang bermaksud: "Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedangkan Allah tidak suka kepada bencana kerosakan." (Surah al-Baqarah, ayat 205). Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77).

Penciptaan kehidupan di atas muka bumi yang terkandung di dalamnya pelbagai jenis flora dan fauna memerlukan penjagaan dan pemeliharaan bagi memastikan sistem ekologi berfungsi dengan lancar dan baik. Aturan kehidupan tersebut yang seimbang adalah menurut sunnatullah yang sentiasa beroperasi untuk memastikan manusia mendapat faedah daripadanya. Sistem yang amat istimewa diciptakan Allah ini dikenali ekosistem yang sangat unik dan sistematik.

Justeru, manusia sebagai khalifah tidak terlepas daripada tanggungjawab bagi memastikan tiada sebarang kerosakan dan kemusnahan di atas muka bumi yang boleh menjejaskan perjalanan sistem ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu." (Surah Ibrahim, ayat 32-33).

Sebagai manusia yang dianugerahkan akal fikiran yang boleh menentukan baik buruk sesuatu perkara, manusia seharusnya mengawal diri daripada terus mengeksploitasi sumber alam secara berlebihan. Fenomena seperti tanah runtuh, banjir kilat dan jerebu haruslah dijadikan renungan agar kita dapat memikirkan kesan jangka masa panjang terhadap kerakusan mengaut keuntungan dunia yang tidak berkesudahan. Maka, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dalam memelihara keindahan alam semula jadi agar generasi akan datang akan terus mendapat nikmat yang tidak ternilai ini.
.

15 Oktober 2009

SEGERAKAN MEMBAYAR HUTANG


Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang mengambil harta seseorang (berhutang) yang bermaksud untuk membayarnya maka Allah akan melaksanakan pembayaran itu. Dan barang siapa yang mengambilnya dengan maksud untuk merosak (tidak mau membayar dengan sengaja) maka Allah akan merosakkan orang itu." (HR Bukhari)

Ibnu Umar r.a. berkata: "Saya mendengar Rasulullah SAW berwasiat kepada seorang laki- laki dengan bersabda: "Sedikitkan dosa, niscaya mudah atasmu mati (keluarnya ruh dari badan, yakni mudah tidak memberatkan). Dan sedikitkanlah hutang, niscaya kamu akan hidup merdeka." (HR Baihaqi)

Aisyah r.a. berkata: "Seseorang telah berkata kepada Rasulullah SAW: "Alangkah banyaknya kamu memohon perlindungan dari beban hutang, wahai Rasulullah!" Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seseorang yang sudah terkena beban hutang, apabila dia berkata-kata, dia akan berdusta dan apabila berjanji, dia akan mengingkari." (HR Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Pengunduran-pengunduran waktu (terhadap pembayaran hutang) bagi orang yang yang berkecukupan adalah suatu penganiayaan, dan jika kamu mahu memindahkannya kepada orang yang sanggup, maka laksanakanlah." (HR. Bukhari)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: "Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Seandainya aku memiliki emas sebesar bukit Uhud dan didatangkan kepadaku lagi gunung yang ketiga, di samping itu aku memiliki satu dinar, maka yang membuatkan aku suka hanyalah satu dinar yang dapat aku gunakan untuk membayar hutang." (HR Bukhari dan Muslim)

Untuk menyelesaikan dosa akibat hutang yang tidak dilangsaikan, tidak boleh hanya dengan beristighfar saja. Allah SWT tidak akan mengampuninya, sebelum kita menjelaskan hutang berkenaan atau meminta keridhaan pihak terbabit. Oleh itu, jangan sekali-kali menganggap bahawa apabila kita mati, semua urusan hutang akan selesai begitu saja.

Kita akan dituntut akibat kegagalan kita menjelaskan hutang. Oleh itu, apabila berhutang, catatlah dengan baik, agar apabila kematian menjemput dan kita tidak sempat membayarnya, ahli keluarga atau waris dapat menjelaskannya. Rasulullah SAW sendiri pernah menolak menyembahyangkan jenazah yang tidak melangsaikan hutangnya sehingga ada yang bertanggungjawab tampil untuk membayarnya.

Wallahua'lam.
.

13 Oktober 2009

LARANGAN MINUM ARAK (KHAMAR)


Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Umar r.a. berkata: "Akan dibangkitkan pada hari kiamat orang peminum khamar itu bermuka hitam, biru matanya, keluar lidahnya sampai ke dadanya, mengalir air liurnya. Tiap orang yang melihat akan jijik padanya kerana busuk baunya. Kamu jangan memberi salam kepada pemabuk dan jangan melawatnya jika mereka sakit dan jangan menyembahyangkan jika mati."

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Umar r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda: "Tiap-tiap yang memabukkan itu khamar dan semua yang memabukkan itu haram. Dan siapa yang minum khamar di dunia sehingga mati belum bertaubat, maka tidak akan dapat minum khamar di akhirat."

Abul Laits berkata Rasulullah SAW telah menerangkan bahawa tiap minuman yang memabukkan itu haram, dimasak atau tidak dimasak. Sebagaimana riwayat Jabir r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda: "Semua yang memabukkan jika diminum banyak, maka sedikit juga haram." Di lain riwayat dikatakan: "Yang memabukkan jika diminum satu botol, maka seteguk juga haram."

Abul Laits berkata: "Peminum khamar yang dimasak (tuak) itu lebih besar dosanya daripada yang minum khamar yang tidak dimasak sebab peminum tuak itu merasa bahawa itu haram tetapi yang minum khamar yang dimasak itu adakalanya ia merasa bahawa itu sudah halal sehingga dapat menyebabkan kekafirannya."

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Usman bin Affan r.a. ketika berkhutbah berkata: "Hati-hatilah kamu dari khamar sebab ia induk dari dosa-dosa yang keji. Sesungguhnya dahulu ada seorang abid yang biasa pergi masjid, tiba-tiba ia bertemu dengan seorang wanita pelacur, maka ia dipanggil oleh pelayannya dan dimasukkan ke dalam rumahnya, lalu ditutup pintunya. Sedang di sisi wanita itu ada segelas khamar dan seorang anak kecil. Maka berkata wanita itu: "Engkau tidak boleh keluar sehingga minum khamar atau berzina padaku atau membunuh anak kecil ini. Jika tidak saya akan menjerit dan berkata: "Ada orang masuk ke rumahku." Jawab abid itu: "Zina saya tidak mahu, membunuh juga tidak." Lalu ia memilih khamar sahaja. Dan setelah ia minum dan mabuk maka ia berzina dan membunuh bayi itu."

Usman berkata: "Kerana itu tinggalkanlah khamar itu kerana ia sebagai ibu dari dosa-dosa dan sesungguhnya tidak dapat berkumpul iman dan khamar di dalam dada seseorang melainkan harus keluar salah satu. Yakni seorang jika telah mabuk maka akan keluar dari lidahnya kalimat-kalimat kufur lalu menjadi kebiasaan sehingga dibawa mati dalam kalimat itu sehingga menyebabkan ia kekal dalam neraka." Adhdhahhak berkata: "Siapa yang mati sedang tetap minum (khamar) maka akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan mabuk."

Said meriwayatkan dari Qatadah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda: "Empat macam orang yang tidak akan mendapat bau syurga padahal bau syurga itu terbau dari jarak perjalanan lima ratus tahun iaitu Orang bakhil (kedekut), Orang yang mengungkit pemberiannya, Orang yang tetap minum khamar dan orang yang durhaka terhadap kedua ibu bapanya."

Ibnu Mas'ud r.a. berkata: "Telah dilaknat dalam khamar itu sepuluh orang iaitu Yang memerah, Yang minta diperah, Yang minum, Yang memberi minum, Yang membawa, Yang menghantar, Yang membekal, Yang menjual, Yang membeli dan Yang menyimpan."

Juga Rasulullah SAW bersabda: "Akan keluar peminum khamar itu pada hari kiamat dari kuburnya lebih busuk dari bangkai sedang botol khamar itu dikalungkan dilehernya dan gelas ditangannya, sedang di antara kulit dan daging badannya penuh ular dan kala dan memakai kasut dari api yang mendidihkan otaknya, sedang kuburnya akan berupa liang neraka dan menjadi kawan Fir'aun dan Haman."

Aisyah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang memberi makan walau sesuap kepada orang yang minum khamar, maka Allah SWT akan menyiksanya dengan ular atau kala di badannya dan siapa yang menyampaikan hajatnya maka bererti membantu merobohkan Islam. Dan siapa yang meminjamkannya bererti membantu untuk pembunuhan seorang mukmin dan siapa yang duduk bersamanya dibangkitkan pada hari kiamat buta tidak berhujah. Maka jika sakit jangan engkau jenguk. Jika menjadi saksi jangan kamu terima persaksiannya. Demi Allah yang mengutuskan aku dengan hak tidak akan minum khamar kecuali orang yang terkutuk dalam kitab Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran. Dan siapa yang minum khamar maka telah kafir dengan semua kitab yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi-nabiNya dan tidak akan menghalalkan khamar kecuali orang kafir. Dan siapa yang menghalalkan khamar maka aku lepas tangan daripadanya dunia akhirat."

Athaa' bin Yasaar berkata: "Ada orang tanya kepada Ka'bul Ahbar: "Apakah khamar telah diharamkan didalam kitab Taurat?" Jawabnya: "Ya, ayat (Yang berbunyi): 'Innamal khamru wal maisiru' itu tersebut dalam Taurat. Sesungguhnya Kami menurunkan yang hak untuk menghalau yang bathil dan membatalkan permainan dan terbang dan seruling dan khamar, celaka benar peminum khamar." Allah SWT bersumpah dengan kemuliaan dan kebesaranNya terhadap siapa yang melanggar (iaitu) meminum khamar akan dihauskan pada hari kiamat dan bagi siapa yang meninggalkannya sesudah diharamkan maka akan diberinya minum khamar disyurga dari Hadhiratul-qudsi."

Abul Laits berkata: "Awaslah kau dari minum khamar kerana ia mengandungi sepuluh bahaya iaitu:

1. Peminumnya seperti orang gila dan menjadi tertawaan anak kecil dan tercela di kalangan orang-orang berakal. Ibn Abud-Dunia berkata: "Saya melihat orang mabuk di jalan di Baghdad, ia sedang kencing lalu mengusapkan air kencing itu kemukanya sambil membaca: 'Allahummaj alni minattawwabin waj'alni minal mutathahhirin'. Juga ada orang mabuk dan muntah-muntah di tengah jalan sehingga datang anjing menjilat mulut dan janggutnya dan ia berkata kepada anjing itu: "Ya sayyidi, ya sayyidi, jangan mengotorkan saputangan."

2. Memboros harta dan merosak akal. Sebagaimana kata Umar bin Al-Khattab kepada Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah, jelaskan pendapatmu mengenai khamar?" Jawab Rasulullah SAW: "Sebab nyata menghabiskan harta dan merosak akal."

3. Minum khamar menyebabkan permusuhan di antara kawan-kawan. Sebagaimana firman Allah SWT: "Sesungguhnya tujuan syaitan akan membangkitkan permusuhan di antara kamu di dalam khamar dan judi."

4. Peminumnya terhalang dari dzikrullah dan sembahyang. Sebagaimana firman Allah SWT: "Dan juga menghalangi kamu dari dzikrullah dan sembahyang, apakah kamu tidak mahu menghentikan?" Ketika ayat ini turun maka Umar bin Al-Khattab r.a. berkata: "Kami hentikan, ya Tuhan."

5. Minum khamar itu mendorong untuk berzina, sebab kemungkinan ia menceraikan isterinya tanpa sedar.

6. Ia pembuka dari segala kejahatan sebab jika mabuk. mudah berbuat segala maksiat.

7. Mengganggu malaikat yang menjaganya kerana memasukkan ke majlis fasiq dan adanya bau busuk.

8. Terkena hukum pukul dera lapan puluh kali dan bila tidak terpukul di dunia maka di akhirat akan dipukul dengan pukulan dari neraka yang disaksikan oleh orang tua dan kawan-kawan.

9. Ia telah menutup pintu langit sebab hasanatnya dan doa-doanya tidak terangkat ke langit selama empat puluh hari.

10. Ia membahayakan terhadap dirinya sebab dikhuatiri tercabut iman ketika matinya.

Ini semua siksa dunia sebelum siksa akhirat, maka tidak terhitung selain dari minuman hamim dan makanan zaqqum kerana itu seorang yang berakal jangan sampai memilih kesenangan yang sedikit sehingga membuang kelazatan yang besar dan abadi. Seorang muslim jika minum khamar dan terlanjur lidahnya kalimat kufur dikhuatirkan kalau terlepas iman ketika matinya sehingga tergolong pada orang-orang kafir. Kerana itu seharusnya tidak minum khamar dan menjauh dari peminumnya, sebab jika selalu berkumpul peminum khamar, dibimbangi kalau-kalau terkena abunya dan harus selalu memikir kengeriannya hari kiamat supaya hatinya jangan sampai condong kepada khamar.

Hasan Al-Basri berkata: "Seorang hamba jika minum khamar hitam hatinya dan jika kedua kali lepas tangan Malaikat yang menjaganya dan bila ketiga kali maka lepas tangan daripadanya Malaikat Maut dan jika keempat kali maka putus hubungan dengan Nabi Muhammad SAW dan bila kelima kali maka putus hubungan dengan sahabat Nabi Muhammad SAW dan bila keenam putus hubungan dengan Jibril dan bila ketujuh putus hubungan dengan Israfil dan bila kelapan putus hubungan dengan Mikail dan bila kesembilan putus hubungan dengan langit dan bila kesepuluh maka putus hubungan dengan bumi dan bila kesebelas maka lepas tangan darinya ikan di laut dan jika keduabelas maka putus dengan mata hari dan bulan dan jika ketigabelas putus dengan bintang-bintang dan jika keempatbelas putus hubungan dengan semua makhluk dan bila kelimabelas tertutup pintu syurga padanya dan bila keenambelas terbuka pintu-pintu neraka dan bila ketujuhbelas putus dengan Al-Kursi dan bila kesembilanbelas putus dengan Arsy dan bila keduapuluh putus dari rahmat Allah SWT."

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Asmaa' binti Yazid r.a. berkata: "Saya telah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: "Siapa yang minum khamar sehingga masuk dalam perutnya, maka tidak diterima sembahyangnya satu minggu dan bila sampai mabuk (hilang akal) maka tidak diterima sembahyangnya empat puluh hari dan jika mati sebelum taubat mati kafir dan jika bertaubat maka Allah SWT akan memberinya minum dari thinatil khabaal (darah yang campur nanahnya ahli neraka)." Di lain hadis pula: "Jika minum khamar satu kali tidak diterima sembahyangnya dan puasanya dan lain-lain amalnya selama empat puluh hari dan jika minum kedua kali maka tidak diterima semua itu hingga lapan puluh hari dan bila ketiga kali maka tidak diterima semua itu sehingga seratus dua puluh hari dan bila minum keempat kalinya maka bunuhlah ia sebab telah kafir dan layaklah baginya diberi minum oleh Allah SWT dari thinatil khabaal (darah campur nanahnya ahli neraka)." Di lain hadis pula: "Sesungguhnya dosa-dosa terletak di sebuah rumah dan kuncinya ialah minum khamar. Yakni siapa yang minum bererti telah membuka untuk dirinya pintu-pintu dosa semuanya."

Seorang sahabat berkata: "Siapa yang mengahwinkan saudara atau puterinya pada seorang peminum (pemabuk) maka sama dengan mendorongnya kepada zina, sebab seorang jika mabuk bisa keluar dari mulutnya talak, lalu masih digauli yang bererti berzina."

Khamar itu sama dengan berhala sebab Allah SWT telah menyebut keduanya dengan kalimat (Yang berbunyi): "Rij sun min amalisy syaithan fajtanibuuhu." (Yang bererti): "Khamar itu termasuk najis dari perbuatan syaitan, maka jauhilah." Dan ayat (Yang berbunyi): "Faj tanibur rijsa minal autsaan." (Yang bermaksud): "Maka peminum khamar itu sama dengan penyembah berhala."

Abdullah bin Mas'ud r.a berkata: "Bahawa orang yang minum khamar siang hari, maka bererti ia syirik sehingga petang hari dan siapa yang minum waktu petang bererti dia syirik hingga mati." "Jika peminum khamar itu mati maka kuburlah ia dan tahanlah aku kemudian kamu gali kembali kubur itu, jika kamu tidak mendapatkannya berpaling dari qiblat, maka bunuhlah aku."

Anas bin Malik r.a. berkata Nabi Muhammad SAW bersabda: "Allah SWT telah mengutuskan aku sebagai petunjuk dan rahmat bagi seisi alam untuk menghapuskan segala permainan seruling dan sebagainya dari kebiasaan jahilliyah dan berhala-berhala dan Tuhanku telah bersumpah demi kemuliaanNya: "Tidak seorang hambaKu minum khamar di dunia melainkan pasti Aku haramkan atasnya pada hari kiamat dan tiada seorang yang meninggalkannya melainkan pasti akan Aku berinya minum dari hadhiratil qudsi."

Aus bin Sam'an berkata: "Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, sungguh saya telah mendapat di dalam kitab Taurat tentang haramnya khamar dalam dua puluh lima ayat (kali) ancaman terhadap orang yang minum khamar sudah selayaknya bagi Allah SWT, bahawa tiada seorang hamba yang minum khamar melainkan akan diberi minum oleh Allah SWT dari thinatul khabal (darah bercampur nanah ahli neraka)."

Malik meriwayatkan dari Muhammad bin Al-Munkadir berkata: "Pada hari kiamat kelak Allah SWT akan berfirman: "Di mana orang-orang yang telah menjauhkan (membersihkan diri) dan telinga mereka semua dari semua permainan dan seruling syaitan, tempatkan mereka dalam kebun-kebun kasturi." Lalu memberitahu kepada Malaikat: "Perdengarkan kepada mereka suara pujaan dan pujianKu dan beritahukan kepada mereka: Tidak ada ketakutan atau kesedihan pada mereka."

Abu Wa'il dari Syaqiq bin Salamah bahawa ia diundang kenduri, tiba-tiba ia melihat di sana ada pemain-pemain, maka langsung ia kembali sambil berkata: "Saya telah mendengar Ibn Mas'ud r.a. berkata: "Sesungguhnya nyanyian itu menumbuhkan nifaq di dalam hati sebagai air menumbuhkan biji-biji tanaman."

Atha' bin Assaib dari Abdurrahman Assulami berkata: "Ketika Mu'awiyah bin Abi Sufyan menjabat tangan gabenor di Syam ada beberapa orang sedang minum khamar dan mereka berkata: "Ini halal bagi kami sebab Allah SWT berfirman (Yang berbunyi): "Laisal alal ladzina amanu wa amilus shalihati junahun fima Tha'imu. (Yang bermaksud): "Tidak ada dosa terhadap orang yang beriman dan beramal soleh di dalam apa yang mereka makan." (Surah Al-Maidah ayat 93), maka Mu'awiyah segera menulis surat kepada Umar bin Al-Khattab, lalu Umar menjawab surat Mu'awiyah supaya mengirim orang-orang itu ke Madinah sebelum mereka merosakkan orang-orang yang lain. Maka ketika telah tiba mereka di Madinah, Umar mengumpulkan sahabat dan musyawarah kepada mereka. Para sahabat berkata: "Ya amirul mukminin, mereka telah menyalahgunakan ayat Allah SWT dan membuat hukum yang tidak diizinkan oleh Allah SWT, maka penggal saja leher mereka." Maka Umar bertanya kepada Ali bin Abi Thalib: "Bagaimana pendapatmu?" Jawab Ali: "Pendapat saya, engkau suruh mereka bertaubat, jika mereka tidak mahu bertaubat, maka penggallah leher mereka dan bila mahu bertaubat maka hukumlah mereka dengan pukulan dera lapan puluh kali." Maka Umar menyuruh mereka bertaubat dan mereka bertaubat maka dipukul mereka lapan puluh kali."

Ikrimah r.a. dari Ibn Abbas r.a. berkata: "Ketika turun ayat yang mengharamkan khamar, sahabat bertanya: "Bagaimana keadaan kawan-kawan kami yang mati sedang mereka minum khamar?" Maka turun ayat (Yang berbunyi): "Laisa alalladzina amanu wa amilus sholihati junnahun fima tha'imu." (Yang bermaksud): "Tidak ada dosa terhadap orang-orang yang beriman dan beramal soleh dalam apa yang mereka makan, yakni sebelum diharamkan (sebelum turun ayat yang mengharamkan makanan itu)."

(Sumber: Tanbihul Ghafilin [Peringatan Bagi Yang Lupa])
.

11 Oktober 2009

FADHILAT AYAT KURSI


> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya."

> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar."

> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad."

> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan."

> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah."

> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya."

> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, insya Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar."

> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin."

> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh."

> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain."

> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya."

> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur, perbuatan-perbuatan orang yang benar, pahala Nabi-nabi, juga Allah melimpahkan padanya rahmat."

> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya."

> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azza wa jalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid."

> Rasullullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya."
.
Wallahu'alam.
.

09 Oktober 2009

DOSA IBARAT LALAT & GUNUNG


Kepekaan terhadap sesuatu menjadi ukuran terhadap nilai sesebuah masyarakat. Masyarakat yang dibentuk oleh Rasulullah SAW sangat sensitif terhadap terhadap apa yang diajari oleh Baginda. Seruan untuk berjihad disambut dengan bersemangat dan rela hati. Mereka sanggup mengorbankan harta benda dan diri mereka sendiri semata-mata kerana menyahut seruan untuk menegakkan agama Allah SWT.

Mereka berlumba-lumba mengerjakan kebajikan dan ketaatan walaupun ianya kecil pada pandangan manusia. Kepada mereka semua kebajikan adalah suruhan Allah SWT. Pada masa yang sama mereka menjauhi segala laranganNya, sama ada yang besar atau kecil. Besar atau kecilnya laranganNya pada mereka sama sahaja kerana semua itu adalah larangan Allah SWT.

Lantaran kepekaan terhadap suruhan dan larangan Allah SWT, mereka sangat takut untuk mengerjakan maksiat walau kesalahan yang kecil sekalipun. Jika mereka membuat kesalahan dan dosa walaupun kecil, mereka merasakan tertekan seolah-olah sebuah gunung yang besar akan menimpa diri mereka. Apatah lagi jika ianya melibatkan dosa besar...

Masyarakat di zaman ini sudah jauh menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Kebanyakannya orang Islam kini tidak peka lagi terhadap ajaran Islam. Walaupun telah banyak melakukan dosa-dosa yang besar, namun bebanan dosa-dosa tersebut dirasakan seolah-olah hanya seekor lalat yang hinggap di atas batang hidung; boleh ditepis begitu sahaja. Dosa dan pahala bagi umat kini seolah-olah sesuatu yang tidak dihiraukan lagi.

Ini berbeza sekali dengan generasi terdahulu yang merasakan seolah-olah akan dihempap gunung hanya melakukan dosa yang kecil. Nabi Adam AS menangis untuk satu jangkamasa yang amat panjang hanya kerana melakukan satu dosa sahaja iaitu memakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah SWT, yang akibatnya Baginda dikeluarkan dari Syurga ke bumi dan dipisahkan dari isterinya, Hawa.

Bagaimanakah keadaan kita? Adakah kita tidak pernah melakukan dosa? Adakah kita menangis setelah melakukan dosa; bukan setakat satu malahan mungkin tidak terkira banyaknya dosa yang telah kita dilakukan? Hisablah diri sebelum kita dihisab. Semoga Allah SWT mengampuni kita semua. Amein...
.

07 Oktober 2009

KELEBIHAN ORANG FAKIR...


Abul Laits As-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Anas bin Malik r.a. berkata: "Orang-orang fakir mengutuskan utusan mereka kepada Nabi Muhammad SAW maka ia berkata: "Ya Rasulullah, saya utusan fakir kepadamu." Jawab Nabi Muhammad SAW: "Selamat datang kepadamu dan kepada orang-orang yang mengutuskanmu, engkau datang dari orang-orang yang dicintai Allah SWT." Utusan itu berkata: "Ya Rasulullah, orang-orang miskin berkata: "Bahawa orang-orang kaya telah memborong semua kebaikan, mereka berhaji dan kami tidak dapat, dan mereka sedekah sedang kami tidak dapat, dan jika sakit mereka mengirim wang untuk tabungan mereka." Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sampaikan kepada orang fakir daripadaku: "Bahawa siapa yang sabar dari kamu akan mengharap pahala dari Allah SWT, maka ia akan mendapat tiga macam yang tidak boleh didapati oleh orang-orang yang kaya iaitu:

1. Di dalam syurga ada kamar dari yaqut yang merah, orang-orang syurga itu melihat tempat itu sama dengan orang dunia jika melihat bintang di langit, tidak dapat masuk ke situ kecuali Nabi yang fakir atau orang yang mati syahid yang fakir atau seorang mukmin yang fakir.
.
2. Orang fakir yang masuk syurga sebelum orang kaya sekadar setengah hari iaitu sekira lima ratus tahun, mereka bersuka-suka dengan bebeas leluasa dan Nabi Sulaiman bin Daud AS akan masuk sesudah nabi-nabi yang lainnya sekira-kira empat puluh tahun disebabkan oleh kerajaan yang diberikan Allah SWT kepadanya.
.
3. Jika orang fakir membaca: 'Subhaballah walhamdulillah walaa ilaha illalah wallahu akbar' dengan tulus ikhlas dan orang kaya membaca itu, maka orang kaya itu tidak dapat mengejar orang fakir meskipun ditambah dengan sedekah sepuluh ribu dirham. Demikian amal-amal kebaikan yang lain-lainnya."

Maka kembalilah utusan itu memberitahu kepada orang-orang fakir miskin apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW itu kepada mereka, maka mereka berkata: "Kami ridho, ya Tuhan. Kami puas, ya Tuhan."
.
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Dzar r.a. berkata: "Saya dipesan oleh junjunganku Nabi Muhammad SAW tujuh macam yang tidak sampai saya tinggalkan dan tidak akan saya tinggal semua itu iaitu:
1. Saya dipesan supaya suka kepada orang-orang miskin dan mendekati mereka
2. Saya dipesan supaya selalu melihat kepada orang-orang yang di bawahku dan tidak melihat pada orang-orang yang di atasku
3. Saya dipesan supaya tetap menghubungi kaum kerabat meskipun mereka jauh dan memutuskan hubungan
4. Saya dipesan supaya memperbanyakkan membaca: 'Laa haula walaa quwwata illa billahi', kerana itu sebagai perbendaharaan kebaikan atau tabungannya
5. Saya dipesan supaya jangan minta apapun dari sesama manusia
6. Saya dipesan supaya jangan takut di dalam melaksanakan hukum Allah SWT dari cela (ejekan) orang-orang yang mengejek
7. Saya dipesan supaya selalu berkata benar meskipun pahit dan berat
."
.
Dan adanya Abu Dzar jika jatuh pecut dari tangannya sedang ia di atas kenderaannya, maka tidak suka minta tolong kepada orang untuk mengambilkannya.
.
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Al-A'masy dari Khaitsamah berkata: "Malaikat berkata: "Ya Tuhan, hambaMu yang kafir itu Engkau lapangkan dunianya dan Engkau jauhkan daripada bala." Jawab Allah SWT: "Kamu buka tempat siksanya." Dan ketika dilihat oleh malaikat mereka berkata: "Ya Robbi, tidak berguna apa yang mereka dapat dari dunia itu." Lalu malaikat itu berkata: "Ya Tuhan, hambaMu yang mukmin Engkau jauhkan daripadanya dunia dan Engkau hidangkan kepada bala." Allah s.w.t. berfirman: "Bukalah tempat pahalanya." Maka jika telah dilihat oleh malaikat, mereka berkata: "Tidak apalah bagi mereka apa yang mereka derita didunia."
.
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Dzar Al-Ghifari r.a. berkata: Nabi Muhammad SAW bersabda: "Orang-orang yang banyak hartanya itu kelak yang paling bawah tempat mereka kecuali yang menggunakan harta itu begini dan begini dan begini dan begini dan begini (Yakni sedekah ke kanan, ke kiri, ke hadapan, ke belakang) Dan sedikit yang sedemikian."
.
Abul Laits berkata: "Orang kaya itu tempatnya di bawah orang yang miskin baik di syurga atau di neraka, kecuali orang yang selalu sedekah ke kiri kanan, depan belakang dan sedikit sekali yang sedemikian sebab syaitan laknatullah merintangi mereka untuk bersedekah."
.
Nabi Muhammad SAW bersabda: "Syaitan laknatullah berkata: "Orang kaya tidak dapat selamat dari tiga macam iaitu:
1. Saya perhias di dalam pandangannya sehingga tidak dikeluarkan kewajipannya, atau
2. Saya ringankan tangannya sehingga dikeluarkan tidak pada tempatnya, atau
3. Saya cintakan dalam hatinya sehingga ia berusaha mendapatkannya walau tidak halal
."
.
Abu Darda r.a. berkata: "Ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan, sedang saya ingin akan menghimpun antara dagang dengan ibadat, maka tidak dapat, maka saya tinggalkan dagangan dan tetap melakukan ibadat. Demi Allah yang jiwaku ada ditanganNya, saya tidak ingin mempunyai kedai dekat masjid sehingga tidak ketinggalan sembahyang jamaah dan mendapat untung tiap harinya empat puluh dinar untuk bersedekah fisabilillah." Ketika ditanya: "Mengapakah tidak suka itu?" Jawabnya: "Kerana beratnya perhitungan hisab pada hari kiamat."
.
Anas bin Malik r.a. berkata Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tiap orang ada kesukaannya (pekerjaannya) dan kesukaanku fakir dan jidah, maka siapa suka pada keduanya bererti suka kepadaku dan siapa membenci keduanya itu bererti benci kepadaku."
.
Abul Laits berkata: "Seharusnya seorang muslim suka kepada orang fakir meskipun ia kaya, sebab cinta kepada orang fakir itu bererti cinta kepada Nabi Muhammad SAW dan juga Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad SAW supaya cinta kepada orang-orang fakir miskin sepertimana firman Allah SWT: "Dan sabarkan dirimu bersama-sama dengan orang-orang yang selalu berdoa kepada Tuhan pagi dan petang semata-mata kerana mengharap keridhaanNya." (QS Al-Kahfi: 28)
.
Sebab turun ayat ini kerana Uyainah bin Hishin Alfazari tokoh Bani Fazarah masuk berjumpa Nabi Muhammad SAW sedang di situ ada Salman Al-Farisi. Shuhaib bin Sinan Arrumi dan Bilal Al-Habasyi dan lain-lainnya dari kaum dhu'afaa' (yang lemah lembut), mereka dengan pakaian yang jelek dan berbau peluh mereka, maka Uyainah berkata: "Kami ini adalah bangsawan dan mempunyai harga diri, maka bila kami masuk kepadamu, maka keluarkan orang-orang itu sebab mereka mengganggu kami dengan bau dan berilah kepada kami waktu sendiri duduk bersamamu."
.
Maka Allah SWT melarang Nabi Muhammad SAW mengusir mereka dan diperintahkan supaya sabar berkumpul dengan orang-orang yang tidak meninggalkan sembahyang lima waktu kerana mengharap keridhaanNya. Allah SWT berfirman: "Dan jangan engkau palingkan pandanganmu dari mereka kerana menginginkan kemewahan dunia, dan jangan menurut kepada orang yang telah Kami lalaikan hatinya dari peringatan (ajaran) Kami, dan hanya menurutkan hawa nafsunya, maka semua urusan halnya sia-sia belaka." (QS Al-Kahfi: 28)
.
Dan perintah kepada Nabi Muhammad SAW ini berlaku kepada semua kaum muslimin sampai hari kiamat, kerana itu seharusnya tiap muslim harus suka dan baik kepada orang fakir miskin, serta berbudi kepada mereka kerana mereka orang-orang terkemuka di sisi Allah SWT dan dapat diharapkan syafaat mereka.
.
Al-Hasan r.a. berkata Nabi Muhammad SAW bersabda: "Pada hari kiamat kelak akan dihadapkan seorang hamba, lalu Allah SWT berkata lunak kepadanya sebagaimana seorang yang minta maaf kepada kawannya, maka Allah SWT berfirman: "Demi kemuliaan dan kebesaranKu, Aku tidak menyingkirkan dunia daripadamu kerana hinamu dalam pandanganKu, tetapi kerana Aku telah menyediakan untukmu kemuliaan dan kurnia. Keluarlah hai hambaKu ke barisan-barisan itu dan lihatlah siapa yang dahulu pernah memberi makanan atau pakaiannya kepadamu dengan ikhlas keranaKu." Maka peganglah tangannya dan ia hakmu, maka berjalanlah ia ditengah-tengah manusia yang sedang tenggelam dalam peluhnya, lalu melihat orang yang dahulu pernah berbuat baik kepadanya lalu dipegang tangannya dan dimasukkan ke syurga."
.
Al-Hasan r.a. berkata Nabi Muhammad SAW bersabda: "Perbanyaklah kenalan orang-orang fakir miskin dan berbudilah kepada mereka kerana mereka kelak akan mendapat kekuasaan." Sahabat bertanya: "Apakah kekuasaan mereka, ya Rasulullah?" Jawab Nabi Muhammad SAW: "Bila tiba hari kiamat maka dikatakan kepada mereka: "Perhatikan siapa yang dahulu pernah memberimu makanan atau minuman seteguk atau pakaian sehelai baju, maka peganglah tangannya dan tuntunlah kesyurga."
.
Abul Laits berkata: "Ketahuilah bahawa bagi orang fakir miskin itu akan mendapat lima kemuliaan iaitu:
1. Pahala amalnya lebih dari pahala amal orang-orang yang kaya dalam sembahyang, sedekah dan lain-lainnya
2. Jika ingin sesuatu dan tidak tercapai dicatat baginya pahala
3. Mereka lebih dahulu masuk syurga
4. Hisab mereka di akhirat lebih ringan
5. Kesesalan mereka sangat kurang sebab orang-orang kaya ingin seperti orang fakir diakhirat sedang orang fakir tidak ingin seperti orang yang kaya.
Dan semua keterangan ini ada keterangannya dari hadis-hadis
."
.
Zaid bin Aslam r.a. berkata Nabi Muhammad SAW bersabda: "Satu dirham untuk sedekah lebih afdal dari seratus ribu." Ditanya: "Bagaimana yang demikian, ya Rasulullah?" Jawab Nabi Muhammad SAW: "Seorang mengeluarkan dari kekayaannya yang sangat banyak seratus ribu dirham dan disedekahkan dan lain orang yang mengeluarkan satu dirham dari miliknya yang hanya dua dirham tiada ada yang lain dengan senang hati, maka orang yang mengeluarkan satu dirham lebih afdal dari yang seratus ribu dirham."
.
Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sukakah saya beritahu kepadamu tentang raja-raja di syurga?" Jawab mereka: "Ya, baiklah ya Rasulullah." Nabi Muhammad SAW bersabda: "Mereka orang-orang yang terhina dan teraniaya, yang tidak diterima untuk mengahwini wanita-wanita bangsawan dan hartawan dan tidak dibukakan bagi mereka pintu-pintu yang tertutup, mati seseorang dari mereka sedang hajatnya masih di dalam dadanya belum tercapai tetapi sekiranya sungguh-sungguh minta kepada Tuhan pasti Allah SWT akan memberi padanya."
.
Hatim Azzahid berkata: "Siapa yang mengakui empat tanpa empat, maka is dusta dalam pengakuannya iaitu:
1. Siapa yang mengaku cinta kepada Allah s.w.t. tanpa meninggalkan yang haram.
2. Siapa yang mengaku cinta kepada syurga tanpa mengeluarkan harta untuk taat kepada Allah s.w.t., maka ia dusta.
3. Siapa yang mengaku cinta kepada Rasulullah tanpa mengikuti sunnaturrasul maka ia dusta.
4. Siapa yang menginginkan darjat yang tinggi tanpa bersahabat kepada orang-orang fakir miskin, maka ia dusta
."
.
Seorang cendekiawan berkata: "Empat macam siapa yang ada didalamnya maka ia haram dari kebaikan iaitu:
1. Orang yang sombong kepada bawahnya,
2. Orang yang derhaka terhadap kedua orang tuanya,
3. Orang yang menghina orang-orang gharib (asing),
4. Orang yang menghina orang-orang miskin kerana kemiskinannya
."
.
Abdullah bin Umar r.a. berkata Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya makhluk yang sangat dikasihi oleh Allah SWT ialah orang yang fakir miskin sebab manusia yang amat dikasihi oleh Allah SWT ialah para Nabi, maka Allah SWT menguji mereka dengan kefakiran kemiskinan."
.
Abbas Bin Katsir dari Al-Hasan r.a. berkata: "Iblis laknatullah mengambil pertama wang emas (dinar) yang dibuat di atas bumi lalu diletakkan antara ketua matanya sambil berkata: "Siapakah yang cinta kepadamu, maka ia hambaku."
.
Abul Laits berkata: "Kewajipan seorang fakir ia harus mengerti terhadap kurniaan Allah SWT kepadanya, bahawa Allah SWT menghindarkan dunia daripadanya kerana mulianya di sisi Allah SWT, yang mana Allah SWT telah memuliakannya sebagaimana memuliakan para Nabi-nabiNya dan para Wali, dan mengucap Alhamdulillah dan tidak baginya dari dunia dan andaikan kefakiran tidak mempunyai kelebihan selain sekadar mengikuti kehidupan Nabi Muhammad SAW nescaya itu saja cukup besar."
.
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Thawwus dari Ibn Abbas r.a. berkata: "Ketika Nabi Muhammad s.a.w. duduk bersama Jibril a.s., tiba-tiba Jibril berkata: "Ini ada Malaikat yang turun dari langit yang belum pernah turun, dan ia minta izin kepada Tuhan untuk berziarah kepadamu." Maka tidak lama datanglah malaikat itu dan memberi salam: "Assalamu alaikum, ya Rasulullah SAW." Jawab Nabi Muhammad SAW: "Wa alaikum salam." Lalu malaikat itu berkata: "Allah SWT telah menyuruh engkau memilih antara diberi kunci dari segala sesautu dan diberi kekayaan yang belum pernah diberikan kepada seorang sebelummu dan tidak akan diberikan kepada seorang sesudahmu, tanpa mengurangi apa yang telah disediakan bagimu diakhirat atau dikumpulkan bagimu semua diakhirat (dihari kiamat)." Jawab Nabi Muhammad SAW: "Supaya dikumpulkan semua itu bagiku dihari kiamat sahaja."
.
Shafwan bin Salim dari Abdul Wahhab bin Bajid berkata Nabi Muhammad SAW bersabda: "Telah ditawarkan kepadaku dataran Mekah ini berupa emas perak, maka saya berkata: "Ya Tuhan, lebih baik saya kenyang sehari dan lapar sehari, maka memujiMu jika kenyang dan minta kepadaMu jika lapar."

Wallahua'lam.
.

03 Oktober 2009

5 KALIMAH KEBAHAGIAAN


1. Selalu mengucapkan kalimah tayyibah iaitu 'La Ilaha Illallah Muhammadar Rasulullah'. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atasnya, maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli Syurga, tetap kekal mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan." (QS Al-Ahqaf:13~14)

Sabda Rasulullah SAW: “Banyakkanlah berzikir kepada Allah pada setiap perkara kerana tidak ada amal yang paling dicintai oleh Allah dan tidak ada yang menyelamatkan seorang hamba daripada keburukan di dunia dan akhirat melainkan berzikir kepada Allah.”

2. Apabila ditimpa sesuatu musibah atau melihat kematian, ucapkanlah 'Innalillahi wa inna ilaihi rojiun'. Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah memperbanyakkan perkataan melainkan zikir kepada Allah. Sesungguhnya banyak ucapan yang bukan zikir kepada Allah menjadikan hati kesat. Orang yang paling jauh daripada Allah ialah orang yang mempunyai hati yang kesat.” (HR At-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah SAW: “Apakah tiada aku tunjukkan kepadamu kunci untuk membuka pintu daripada pintu-pintu syurga?” Kata sahabat: “Apakah kunci untuk pintu syurga itu?” Jawab Rasulullah SAW: “Dengan sentiasa menyebut “Lahaula-wala quwwata-illa billahil ‘aliyi-azim.” Zikir ini bermaksud 'Tiada daya, tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah'. Apabila zikir ini selalu disebut-sebut, insyaAllah seseorang itu akan diberi ketenangan dalam menerima ujian dan keredhaan daripada Allah SWT.

3. Apabila dikurniakan nikmat, maka ucapkanlah 'Alhamdulillah' sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Ucapan yang paling disukai oleh Allah ada empat iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, Wa la ilahaillallah, Allahu Akbar.”

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya dunia dan seluruh harta kekayaan yang berada di atasnya diserahkan ke tangan seorang daripada umatku, kemudian orang itu berkata 'Alhamdulillah', maka ucapan 'Alhamdulillah' itu lebih berharga daripada seluruh harta itu. Ini kerana harta dunia akan habis, tetapi ucapan 'Alhamdulillah' itu akan berkekalan selama-lamanya hingga akhirat.”

4. Ucapkanlah 'Bismillahir-rohmanir-rahim' ketika hendak memulakan sesuatu pekerjaan. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa setiap pekerjaan baik yang tidak dimulakan dengan menyebut nama Allah, maka pekerjaan itu tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: "Bahawa sesuatu perbuatan yang baik tanpa dimulai dengan Bismillah maka ia akan terputus dari rahmat Allah SWT."

5. Ucaplah 'Astaghfirullahal-azim' apabila berbuat dosa. Rasulullah SAW bersabda: “Perlukah aku beritahu kepadamu tentang suatu penyakit dan ubatnya kepada kamu? Sesungguhnya penyakit manusia itu adalah dosa, dan ubatnya adalah istighfar.” Sebagai manusia kita tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan dosa. Sebaik-baiknya segeralah beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membiasakan dirinya membaca istighfar, Allah akan melepaskannya daripada segala macam kesempitan dan terlepas daripada setiap kesusahan dan Allah memberi rezeki kepadanya dengan tidak disangka-sangka.” (HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Mudah-mudahan panduan ini dapat kita diamalkan untuk mendapatkan kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.
.
Wallahua'lam.
.

02 Oktober 2009

APABILA SOLAT MENJADI RITUAL SEMATA-MATA (HARIAN METRO, 2/10/09)


SATU peristiwa besar sekali gus bersejarah ini terukir dalam kitab suci al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud: "Maha Suci Allah, yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra': Ayat 1)

Umumnya, kita maklum mengenai rentetan peristiwa yang menunjukkan kebesaran Allah ini. Dengan kekuasaan-Nya, Allah menunjukkan kebesaran-Nya kepada manusia, melakukan sesuatu di luar hukum tabii (hukum alam) dan di luar kemampuan akal budi manusia.

Merenungkan kebesaran dan kekuasaan Allah dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj adalah sesuatu yang penting dalam rangka mengingatkan kita kepada jati diri sebagai manusia dan tugas menjalani hidup di dunia ini. Namun, yang tidak kurang pentingnya adalah sejauh mana kita mampu menangkap pengajaran daripada peristiwa luar biasa itu.

Kita maklum bahawa inti pertemuan Allah dan Nabi Muhammad SAW di Sidratul Muntaha adalah untuk diturunkan kewajiban yang paling asas dalam Islam iaitu melaksanakan solat lima waktu. Begitu pentingnya perintah solat ini bagi manusia sehingga solat diibaratkan sebagai 'tiang agama'. Jika tiang itu rosak atau kurang sempurna, agama seseorang pun mungkin akan roboh.

Pengertian solat yang sedemikian penting ini sudah tentu bukanlah pengertian solat dalam bentuk verbal (yakni perbuatan yang dimulai dari takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam) saja, akan tetapi solat dalam pengertiannya yang utuh, solat yang menjadi alat pembentukan moral dan peribadi sosial.

Hubungan antara solat dengan tanggungjawab sosial digambarkan Allah dengan Firman-Nya yang bermaksud: "Bacalah apa yang diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain)." (Surah Al-Ankabut: Ayat 21).

Berdasarkan pada ayat ini, jelas bahawa ibadah solat mempunyai kaitan dengan 'tanha 'anil fakhsya wal munkar' (gerakan mencegah segenap perbuatan keji yang merosak dan pelbagai bentuk kemungkaran). Dengan kata lain, solat yang sempurna dapat membentuk peribadi yang bersih serta memiliki kekuatan memperbaiki keadaan sosial dalam kerangka besar fastabiqul khairat (berlumba-lumba dalam berbuat kebajikan).

Namun batasan solat seperti ini nampaknya masih kurang diserap maknanya oleh masyarakat. Berkembang suburnya budaya rasuah, pakatan, kekerasan dan kezaliman merupakan satu fenomena yang sangat membimbangkan jika mengingatkan penduduk yang majoritinya beragama Islam. Keadaan ini membuktikan bahawa ibadah solat hanya dipandang sebagai ritual dan formaliti belaka, tidak ada kaitannya dengan masyarakat dan lingkungan hidup manusia. Padahal agama tidak pernah memisahkan antara kewajiban kepada Allah (Haqqullah) dan kewajiban kepada sesama manusia (Haqqul Adam).

Agama Islam diturunkan untuk membentuk manusia yang sedar akan jati dirinya sebagai seorang hamba, sekali gus sebagai agama yang menjamin kemaslahatan hidup manusia itu sendiri. Kualiti keimanan dalam Islam selalu dikaitkan dengan amal soleh. Solat dilekatkan dengan mencegah perbuatan keji dan mungkar. Puasa beriringan dengan perasaan peka terhadap sesama manusia. Zakat bertalian dengan kesedaran akan hak fakir miskin dan haji dikaitkan dengan perasaan kesetaraan manusia dan seterusnya.

Oleh itu, marilah kita menjadikan solat faktor utama melakukan perubahan dalam berbagai segmen kehidupan ke arah yang lebih baik. Mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahnya kepada kita semua, memberikan jalan taubat kepada serta menuntun kita dalam mewujudkan baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur di tengah-tengah negara yang dilanda krisis ini.
.

01 Oktober 2009

LIDAH TERGAMAM APABILA TANGAN BERTUTUR


Kehidupan di dunia ibarat sebuah madrasah pengajian, segala ilmu diajar untuk memberi peluang kepada manusia bagi melengkapkan perbendaharaan ilmu masing-masing. Allah SWT menyediakan tenaga pengajar yang cukup mahir terdiri daripada para Rasul2 dan juga Nabi2 AS dan kemudiannya disambung pula tugas mulia itu oleh para ulama sehingga hari kiamat.

Justeru Allah SWT telah melengkapkan segala keperluan untuk manusia melepaskan diri dari kejahilan, sehingga tidak seorang pun di Padang Mahsyar kelak boleh berdalih untuk menyatakan bahawa tidak ada kemudahan untuk menimba ilmu, dan tidak mungkin dapat menafikan bahawa para rasul telah melaksanakan tugasnya dengan sempurna, kerana setiap rasul itu memiliki sifat tabligh yakni menyampaikan setiap wahyu yang disampaikan oleh Allah SWT melalui Jibril AS.

Para rasul sudah menyediakan garis panduan yang selengkapnya, dan menunjukkan jalan-jalan lurus dan selamat untuk dilalui oleh manusia. Setelah dibentangkan di hadapan mereka jalan yang lurus, para rasul juga memberikan beberapa amaran adanya bahaya jalan yang berliku dan bersimpang-siur itu agar manusia waspada kerana jalan yang bersimpang-siur itu boleh menyebabkan manusia tersesat jalan. Firman Allah SWT: "Dan bahawa inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu tempuhi jalan yang lain, kerana jalan yang bersimpang-siur itu akan mencerai-beraikan (menyesatkan)kamu dari jalanNya . Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa." (QS Al-An'am:153)

Setelah dibentangkan di hadapan mereka jalan yang lurus andainya masih ada juga yang menyimpang ke jalan yg membawa mereka ke arah kesesatan, tiada siapa yang patut dipersalahkan melainkan diri sendiri serta mengakui bahawa mereka tidak mematuhi setiap petunjuk arah yang telah disediakan di sepanjang jalan itu. Ketika manusia terdampar di Padang Mahsyar dan mengharungi kesengsaraan yang amat dahsyat, ramai dikalangan penghuni Mahsyar yang terkenangkan kehidupan di dunia. Mereka menyesali diri kerana memandang sepi seruan para Rasul dahulu dan bersikap dingin terhadap seruan dakwah oleh para ulama terhadap para penyeru ke jalan Allah. Setelah mereka menyaksikan setiap perkara di Mahsyar, teringatlah akan kebenaran hari Kiamat yang dinyatakan oleh para Rasul dahulu.

Di Padang Mahsyar, umat manusia yang datang dalam keadaan berdosa akan merintih merayu kepada Allah SWT agar memberi peluang mereka kembali ke dunia walau sejenak untuk memperbaiki keimanan dan melakukan amal soleh, seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran: "Dan (alangkah ngerinya ) jika sekiranya kamu melihat orang-oranng yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, mereka berkata: "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar , maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin." (QS As-Sajdah:12)

Kesedaran yang terlewat hanyalah penyesalan yang tidak berguna lagi kerana bumi untuk tempat kembali itu sudah hancur. Manusia ingin pulang ke dunia, tetapi tidakkah mereka datang dari dunia? Apakah yang menyebabkan mereka mengabaikan kesempatan yang Allah SWT berikan untuk hidup di dunia dahulu? Rasulullah SAW bersabda: "Di hari akhirat Tuhan akan bertanya kepada setiap manusia: Hai manusia, bukankah Aku telah kurniakan kepada engkau kemeriahan masa remaja? Untuk apakah kamu habiskan masa remajamu? Tidakkah Aku telah kurniakan umur yang panjang? Untuk apa umurmu itu kamu pergunakan? Bukankah telah Aku kurniakan rezeki yang melimpah? Tetapi untuk apa kamu habiskan harta itu? Bukankah Aku telah berikan kamu ilmu? Tetapi untuk apa ilmu itu kamu gunakan."

Empat soalan penting yang dikemukakan oleh Allah SWT di akhirat ialah yang pertamanya mengenai alam remaja, suatu lembaran hidup selepas bermulanya taflik syarak. Tuhan tidak menanyakan seseorang tentang alam kanak-kanak kerana usia kanak-kanak belum diberi beban atau tanggungjawab memikul suruhan dan larangan yg terkandung di dalam syariat. Alam remaja merupakan zaman kejutan kepada suatu perubahan emosi, saat remaja mulai terdedah dengan persoalan kejantinaan. Suatu cabaran baru mengenai panduan, kawalan dan kejayaan dalam menghadapi masa remaja bergantung kepada sejauh mana kefahaman supaya mampu mengendalikan kehidupan yang lurus. Runtunan masa remaja akan menjadi asas yang kukuh untuk menghadapi cabaran usia yang berikutnya, tetapi kegagalannya akan menjadi titik hitam yang merumitkan, terutama ketika menyediakan jawapan terhadap soalan-soalan yang bakal dikemukakan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak.

Apabila menempuh usia dewasa dan hari tua bererti Allah SWT telah mengurniakan umur yang panjang. Mengharungi kehidupan yang panjang bererti lebih banyak peranan yang harus dipikul dan dilaksanakan. Sebagai individu insan, berbagai kelengkapan perlu disediakan, iaitu iman yang berasaskan ilmu wahyu, amal soleh merupakan buah kepada ilmu.

Sebagai ketua keluarga dia adalah 'murabbi', yang memikul peranan dan tanggungjawab memimpin rumahtangga, mengasuh keluarga dengan didikan berasas ketaqwaan. Sebagai anggota masyarakat, dia mempunyai peranan sebagai pemimpin yang mengajak manusia ke arah mematuhi ajaran Islam, atau menjadi manusia yang sedia dipimpin dalam suatu wadah perjuangan Islam. Terlaksanakah semua beban kewajipan itu?

Selain itu, Tuhan menjanjikan rezeki kepada setiap hambaNya yang diciptakan di muka bumi ini. Manusia yg mempunyai peranan sebagai khalifah, adalah makhluk istimewa yang dikurniakan berbagai kekayaan dunia, sama ada kekayaan yang terpendam di perut bumi, kekayaan di lautan, kekayaan di daratan dan juga kekayaan di udara. Tetapi semua itu hanyalah merupakan alat-alat yang mesti dipergunakan untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Bagaimana cara mendapatkan kekayaan harta tersebut, sama ada dengan cara betul dan halal atau cara yang terlarang? Untuk apa pula dipergunakan harta yang melimpah ruah, adakah untuk menjadi penghimpun kekayaan dan lupa daratan seperti Qarun? Segala yg bersangkutan dengan harta kekayaan Allah kurniakan itu, adalah di antara soalan yang mesti dijawab di Padang Mahsyar kelak. Harta halal yang terhimpun banyak, akan melambatkan seseorang masuk syurga sebaliknya harta yang diperoleh dengan cara haram, akan menjadi api pembakar untuk dirinya sendiri di dalam neraka jahannam, nauzubillahi min zalik!

Persoalan ke empat di dalam hadis tersebut ialah mengenai ilmu. Allah SWT bertanya: "Bukankah Aku telah kurniakan engkau ilmu? Bagaimanakah ilmu itu dimanfaatkan?" Sesungguhnya Allah SWT menjadikan manusia sebagai makhluk istimewa mengatasi makhluk yang lain hatta malaikat sekalipun, tidak lain kerana manusia dikurniakan ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT: "Dan Dia mengajarkan kepada Adam (ilmu) nama-nama (benda) seluruhnya, kemudian mengemukakan kepada para Malaikat alaihimussalam lalu berfirman: "Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kamu memang dari golongan yang benar." (QS Al-Baqarah:31) Ternyata cabaran Allah SWT terhadap para Malaikat tentang kelebihan ilmu pengetahuan yang dikurniakan kepada Nabi Adam AS itu tidak dapat disahut oleh Malaikat, sebagaimana pengakuan para Malaikat yang dinyatakan oleh Al-Quran: "Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana." (QS Al-Baqarah:32)

Allah SWT mengiktiraf orang-orang yang berilmu kerana dengan ilmu itu Allah SWT telah mengangkat mereka ke satu martabat yang tinggi, sebagaimana firman Allah: "... Nescaya Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. .." (QS Al-Mujadalah:11) Di samping itu, Allah SWT juga menyifatkan orang yang jahil itu sebagai seteruNya seperti yang diperjelaskan oleh Rasulullah SAW: "Orang alim itu adalah kekasih Allah sekalipun dia fasik, sementara orang yang jahil itu adalah seteru Allah meskipun dia seorang 'abid."

Meskipun demikian Allah SWT akan mempersoalkan juga tentang ilmu yang di kurniakan olehNya terhadap hambaNya, kerana ilmu juga boleh digunakan untuk kebaikan yang memberi manfaat dan mengangkat darjat manusia. Sebaliknya, ilmu juga boleh disalah gunakan sehingga mendatangkan malapetaka dan kemudaratan terhadap manusia sendiri.

Demikianlah di antara beberapa perkara yang akan ditanya oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak, malah perilaku dan amalan baik atau sebaliknya tidak akan terkecuali walau sebesar zarah sekalipun. Firman Allah SWT: "Dan demi Tuhanmu, Kami pasti akan menyoal mereka semuanya. Tentang apa yang telah mereka kerjakan." (QS Al-Hijr:92-93)

Soalan di Padang Mahsyar bukanlah soalan bertaraf ijazah yang bagaimana sulitpun pasti akan dijawab oleh mereka yang menguasai ilmu. Sesungguhnya soalan di Padang Mahsyar tidak akan terjawab oleh lidah. Lantaran itu, lidah yang petah tidak akan bermanfaat lagi. Sebaliknya yang bakal menjawab adalah setiap anggota, iaitu tangan, kaki, dsb. yang akan menjadi saksi bagi mengesahkan amalan semasa hidup mereka di dunia. Firman Allah SWT: "Pada hari Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksian kaki-kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan." (QS Ya Sin: 65) Sesungguhnya tergamamlah lidah apabila tangan dan anggota-anggota lain memberi kesaksian terhadap berbagai dosa yang telah dilakukan semasa di dunia dahulu.

Wallahua'lam.
.