UMAT Islam seharusnya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana diberi kesempatan sekali lagi untuk berada di bulan mulia yang penuh keberkatan, iaitu bulan Ramadan 1430 Hijrah. Ramadan mempunyai banyak keistimewaan terutama pada ibadat puasa, dipertanggungjawabkan ke atas setiap individu Islam yang mencukupi syarat kewajipannya.
Pada bulan mulia ini diturunkan al-Quran, dihapuskan dosa dan dilimpahi ganjaran berganda, malah terdapat satu malam yang sangat baik berbanding 1,000 bulan iaitu malam al-Qadar yang dikhususkan kepada orang beriman. Sesuai dengan kelebihannya itu, Ramadan dikenali juga bulan kerahmatan dan kemenangan, bulan keampunan, pembebasan daripada api neraka dan bulan ibadat, lebih-lebih lagi pada Ramadan dikhaskan dengan solat sunat Tarawih.
Keistimewaan Ramadan ini dapat dilihat melalui kenyataan Rasulullah s.a.w, antaranya sabda Baginda yang bermaksud: "Pada malam pertama Ramadan, akan dibelenggu segala syaitan, ditutup semua pintu neraka dan dibuka semua pintu syurga. Kemudian datanglah seruan: Wahai orang yangmenginginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang mengingini kejahatan, berhentilah. Pada setiap malam (Ramadan), Allah membebaskan segolongan hamba-Nya daripada api neraka." (Hadis riwayat At-Tirmizi)
Begitupun, tiada yang lebih istimewa pada bulan Ramadan selain ibadat puasa iaitu satu ibadat yang mempunyai ciri dan hikmah tersendiri berbanding dengan ibadat lain. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa berpuasa bulan Ramadan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada Allah, diampunkan baginya dosa yang telah lalu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibadat puasa adalah ujian ketahanan iman serta akidah untuk kita melakukan suatu pengislahan (penambahbaikan). Walaupun ibadat lain tidak kurang dan tidak dapat kita nafikan kebaikannya tetapi menjadi tabiat manusia apabila sesuatu itu dapat dilihat, maka ia akan ditonton dan dipertontonkan. Sesuatu yang ditonton dan dipertontonkan kadangkala akan menimbulkan perasaan riak, sombong ataupun ingin dipuji dan disanjung, sedangkan sifat seumpama ini akan hanya menjejaskan kemurnian ibadat itu sendiri. Oleh kerana hakikat ibadat puasa ini tidak dapat ditonton dan tidak dapat dipamerkan, dengan sendirinya seseorang ingin dipuji dan dipuja ataupun mahu menunjukkan riak itu tadi tidak dapat berbuat demikian, sebaliknya menjurus kepada pembinaan sifat positif dalam diri seperti ikhlas dan berkasih sayang.
Sifat seumpama inilah menjadi senjata yang dapat memperbetulkan diri dan masyarakat kita. Apabila kita dapat memperbetulkan diri, barulah kita mampu dan berupaya untuk memperbetulkan keluarga dan masyarakat. Kita tidak mungkin dapat memperbetulkan keluarga, jika kita tidak dapat memperbetulkan diri kita terlebih dahulu. Kita juga tidak dapat melihat masyarakat yang subur dengan nilai kebaikan, jika diri kita tidak menyumbang ke arah itu.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan