Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


15 Ogos 2009

BIMBINGAN MUKMIN: DUA KALIMAH SYAHADAH SEBAGAI SALAH SATU DASAR ISLAM


Aqidah para ahli-sunnah terhadap Zat Allah Ta’ala yang Maha Suci, ialah bahawa Allah Tuhan yang Esa tiada sekutu bagiNya. Dia Qadim (lama) tiada awal bagi wujudNya, dan WujudNya pula terus-menerus tiada akhir bagiNya. Dia Kekal tiada luput sama sekali, Dia tetap bersifat agung dan sifat keagunganNya akan berterusan, tiada akan musnah atau terputus dengan terluputnya berbagai-bagai abad, atau berlalunya bermacam-macam waktu.

Bahkan Dialah Allah yang Awal dan yang Akhir, yang Lahir dan yang Batin dan Dialah Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Tuhan Allah bukanlah semacam jisim (rupa) yang dapat digambarkan. Dia tiada menyamai apa pun yang maujud (ada), begitu pula yang maujud itu tiada boleh menyerupaiNya.

Dia tiada dilingkari oleh seluruh penjuru dan arah. Dia tiada pula bertempat, sama ada dalam lapisan-lapisan bumi atau langit, malah Dia beristiwa’ (memerintah) di atas Arasy mengikut keadaan yang Dia telah firmankan, atau dengan makna yang Dia kehendaki. Dia berada di atas Arasy dan langit, malah di atas segala sesuatu hingga ke batasan bumi. KetinggianNya tiada menjadikanNya lebih dekat kepada Arasy dan langit, sebagaimana semua itu juga tiada menambahkanNya jauh dari bumi dan tanah. Bahkan Allah tetap Maha Tinggi darjatNya dari Arasy dan langit, sebagaimana Dia juga Maha Tinggi darjatNya dari bumi dan tanah.

Walau bagaimanapun, Dia tetap dekat kepada yang maujud, dan lebih dekat kepada hambaNya dari urat leher hamba itu sendiri. DekatNya kepada hambaNya tidak serupa dengan dekatnya jisim kepada manusia, begitu juga dengan ZatNya yang tiada serupa dengan zat jisim manusia. Dia tiada bertempat di sesuatu benda, demikian pula benda tiada bertempat pada ZatNya. Maha Suci Allah dari dilingkari oleh sesuatu tempat, sebagaimana Maha SuciNya Dia dari dibatasi oleh sesuatu zaman. Bahkan Dia telah Ada sebelum terciptanya masa dan tempat lagi, dan adaNya Dia sekarang adalah sama seperti keadaan sebelumnya juga.

Di dalam ZatNya, Dia telah dibuktikan kewujudanNya oleh akal fikiran, dan ZatNya dapat dilihat oleh pandangan nanti di kemudian hari di tempat tinggal yang abadi (syurga). Hal itu merupakan suatu nikmat dari Allah dan belas kasihanNya untuk orang-orang yang berbakti kepadaNya, dan sebagai penyempurnaan kenikmatan daripadaNya ialah pengurniaanNya untuk melihat wajahNya yang Maha Mulia.

Dan bahawasanya Allah Ta’ala itu Maha Hidup, Maha Berkuasa, Maha tinggi dan Maha Memaksa, tiada didatangi kecuaian atau kelemahan, tiada dihinggapi kelalaian atau ketiduran dan tiada terkena kehancuran atau kematian. Dialah satu-satunya yang menjadikan dan menciptakan, satu-satunya yang mengadakan dan membentuk Dialah Maha mengetahui akan segala sesuatu yang telah diketahui, ilmuNya meliputi segala apa saja yang berlaku di dalam dasar bumi hingga ke atas langit, tiada sesuatu pun yang terlepas dari ilmuNya sekalaipun seberat atom, sama ada di dalam bumi atau di pucuk langit.

Bahkan Dia Mengetahui gerak-geri seekor semut yang hitam di atas batu yang licin di malam hari yang gelap-gelita. Dia Mengetahui juga gerakan sebutir debu di tengah-tengah cakerawala ini. Dia Mengetahui yang rahasia dan yang tersembunyi. Dia dapat menyingkap akan perkara-perkara yang terlintas di dalam diri dan gerak-geri hati dan segala rahsia yang disembunyikan; iaitu dengan ilmuNya yang Qadim Azali yang sentiasa Dia masih bersifat dengannya sejak di dalam Azalil-Aazal.

Dan bahawasanya Allah Ta’ala itu Maha menghendaki ke atas semua yang dijadikanNya, dan Maha Pengatur terhadap segala yang diciptakanNya. Tiada boleh berlaku sesuatu pun dalam kerajaanNya atau kekuasaanNya, melainkan dengan ketentuanNya dan kudratNya, dengan hikmatNya dan kemahuanNya. Apa yang Dia kehendaki akan berlaku, dan apa yang Dia tiada menghendaki tidak akan berlaku. Tidak akan ada yang dapat menentang perintahNya, dan tidak akan ada sesiapa yang dapat menolak terhadap hukumNya.

Dan bahawasanya Allah Ta’ala itu Maha Mendengar dan Maha Melihat. Tiada satu pun yang bakal terhalang dari pendengaranNya sesuatu yang terdengar sekalipun yang amat samar, dan tiada satu pun yang bakal tertabir dari pemandanganNya sesuatu yang terlibat sekalipun yang amat halus. PendengaranNya tidak akan terhalang kerana jauh, dan pemandanganNya tidak akan tertutup kerana gelap. PendengaranNya dan pemandanganNya tiada menyerupai pendengaran dan pemandangan makhlukNya, sebagaimana ZatNya juga tiada menyerupai zat makhlukNya.

Dan bahawasanya Allah Ta’ala itu Maha Berkata-kata, Maha Memerintah, Maha Melarang, Maha Mengingatkan dan Mengancam, dan bahawasanya al-Quran, Taurat, Injil dan Zabur itu adalah kitab-kitabNya yang diturunkan ke atas para RasulNya alaihimus-salam membawa percakapanNya yang merupakan sifat bagi ZatNya dan bukanlah sifat bagi makhlukNya. Dan sesungguhnya al-Quran itu adalah Kalamullah yang bukan makhluk (diciptakan) sehingga ia boleh binasa, dan bukan pula sifat bagi makhlukNya sehingga ia boleh punah.

Dan bahawasanya Allah Ta’ala itu Maha Esa, tiada sesuatu yang ada selainNya, bersifat Hadis (baru) yang terjadi dengan perbuatanNya, yang menerima dari keadilanNya dalam rupa yang paling sempurna, paling lengkap dan paling adil.

Dan bahawasanya Allah Ta'ala itu Maha Bijaksana dalam segala perbuatanNya, Maha Adil dalam segala keputusanNya. Dan segala sesuatu selain Allah dari bangsa manusia, jin, malaikat, langit, bumi, binatang, tumbuh-tumbuhan, benda-benda padat yang dapat dilihat atau dapat dirasakan, semuanya itu adalah Hadis (baru) yang dicipta oleh Tuhan dengan kekuasaanNya daripada tidak ada menjadi ada. Dan dijadikanNya pula dalam bentuk yang paling sempurna, yang pada asalnya tidak ada, sebab yang ada di dalam azal itu hanya Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala saja dan selainnya tidak ada bersamaNya. Maka Allah telah menjadikan makhluk sesudah itu, sebagai tanda kekuasaanNya dan untuk merealisasikan apa yang terdahulu dari kemahuanNya, dan apa yang ditentukan di dalam azal dari kalimatNya, bukan kerana Dia berhajat penciptaan itu atau memerlukannya. Bila Allah berkehendakkan untuk menjadikan atau menciptakan atau membebankan, bukanlah itu merupakan suatu kewajiban ke atasNya.

Begitu pula bila Dia memberikan nikmat dan membuat kebaikan, bukanlah juga disebabkan suatu kemestian atasNya. Hanya bagiNyalah segala keutamaan dan kebaikan, kenikmatan dan kekurniaan.

Dan bahawasanya Allah azzawajalla itu memberi pahala kepada hamba-hambanya yang beriman ke atas segala ketaatannya, ialah sebab kemurahatian dan janjiNya bukan sebab kewajiban atasNya. Kerana tidak wajib atas Allah sesuatupun terhadap manusia, dan tiada tergambar dariNya sesuatu kezaliman pun. Begitu pula tidak wajib atas Allah satu hak pun kepada manusia, melainkan hak Allah yang merupakan ketaatan menjadi wajib mutlak atas manusia.

Dan kewajiban itu ditentukan setelah penerimaannya dari para NabiNya alaihimus-salam, dan bukan dengan secara akal-fikiran belaka. Untuk urusan ini, Allah telah mengirimkan para Rasul kepada mereka dan telah melengkapkannya dengan berbagai-bagai mukjizat yang nyata. Para Rasul itu telah pun menyampaikan perintah dan larangan Allah serta janji dan ancamanNya. Maka dengan itu wajiblah atas makhluk membenarkan apa yang mereka membawanya.

Dan bahawasanya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengutus nabi yang ummi (tidak pandai tulis-baca) dari keturunan Quraish, iaitu Muhammad SAW. Perutusan Muhammad itu kepada sekalian bangsa Arab dan Ajam, jin dan manusia, dan dengan perutusannya, maka berakhirlah semua perutusan para Rasul dan para Nabi. Bagindalah menjadi penyudah sekalian para Rasul, pembawa berita yang menggembirakan dan yang menakutkan dan penyeru kepada jalan Allah dengan izinNya, dan sebagai pelita yang memberikan cahayaNya. Allah menurunkan ke atas baginda kitabNya yang penuh hikmat yang memberikan penerangan tentang agamaNya yang lurus dan menunjukkan kejalan Shirathil-Mustaqim (jalan yang betul). Allah telah mewajibkan ke atas semua makhluk, agar mempercayai baginda dengan apa yang diberitakannya.

Dan bahawasanya Hari Kiamat itu pasti akan tiba juga, tiada boleh diragukan lagi, dan bahawasanya pada hari itu Allah Subhanahu wa Ta’ala akan membangunkan segala sesuatu yang telah mati, serta mereka akan kembali hidup semula seperti keadaan mereka sebelum itu.

Dan bahawasanya Allah Ta’ala telah menciptakan syurga yang disediakan sebagai tempat tinggal yang kekal bagi orang-orang yang dikasihiNya, dan mereka itu nanti akan diberikan kemuliaan dengan kurnia yang terbesar, iaitu melihat wajahNya yang Maha Mulia itu. Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mencipta nereka pula yang disediakan sebagai tempat tinggal yang kekal bagi orang-orang yang mengkufuriNya, dan menentang keterangan-keteranganNya, tiada mempercayai kitab-kitabNya dan para RasulNya, dan mereka itu nanti akan terhalang dari dapat melihat wajah Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Petikan: 'Bimbingan Mukmin' (Mau'izhatul Mu'minin min Ihya' Ulumiddin) oleh Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali)
.

Tiada ulasan: