Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


22 Februari 2008

KEASLIAN TASAUF

Oleh : Syeikh Hubaib
Assalamualaikum Kepada Para Ikhwan Yang Dikasihi.
Firman Allah SWT : "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat dan benar (dalam segala hal), supaya ia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu."
Para Ikhwan yang dikasihi, segala yang berlaku (dalam kehidupan) tidak lain adalah untuk menguji hati-hati hambaNya sama ada benarkah iman mereka atau tidak. Bagi orang yang beriman, apabila berlaku sesuatu perkara, mereka mengatakan, "Sesungguhnya ia datang dari Allah dan kembali kepada Allah SWT". Di sini kita perlu berpegang pada akhlak tasauf yang menekankan mujahadah dengan kesabaran, keredhaan dan tawakal kepadaNya. Apa yang perlu kita lakukan ialah muhasabah diri kita, kesilapan kita sebelum kita menuding sepenuhnya pada yang lain. Para Ikhwan sekalian, saya perhatikan bahawa kebanyakan para penuntut Ilmu Tasauf yang ingin menempuh perjalanannya jahil dalam beberapa kaedah Ilmu Tasauf dan adab-adab dalam berguru serta kesalahan dalam pentafsiran tentang istilah tasauf, tarekah, syeikh, salsilah, karamah, kasyaf, ilham, mimpi, kisah para Auliya', matlamat dan tujuan bertasauf. Di sini saya menggariskan beberapa perkara yang boleh (menyumbang kepada) berlakunya penyelewengan berdasarkan penelitian dan pengalaman saya yang beberapa kali terperangkap dengan guru dan pengajaran yang tidak membawa kepada tujuan tasauf hakiki, malah boleh membahayakan akidah.
1. Keikhlasan
Sabda Nabi SAW : "Bermula amal itu dengan niat." Niat yang ikhlas adalah semata-mata mendapatkan redha Allah SWT. Lafaz yang masyhur di kalangan para ahli sufi ialah "Illahi anta maqsudi waridhaka matlubi", maksudnya "Tuhanku, tiada lain yang ku maksudkan, dan keredhaan Engkaulah yang ku cari." Apa yang berlaku, ramai di kalangan penuntut Tasauf telah subahat dalam mencari keredhaanNya. Mereka inginkan kelebihan dalam bentuk maqam seperti menjadi para auliya', Sultan Auliya', penghubung dengan Imam Mahadi, setiausaha wali-wali, khalifah, syeikh, karamah, kasyaf, firasat, perubatan, bersahabat dengan auliya' yang ghaib, dengan jin, malaikat dan sebagainya. Justeru itu mereka mencari dan menilai kehebatan dan kebenaran Guru berdasarkan hal-hal tersebut. Itulah ukuran kebenaran Guru mereka sehingga hal ini menjadi tajuk awal dan perbincangan di antara mereka. Disinilah (pada permulaannya) sudah rosak, apabila permulaannya tidak betul ia akan berakhir dengan natijah yang tidak betul. Niat-niat yang seperti itu tidak lain adalah niat mencari keduniaan. Ia tidak lari dari perasaan inginkan kemasyhuran atau dimuliakan oleh manusia. Apabila niatnya bersubahat dengan hal-hal dunia, ia tidak akan mendapat natijah yang benar. Apabila ia berzikir, zikirnya tidak akan membentuk sifat hati yang mulia sehingga tersingkap hatinya dengan rahsia Tuhan, ia terhijab dengan nafsu kebodohannya dengan nilai yang rendah dalam kaca mata para 'ArifbiLlah. Biasanya para murid yang mempunyai perasaan seperti ini berada dalam martabat nafsu ammarah, lawammah dan malhamah. Apabila niat ingin mencari hal tersebut, mereka sebenarnya telah membuka pintu syaitan untuk masuk ke dalam jiwanya sehinggalah ia membawa pengamal zikir tersebut kepada penyelewengan tanpa disedari. Guru-guru yang haq wajib menutup pintu tipu daya syaitan yang ada pada muridnya dengan tidak menunjuk atau menceritakan kelebihan apa-apa yang dikurniakan Tuhan, serta melarang hal ini dibicarakan kerana bimbang tercedera hati para muridnya dalam menuju Tuhan. Ia wajib memastikan hati muridnya sentiasa ikhlas dalam membersihkan diri menuju Allah. Apabila Guru tersebut suka membuka kelebihan dirinya, suka menceritakan tentang karamah walaupun karamah tersebut dari para auliya' sekalipun dan tidak melarang ianya menjadi tajuk perbincangan, maka tinggalkan guru tersebut kerana ia bukannya Guru Mursyid yang hakiki, ia masih ahli dunia. Nabi SAW bersabda: "Tidaklah berbicara seseorang itu akan sesuatu hal melainkan ia kasih padanya". Membicarakan kelebihan atau memesongkan matlamat tasauf kepada hal-hal yang lain sehingga murid menyangka apabila mereka dapat berubat, dapat melihat alam kubur, dapat berjumpa Nabi, dapat melihat wali yang ghaib dan sebagainya, mereka mengatakan mereka sudah tinggi dan mencapai maqam (tertentu), padahal perkara tersebut bukannya dapat menentukan kedudukan dan ketinggiannya, malah di sana adanya tipu daya yang makin menyuburkan nafsu takaburnya. Apabila keegoannya bertambah, maka semakin jauhlah ia dengan Allah SWT, malah syaitanlah yang menjadi sahabatnya. Saya melihat sendiri bagaimana akhlak guru yang Haq ketika berdamping dengan mereka. Ia amat takut berlakunya hal-hal kelebihan (diri) dilihat oleh murid, malah guru saya, Tuan Guru Haji Ismail Bukit Payung telah diberi amaran keras oleh gurunya iaitu Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal, seorang ulama dan sufi terkenal supaya tidak menceritakan kelebihan yang dilihatnya pada murid yang lain apabila bergaul dengannya. Telah berkata Ibnu 'Athaillah: "Barangsiapa yang ingin manusia mengetahui kelebihan yang ada pada dirinya, dia tidak ikhlas dalam menuju pada Allah SWT." Berkata Ibrahim Adham: "Siapa yang ingin kemasyhuran, ia tidak ikhlas." Berkata Ibnu 'Athaillah lagi: "Sesiapa yang mencintai karamah, tanda ia jauh dengan Tuhan kerana karamah adalah hal dunia." Karamah dalam pandangan ahli sufi tidak lain hanyalah untuk menambah keyakinan para arif tadi pada Allah, sebagaimana Nabi Ibrahim (a.s) meminta Allah menunjukkan kepada baginda bagaimanakah manusia dicantumkan kembali tubuh badan mereka. Adapun di zaman sahabat radiaLlahu anhum, mereka tidak perlu kepada karamah kerana keimanan yang ada pada mereka begitu tinggi dan mukjizat Nabi SAW menenggelamkan segala kelebihan yang dimiliki oleh mereka.
2. Ilmu
Niat yang baik jika tidak berdasarkan ilmu yang haq juga boleh menyebabkan berlakunya penyelewengan. Sabda Nabi SAW: "Ilmu itu imamnya amal, sedangkan amal makmumnya." Berkata Saidina Ali karamaLlahu wajhah: "Kenalilah Islam dahulu barulah kamu kenal manusia, nescaya kamu boleh melihat kebenaran dan kebatilannya. Jika kenal manusia dahulu baru Islam, nescaya kebenaran Islam hanya dilihat melalui kata-kata dan perbuatannya walaupun ia adalah batil." Disini Saidina Ali meminta kita memahami kebenaran melalui KitabuLlah, Sunnah RasulNya, Sahabat-Sahabat dan dari kitab Ulama-Ulama yang muktabar. Dengannya kita boleh menilai kebenaran seorang manusia sama ada ia benar atau dusta. Pernah berlaku pada Abu Yazid Al-Bustami apabila didengar di satu tempat ada seorang 'Arifbillah, lantas dia mengajak muridnya pergi menziarahi orang tersebut untuk mendapat mutiara-mutiara hikmahnya. Apabila sampai sahaja di sana, ia melihat lelaki tersebut meludah ke arah kiblat ketika keluar dari masjid. Apabila dilihat sahaja hal tersebut, beliau terus pulang tanpa berjumpa dengan orang itu, lalu mengatakan kepada muridnya bahawa jika (benar) ia seorang yang arif, ia tidak akan meludah ke arah kiblat. Wahai Ikhwan, dalam menuntut ilmu, kita tidak boleh bersandarkan emosi seperti kasih sayang, hubungan keluarga, sahabat atau mengenangkan jasa-jasa dan sebagainya tetapi mesti bersandarkan kebenaran. Kesilapan yang besar berlaku dikalangan murid adalah melihat benar atau tidak seseorang itu berdasarkan kelebihan, cerita yang ia didampingi wali-wali ghaib, adanya guru ghaib, adanya Nabi Khidir atau Syeikh Abdul Qadir Jalani sebagai guru, atau mendakwa ia boleh terbang atau berjalan atas air, kasyaf dan sebagainya. (Sedangkan) kebenaran yang harus dilihat adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Quran bahawa orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang bertakwa. Ketakwaannya akan dapat dilihat dengan lahirnya sifat warak, sabar, redha, tawakal, ikhlas, tawadhuk, kasih sayang, zuhud, tenang, syukur, pemaaf dan berakhlak baik dengan ibu bapa, ahli keluarga dan begitu cinta untuk mengamalkan Sunnah Nabi SAW. Nabi SAW bersabda: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, barang siapa yang berpegang kepada kedua-duanya, ia tidak akan sesat selamanya (iaitu) Al-Quran dan As-Sunnah." Jauhi guru yang mendakwa dirinya mempunyai dampingan ghaib dalam memimpinnya, kerana seorang yang warak akan meninggalkan perkara yang tidak nyata kebenarannya. Alam ghaib adalah alam yang penuh dengan tipu daya. Syaitan sanggup bersabar (selama) 70 puluh tahun untuk menipu manusia, apalagi guru yang mempunyai pengikut yang ramai, (sudah tentu) syaitan memberi tumpuan (yang lebih) kerana bila tertipunya guru, maka tertipu semua murid kecuali mereka yang dirahmati Allah SWT. Ia memberi kebenaran selama 70 tahun sehingga guru tersebut amat yakin ia adalah benar. Apabila ia sudah mendapat keyakinan, disitulah jarum penipuan yang halus akan bermula sehingga tidak disedari guru tadi. Apakah lagi perkara yang lebih tinggi dari Nas dan Sunnah Nabi SAW? Apabila guru berilmu dan kuat berpegang pada syariah tanpa menghiraukan bisikan-bisikan atau petunjuk-petunjuk ghaib, ia membawa jalan keselamatan. Syaitan tidak boleh menipu orang yang kuat pegangannya pada syariat Nabi yang zahir dan batin. Guru yang tidak mantap ilmu dalam permasalahan ilmu syariah dan kitab-kitab muktabar dalam perjalanan tasauf amat mudah terpedaya. Mereka menjadikan dampingan yang ghaib, ilham, kasyaf, firasat, mimpi sebagai hujah dalam menentukan kebenaran sehingga ada dikalangan mereka yang menolak hadis sahih apabila bercanggah dengan ilham yang mereka terima. Ini amat bahaya, malah guru itu kadangkala tidak sedar dirinya tertipu, apalagi murid. Justeru itu ramai guru dahulu amat mementingkan ilmu syariah dan hakikat dalam dada anak muridnya supaya menjadi penasihatnya apabila melihat ia tersalah. Dia tidak malu menerima kebenaran walaupun kebenaran itu dari seorang budak, apa yang penting ialah ia amat takut pada Allah SWT kerana azab yang pedih disediakan kepada mereka yang menyeleweng pada jalannya. Justeru itu bagi saya, berdasarkan pesanan Guru saya, sebaiknya murid itu mendalami syariah atau belajar dari mana-mana guru, dalami ilmu Usul iaitu Sifat 20 dengan baik, kitab Minhajul Abidin atau Sirras Salikin, kitab Al-Fathur Rabbani Wal Faidhur Rahman karangan Syeikh Abdul Qadir Jailani. Juga kitab Al-Hikam Ibnu 'Athaillah dengan memahami setiap matannya dengan baik kerana di dalam mutiara-mutiara hikmah itu terdapatnya kaedah-kaedah ilmu tasauf yang tinggi dan suci. Dalam bab terakhir, ia banyak membincangkan kaedah-kaedah yang mesti difahami dan dimiliki oleh para mursyid. Apabila jelas pada diri murid itu sifat istiqamah dalam amalnya dan terbuka baginya rahsia Illahi sama ada Asma', Afa'alNya atau SifatNya, (maka) dalamkan (ilmu) mereka dengan kitab Darul an-Nafis yang membicarakan lebih mendalam lagi tentang tauhid dan rahsia makrifat. Penekanan ilmu amat penting kerana amal tanpa ilmu bagaikan debu dibawa angin. Tuan Guru saya (Allahyarham Tuan Guru Haji Mamat Merbau Patah) sentiasa mengulangi kitab Al-Hikam dalam pengajarannya sehingga ia meninggal dunia. Kitab itu bagaikan zikir padanya agar selamat dari tipu daya syaitan, nafsu dan dunia. Beliau mengatakan bahawa jika seorang murid mempelajari Al-Quran sehingga ia mengenal kaedah bacaan dan hukum-hukumnya dengan guru dan disahkan betul bacaannya, jika gurunya meninggal tidak perlu ia teraba-raba mencari guru lain kerana dengan ilmunya ia boleh membaca, boleh menentukan salah dan betul. Apa yang penting padanya ialah sentiasa membaca untuk melancarkan bacaannya. Begitu juga perjalanan tasauf, apabila kaedah difahami, ia boleh berjalan tanpa perlu adanya guru lagi.
3. Masalah Mursyid atau Syeikh, Tarekah, Salsilah, Ukuran Natijah dan Tasauf.
Dalam hal ini, saya melihat banyak berlaku penyelewengan dalam penafsiran-penafsiran yang dibuat. Malah, saya melihat penghuraian yang dibuat banyak kepada tujuan untuk kepentingan peribadi. Ada yang mengatakan bahawa dalam satu tempat atau zaman tidak boleh berhimpun ramai mursyid. Disinilah akan lahirnya kejahilan di kalangan murid sehingga mengatakan bahawa Guru mereka adalah paling mursyid. Guru-guru yang ada kepentingan untuk menghimpunkan pengikut (yang ramai) akan mula mendakwa pada mereka ada kelebihan, atau ada yang menunjukkan kelebihan diri mereka. Kemudian, murid mereka menyebarkan cerita di atas pendakwaan guru tadi untuk mendapatkan ramai lagi murid. Mereka ahli dunia yang berselindung di bawah selendang tasauf. Apabila satu kaedah dikeluarkan oleh Ulama Tasauf, ia mesti dilihat sebagai satu pendidikan bukannya hukum. Kaedah itu adalah untuk lingkungan ahli mereka sahaja, bukannya untuk umum, (contohnya kaedah) seperti di satu tempat hanya perlu satu Syeikh sahaja. Ini tidak lain supaya tidak berlakunya perpecahan di kalangan murid dan memelihara institusi aliran Tarekah mereka. Jika ada dua syeikh di satu-satu tempat di bawah satu aliran Tarekah yang sama, sebaiknya mereka muafakat dalam membimbing manusia pada Tuhan agar tidak berlakunya kecelaruan. Yang paling penting mesti difahami bahawa tidaklah semestinya mereka yang diijazahkan sebagai syeikh dalam tarekah aliran mereka sudah mencapai maqam 'Arifbillah yang hakiki di sisi Islam. Saya banyak meneliti dan mempelajari amalan-amalan Tarekah tidak kira dari apa aliran. Yang musykilnya, apabila saya berjumpa, bersahabat atau berguru dengan mereka, kebanyakan mereka yang dianggap mursyid masih melekat pada diri mereka sifat mazmumah dan amat longgar ilmunya dan memandang ringan persoalan syariah. Akhirnya saya mendapat satu jawaban yang telah membenarkan kata Guru saya bahawa aliran tarekah hari ini sudah perlu diselidiki sebaik-baiknya kerana ia sudah menjadi satu bentuk sekolah zikir, bukannya mendapat hakikat zikir tersebut. Apabila seorang itu murid itu menghabiskan pelajaran zikir mengikut natijah kerohaniannya, ia akan diangkat menjadi Mursyid dalam Tarekahnya. Sebab itu dalam tarekah amat mementingkan salsilah agar mereka yang dibenarkan mengajar adalah mereka yang benar-benar arif dalam sistem pendidikan mereka. Lain Tarekah lain caranya. Apabila seorang syeikh dalam Tarekah Naqsyabandi ingin belajar Tarekah Ahmadiah, ia tidak lagi mursyid dalam tarekah ini malah ia perlu meninggalkan dahulu pelajaran dalam Naqsyabandi untuk mempelajari kaedah baru dalam latihan zikir mengikut sistem Ahmadiah. Ia tidak lain adalah zikir atau muraqabah atau musyahadah dalam bentuk teori bukannya pratikal. Ia seperti seorang yang mendapat PHD dalam pelajaran membaiki kereta, tidak semestinya ia sudah boleh membaiki kereta jika diberikan kereta yang rosak. Ia hanya boleh memberi syarahan dalam bentuk ilmu tetapi dalam praktikalnya mungkin ia gagal. Bagi orang yang ingin membaiki kereta, mereka tidak mementingkan nilai sijil atau tauliah. Yang penting kereta mereka sudah elok walaupun yang membaikinya tiada sijil atau tauliah tetapi mendapat ilmu secara pratikal dari gurunya di bengkel. Kecelaruan dalam Tarekah ialah apabila orang yang diberi memimpin adalah orang tidak layak memikulnya, Inilah yang disabda Nabi SAW: "Rosaknya agama apabila urusan agama dipimpin atau diketuai oleh mereka yang bukan ahlinya." Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa kerosakan agama akhir zaman adalah apabila orang jahil berlagak alim. Justeru kita wajib menentang apabila dilihat hal agama dipegang oleh mereka yang bukan ahli malah orang yang jahil. Inilah kesilapan yang besar berlaku dalam aliran tarekah di mana mereka melantik seseorang untuk memimpin berdasarkan kedapatan kerohanian semata-mata, bukan berdasarkan ilmu, ketakwaan, memiliki sifat mahmudah yang mantap, warak dalam zahir dan batin, kepimpinannya jelas dalam masyarakat, dirinya, rumahtangga dan sebagainya. Kaedah ini amat bercanggah sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Abdul Qadir Jailani bahawa setiap perasaan kerohanian mesti disuluh berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Jika dalam kerohanian seorang Guru mendapat petunjuk bahawa seseorang itu boleh diangkat menjadi khalifah, ia wajib menyuluh murid tersebut, adakah murid itu mempunyai ciri kepimpinan, sifat, ilmu, akhlak batin, kekuatan tauhid dan makrifat dalam menilik Af'aluLlah berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Apabila ia tidak melantik berdasarkan kaedah tersebut, perlantikan itu adalah batil. Hukum darurat boleh berlaku di mana syeikh tadi tidak sempat untuk membuat penelitian mendalam terhadap lantikan khalifah atau syeikh, ia adalah diharuskan apabila syeikh itu kedatangan hampir ajalnya. Justeru itu Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa murysid yang hakiki yang bertaraf irsyad sudah tiada lagi dizamannya, kebanyakan mursyid hari ini ramai yang bertaraf barakah. Sifat mursyid mengikut ukuran Imam Al Ghazali :
a. Seorang Guru yang berpaling daripada mencintai dunia dan mencintai pangkat.
b. Beliau telah berguru dengan Gurunya yang Mursyid yang banyak mengetahui tentang segala halnya dan Gurunya yang Mursyid juga telah berguru dengan guru Mursyid sebelumnya sehingga sampai kepada Nabi Muhamad SAW.
c. Beliau ialah seorang Guru yang benar telah berjaya dalam mendidik dirinya dengan menyedikitkan makan, sedikit bercakap-cakap, sedikit tidur, banyak ibadah, banyak sedekah dan banyak puasanya.
d. Beliau dengan sebab berguru dengannya Guru yang Mursyid tadi telah mampu menjadikan yang mulia sebagai cara hidupnya seperti ikhlas, redha, syukur, cinta, tawadhuk, pemurah, zuhud, sabar, kuat ibadah, syukur, tawakal, yakin, qanaah, tenang jiwa, banyak ilmu, benar, malu, menyempurnakan janji, tenang pendirian, tenang pembawaan, berhati-hati dalam segala urusan. Kesilapan yang berlaku di kalangan salik mengejar perkara yang bukan utama seperti kasyaf, kelebihan dan lain lagi. Keutamaan dalam Tasuf ialah membersihkan diri dari segala syirik, membuang ingatan kepada yang lain dalam hatinya selain dari Allah dan berzikir serta mujahadah untuk mendapatkan sifat yang mulia dalam hatinya iaitu sifat mutmainnah. Apabila nafsu mencapai mutmainnah, dengan sendiri hatinya sudah memperolehi kasyaf, laduni dan mukasafah.
e. Harus meninggalkan pekerjaan yang adanya sumber subahat.
f. Diam dalam menghadapi cercaan, tidak boleh menjawab sebagaimana yang berlaku kepada Saidina Abu Bakar ketika seorang Ansar mencercanya di hadapan Nabi SAW. Nabi hanya tersenyum tetapi apabila Saidina Abu Bakar bangun menjawabnya, lalu Nabi bangun . Ditanya Saidina Abu Bakar kenapakah Nabi berkelakuan sedemikan, lalu dijawab oleh Baginda SAW: " Ketika engkau diam dicerca, malaikat ada disisimu menjawab cercaannya, tetapi apabila engkau menjawab malaikat lari dan syaitan hadir disisimu." Ulama sufi mengkiaskan bahawa orang yang bertaraf syeikh tidak boleh menjawab cercaan orang apalagi mendoakan bala pada manusia.
g. Bersabar dan berlemah lembut dengan murid, dilarang meminta-minta dari apa yang ada di tangan murid untuk peribadi. Saidina Omar r.a. apabila datangnya hadiah yang dikirim oleh Rasulullah SAW, ia memulangkan kembali lalu ditanya oleh Baginda, ia mengatakan bahawa Baginda telah melarang meminta dengan manusia, lalu dijawab oleh Baginda, aku melarangnya engkau meminta tetapi jika diberi tanpa diminta, hendaklah diambilnya. Ramai hari ini yang menjadikan amanah seperti mendirikan madrasah, kelas agama, memelihara anak yatim sebagai mencari keutungan peribadi, inilah yang disebut oleh Nabi SAW: "Di akhir zaman berlakunya kerosakan ummah apabila amanah menjadi rebutan untuk mendapatkan keuntungan". Tambahan kesilapan yang berlaku ialah apabila mentafsirkan salsilah hanya dalam bentuk zikir Tarekah semata-semata. Apa yang ditekankan ialah barakah Guru yang mempunyai salsilah perguruan yang benar sehingga ia dikenali oleh masyarakat sebagai orang yang alim dan ramai manusia yang berubah menjadi baik setelah menerima pengajaran ilmu dan tarbiah darinya. Adapun zikir yang hakiki yang berasal dari Rasulullah SAW adalah LailahaiLlah, adapun zikir dan kaedah yang dipelajari dari beberapa syeikh adalah sebagai suatu penambahan mengikut ijtihad. Seorang yang bertemu dengan Guru yang haq yang mempunyai sifat yang benar, boleh diamalkan zikir yang diberi kepada kita yang berbentuk zikir yang bukannya dari kaedah zikir tarekah. Ia boleh diamalkan dan ia akan mendatangkan jazbah. Bukanlah sistem zikir yang penting tetapi barakah Guru yang bersalsilah itu yang utama kerana mengambil barakah yang bersambung salsilahnya dengan Rasulullah SAW. Mengambil zikir dari buku atau dari Guru yang tidak beramal dengan ilmunya walaupun banyak ilmunya, tidak adanya rantaian salsilah, ia tidak akan memberi kesan kepada rohaninya. Seorang yang alim tidak semestinya boleh mendidik atau layak menjadi pengganti Rasulullah SAW. Untuk mendapat Guru yang benar beramal dengan syariat, hakikat dan boleh mendidik murid kepada kebaikan sehingga hidup hatinya dengan Allah, mengenal tipu daya nafsu dan syaitan amatlah payah. Imam Al-Ghazali mengatakan ia bagaikan belerang merah, tetapi ia tidak menafikan wujudnya mereka ini. Kalau di zaman Nabi SAW beribu orang seperti ini, begitu juga zaman Tabie, begitu juga zaman Hasan Al-Basri, begitu juga di zaman Al-Junaid Al-Baghdadi di mana ramai anak muridnya menjadi mursyid yang bertaraf irsyad, (menjadi contoh tauladan kepada muridnya dari sudut akhlak, keyakinan, tawakal, cinta Allah dan Rasulnya, zuhud, qanaah, sabar, ikhlas, redha, syukur, kuat ibadahnya, besar jiwanya, kepimpinan, bijaksana, ketenangan, pendidikan rumahtangganya, pergaulannya dengan masyarakat, dia menjadi contoh kepada muridnya dalam semua hal baik syariatnya atau hakikatnya). Begitu juga dengan zaman Syeikh Abdul Qadir Jailani, di zaman Tok Kenali yang dapat melahirkan ramai ulama yang bertaraf Mursyid, juga di zaman Tokku Paloh. Mereka yang mengatakan di satu zaman atau tempat hanya perlu satu mursyid adalah batil dalam kaedah umum tetapi benar dalam kaedah psikologi untuk pendidikan tarekah mereka supaya tidak bergaduh sesama murid. Ini boleh dilihat dalam Qawaa' idul Tasawwuf karangan Syeikh Ahmad Zarwaq. Apabila kita melihat seorang syeikh yang pernah berguru dengan Guru yang Mursyid tetapi terdapat kecacatan dalam akhlaknya yang tidak melibatkan kesalahan yang besar atau dosa yang besar, kita boleh berguru dengannya dan mengambil zikir sekadar mengambil barakah salsilah dan perbincangan ilmu. Mengambil zikir dari guru yang mempunyai salsilah sudah masyhur dimana guru-guru di atas sudah mencapai makrifat yang kamil adalah penting kerana ia disebut oleh Syeikh Abdul Qadir Jailani dalam kitab Sirrul Asrar. Selagi Guru yang kemudian ini tidak melakukan dosa yang besar sehingga terbatalnya barakah, boleh diambil zikir dengannya kerana ia masih bertalian dengan mereka yang mencapai rahsia illahi, mereka yang ikhlas yang mengamalkan zikir ini dan bermujahadah dengan bersungguh-sungguh, ia akan memperolehi limpahan yang membawa kepada makrifat dan ketakwaan. Setiap pintu makrifat dibuka, bertambah seorang itu takut kepada Allah dan warak dalam melihat perjalanan hawa nafsu walaupun dalam perkara yang halal. Kesalahan yang besar ramai mereka yang mengatakan apabila terbukanya kepada rahsia makrifat makin semakin rendah ia dalam pegangan syariah dan hidup menyuburkan hawa nafsu. Ini adalah Golongan yang tertipu dan ahli tasauf yang batil. Syaitan adalah ahli makrifat malah boleh bercakap dengan Tuhan tetapi apabila ia tidak mahu sujud pada Adam iaitu syariat, maka ia murkai oleh Allah walaupun dalam dadanya ada makrifat sehingga ia terhijab, ia tidak merasai berdosa apabila melakukan kesalahan. Kesalahannya hanya satu tetapi apabila ia tidak mahu bertaubat, maka kesalahannya menjadi berpanjangan. Dalam adab berguru sebaiknya mestilah mengambil Guru yang sudah terkenal di mana ulama-ulama dan orang baik sezamannya berbaik sangka padanya dan maklum dengan ilmunya. Ilmunya terbuka untuk siapa saja untuk mendengarnya. Sudah terbukti pengajarannya memberi kebaikan ramai pada manusia, lahir padanya manusia-manusia yang rosak akhlak dahulu menjadi baik. Ketenangan semakin bertambah dalam hidup muridnya. Tasauf akan membawa seorang itu tenang jiwa, fikiran, badannya, keluarga dan masyarakat sekelilingnya.
4.Kasyaf bukan menjadi syarat penting sebagai Mursyid
Apa yang mesti difahami, apabila seorang yang benar tauhidnya dan amalannya, mujahadah nescaya hatinya akan diberi nur sehingga ia mendapat kasyaf atau firasat. Inilah yang disebut oleh Nabi SAW: "Berhati-hatilah firasat orang mukmin kerana firasatnya dari Allah". Kebanyakan orang yang benar beramal hatinya dikurniakan kasyaf tetapi kasyaf mengikut darjah kebersihan rohaninya. Dalam kaedah hukum syariah, kasyaf , firasat, ilham tidak boleh dijadikan sandaran hukum, ia hanya sebagai satu petunjuk untuk mentahkikkan lagi apa yang dilihat pada syariatnya. Apabila ia melihat seorang itu baik ilmunya, akhlaknya, jiwanya maka ia membenarkan lagi kasyaf yang diperolehi pada orang tersebut. Kasyaf yang hakiki yang wajib ada pada seoarang Mursyid adalah kasyaf dalam melihat tipudaya nafsunya dan syaitan sehingga tipudaya halus yang tidak difahami oleh orang awam, ahli, abid, ulama dibukakan rahsia itu oleh Allah di dalam hatinya. Apabila seorang Guru dapat mengetahui kejahatan nafsunya di bawah didikan guru sehingga menjadi manusia yang baik, soleh dan amat takut pada Allah, ia boleh mendidik manusia yang lain kerana perjalanan hawa nafsu manusia adalah sama.
5.Natijah Kerohanian, Zikir dan Suluk
Apabila seorang menerima zikir dari seorang yang mempunyai salsilah yang benar, zikirnya akan adanya jazbah seperti kedatangan Dzauk dan sebagainya. Kebanyakan jazbah adalah benar berlaku kepada murid tetapi apa yang penting pendidikan setelah memperolehi jazbah. Jazbah datang dalam bentuk memberi kesedaran sehingga melihat kesalahan diri, dalam bentuk rindu, cinta, takut, cinta ibadah, asyik dengan zikir, dan sebagainya. Justeru itu di kalangan Syeikh menyusun suluk untuk menyusun pendidikan akhlak agar jazbah yang diterima akan membinanya menjadi manusia yang muslim yang benar imannya, akhlaknya, makrifatnya kepada Allah. Apabila hati menjadi baik dengan limpahan kerohanian, nescaya akan bertambah baiklah tauhidnya, keyakinan, tawakal, redha, syukur, zuhud, qanaah, sabar, tenang, elok akhlaknya dan sebagainya. Setiap limpahan atau natijah kerohanian tidak mengubah sifat hati ia adalah batil walaupun berjumpa dengan Nabi saw sekalipun. Ia berdasarkan firman Allah: " Apabila datangnya kebenaran , akan hilanglah kebatilan". Berjumpa Nabi kadangkala ujian dari Allah kepada para sufi yang siang dan malam berzikir dan mujahadah tetapi dengan ujian tadi boleh menimbulkan ujub, takbur, riak dan mula berbangga dengan hal tersebut sehingga jatuhlah kembali ia kepada maqam orang awam. Begitulah jua dengan kelebihan seperti karamah, kasyaf, doa makbul, dibukakan pintu nikmat, pengikut yang ramai berkhidmat dan sebagainya. Guru yang haq tidak mengukur ketinggian murid berdasarkan jazbah semata-mata tetapi berdasarkan akhlak yang lahir selepas jazbah tersebut. Ketinggian mesti diukur dengan kacamata syariah iaitu takut pada Allah swt dan mencintai Rasulullah sehingga beramal dengan sifat dan akhlak Rasulullah saw. Suluk tidak lain melainkan melatih, mendidik nafsu menjadi baik dengan sedikit makan, tidur, bercakap, beribadah sehingga lemahnya nafsu, diajarnya adab dan ilmu. Apabila keluar suluk lahirlah peribadi yang mulia bagaikan anak yang baru lahir. Tetapi apa yang berlaku pada suluk hari ini ialah tidak lahirnya peribadi yang mulia walaupun dilakukan mujahadah tersebut dan diberikan pelajaran zikir muraqabah, muyshadah dan sebagainya. Apa yang mereka dapat ialah pelajaran zikir dan jawatan khalifah. Guru yang ada kepentingan biasanya cepat menaikkan seoarang menjadi khalifah agar khalifah tadi bergerak mendapat seramai murid untuk bersuluk dengannya. Ini amat bercanggah dengan sifat para ahli makrifat yang takut pada Allah, mereka amat payah menerima murid kerana murid adalah tanggungjawab yang akan disoal di akhirat kelak. Justeru itu kata Syeikh Abdul Qadir Jailani, jika diberi pilihan nescaya para Arifbillah memilih untuk jauh dari manusia dan bersunyi-sunyi dengan Allah sw namun kerana tanggung jawab ilmu yang padanya menyebabkan mereka terpaksa berada di dalam masyarakat. Dalam masalah suluk pula, ada mursyid yang memilih muridnya untuk beruzlah bersamanya selama 10, 20 atau 40 hari untuk senang ia memberi ilmu dan pendidikan, tetapi ada mursyid yang mendidik muridnya dalam masyarakat, apabila berlaku satu hal di situlah ia mendidik muridnya kepada tauhid dan akhlak. Imam As Syazili menggalakkan muridnya bercampur gaul dengan masyarakat, bekerja seperti biasa, mengambil nikmat Allah dan bermujahadah syukur dengan banyak ibadah pada Allah setiap kali dilihatnya nikmat bertambah. Bagaimana cara pendidikan adalah merupakan ijitihad para Syeikhnya. Kebanyakan syeikh asalnya dari Naqsabandi tetapi apabila mereka mendapat keizinan untuk mendidik manusia, ramai yang menyusun kembali zikir dan mujahadah mengikut masa, zaman dan hal ehwal muridnya. Mereka di gelar sebagai Syeikh muqallid mujtahid iaitu meneruskan amalan dari Syeikhnya tetapi berijtihad dalam beberapa perkara yang dilihat sebagai keperluan berasaskan kemaslahatan. Ada yang cenderung kepada berasingan hatinya hidup kepada Allah ada yang dalam khalayak ramai hatinya lebih hidup kepada Allah. Inilah yang disebut oleh Imam Al Ghazali dalam Ihya Ullumudin kerana perbezaan jiwa dan tahap manusia, para pendidik manusia perlu arif dan tidak terikat dengan satu kaedah. Justeru itu termasuk syarat syeikh ialah mempunyai keluasan ilmu. Begitu juga dengan zikir ada yang lebih cenderung kepada zikir jahar dan ada yang cenderung kepada zikir sirr. Yang pentingnya zikir tersebut diambil dari salsilah orang soleh dan para aulia. Hanya mengamalkan zikir nafi isbat ramai mencapai maqam aulia. Uwais Al Qarni yang terkenal di zaman tabii kerana ketinggian kerohanian, tidak mendapat pendidikan langsung dari Rasulullah SAW walaupun berada dizamannya atau dari sahabat-sahabat Nabi, tetapi apa yang disepakati oleh ulama sufi adalah disebabkan banyak selawat dan cinta rindu pada Rasulullah SAW serta kuatnya ia berkhidmat untuk Ibunya.
6. Tarekah dan Zikir
Semua Tarekah atau zikir adalah baik, justeru itu saya tidak bersetuju apabila melebihkan ilmu tentang Tarekah, zikir dan Syeikh di kalangan mereka diutamakan dari ilmu tasauf yang hakiki yang mengajak manusia membuang ego diri kepada fakir pada Allah. Apabila hal ini ditekankan, akan timbul kalimah yang mengatakan Tarekah mereka yang benar dan yang paling kuat jazbah, syeikh mereka yang paling hebat. Masing masing dengan hujah masing-masing sehingga mewujudkan pecah hati di kalangan pengamal tasauf yang mengajak kesucian jiwa. Telah wujud aliran fekah dalam amalan tasauf iaitu mujadalah yang tidak memberi kebaikan hanya sedikit sahaja walaupun benar sekalipun. Mendakwa amalan atau syeikh mereka yang baik dan merendahkan amalan dan syeikh yang lain sedangkan mereka berada diatas pengamalan yang benar adalah melanggar adab tasauf. Seorang syeikh telah melanggar adab apabila merendahkan syeikh yang lain atau ulama-ulama lain di atas martabat ilmu masing-masing kecuali apabila berlakunya kesalahan yang besar. Sebenarnya apabila murid ditanamkan cerita kelebihan syeikh dalam salsilah ,bukan akhlak dan ubudiah syeikh itu yang ditekankan, secara halus ia ingin menyatakan kepada murid bahawa beliau juga sebagai syeikh mempunyai kelebihan dan juga mencapai taraf aulia. Apabila murid telah terpengaruh secara tidak langsung amat percaya sehingga melahirkan budaya taksub kepadanya. Di sini ia akan mendapat imuniti atau kekebalan sehingga kesalahan mereka disangka baik oleh murid. Cerita Nabi Khidir as disebarkan untuk kepentingan peribadi sedangkan Nabi Allah Khidir adalah Nabi, apa yang dilakukan adalah wahyu sedangkan para aulia berdasarkan ilham, firasat atau kasyaf. Ianya tidak menjamin kebenaran.
7.Tasauf
Tasauf tidak lain adalah mendalami lagi ilmu tauhid, membebaskan diri dari syirik-syirik yang halus yang kadangkala boleh membahayakan kepada akidah dan menghilangkan pahala. Membina nafsunya hingga sampai jiwa yang tenang. Membina akhlak untuk menepati akhlak Rasulullah SAW. Ia membawa kedalaman kehambaan bukan dalam bentuk ilmu hafalan seperti usuluddin tetapi kepada penghayatan dan penglihatan. Jika selama ini ia belajar tauhid mengatakan bahawa segala perbuatannya dari Allah, kini ia beramal sehingga hatinya merasai (ainul yaqin) dan akhirnya hati diberikan nur sehingga ia menyaksikan dengan matahati setiap gerak diamnya dari Allah. Martabat ini dikupas secara mendalam dalam kitab Darul Nafis. Memuja atau terlalu memuliakan makhluk adalah perlu dijauhi dalam pendakian kerohanian. Tarekah dengan Tasauf adalah dua perkara yang yang berasingan, tarekah berbentuk umum sedangkan tasauf berbentuk khusus. Tidak semestinya seorang yang alim dalam ilmu tarekah dan beramalnya adalah orang telah mencapai hakikat tasauf dan menjadi ahli sufi yang hakiki ,tetapi seorang yang mencapai hakikat Tasauf dan menjadi ahli sufi adalah ahli Tarekah. Inilah yang disebut Syeikh Al Hujwiri menegaskan bahawa sufi ialah mukmin yang telah mencapai ke darjah kamal, yang telah fana dirinya dan mencapai baqabillah. Sedangkan orang yang baru belajar berzikir dan bermujahadah di jalan Allah dengan ilmu tasauf itu pula dikenali sebagai mutasawwif dan golongan yang meniru-niru kehidupan sufi dipanggil mustasawwif. Janganlah dihairankan jika kita bertemu dengan seorang yang mencapai darjah syeikh dalam tarekah, alim dalam masalah ilmu tarekah dari sudut syarahan tentang zikir, suluk salsilah dan sebagainya tetapi masih mempunyai sifat yang bertentangan dengan akhlak sufi kerana apa yang mereka pelajari dan amalkan baru pintu sufi, mereka belum masuk ke dalam lautan sufi dengan ertikata yang sebenar. Mereka yang benar mencapai maqam fana atau zuhud pasti memalingkan dirinya dengan hal dunia makhluk darinya, baginya kemuliaan dan kehinaan adalah sama, ia tidak kecewa atau terlalu gembira dengan nikmat dan tidak sedih dengan kesusahan. Hati mereka tenggelam dalam lautan makrifat, melihat Allah dalam segala hal sebagaimana firman Allah SWT: " Dimana kamu hadap disitulah wajah Allah." Sufi yang sebenar sudah tidak ada lagi kegembiraan terhadap dunia dan makhluk, hatinya asyik dengan Allah sehingga makhluk dianggap sebagai gangguan kepada jiwanya. Mereka cintakan bersunyian. Berkata Imam Al Ghazali: "Seorang itu tidak dinamakan zuhud walau berada dalam hutan dalam rumah yang buruk sekalipun selagi hatinya suka diziarahi oleh manusia." Inilah yang disebut oleh Syeikh Abdul Qadir Jailani: "Lidah mereka alim menyebut tentang Allah tetapi hati mereka jahil dengan Allah." Mereka tidak melihat Allah dalam setiap kejadian di belakang segala peristiwa sama ada baik dan buruk, justeru itu mereka akan menuding pada makhluk dan marah sehingga ada mereka yang mendoakan bala apabila satu peristiwa. Mereka yang terburu-buru dalam tindakan adalah termasuk dalam nafsu ammarah dan lawammah sedangkan orang yang mencapai mutmainnah ialah mereka yang bersifat tenang dalam semua hal sehingga manusia tidak mengetahui ia dalam kesusahan atau kegembiraan. Inilah yang difirman Allah SWT: "Sesungguhnya para wali itu tidak merasa ketakutan dan kesusahan."
8. Perlukah Berguru Untuk Mencapai Maqam Tersebut.?
Dalam hal ini disebut dalam kitab Qawaa'idul Tasawwuf oleh Syeikh Zakaria terdapat tiga peringkat.

1. Melihat pada seorang itu.
a. Dalam bidang ilmu, jika ia memiliki kemampuan untuk mengetahui sumber-sumber ilmu, cukup baginya kitab-kitab tanpa syeikh.
b. Dalam pendidikan. Jika sudah memiliki kemampuan agama, pandai dan boleh memberi nasihat serta pendidikan , cukup baginya ia bersahabat dengan syeikh.
c. Dalam pendakian kerohanian, cukup baginya mengambil barakah salsilah dengan mengamalkan zikir yang diberi, apabila hal ehwah kerohanian berlaku padanya, boleh ia mengadakan murjaah atau perbincangan dengan para syeikh di merata tempat.
2. Bagi murid yang kurang kemampuan untuk merujuk sendiri kitab-kitab untuk memahami ilmu, perlu ia berguru. Apa yang penting Guru tersebut adalah alim, memahami dan kuat berpegang dengan syariah, beramal dengan ilmunya, mempunyai akhlak yang baik, ikhlas, memahami dan bermujahadah dengan nafsunya dan mempunyai salsilah yang benar. Al Junaid mengatakan: "Tinggalkan Guru yang mengaku wali". Imam Al Ghazali mengatakan "Tinggalkan Guru yang kamu ragui keikhlasannya atau cacat akhlaknya". Dalam pendidikan tidak boleh berlaku paksaan pada murid untuk terus belajar dengan seorang syeikh, jika ia merasakan pendidikan syeikh ini tidak sesuai dengannya. Syeikh sebaiknya terbuka jiwanya dan menunjukkan dimanakah syeikh yang sesuai dengannya. Semakin kurang murid semakin kurang tanggungjawab syeikh di hadapan Allah. Dengan jumlah jutaan umat Islam hari ini, umat Islam perlu dididik seramai mungkin para Murabbi (Syeikh) agar umat Islam dapat menghayati ajaran Islam dengan baiknya dan selamat hati dari fitnah dunia. Mereka bersepakat dan berganding bahu dengan ilmu yang mereka milki untuk membimbing manusia kepada Allah SWT. Pengajian Ilmu yang melimpah tanpa adanya perjalanan pendidikan mengikut ajaran sufi, ia tidak akan memberi perubahan kepada masyarakat Islam dalam membina diri menjadi ummah yang hebat. Ilmu ulama adalah dari akal pada akal tetapi ilmu para sufi adalah dari dada ke dada. Seorang yang dalam dadanya tidak hidup hatinya dengan kalimah Allah, ketakwaan, makrifat, kosong dengan cinta pada Allah tidak akan dapat mengubah hati manusia. Ubahlah diri kamu dahulu kepada takut dan cinta pada Allah yang sebenarnya, nescaya akan dapat mengubah manusia kepadanya.
3. Dalam aspek mujahadah, ketakwaan tidak berhajatkan syeikh kerana ia adalah perkara yang begitu jelas pada umum. Orang yang berilmu yang memahami sumbernya dan mampu merujuk kitab-kitab,ia tidak memerlukan syeikh, cukup baginya kitab serta terus bermujahadah untuk meraih kasyaf atau makrifat. Ia hanya perlu merujuk atau berbincang dengan para para syeikh dari apa aliran jika terbukanya rahsia illahi yang tinggi.
9. Ba'iah
Bai'ah dalam tarekah adalah bai'ah pengamalan bukannya perjanjian untuk terus mengikuti Syeikh dalam semua aspek dan memperhambakan diri padanya, ia hanya termasuk dalam adab berguru. Seorang murid itu selagi ia beramal dengan amalan Guru tersebut, ia perlulah menjaga adab kepadanya, Apabila ia meninggalkan amalannya dengan sendiri Bai'ah itu hilang. Beramal tidak boleh dipaksa, ia mesti datang dari lubuk keikhlasan seorang murid. Beramal tanpa ikhlas tidak membawa apa natijah pada murid apalagi apabila hati murid sudah tercedara hatinya pada akhlak Guru. Adapun khidmat adalah satu latihan Guru untuk mencabut mazmumah dalam hati muridnya bukan untuk kepentingan peribadi. Saidina Omar tidak membenarkan orang berkhidmat kepadanya dalam memikul gandum kepada orang miskin, begitu juga Saidina Abu Bakar tidak benar orang berkhidmat padanya untuk memeras susu kambing pada jirannya yang tua walaupun bergelar Amirul Mukminin. Walaubagaimanapun, Imam al Ghazali menekan juga khidmat dalam kitab sirra salilkin agar dapat barakah dari Guru tetapi apa yang penting Guru tersebut memelihara dirinya dari perasaan sombong dan menyusahkan murid dalam melakukan khidmat. Adab akan berlaku bukannya dari satu latihan dan arahan tetapi ia datang ilmu atau kehalusan jiwa para murid, semakin tinggi ilmunya semakin tinggi adabnya. Bai'ah kepada manusia tidak boleh mutlak, Allah SWT menggunakan perkataan waathi kepada Allah dan Rasul tetapi menggunakan kalimah waullu kepada manusia, pemimpin, Guru, ibubapa dan sebagainya walaupun maksudnya adalah taat. Dalam tafsir Ibnu Katsir telah menghuraikannya bahawa perkataan wauulu adalah bermakna ketaatan yang tidak mutlak. Ketaatan berlaku selagi seorang pemimpin itu menyuruh atau melakukan perkara yang mengikuti Al Quran dan Hadis, jika berlakunya arahan atau kelakuan yang bercanggah dengan Al Quran dan Hadis tidak boleh mentaatinya lagi. Jika seorang Guru melakukan perkara yang bercanggah dengan syarak, nasihati ia baik, bersangka baik, mungkin Guru tersebut tidak mengetahui adanya hukum yang tidak boleh melakukan perkara tersebut, jika dinasihati ia tidak mahu menerimanya, tinggalkannya. Ini disebut dalam kitab Qawaa'idul Tasauf. Jika kita terus mengikuti mereka yang tidak mengikuti Al Quran dan Sunnah, kita telah menentang ajaran agama sendiri. Saidina Abu Bakar, Saidina Omar dan para Khalifah Ar Rasyidin telah mengatakan satu lafaz yang masyhur apabila mereka menerima bai'ah taat setia dari penduduk Madinah dengan mengatakan: "Aku bukannya orang paling terbaik di kalangan kamu, ikutilah aku selagi aku berpegang Al Quran dan Sunnah, nasihatkan aku atau tinggalkan aku jika aku menyalahi Al Quran dan Sunnah." Emosi kasihan dan kasih sayang tidak boleh dikompromi dalam masalah hukum. Berkata Syeikh Abdul Qadir Jailani dalam kitab Pembukaan yang Ghaib: "Jika hati kamu kasih pada seorang sedangkan kamu melihat kelakuannya tidak menepati Al Quran dan Sunnah, kasih kamu itu dari nafsu dan syaitan, jika kamu membenci seorang itu sedangkan kelakuannya menepati Al Quran dan Sunnah, kebencian kamu dari nafsu dan syaitan, maka wajib kamu bertaubat dan memohon maaf padanya." Kebenaran mesti diukur dari kacamata syariah bukannya pemikiran, emosi dan sebagainya. Justeru itu walaupun Nabi Khidir mempunyai ilmu kerohanian yang lebih hebat dari Nabi Musa a.s. tetapi dalam memimpin umatnya, Nabi Musa adalah syeikhnya kerana agama itu berada pada syariah kerana tanpa berpegang pada syariah hancurlah agama. Justeru syeikh dahulu seperti Al Junaid mensyaratkan orang mahu mengikuti perjalanan tasauf ketuhanan ini adalah ahli hadis.
Semoga dengan sedikit penjelasan ini memberi sedikit manfaat kepada pencinta jalan kesufian.

1 ulasan:

abu ammar berkata...

jazakAllah, artikel yang bermanafaat utk si jahil ini