Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


24 Februari 2008

KETAWA RASULULLAH SAW

Rasulullah SAW adalah manusia yang paling karib dengan sahabat-sahabatnya. Seringkali nampak takjub ketika mendengar kisah atau percakapan mereka. Kadang-kadang baginda tergelak sehingga nampaklah gigi gerahamnya, yang membuat pada sahabatnya ikut tertawa untuk memuliakannya.

Pada suatu hari, seorang Arab Badwi datang kepada Nabi SAW, ingin menanyakan sesuatu hal harap-harap Nabi dapat tersenyum mendengarnya. Para sahabat melarangnya untuk itu, kerana mereka takut kalau Nabi tidak suka dengan pertanyaan itu.

Para sahabat berkata: ”Jangan engkau lakukan itu hai Arab Badwi, sesungguhnya kami khuatir kalau-kalau Nabi tidak suka akan pertanyaanmu itu.”

Arab Badwi itu menjawab: “Biarlah saya bertanya! Demi Allah yang mengutusnya menjadi nabi, aku tidak akan meninggalkannya sebelum baginda tersenyum.”

Arab Badwi itu kemudian mengadap Nabi dan berkata: “Wahai Rasulullah, telah sampai berita kepada kami tentang al-Masih, iaitu Dajjal, yang akan datang kepada manusia dengan membawa roti berkuah dan manusia pada masa itu telah binasa akibat kelaparan. Apakah pendapat engkau ya Rasulullah jika seandainya aku tidak mengambil roti berkuah daripada Dajjal itu agar aku dapat memelihara dan membersihkan diri, sehingga aku binasa kerana kurus kelaparan? Ataukah aku ambil sahaja roti berkuah itu agar perutku kenyang dan sesudah itu aku beriman kepada Allah SWT dan kafir kepada Dajjal itu?” (Maksud Arab Badwi itu dia hendak menipu Dajjal dengan berpura-pura taat kepadanya untuk memperolehi roti berkuah itu dan kemudian dia berbalik iman kepada Allah.)

Mendengar pertanyaan Arab Badwi yang oleh para sahabat dianggap remeh temeh itu, Rasulullah tertawa sehingga nampak gigi gerahamnya, tetapi kemudian baginda menjawab soalan itu dengan serius:

“Tidak perlu begitu, sesungguhnya Allah SWT akan memberimu kekayaan seperti apa yang diberikan Allah kepada orang-orang mukmin.”

Itulah sifat dan tabiat Rasulullah , meskipun dia mendapati pertanyaan yang bodoh dan mungkin tidak disukainya, dia tetap memberikan senyumannya, dia tertawa dan dengan senang hati menjawab pertanyaan Badwi yang sedikit ilmunya itu.
(Tulisan: Ustaz Abdul Salam Basok Al-Haj)

Tiada ulasan: