“Bukanlah
kebajikan itu hanya menghadap muka kamu ke arah timur dan barat, tetapi
kebajikan (yang sebenarnya) ialah beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat,
kitab, nabi-nabi, bersedekah harta yang disayangi kepada kaum kerabat,
anak-anak yatim, orang miskin, musafir, peminta-peminta sedekah dan hamba-hamba
yang menuntut kemerdekaan, mendirikan solat dan menunaikan zakat, orang yang
menepati janji apabila berjanji, orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan
dan peperangan. Mereka itulah orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa.” (QS
Al-Baqarah: 177)
Umat Islam diperintahkan oleh Allah SWT agar sentiasa terdorong dan
gemar berbuat baik serta mengasihi semua saudara seagama, lebih-lebih lagi
terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Islam menghendaki semua manusia
hidup bersatu padu dalam suasana persaudaraan yang harmoni.
Islam menyeru umat supaya mengambil berat, memberi perhatian, berbuat
baik, menyayangi dan prihatin terhadap golongan tidak bernasib baik yang memerlukan
pembelaan untuk menjalani kehidupan lebih baik. Firman Allah SWT: “Berbuat
baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim dan orang miskin serta
berbicara dengan kata-kata yang baik.” (QS al-Baqarah: 83)
Anak yatim ditakrifkan sebagai anak yang kematian bapa sebelum mencapai
akil baligh. Apabila anak yatim itu telah sampai kepada
umur baligh yang diketahui umum (umur pada adatnya baligh), maka dia tidak
boleh lagi digelar dengan nama ‘anak yatim’.
Anak yatim yang hilang tempat bergantung mestilah dijaga, dibimbing
serta diberi kasih sayang supaya mereka rasa disayangi dan tidak disisihkan.
Orang yang memelihara anak yatim sangat mulia di sisi Allah SWT. Sabda
Rasulullah SAW: “Aku dan penjaga (orang
yang memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam syurga.”
Berkata Malik: “Baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda itu dengan
merapatkan jari telunjuk dan jari hantu.” (HR Muslim)
Daripada Abu Hurairah RA: “Telah datang seorang
lelaki kepada Rasulullah mengadu mengenai hatinya yang keras, lalu Baginda
bersabda: “Berilah makan kepada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim.” (HR
Ahmad)
Daripada
Abi Syuraih Khuwailid bin Amru RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda: “Ya Allah,
sesungguhnya aku sangat mementingkan hak dua orang yang lemah iaitu hak anak
yatim dan orang perempuan.” (HR An-Nasa’ie)
Orang-orang yang menzalimi anak-anak yatim, akan mendapat azab yang tidak
terperi sakitnya di akhirat kelak. Firman Allah SWT: “Dan berikan kepada anak
yatim (yang sudah baligh) harta mereka, jangan kamu menukar yang baik dengan
yang buruk dan jangan kamu memakan harta mereka bersama hartamu. Sesungguhnya perbuatan
itu dosa yang besar.” (QS an-Nisa’: 2)
Allah
SWT juga berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak
yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut
mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” (QS
An-Nisa’: 10)
Dalam perkara ini, Abu Said Al Khudri RA pernah menceritakan bahawa
ketika Isra’ Mikraj, Baginda SAW melihat kaum yang bibirnya seperti bibir unta.
Mulut mereka disuap batu besar secara paksa sehingga keluar batu itu melalui
dubur. Melihat kejadian aneh itu, Baginda bertanya Jibril, lalu Jibril menerangkan bahawa orang itu adalah
orang yang memakan harta anak yatim secara zalim.
Orang fakir pula ialah orang yang tidak memiliki harta atau tidak mampu
menyara diri sendiri serta keluarga. Berbuat baik, bergaul dan menyayangi fakir
atau miskin adalah perbuatan para Nabi seperti sabda Rasulullah SAW: “Menyintai
orang fakir termasuk pekerti Nabi dan membenci terhadap orang fakir termasuk
pekerti Firaun.”
Allah
SWT berfirman: “Mereka akan bertanya kamu tentang apa-apa yang mereka
belanjakan. Katakanlah: “Apa jua yang baik yang kamu belanjakan kepada ibu
bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, pengembara dan apa jua kebaikan
yang kamu lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui”. (QS Al-Baqarah: 215)
Mereka yang berkelakuan baik terhadap golongan fakir miskin akan
terhindar daripada sifat sombong dan mementingkan diri, malah dipandang mulia
oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Berlaku rendah hati, duduklah
bersama orang miskin, nescaya kalian menjadi pembesar Allah SWT dan keluar
daripada sifat sombong.”
Islam melarang kita membeza-bezakan golongan kaya dengan golongan fakir
miskin. Rasulullah SAW amat benci terhadap sikap sedemikian. Baginda SAW bersabda:
“Seburuk-buruk makanan adalah makanan pesta (jamuan) yang mengundang orang kaya
sahaja dan meninggalkan orang-orang fakir.” (HR Bukhari dan Muslim)
Allah SWT menyuruh kita berbuat baik kepada orang yang tidak bernasib
baik agar silaturahim terjalin erat dan tidak ada lagi jurang pemisah antara
orang susah dengan masyarakat, dapat hidup dengan baik, tidak rasa terhina
dengan kesusahan yang terpaksa ditanggungnya. Kedua-dua golongan itu (anak
yatim dan fakir miskin) wajib disayangi sepenuh hati kerana Allah SWT.
Selain itu, perbuatan-perbuatan baik seperti bersedekah juga
menghapuskan sebahagian dosa-dosa lampau. FirmanNya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara
terang), maka yang demikian adalah lebih baik. Dan kalau pula kamu sembunyikan
sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang miskin, maka itu
adalah lebih baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian
dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara
mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (QS Al-Baqarah: 271)
Di dalam Al-Quran, orang yang tidak mengambil berat tentang anak yatim
dan fakir miskin atau yang menzalimi kedua golongan tersebut digelar sebagai
‘pendusta agama’. Firman Allah SWT: “Tahukah kamu orang yang mendustakan agama?
Itulah orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menganjurkan memberi makan
orang miskin.” (QS al-Ma’un: 1~3)
Dengan perhatian serta pembelaan terhadap orang susah, masyarakat dapat
hidup bersatu padu, tidak ada sifat dengki mendengki dan beban kesusahan dapat
diatasi bersama dengan sebaiknya. Hidup kita akan terhormat, disegani dalam
pergaulan, menambah teman dan mendapat keberkatan rezeki daripada Allah SWT.
Inilah suasana hidup masyarakat yang diberkati dan diredhai Allah SWT.
Wallahua’lam.
2 ulasan:
salam perkenalan
done follow
Asalamualaikum
Catat Ulasan