Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


23 Mac 2010

AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH: GOLONGAN KE-73


Rasulullah SAW pernah bersabda: “Orang Yahudi terpecah menjadi 71 golongan dan orang Nasrani terpecah menjadi 72 golongan, adapun umatku akan terpecah menjadi 73 golongan." (HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasai’ dan Ibnu Majah)

Dalam riwayat lain ditambahkan: “... kesemuanya berada dalam neraka kecuali golongan yang tetap berpegang teguh pada ajaranku dan ajaran para sahabatku.”

Berikut adalah petikan dari kitab Ma’arijul Hidayah oleh Al-Allamah Al-Habib Ali bin Abu Bakar As-Segaf Al-Alawy serta kitab Bughyatul Mustarsyidin:

“Berhati-hatilah engkau wahai saudaraku dari segala bentuk bid’ah dan orang-orangnya, dan jauhilah olehmu untuk berkumpul dengan mereka. Ketahuilah bahawa sumber­-sumber bid’ah dalam masalah aqidah sebagaimana dituturkan oleh para ulama kembali kepada 7 golongan:

· Al-Muktazilah, yang berpendapat bahawa manusia menciptakan perbuatannya sendiri, mereka juga menafikan ru’yah (melihat Allah) bagi orang-orang mukmin dan mewajibkan kepada Allah untuk memberi pahala bagi yang beribadah serta dosa bagi yang bermaksiat. Kerana jika tidak, mereka akan menyatakan bahawa Allah tidak adil atau zalim. Mereka terbahagi kepada 20 golongan.

· Ar-Rawafidh, yang terlalu taksub terhadap Imam Ali bin Abi Thalib k.w.j. dan membenci bahkan mengkafirkan kebanyakan sahabat Nabi SAW. Mereka terbahagi kepada 22 puak.

· Al-Khawarij, golongan yang memusuhi Imam Ali k.w.j., bahkan mengkafirkan beliau, juga mengkafirkan orang-orang yang melakukan dosa besar. Mereka terpecah menjadi 20 golongan.

· Al-Murji’ah, yang berpendapat bahawa kemaksiatan tidak mempengaruhi iman dan ketaatan, tak dapat bermanfaat dengan kekufuran. Mereka terpecah kepada 5 puak.

· An-Nijjariah, mereka sepakat dengan Ahlus Sunnah bahawa Allah yang menciptakan perbuatan manusia. Namun, mereka setuju dengan Muktazilah dalam menafikan sifat-sifat Allah yang azali, dan menyatakan bahawa Al-Quran itu sesuatu yang hadis (bukan qadim), dengan kata lain Al-Quran adalah makhluk bukan kalamullah. Mereka terbahagi kepada 3 golongan.

· Al-Jabariyah, yang menyatakan bahawa setiap hamba tidak boleh / tidak perlu untuk berikhtiar. Mereka hanya satu puak.

· Al-Musyabbihah, yang menyamakan Allah dengan makhluk dalam hal memiliki anggota badan, dan bertempat di suatu tempat. Mereka juga disebut ahlul khulul, dan hanya satu kumpulan.

Dengan demikian jumlah mereka ada 72 golongan. Adapun kelompok yang ke-73 adalah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang mengandungi ajaran-ajaran zahir yang menjadi syari’at bagi umat, dan ajaran-ajaran yang bersifat batin yang disebut dengan tarekat yang diperuntukkan bagi kalangan tertentu (khawas), dan memiliki qulasoh yang dikhususkan bagi suatu hakikat yang menjadi tangga kenaikan darjat bagi golongan yang tertinggi (akhossul khossoh).

Syariat menjadi bahagian bagi anggota badan kita untuk berkhidmat kepada Allah SWT, adapun tarekat akan menjadi bahagian bagi hati yang berisikan ilmu, makrifat dan hikmah. Sedangkan hakikat adalah bahagian bagi arwah untuk mendapatkan musyahadah dan ru’yah (menyaksikan keagungan Allah).

Sesungguhnya kaum muslimin pada masa hidup Nabi Muhammad SAW adalah umat yang satu (ummatun wahidah), mereka tak pernah berselisih sama ada dalam aqidah mahupun amal yang zahir yang menyebabkan perpecahan dan pertikaian. Kalaupun terdapat perbezaan, hanyalah pada masalah-masalah furu’.

Selepas kewafatan Nabi SAW, Sayyidina Abu Bakar r.a. menjadi khalifah. Semasa kekhalifahan beliau, terjadi perselisihan-perselisihan kecil tentang beberapa hal. Namun itu semua mampu ditangani oleh Abu Bakar r.a. Demikian juga ketika jawatan khalifah dipegang oleh Sayyidina Umar Al-Khattab r.a.

Namun, ketika Sayyidina Uthman Al-Affan r.a. dilantik sebagai khalifah, perselisihan di antara sahabat mulai timbul. Orang-orang yang membenci Uthman Al-Affan r.a. sentiasa berusaha untuk menjatuhkan beliau dari jawatannya dengan melemparkan tuduhan-tuduhan yang jahat. Akhirnya Sayyidina Uthman r.a. meninggal dunia kerana dibunuh sebagaimana pembunuhan terhadap Sayyidina Umar Al-Khattab r.a.

Setelah itu, Imam Ali bin Abi Thalib k.w. di baiat sebagai khalifah ke-empat. Namun naiknya Imam Ali k.w. ke jawatan khalifah, digugat oleh Muawiyah bin Abu Sufyan dan pengikutnya. Ketika itu Muawiyah r.a. diangkat oleh pengikutnya untuk menjadi khalifah ke-empat, dan bagi mereka pembunuhan terhadap Sayyidina Uthman r.a. memberi kesempatan kepada mereka. Namun Imam Ali bin Abi Thalib mendapat sokongan majoriti untuk menjadi khalifah. Perebutan kuasa ini akhirnya menyebabkan berlakunya Peperangan Siffin. Akhirnya, pasukan Muawiyah mengangkat Al­-Quran dengan tombak sebagai tanda menyerah kalah.

Ketika itu, Imam Ali k.w. segera menghentikan peperangan. Namun, sebahagian dari pengikut beliau ingin terus berperang. Akibatnya, sebahagian orang yang menginginkan agar perang diteruskan, membelot terhadap Imam Ali k.w. dengan membentuk puak sendiri, dan mereka menamakan diri sebagai puak Khawarij yang dikenal sebagai golongan yang memusuhi Imam Ali bin Abi Thalib k.w.

Ketika inilah muncul seorang yang bernama Abdullah bin Saba’. Tanpa henti-henti, ia menghasut para pengikut Imam Ali k.w. agar melakukan pembelaan sebagai pembalasan terhadap puak Khawarij. Rupanya usaha dari Abdullah bin Saba’ ini berhasil hingga akhirnya beliau dan para pengikutnya yang mengaku sebagai pembela Iman Ali k.w., membentuk puak sendiri yang menamakan diri sebagai puak Saba’iyyah. Mereka bukannya membela Imam Ali k.w. dalam pengertian yang positif, akan tetapi mereka sebenarnya melakukan penyimpangan aqidah dengan memuja Imam Ali k.w. Puak inilah sebenarnya yang menjadi punca munculnya golongan Rawafidh.

Imam Ali k.w. pun tidak berdiam diri. Beliau lalu memerangi puak tersebut sehingga Ibnu Saba’ diasingkan oleh beliau ke sebuah tempat. Sepeninggalan Imam Ali k.w., puak ini berkembang dan terpecah menjadi beberapa kelompok, di antaranya adalah Zaidiyah, Imamiyah, Kaisaniyah, dan Ghulah, hingga menjadi 22 golongan. Mereka saling mengkafirkan antara yang satu dengan yang lain. Demikian pula yang terjadi dengan kelompok Khawarij. Mereka terpecah menjadi 20 puak.

Hal ini terus berlaku sehingga munculnya golongan Qadariyah pada zaman Muta’akhirin dari sahabat. Kelompok mereka ini telah dinyatakan oleh Nabi SAW sebelumnya sebagai Majusi umat ini. Para sahabat yang ada pada saat itu, seperti Ibnu Umar, Jabir Al-Anshari, Abu Hurairah, Ibnu Abbas, Anas bin Malik radhiallahu’anhum mewasiatkan agar tidak memberi salam kepada puak Qadariyah, juga melarang solat jenazah ke atas mereka, serta mengunjungi orang yang sakit dari kalangan mereka.

Pada zaman para tabi’in, iaitu pada masa Imam Hasan Al-Basri r.a., muncullah orang yang bernama Wasil bin Atho’ dan Amr bin Ubeid bin Babin yang membawa khilaf dalam masalah takdir. Di antara pendapat mereka adalah bahawa manusia menciptakan perbuatannya sendiri, juga menyatakan orang yang fasiq (melakukan dosa besar), mereka dinyatakan bukan sebagai mukmin, bukan pula sebagai orang kafir. Ini yang disebut dengan manzilah bainal manzilatain . Mereka berdua diusir oleh Imam Hasan Al-Basri r.a. dari majlisnya, lalu membentuk puak Muktazilah (Ahlul adlwattauhid).

Maka sejak itu lahirlah nama Ahlus Sunnah Wal Jamaah untuk membezakan dari kelompok-­kelompok yang lain, dan sebagai satu-­satunya golongan yang sentiasa berpegang teguh pada As-Sunnah, juga mengikuti ajaran para salaf (sahabat), baik dalam aqidah mahupun amalan. Sebagai kelompok terbesar, Ahlus Sunnah Wal Jamaah memiliki ciri tersendiri dalam ajarannya yang jauh dari kedengkian dan kesesatan.

Sebagai kelompok terbesar, ramai sekali tokoh-tokoh yang membina lahirnya Ahli Sunnah Wal Jamaah, antaranya adalah 4 imam mazhab iaitu Imam As-Syafie, Imam Malik, Imam Ahmad bin Hambal, dan Imam Abu Hanifah.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah berada dalam satu naungan aqidah, sedang dalam segi syari’ah (masalah-masalah furu’) sekalipun terdapat perbezaan, hanya terbatas pada perbezaan ijtihad sesuai dengan mazhab yang diikuti dari empat macam mazhab tersebut. Dengan tetap berpegang pada sumber-sumber hukum Islam (Al­-Quran, As-Sunnah, Ijma’, Qiyas para Mujtahidin), bukan perbezaan yang menimbulkan perpecahan, apalagi sampai mengkafirkan dan menganggap sesat golongan yang berbeza, seperti yang terjadi pada golongan-golongan selain Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Kebanyakan tokoh-tokoh Ahlus Sunnah Wal Jamaah menyibukkan dirinya dalam urusan Fiqhiyah (Feqah), dan mereka disebut para Fuqaha seperti empat imam di atas, sekalipun mereka orang-orang yang memiliki kemampuan yang cukup besar dalam masalah-masalah aqidah dan tasawuf. Namun tuntutan zaman pada ketika itu, mendorong mereka memberikan perhatian yang lebih besar terhadap urusan-urusan syarie.

Adapun di antara mereka yang lebih menitikberatkan pada masalah­-masalah aqidah disebut sebagai Mutakalimin (ahlul kalam). Ada pula yang lebih berkemampuan dalam masalah-masalah batiniyah (hati), dan mereka itulah yang disebut Sufi (ahli tasawuf), ada juga yang disebut Ahlul Hadis dan Ahlul Tafsir (Muhadisin dan Mufassirin).

Mereka semua adalah aset terbesar bagi umat ini dan bagi Ahlus Sunnah Wal Jamaah, khususnya. Mereka telah berjasa dalam memperkayakan khazanah keilmuan bagi agama ini, mereka juga telah mengabdikan diri dalam meluruskan penyimpangan­-penyimpangan yang terjadi di kalangan umat ini.

Wallahua'lam.

3 ulasan:

Ir. Jamal berkata...

Assalamualaikum dan Salam Ziarah pak Syeikh...thanks atas info-nya ya

http://jamaluddinab.blogspot.com/

Unknown berkata...

ALLAH s.w.t maha mengetahui

Unknown berkata...

ALLAH s.w.t maha mengetahui