Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


08 Januari 2010

SAIDINA UTHMAN IBNU AFFAN 'DZUNNURAIN' R.A.


Awal Memeluk Islam

Allah yang telah mentakdirkan Saidina Uthman untuk menyertai rombongan pertama yang menerima hidayah dan agama Islam. Uthman termasuk salah satu dari tujuh orang yang sentiasa mendampingi dan menyertai perjuangan Rasulullah SAW. Dia amat mengenali siapa dan bagaimana Rasulullah SAW pada peringkat awal kerasulan Baginda. Pada suatu hari ketika pulang dari perjalanan dagangnya ke Syam dan ketika rombongan kafilahnya beristirehat di tempat teduh (antara Ma'an dan Azzarqa), Uthman dan kawan-kawannya tertidur. Ketika sedang tidur, tiba-tiba ia bermimpi mendengar suara yang menyeru mereka agar bangun kerana orang yang bernama Ahmad telah muncul di kota Makkah. Rupanya telah sampai berita gembira kepada Uthman tentang hadirnya seorang NabiAllah, nabi akhir zaman. Mendengar berita itu, apakah Uthman bersikap pasif atau ragu? Ternyata tidak! Sifatnya yang pemalu, kelapangan dadanya dan kemurahan jiwanya mendorong untuk bertemu dengan Nabi Muhammad SAW. Itulah awal keislaman beliau.

Sifatnya Yang Pemalu

Setiap sahabat Nabi SAW memiliki keistimewaan tersendiri, baikdi dalam ucapan mereka mahupun di dalam amal perbuatan mereka. Seperti sabda Nabi Muhammad SAW: "Orang yang paling kasih sayang dari umatku ialah Abu Bakar, dan paling teguh dalam memelihara ajaran Allah ialah Umar, dan yang paling bersifat pemalu ialah Uthman." (HR Ahmad, Ibnu Majah, Al-Hakim, At-Tirmidzi). Sifat pemalu itulah yang mendorong Saidina Uthman menjadi seorang dermawan yang penuh belas kasih, sehingga ketika Rasulullah SAW sedang mempersiapkan pasukan 'Al-'Usrah', seluruh perbelanjaannya ditanggung oleh Saidina Uthman secara bersendirian. Rasulullah SAW menyambutnya dengan ucapan : "Tidak akan ada sesuatu yang dapat membahayakan Uthman dengan apa yang dia lakukan hari ini. Ya Allah, redhailah Uthman, sesungguhnya aku redha kepadanya." (HR At-Tirmidzi)

Sifat Dermawan Yang Tinggi

Ketika kaum Muslimin berhijrah dari Makkah ke Madinah, mereka menghadapi kesukaran mendapatkan air. Sedangkan di sana ada sumber air tetapi dimiliki oleh orang yahudi. Rasulullah SAW berharap ada sahabat yang sanggup membeli sumber air tersebut. Mendengar itu, Saidina Uthman datang ke tempat orang yahudi tersebut dan membeli separuh sumber air itu dengan sehari untuk hak muslim, sehari lagi untuk hak yahudi dengan harga 12,000 dirham. Pada giliran hak Saidina Uthman, maka kaum Muslimin mengambil air sebanyak-banyaknya yang cukup untuk 2 hari. Hal itu menyebabkan orang yahudi merasa sangat rugi kerana tidak ada lagi yang membeli airnya. Akhirnya, yahudi tersebut menjual haknya kepada Saidina Uthman sebanyak 8,000 dirham. Setelah peristiwa tersebut, Rasulullah SAW menikahkan puteri Baginda, Ummu Kalthum dengan Saidina Uthman. Sebelumnya, Saidina Uthman beristerikan Ruqayah, puteri Rasulullah SAW yang kedua tetapi telah meninggal dunia. Oleh kerana itu Saidina Uthman mendapat jolokan 'Dzunnurain' yakni 'yang memiliki dua cahaya'. Yang dimaksudkan dua cahaya ialah mengahwini dua orang puteri Rasulullah SAW.

Mushaf Uthmani

Suatu amal perbuatan yang mulia, ialah apa yang telah dilakukan Saidina Uthman r.a. apabila beliau mengumpulkan ayat-ayat Al-Quran dalam lembaran-lembaran yang ditulis di masa Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan tersimpan di rumah Hafshah sesudah wafatnya Khalifah Umar Al-Khattab r.a. Kemudian kerana kepentingan itu, Saidina Uthman membentuk satu jawatankuasa yang diketuai oleh Zaid bin Tsabit r.a. dengan disertai Abdullah bin Zubair r.a., Said bin Aash r.a. dan Abdurahman bin Haarits r.a. sebagai anggota. Tugas kumpulan itu ialah membukukan Al-Quran, yaitu dengan cara menyalin dari lembaran-lembaran sehingga menjadi buku. Saidina Uthman menasihatkan bahawa sekiranya terdapat perselisihan di antara mereka dalam bacaannya, maka ayat-ayat itu harus ditulis menurut dialek suku Quraisy kerana Al-Quran diturunkan menurut dialek mereka. Al-Quran yang telah dibukukan itu diberi nama 'Al-Mushaf', sebuah di tangan Khalifah Uthman (di Madinah) dan empat buah lagi dikirim ke Makkah, Syria, Basra dan Kufah agar tempat2 terbabit boleh membuat salinan. Allah SWT telah menyelamatkan Al-Quran dari sebarang perubahan. Dia telah memelihara kemurnian dan keaslian Al-Quran sampai hari kiamat. Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quraan, dan sesungguhnya Kami (pulalah) yang memeliharanya." (QS Al-Hijr:9) Saidina Uthman r.a. akan tetap dikenang sebagai orang yang paling berjasa dalam bidang ini.

Uthman Dan Perluasan Dakwah Islamiah

Di masa Khalifah Uthman, perluasan dakwah Islamiah mengalami zaman keemasan. Contoh pada tahun 24 Hijriah, beliau mengirim pasukan tentera yang berada di bawah komando Al-Walid bin Aqobah menuju Azerbaijan dan Armenia, kerana ke dua-dua daerah tersebut telah membatalkan perjanjian yang dibuat dengan kaum Muslimin di zaman Khalifah Umar r.a. Juga pada tahun 25 H, penduduk Iskandariah membatalkan perjanjian kerana mereka telah dijanjikan mendapat bantuan dari kerajaan Romawi, tapi negeri itu segera tunduk dan kembali dikuasai dengan damai oleh kaum Muslimin setelah pasukannya menyerbu negeri ini. Dan masih banyak lagi, tetapi yang paling dahsyat ialah tatkala Saidin Uthman mengutus Abdullah bin Saad (27 H) untuk menyerbu Afrika. Tentara Muslimin berjumlah 20,000 berhadapan dengan kaum Barbar yang terdiri dari 120,000 orang di bawah pimpinan rajanya iaitu Jarjir. Dengan pertolongan Allah SWT, kaum Muslimin dapat mengalahkan mereka hingga mereka menuju Andalusia (Sepanyol). Para ahli sejarah menganggap era Saidina Uthman r.a. sebagai era kemenangan kaum Muslimin dan era penaklukan kekuatan-kekuatan Romawi, Parsi dan Turki.

Fitnah Besar dan Terbunuhnya Uthman

Pada akhir tahun 34H, daulah Islam mulai dilanda fitnah. Yang menjadi sasaran adalah Saidina Uthman r.a. sampai mengakibatkan beliau terbunuh pada tahun berikutnya. Fitnah yang keji itu datangnya dari Mesir berupa tuduhan-tuduhan palsu yang dibawa oleh orang-orang yang datang hendak melaksanakan umrah pada bulan Rejab. Saidina Ali kwj bermati-matian membela Saidina Uthman atas serangan fitnah tersebut. Hingga suatu ketika keadaan semakin parah dan Uthman dikepung di rumahnya dan tidak pergi ke masjid. Pada suatu hari, para penentang menyerbu rumahnya lalu membunuhnya. Mereka tidak menaruh sedikitpun belas kasihan kepada Saidina Uthman yang telah berjuang dalam Islam dan menginfakkan hartanya untuk peperangan. Ibnu Abid Dunya menyampaikan kisah dari Abdullah Bin Salaam r.a.: "Aku pergi ke rumah Uthman ketika dia sedang dikepung di rumahnya dan aku bertemu dengan dia, lalu dia berkata: "Selamat datang saudaraku, aku bermimpi bertemu Rasulullah SAW di suatu lorong yang sempit dan dan beliau berkata: "Ya Uthman, mereka mengepung kamu?" Aku menjawab: "Ya" Nabi bertanya lagi: "Dan mereka membuat kamu haus?" Aku menjawab, "Ya" Kemudian Nabi memberiku bekas berisi air dan aku minum sampai puas dan aku rasakan dinginnya air pada dada dan pundakku, lalu Beliau berkata: "Kalau kamu menghendaki, kamu dimenangkan dan kalau kamu menghendaki berbuka puasa di tempat kami." Ketika itu Uthman di dalam keadaan puasa . Uthman berkata: "Aku memilih berbuka puasa di tempat Nabi SAW." Tepat pada petang hari itu, Saidina Uthman r.a. dibunuh. Ia dimakamkan di semak-semak bukit sebelah timur pekuburan Al-Baqi, hari Jumaat tahun 35 H tgl 17 Dzulhijjah pada usia 80 atau 82 tahun.

Semoga Allah SWT merahmati beliau. Amein...

Tiada ulasan: