Pada suatu hari datang seorang musyrik lalu berkata: "Wang saya terlampau banyak. Kalau kamu berkehendakkan wang, datanglah berjumpa dengan saya. Janganlah meminjam dari orang lain."
Saya berasa gembira dengan tawaran ini. Saya pun mulai meminjam wangnya untuk memenuhi keperluan Rasulullah SAW. Pada suatu hari selepas mengambil wuduk, saya sedang bersiap-siap untuk azan, tiba-tiba datang orang musyrik itu diikuti oleh beberapa orang lain. Dia memekik-mekik memanggil saya, apabila saya mendapatkannya, dia telah mengeluarkan kata-kata yang kesat terhadap saya.
Katanya: "Ada beberapa hari lagi dalam bulan ini?" Saya menjawab: "Bulan ini hampir genap." Dengan marahnya dia berkata: "Ada empat hari lagi untuk kamu menyelesaikan hutang-hutang kamu. Kalau kamu gagal menjelaskannya, aku akan jadikan kamu hambaku dan kamu terpaksa mengembala kambing seperti dahulu." Kemudian dia pun meninggalkan saya.
Saya merasa sangat dukacita. Selepas sembahyang Isyak, apabila Rasulullah SAW duduk berseorangan, saya pun mendekati Baginda. Kata saya: "Ya Rasulullah, Tuan tidak mempunyai sesuatu apa pun dan saya pula tidak dapat menguruskan pinjaman serta merta. Saya rasa si-musyrik itu akan memalukan saya. Oleh itu saya akan pergi dari sini sehingga saya mendapat wang untuk menjelaskan hutang saya itu."
Sekembali saya ke rumah, saya mengemaskan pedang, perisai dan kasut kepunyaan saya kerana bersiap-siap untuk berpergian pada pagi esoknya. Hampir-hampir waktu Subuh, datang seorang utusan Rasulullah SAW sambil berkata: "Lekas, Rasulullah SAW ingin berjumpa dengan engkau." Saya pun segeralah berangkat ke masjid.
Di sana saya dapati empat ekor unta yang sarat dengan bebanan. Kata Rasulullah SAW: "Ada berita gembira, wahai Bilal. Allah SWT telah menyampaikan pengurniaanNya untuk menjelaskan hutangmu. Ambillah unta-unta ini serta muatan mereka. Barang-barang ini telah dihantar kemari sebagai hadiah untukku oleh puak Fidak."
Saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT lalu menjelaskan semua hutang saya. Apabila saya balik ke masjid, saya berkata kepada Rasulullah SAW: "Alhamdulillah, hutang saya telah pun dijelaskan, ya Rasulullah." Baginda bertanya sama ada masih ada yang tertinggal dan saya menjawab: "Ya, Rasulullah." Baginda meminta saya menghabiskannya dan Baginda mengatakan yang Baginda tidak akan pulang ke rumah selagi barang tersebut masih ada.
Saya pun pergilah untuk membahagi-bahagikan baki barang-barang yang masih tinggal kepada fakir miskin. Selepas Isyak, Rasulullah SAW bertanya kalau-kalau masih ada lagi barang-barang itu. Saya menjawab mengatakan bahawa tidak ada lagi kerana terdapat ramai fakir miskin untuk dibahagi-bahagikan barang-barang tersebut. Pada malam itu, Rasulullah SAW tidur di masjid.
Keesokannya, selepas Isyak, Rasulullah SAW bertanya lagi tentang berang-barang itu. Saya berkata: "Ya, Allah telah memberkati Tuan dengan ketenteraman jiwa. Semua barang-barang itu telah saya habiskan." Rasulullah SAW pun memuji-muji Allah SWT. Pada malam itu, barulah Baginda pulang ke rumah. Rasulullah SAW tidak suka menghadapi maut selagi ada harta kekayaan ditangannya.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan