Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


30 November 2008

REZEKI YANG DIBERKATI


Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan, rezeki akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.
.
Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman "Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?" Nabi Ayub menjawab "Ya benar, demi keagunganMu, apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu". Peristiwa ini jelas menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.
.
Terdapat berbagai cara untuk mendapatkan keberkatan rezeki daripada Allah SWT:
1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.
2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.
3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal.
4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.
5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.
6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu, selepas itu barulah bersedekah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita kerana sebenarnya dalam harta kita ada hak-hak mereka.
7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.
8. Berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam firman Allah SWT: "Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, hanyalah jika kamu menafkahkan sebahagian daripada apa yang kamu kasihi. Sesuatu yang kamu nafkahkan itu, sesungguhnya Allah mengetahui" (Ali Imran : 92)
9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia)
10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan). Menurut Nabi SAW, 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%). Nabi SAW sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.
11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami. Dalam satu hadis, Nabi SAW menerangkan pada setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru "Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah". Yang satu lagi menyeru "Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)".
.
Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfakkan (membelanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: "Takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar". Dan sabdanya lagi: "Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api".
.
Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi. Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insya Allah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta, belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui atau dari sumber yang tidak disangka-sangka.
.

Tiada ulasan: