Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


27 Mei 2008

SENDA GURAU DALAM RUMAHTANGGA

Sudah menjadi sunnatullah, kebanyakan manusia suka bergurau senda dan bergelak ketawa. Umpamanya pemimpin bergurau senda dengan pengikutnya, guru bergurau senda dengan muridnya, ibubapa bergurau senda dengan anak-anaknya, suami bergurau dengan isterinya dan sebagainya.
.
Malah Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda juga biasa bergurau, ketawa, bermain-main dan berkata yang ganjil. Nabi Muhammad SAW pernah berkata bahawa ada tiga jenis permainan yang boleh menjadi ibadah.
.
Pertama ialah bermain dengan kanak-kanak dengan tujuan untuk mendatangkan kegembiraan dihatinya. Ini akan mendatangkan pahala dari Allah swt. Kedua ialah bergurau-gurau dan bergelak ketawa dengan isteri, juga merupakan satu ibadah dan boleh mendatangkan pahala. Fitrah semula jadi seseorang yang telah mengahwini seorang perempuan, sudah tentu dia suka bergurau senda dengan isterinya. Dalam pada itu, Allah beri pula pahala kerananya. Bukankah buat satu perkara dapat dua pahala. Ini menunjukkan betapa Allah sangat meredhakan para suami bergurau senda dengan isteri-isterinya dan Allah tidak suka melihat suami yang tidak pandai bergurau dengan isterinya.
.
Dalam bersenda dan bergelak ketawa dengan isteri, suami hendaklah seimbangkan di antara sifat lemah lembut dan tegas. Ertinya, di samping suami merendahkan taraf sebagai seorang lelaki dengan isteri, janganlah sampai kehebatan seorang suami hilang sama sekali. Maknanya dalam bergurau itu, kehormatan seorang suami tetap dijaga. Sebagai suami, hendaklah sentiasa mengawal syariat ketika bergurau. Jangan biarkan si isteri mengikut hawa nafsunya hingga rosak akhlak dan jangan beri peluang kemungkaran berlaku. Sesiapa yang bergurau dengan isterinya berlawanan dengan kehendak syariat, lelaki itu dayus. Syurga tidak menerima lelaki dayus.
.
Rasulullah SAW juga selalu bergurau dan bergelak ketawa dengan isterinya hinggakan beliau menurunkan taraf kerasulannya ketika bergurau senda itu kepada taraf kewanitaan. Ertinya, Rasulullah turut bergurau macam seorang perempuan bergurau iaitu sindir menyindir, cubit mencubit dan sebagainya.
.
Banyak sekali riwayat-riwayat yang menggambarkan bagaimana Rasulullah melayan isteri-isterinya dengan bergurau senda dengan mereka dan menurunkan taraf kerasulannya. Misalnya, suatu hari ada beberapa orang Habsyah sedang bermain-main pedang dan memukul-mukul gendang. Hari itu ialah hari Asyura. Isterinya, Aisyah dapat mendengarnya dari rumah. Lantaran Rasulullah pun bertanya kepada Aisyah, "Kamu sukakah hendak melihat orang itu bermain?" Jawab Aisyah, "Ya". Rasulullah pun pergi ke muka pintu rumahnya dan berdiri di tengah-tengah pintu itu sambil kedua-dua tangannya memegang pintu itu. Beliau pun memanggil orang-orang Habsyah itu supaya bermain di halaman rumahnya. Aisyah pun berdiri di belakang Rasulullah sambil meletakkan dagunya di atas tangan Rasulullah. Setelah beberapa lama, Rasulullah pun berkata, "Sudah?" Aisyah tidak menjawab. Akhirnya setelah beberapa lama, Rasulullah pun berkata semula: "Sudahkah wahai Aisyah?" Barulah Aisyah menjawab, "Ya, Rasulullah". Maka Rasulullah pun menyuruh orang-orang itu pergi.
.
Pernah satu ketika Aisyah mengajak Rasulullah SAW berlari-lari. Berlumba larilah Rasulullah sedangkan ketika itu Aisyah muda belia berumur 16 tahun. Dalam hal ini Saidina Umar juga pernah berkata, "Memang sepatutnya seorang laki-laki itu ketika bergaul dengan sesama lelaki, dia menunjukkan kelakiannya, tetapi apabila dia bergaul dengan isterinya, dia adalah seperti kanak-kanak."
.
Ertinya sesama lelaki, suami bolehlah menunjukkan sikap serius tetapi apabila dia bergaul dengan isterinya janganlah terlalu serius. Contohnya cakap dengan bahasa yang keras, suara tinggi, lidah sentiasa tajam serta bersikap kasar. Ini menyebabkan isteri merasa jemu. Justeru itu para suami hendaklah memperbanyakkan gurausenda dengan isteri untuk membuahkan kemesraan dan menambat ikatan kasih sayang. Sekali sekala eloklah ditunaikan keinginan isteri jika mereka hendak melihat permainan yang tidak bertentangan dengan syariat. Sebagaimana Rasulullah berbuat terhadap isterinya kerana Rasulullah itu adalah sebagai ikutan kita. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Orang mukmin yang sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya dan yang paling lemah lembut dengan isterinya." Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda kepada sahabatnya: "Kahwinlah kamu dengan anak dara, kamu boleh bergurausenda dengannya dan dia juga boleh bergurau-gurau dengan kamu."
.
Suatu hari, ada seorang sahabat berkahwin dengan seorang janda, lalu Rasulullah bertanya kepadanya kenapa dia berkahwin dengan seorang janda sedangkan kalau dia berkahwin dengan anak dara, dia boleh bermanja-manja dengannya dan isterinya juga boleh bermanja-manja. Jawab sahabat itu, dia berkahwin dengan janda kerana dia ada banyak adik-adik kecil yang tidak ada siapa boleh menjaganya. Seorang janda ada pengalaman menjaga anak-anak kecil dan oleh itu dia menjaga adik-adiknya kerana ibunya sudah meninggal. Rasulullahpun diam. Di dalam mengusahakan sebuah rumahtangga, kehebatan seorang suami terletak pada sejauh mana dia dapat mempertahankan syariat semasa dia bergurau senda dengan isterinya. Kalau suami terlalu taat kepada isterinya dan mengikut sahaja apa kata-kata isterinya walaupun yang berlawanan dengan syariat, dia akan Allah benamkan ke dalam neraka. Oleh yang demikian, suami hendaklah mengawasi supaya jangan sampai isterinya menguasai dia. Jangan jadi apa yang dikatakan orang, 'Queen Control'. Itu pun dalam hal-hal yang mengenai syariat sahaja. Rasulullah mengingatkan yang bermaksud: "Tidak beroleh kemenangan dan kejayaan, laki-laki yang diperintah oleh kaum wanita."
.
Dalam hal ini Saidina Umar ada berkata, "Hendaklah kamu jangan mengikut kata-kata isteri." Di sini tidaklah bermakna suami tidak boleh langsung mengikut kata-kata isteri. Kata-kata isteri yang tidak menyalahi syariat, boleh diikut. Cuma, kata-kata yang menyalahi syariat inilah yang dilarang oleh Allah suami-suami mengikutnya. Umpamanya isteri ajak pergi tengok wayang atau melarang suami pergi mengaji Fardhu Ain, si suami ikut sahaja kata-kata isteri. Ini adalah dilarang. Tetapi, kalau isteri mengingatkan suami sembahyang, menyuruh mengaji Fardhu Ain dan seumpamanya, kata-kata begini boleh diikut. Firman Allah di dalam Al Quran yang bermaksud: "Kamu boleh bermesyuarat dengan isteri kamu tetapi kata-kata yang menyalahi syariat, hendaklah kamu salahi (jangan ikut)."
.
Suami-suami tidak boleh mengikut kata-kata isteri kerana kata Allah di dalam Al-Quran, maksudnya: "Laki-laki adalah pemimpin bagi kaum perempuan." Kebiasaannya sebagai pemimpin, tidak akan tunduk pada telunjuk ataupun kata-kata pengikutnya. Yang dipimpin kenalah mengikut kata-kata yang memimpin. Suami boleh meminta pendapat pada isteri. Mana-mana yang sesuai dengan syariat bolehlah ikut dan mana-mana yang tidak sesuai, janganlah ikut. Rasulullah SAW pun pernah mengikut kata-kata isterinya yang sesuai dengan syariat.
.
Wallahua'lam

Tiada ulasan: