Bukanlah satu perkara yang mudah untuk menghadapi manusia yang memiliki sifat munafik. Sejarah pernah memaparkan dakwah Rasulullah SAW telah beberapa kali mendapat tentangan yang dilakukan oleh orang-orang munafik. Mereka ini diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul.
.
Antara kejahatan Abdullah ini ialah dia pernah menaburkan fitnah terhadap Ummul Mukminin Saidatina Aisyah r.anha. Aisyah telah tertinggal daripada rombongan kafilah yang hendak pulang ke Madinah kerana mencari kalungnya yang hilang lalu ditemui Safwan bin Mu'attal yang bertugas sebagai peronda untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan. Saidatina Aisyah kemudian dihantar pulang, namun kesempatan ini diambil oleh orang-orang munafik untuk memfitnahnya. Fitnah ini merupakan ujian yang sangat berat kepada Siti Aisyah. Fitnah ini tidak dapat dikawal kerana orang-orang munafik telah menyebarkannya. Walaupun fitnah ini sukar dibuktikan, tetapi ia juga sukar dinafikan. Akhirnya Allah SWT telah menurunkan wahyu dan membersihkan maruah Saidatina Aisyah daripada difitnah. Peristiwa ini menunjukkan betapa sukarnya untuk menghadapi fitnah orang-orang munafik. Hanya dengan berpandukan Al-Quran, hadis dan sejarah perjuangan baginda Rasulullah saw sahaja akan kita dapat mengetahui rahsia tipuan mereka dan bagaimana menghadapinya.
.
Secara kasarnya syariat telah menggariskan sifat-sifat asas orang-orang munafik ini iaitu 'melahirkan suasana Islam dan menyembunyikan kekufuran.' Mereka ini muncul di peringkat Madinah iaitu ketika umat Islam telah membina kekuatan ekonomi, ketenteraan, undang-undang, pertanian dan lain-lain bidang kehidupan. Orang-orang munafik menyembunyikan kekafiran terhadap Allah SWT, Rasul-Nya dan Kitabullah. Orang-orang munafik akan ditimpa seksaan sebagaimana firman Allah swt: "Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada darjat yang paling bawah sekali dalam neraka." (Surah An-Nisa :145)
.
Sifat-sifat munafik terlalu banyak dan ada di antaranya sangat seni sehingga memungkinkan seseorang Muslim tidak dapat bebas daripadanya. Sering terjadi campur aduk antara kekafiran dan iman yang sentiasa berbolak-balik dalam jiwa seseorang. Apabila ini terjadi, dia disifatkan sebagai orang yang mempunyai 'tanda-tanda munafik'. Justeru itulah, para sahabat Rasulullah SAW sangat bimbang dengan tanda-tanda munafik yang mungkin terselit dalam hati mereka.
.
Orang-orang munafik merupakan orang-orang yang sangat berbahaya. Allah SWT sendiri telah mengingatkan kita akan tipu helah mereka hampir setiap surah dalam Al-Quran. Jadi, apakah tanda-tanda munafik yang diberitahu Allah kepada kita? Sifat-sifat orang munafik menurut Al-Quran adalah seperti berikut:
.
a. Menuduh orang beriman bersifat bodoh.
Allah SWT telah menjelaskan sifat munafik ini dalam firman-Nya: "Apabila dikatakan orang kepada mereka, "Berimanlah kamu sebagaimana manusia yang telah beriman, mereka berkata: Masakan kami beriman, sebagaimana orang-orang bodoh yang telah beriman". Ketahuilah sesungguhnya mereka itulah yang sebenarnya bodoh tetapi mereka tidak tahu." (Al-Baqarah: 13). Setiap kali ada umat Islam yang ingin mengamalkan cara hidup Islam, mereka akan dituduh kolot atau ketinggalan zaman. Sekiranya ada di antara mereka ingin meninggalkan amalan riba dalam pembelian, mereka telah dituduh bodoh dan menjalani perniagaan tidak menguntungkan. Sekiranya mereka menjaga batas-batas syariat dalam pergaulan, mereka giat dituduh sebagai penghalang kepada kemajuan dan sebagainya. Kerja-kerja yang tidak menyenangkan ini dilakukan oleh orang-orang munafik.
.
b. Menyuruh kepada yang mungkar dan melarang yang makruf.
Firman Allah SWT: "Orang munafik lelaki dan orang munafik yang perempuan sesetengah serupa dengan yang sesetengah yang lain. Mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang daripada membuat kebajikan, mereka menggenggam tangannya (bakhil). Mereka lupa akan Allah SWT, oleh yang demikian Allah melupakan mereka pula. Sesungguhnya orang-orang munafik itulah orang-orang yang fasik." (Surah At-Taubah: 67).
.
c. Keras kepala dan berbangga dengan dosa.
Firman Allah SWT: "Apabila dikatakan kepadanya: "Takutlah kepada Allah". Kesombongan menjadikan dia berbuat dosa. Maka cukuplah api neraka untuk balasannya dan adalah api neraka itu seburuk-buruk tempat tinggal." (Surah Al-Baqarah: 206). Orang-orang munafik sangat sukar untuk diberi keinsafan. Mereka rela mati dalam mempertahankan kebatilan yang mereka sembunyikan itu. Sejarah pernah menceritakan bagaimana Abdullah bin Ubai telah terperangkap beberapa kali dalam 'lubang' yang digalinya sendiri, tetapi masih tidak insaf. Seluruh umurnya digunakan untuk menentang Islam.
.
d. Membantu orang kafir dan mengintip-intip orang beriman.
Sifat munafik ini diceritakan Allah SWT dalam firman-Nya: "Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih iaitu orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Iaitu orang yang menunggu-nunggu (peristiwa) yang akan terjadi pada dirimu (hai orang-orang mukmin). Maka jika terjadi bagimu kemenangan daripada Allah, mereka berkata: "Bukankah kami (turut berperang) berserta kamu?" Dan jika orang-orang kafir mendapat keuntungan (kemenangan), mereka berkata; "Bukankah kami turut memenangkanmu, dan membela kamu daripada orang-orang mukmin?" Maka Allah akan memberi keputusan di antara kamu di hari kiamat dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang yang beriman." (Surah An-Nisaa': 138~141). Pendirian orang munafik umpama lalang. Arah mana angin bertiup, ke situlah ia condong. Sebenarnya orang-orang munafik cuba mendapatkan keuntungan daripada kedua-dua belah pihak, Islam ataupun kafir. Walaupun begitu, hati mereka lebih kasih kepada orang kafir dan sentiasa berusaha untuk mengekalkan kekuasaan orang-orang kafir terhadap orang Islam.
.
e. Penipu, riak dan malas melaksanakan syariat Islam.
Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Jika mereka berdiri mengerjakan solat, mereka berdiri dengan malas, serta riak (menunjuk- nunjuk) kepada manusia. Tiadalah mereka itu mengingati Allah kecuali sedikit. Mereka itu di dalam keraguan antara kafir dengan iman." (Surah An-Nisaa': 142-143). Orang munafik tidak akan merasa kemanisan bahkan seolah-olah rasa terpaksa setiap kali melakukan ibadah. Semuanya dilakukan demi mengelabui mata manusia. Sifat malas, cuai, suka bertangguh-tangguh dan bermudah-mudah akan dapat dilihat dengan jelas. Oleh kerana itu sudah menjadi tradisi bagi Khalifah Ur Rasyidin yang empat, mereka tidak akan menyerahkan apa-apa jawatan kepada orang yang cuai beribadah (terutamanya solat) kerana khuatir amanah rakyat jatuh ke tangan orang-orang munafik.
.
f. Memecah-belahkan orang beriman.
Rasulullah SAW pernah menyuruh para sahabat meruntuhkan sebuah masjid yang didirikan oleh orang-orang munafik. Peranan masjid yang asalnya suci telah dijadikan tempat untuk memecah-belah perpaduan orang-orang beriman. Orang munafik merasakan tindakan mereka bertopengkan agama itu akan berjaya. Namun Rasulullah SAW lebih tahu apa yang tersirat di hati mereka. Allah SWT telah memberitahu hal ini melalui firman-Nya: "Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah-belahkan antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya telah bersumpah: "Kami tidak menghendaki selain kebaikan." Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya)." (Surah At-Taubah : 107).
.
Begitulah sifat-sifat orang munafik. Mungkin ada manusia bersifat munafik ini sangat hampir dengan kita seperti mana hampirnya Abdullah bin Ubai dengan Rasulullah SAW. Mereka sanggup mengorbankan tenaga dan harta seolah-olah untuk membangunkan Islam tetapi hakikatnya adalah untuk menghancurkan perjuangan Islam. Bak kata pepatah, 'tangan kanannya membangunkan Islam, namun tangan kiri meruntuhkan.' Apakah tindakan kita selama ini seperti mana pepatah ini? Bagaimanakah kita dapat menghadapi golongan munafik ini?
.
Pertama, kita mestilah mempelajari Islam sedalam yang boleh dengan mengikuti kelas-kelas pengajian supaya kita tidak mudah tertipu. Kita tidak mahu disebabkan oleh kejahilan, kita sendiri yang mencemarkan Islam.
.
Kedua, berhati-hatilah dengan siapa kita berkawan. Sekiranya kawan kita itu mengajak kepada yang mungkar dan meninggalkan yang makruf, nasihatilah dengan baik. Tanganilah segala permasalahan berpandukan syariat Islam. Sentiasalah bermuhasabah diri supaya setiap hari kita dijauhi daripada memiliki sifat-sifat munafik. Allah SWT telah berfirman: "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan memberi jalan keluar dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka." (Surah At-Talak: 2)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan