Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


24 April 2012

GANJARAN TAQWA


Beriman kepada Allah SWT menuntut kita untuk melaksanakan ketaatan seorang hamba atau makhluk kepada Pencipta Yang Maha Agung. Semua makhluk ciptaan Allah SWT tidak terlepas daripada tuntutan ini. Firman Allah SWT: "Dan (Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (QS Al-Dzaariyaat: 56)

Manusia diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan mematuhi dan melaksanakan segala titah perintah Allah SWT serta menjauhi segala laranganNya. Manusia yang menjadi sebaik-baik ciptaan telah dikurniakan dengan akal fikiran agar dapat dipergunakan untuk memikirkan tentang perintah dan kebesaran Allah SWT. Dengan kelebihan tersebut jua, Allah SWT telah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi sebagaimana firmanNya: "Dan (Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." (QS Al-Baqarah: 30) 

Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Said Alkhudri RA berkata: "Seorang datang kepada Nabi Muhammad SAW dan berkata: "Ya Rasulullah, nasihatilah aku." Nabi Muhammad SAW bersabda: "Jagalah taqwa kepada Allah SWT sebab taqwa itu menghimpunkan segala kebaikan. Dan kerjakan jihad sebab dia sebagai pertapaan bagi umat Islam. Dan lazimilah dzikrullah dan membaca Al-Quran, sebab ia cahaya penerangan untukmu di bumi dan sebutan namamu dilangit. Dan jagalah lidahmu kecuali dalam kebaikan sebab dengan itu dapat mengalahkan syaitan laknatullah."

Abul Laits berkata: "Taqwa kepada Allah SWT ialah mengerjakan perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya, maka siapa berbuat demikian bererti telah menghimpunkan semua kebaikan. Dan jagalah lidahmu dalam kebaikan bererti katakanlah yang baik sehingga untung dan diamlah dari kejahatan sehingga selamat. Dan manusia tidak dapat mengalahkan syaitan laknatullah kecuali dengan diam, kerana itu seharusnya seorang muslim menjaga lidahnya sehingga terlindung dari syaitan laknatullah. Dan Allah SWT akan menutup auratnya." 

Oleh yang demikian, manusia seharusnya dapat menjadi contoh ikutan bagi sekalian makhluk yang ada. Manusia yang taat kepada Allah SWT. adalah manusia yang bertaqwa. Ketaqwaan ini pula akan membawa kepada kemuliaan di sisi Allah SWT. di dunia mahupun di akhirat. Orang yang bertaqwa telah dijanjikan oleh Allah SWT. dengan beroleh kejayaan dan ganjaran kebaikan di dunia dan akhirat. Sebaliknya orang yang tidak taat dan ingkar dengan perintahNya akan beroleh balasan neraka dan azab siksa yang amat pedih. 

Dalam memenuhi tuntutan ini, kita seharusnya jelas dan faham akan maksud ketaatan dan ketaqwaan tersebut. Taqwa menurut tafsir Al-Quran pimpinan Ar-Rahman bererti memelihara atau melindungkan diri dari sesuatu yang ditakuti. Prof. Hamka pula dalam tafsir Al-Azhar berpendapat bahawa perkataan taqwa berasal dari perkataan 'waqayah' yang bermaksud ‘memelihara’. Jelasnya di sini, taqwa atau bertaqwa kepada Allah SWT bermaksud menjaga dan memelihara diri dari segala sesuatu yang membawa kepada kemurkaan Allah SWT dengan melaksanakan segala perintahNya, di samping sentiasa berusaha menjauhkan diri dari laranganNya.

Sesungguhnya Allah SWT amat kasihkan hambaNya yang bertaqwa dan sentiasa beramal soleh. Mereka ini akan beroleh rahmat dan kurniaan yang besar daripada Allah SWT, sama ada di dunia mahupun di akhirat. Kurniaan tersebut ada disebut di dalam Al-Quran, antaranya: 

Pemeliharaan daripada Musuh
Orang-orang yang bersabar dan bertaqwa sentiasa dipelihara dari tipudaya musuh. FirmanNya: "Kalau kamu beroleh kebaikan, menyakitkan hati mereka, dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan." (QS Ali 'Imran: 120)

Allah SWT juga berfirman: "Bahkan jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing." (QS Ali 'Imran: 125) 

Mendapat Petunjuk, Perlindungan dan Pertolongan Allah SWT
Orang-orang yang bertaqwa mendapat petunjuk, perlindungan serta pertolongan Allah SWT. FirmanNya: "Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya, ianya menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa." (QS Al-Baqarah: 2)

Allah SWT juga berfirman: "Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan Kami akan biarkan orang-orang yang zalim tinggal berlutut di dalam neraka itu." (QS Maryam: 72)

Di dalam Al-Quran juga dinyatakan: “Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman serta mereka yang tetap bertaqwa." (QS Al-Fussilat: 18) 

Rezeki yang berkat
Orang-orang yang bertaqwa juga dijanjikan rezeki daripada Allah SWT. Firman Allah SWT: "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa." (QS Taha: 132) 

dipermudahkan segala urusan
Orang-orang yang bertaqwa juga mendapat kemudahan dalam segala urusan mereka. FirmanNya: "Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya." (QS At-Thalaq: 4) 

Balasan Kebaikan serta Keampunan Allah SWT
Orang-orang yang bertaqwa juga beroleh kebaikan serta maghfirah (pengampunan) dari Allah SWT. FirmanNya: "Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar." (QS Ali Imran: 179)

Juga disebut di dalam Al-Quran: "Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan." (QS Yusuf: 90)

Allah SWT juga berfirman: "Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah, merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertaqwa, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar." (QS Al-Hujuraat: 3) 

Dikasihi SERTA HAMPIR DENGAN Allah SWT
Orang-orang yang bertaqwa dikasihi Allah SWT. FirmanNya: "Bahkan, sesiapa yang menyempurnakan janjinya dan bertaqwa maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa." (QS Ali Imran: 76)

Allah SWT juga berfirman: "Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa." (QS At-Taubah: 7)

Juga dinyatakan di alam Al-Quran: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan bagi mereka taman-taman syurga yang penuh nikmat, di sisi Tuhan mereka.” (QS Al-Qalam: 34)

PENGHORMATAN DAN Kemuliaan
Orang-orang yang bertaqwa kelak akan diberikan penghormatan serta kemuliaan. FirmanNya: "Wahai hamba-hambaKu! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan, dan kamu pula tidak akan berdukacita." (QS Az-Zukhruf: 68) 

pembebasan dari Api Neraka
Orang-orang yang bertaqwa akan diselamatkan dari api neraka. FirmanNya: "Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan Kami akan biarkan orang-orang yang zalim tinggal berlutut di dalam neraka itu." (QS Maryam: 72) 

Pembalasan Syurga
Orang-orang yang bertaqwa kelak akan dimasukkan ke dalam syurga. FirmanNya: "Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." (QS Ali Imran: 133)

Allah SWT juga berfirman: "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya." (QS Al-Hijr: 45)

Juga disebut di dalam Al-Quran: "Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pesaka kepada orang-orang yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami." (QS Maryam: 63) 

Beroleh Rahmat
Orang-orang yang bertaqwa beroleh rahmat dari Allah SWT. FirmanNya: "Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya. Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya, dan bertaqwalah, mudah-mudahan kamu beroleh rahmat." (QS Al-An'am: 155)

Allah SWT juga berfirman: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudaramu itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (QS Al-Hujuraat: 10)

Demikianlah besarnya kurniaan dan kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang bertaqwa dan sentiasa melakukan amal soleh. Sehubungan itu, bertaqwalah kita dengan sebenar-benar taqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya untuk meraih keredhaanNya. Insya Allah...

Wallahua’lam.


06 April 2012

HARGA DIRI WANITA ISLAM CUKUP TINGGI (HARIAN METRO 7/5/2012)


Oleh: Mohd Fadly Samsudin

PERKEMBANGAN Islam mutakhir ini menyaksikan ramai wanita Muslim memakai tudung. Ini amat menggembirakan kerana mereka sedar bahawa bertudung itu suatu fardu.

Namun, dalam keghairahan bertudung, ramai wanita masih alpa mengenai aurat sehingga menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan umat Islam.

Islam tidak pernah melarang umatnya bergaya dan mengikuti aliran fesyen terkini tetapi pastikan jika mahu bertudung, mereka menutup aurat keseluruhannya, bukan sekadar melepas batuk di tangga.

Seseorang itu masih tidak diiktiraf menutup aurat apabila mereka mengenakan tudung bersama baju lengan pendek, seluar ketat, skirt singkat, kain terbelah dan tidak menutup bahagian leher dan dada.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya.” (Riwayat Muslim).

Berpakaian, tetapi dilihat ‘bertelanjang’ dinisbahkan sebagai wanita yang memakai pakaian ketat dan nipis hingga menampakkan bentuk badannya.

Pakaian adalah rezeki Allah kepada manusia dan jika mereka sentiasa mengikut syariat setiap masa memakainya dikira sebagai ibadah. Setiap perkara yang diperintahkan itu pasti mempunyai hikmah atau rahsia yang tersendiri.

Antara hikmah menutup aurat ialah dapat menjaga maruah dan menutup peluang orang lain terbabit dengan dosa akibat melihat aurat yang sengaja didedahkan.

Wanita juga diperintahkan menutup aurat dengan sempurna untuk membezakan antara wanita Islam dengan kafir. Tudung menjadi identiti wanita Islam sebagai benteng melindungi kehormatan diri.

Harga diri setiap wanita cukup tinggi nilainya sebab itu apabila seorang wanita sudah baligh mereka wajib menutup seluruh badannya kecuali pada bahagian muka dan kedua-dua tapak tangan.

Menutup aurat bukan hanya sekadar bertudung. Masih ramai wanita mengatakan jika kepala sudah kemas diliputi tudung sudah dikira menutup aurat.

Kini, pelbagai gaya fesyen tudung dipakai namun pemakaiannya masih tidak sempurna jika masih menampakkan bahagian leher atau dada. Jika ada sekelumit perasaan bangga diri dengan apa yang dipakai saban itu turut mengundang dosa.

Pensyarah Pusat Pengajian Islam & Peradaban Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Nurul Bahiyah Awang, berkata wanita Islam perlu memahami betul-betul konsep bertudung.

“Tidak salah seorang wanita bertudung mengenakan fesyen tertentu tetapi dengan syarat ia menutup aurat. Ramai wanita bertudung tetapi tidak ada penghayatan serta kefahaman mengapa mereka bertudung."

“Kita tidak menolak perkembangan fesyen semasa tetapi panduan syarak perlu diutamakan dalam semua keadaan. Justeru, kawal diri supaya tidak melanggar batasan yang digariskan Islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian," katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam, atau hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah Al-Nur, ayat 31).

Beliau berkata Islam adalah agama yang meraikan kemajuan dalam apa bidang sekalipun.

“Dalam isu pemakaian tudung, ia bukan sekadar budaya untuk dijadikan ikutan semata-mata tetapi demi menjaga maruah mereka sebagai wanita Islam."

Setiap wanita bertudung perlu segera membetulkan prinsip dan niat mereka bertudung hanya kerana Allah serta menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya,” katanya.

Menurutnya, jika seorang wanita itu berpakaian dengan sempurna pasti dapat mengelak diri daripada melakukan perbuatan mungkar.

“Yang pasti ia bukan bertujuan untuk tampil cantik di depan orang ramai. Setiap wanita perlu mengambil serius perkara ini supaya mereka terlepas daripada fitnah pandangan lelaki bukan mahram selain menjaga maruah wanita mukmin lain,” katanya.

Katanya, wanita juga perlu mengelak daripada berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan (tabarruj) sehingga menarik perhatian orang ramai.

Jika berhias menutupi aurat sekalipun tetapi masih menarik perhatian lelaki tetap dikira sebagai tabarruj. Bagi kaum isteri cukup bagi mereka berhias itu hanya untuk suami mereka saja,” katanya.

Beliau turut menyentuh perkembangan wanita yang tampil dengan gaya berhijab mengikut fesyen Barat yang menggelar diri mereka 'Hijabista'.

“Hijabista ini adalah hasil rekaan tudung yang mengalami proses transformasi dan permodenan yang mahu Islam setanding dengan barat. Ia menjadi fenomena kepada ramai wanita yang menggayakan tudung pelbagai warna bersama denim, pakaian serta kasut berjenama."

“Mereka menganggap itu sebahagian usaha menampilkan ‘imej’ Islam yang mengetengahkan fesyen tudung Muslimah
gaya moden."

“Namun, apa yang ditonjolkan golongan ini masih tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan syariat Islam,” katanya.