Keutamaan Ilmu
Imam Ahmad mengatakan: “Menuntut ilmu dan mengajarkannya lebih utama daripada berjihad dan amalan sunnah yang lain.” Ini kerana ilmu itu adalah asas dan pokok segala urusan, bahkan ianya merupakan ibadah paling agung serta kewajipan kolektif yang paling ditekankan. Bahkan dengan ilmulah, Islam dan kaum muslimin tetap teguh."
Adapun ibadah-ibadah sunat hanya akan memberikan manfaat bagi diri pelakunya sendiri dan tidak mengenai orang lain. Ilmu itulah warisan yang ditinggalkan para Nabi dan cahaya yang akan menerangi hati. Orang yang mewarisinya adalah golongan Allah dan pembelaNya, mereka adalah orang yang paling utama di sisi Allah SWT, paling dekat denganNya, paling takut kepadaNya serta paling tinggi darjatnya. (lihat Hasyiyah Tsalatsatul Ushul, hal. 11)
Ibarat Pohon yang Tak Berbuah
Namun perlu diingat, bahawa ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu yang membuahkan amalan, itulah ilmu yang bermanfaat.
Syeikh Abdurrahman bin Qasim An Najdi rahimahullah mengatakan: “Amal adalah buah dari ilmu. Ilmu itu dicari demi mencapai sesuatu yang lain. Fungsi ilmu ibarat sebatang pohon, sedangkan amalan seperti buahnya. Maka setelah mengetahui ajaran agama Islam, seseorang harus mengiringi dengan amalan, sebab orang yang berilmu yang tidak beramal dengannya lebih buruk keadaannya daripada orang yang bodoh."
Di dalam hadis disebutkan: “Orang yang paling keras siksanya adalah seorang berilmu dan tidak diberi manfaat oleh Allah dengan sebab ilmunya.” Orang semacam inilah yang termasuk satu di antara tiga orang yang dijadikan sebagai bahan bakar pertama untuk menyalakan api neraka.
Di dalam sebuah syair dikatakan:
Orang alim yang tidak mahu
Mengamalkan ilmunya
Mereka akan disiksa sebelum
Disiksanya para penyembah berhala. (lihat Hasyiyah Tsalatsatul Ushul, hal. 12)
Ancaman Bagi Orang yang Berilmu Tapi Tidak Beramal
Syeikh Nu’man bin Abdul Karim Al Watr mengatakan: “Di dalam al-Quran, Allah Taala sering sekali menyebutkan amal soleh beriringan dengan iman. Allah juga mencela orang-orang yang mengatakan apa-apa yang mereka tidak kerjakan. Dan Allah mengkhabarkan bahawa perbuatan seperti itu sangat dimurkaiNya.”
Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kalian mengatakan apa yang tidak kalian kerjakan. Sungguh besar kemurkaan di sisi Allah kerana kalian mengatakan apa-apa yang tidak kalian kerjakan.” (QS Ash Shaff: 2~3)
Di dalam sahih Bukhari dan Muslim diriwayatkan hadis Usamah bin Zaid RA: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Pada hari kiamat nanti akan ada seseorang yang didatangkan, kemudian dilemparkan ke dalam neraka. Isi perutnya terburai, sehingga ia berputar-putar sebagaimana berputarnya keldai yang menggerakkan penggilingan. Penghuni neraka pun berkumpul mengerumuninya. Mereka bertanya: ‘Wahai fulan, apakah yang terjadi pada dirimu? Bukankah dahulu engkau memerintahkan kami untuk berbuat kebaikan dan melarang kami dari kemungkaran?’. Dia menjawab: ‘Dahulu aku memerintahkan kalian berbuat baik akan tetapi aku tidak mengerjakannya. Dan aku melarang kemungkaran sedangkan aku sendiri melakukannya’.”
Oleh sebab itu ilmu harus diamalkan. Solat harus ditegakkan. Zakat juga harus ditunaikan, dan sebagainya. Kerana sesungguhnya Allah SWT tidak memiliki tujuan lain dalam menciptakan makhluk kecuali supaya mereka beribadah kepadaNya. Allah SWT berfirman: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu.” (QS Az-Dzariyaat: 56)” (Lihat Taisirul Wushul, hal. 10)
Berilmu Tidak Beramal Menyerupai Kaum Yahudi
Syeikh Muhammad bin Soleh Al ‘Utsaimin rahimahullah berkata: “Maksud perkataan beliau (Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab): “Beramal dengannya” adalah beramal dengan perkara-perkara yang dituntut oleh ilmu ini, iaitu beriman kepada Allah, mentaatiNya dengan cara melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya.
Beramal dengan ibadah yang khusus mahupun ibadah yang umum. Ibadah yang khusus seperti solat, puasa dan haji. Sedangkan ibadah yang umum ialah seperti beramal ma’ruf dan nahi munkar, berjihad di jalan Allah dan sebagainya.
Pada hakikatnya amal adalah buah ilmu. Barang siapa yang beramal tanpa ilmu maka dia telah menyerupai orang Nasrani. Dan barang siapa yang berilmu tapi tidak beramal maka dia telah menyerupai orang Yahudi.” (Lihat Syarhu Tsalatsatul Ushul, hal. 22)
Belum Layak Disebut Alim Jika Belum Beramal
Syeikh Abdullah bin Soleh Al Fauzan berkata: “Ilmu tidaklah dituntut melainkan supaya diamalkan. Iaitu dengan mewujudkan ilmu dalam amalan nyata, yang tampak dalam bentuk pola fikir seseorang dan perilakunya. Terdapat nas-nas syariat yang mewajibkan untuk mengikuti ilmu dengan amalan dan agar akibat dari ilmu yang dipelajari muncul pada diri orang yang menuntut ilmu. Dan terdapat ancaman yang keras terhadap orang yang tidak beramal dengan ilmunya. Dan begitu pula bagi orang yang tidak memulakan perbaikan dari dirinya sendiri sebelum memperbaiki diri orang lain. Dan dalil-dalil tentang hal itu sudah sangat terkenal dan dikenal.”
Sungguh indah ucapan Fudhail bin ‘Iyadh rahimahullah: “Seorang alim itu masih dianggap jahil (bodoh) apabila dia belum beramal dengan ilmunya. Apabila dia sudah mengamalkan ilmunya, maka jadilah dia seorang yang benar-benar alim.”
Ini adalah ungkapan yang sangat tepat. Kerana apabila seseorang memiliki ilmu, akan tetapi dia tidak mengamalkan ilmu tersebut maka dia tetaplah disebut jahil. Sebab tidak ada perbezaan antara keadaan dirinya dengan keadaan orang yang jahil. Apabila dia berilmu tetapi tidak mengamalkannya, maka orang yang alim itu belumlah layak disebut sebagai orang berilmu yang sesungguhnya, kecuali bila dia sudah beramal dengan ilmunya. (Hushulul Ma’mul, hal. 16)
Beramal Adalah Sarana Mempertahankan Ilmu
Syeikh Abdullah bin Soleh Al Fauzan berkata: “Kemudian perlu difahami pula bahawa sebenarnya beramal itu juga termasuk penyebab ilmu tetap ada dan bertahan. Oleh sebab itulah, dapat anda temui bahawa orang yang beramal dengan ilmunya akan mudah mengeluarkan ilmunya bila-bilapun dia mahu.”
Adapun orang yang tidak beramal dengan ilmunya, maka ilmu yang didapatkannya sangat cepat hilang. Sebahagian ulama salaf mengatakan: “Dahulu kami mencari sarana pendukung dalam rangka menghafalkan hadis dengan cara mengamalkannya.”
Selain itu, ulama lain mengatakan: “Barang siapa yang mengamalkan ilmu yang diketahuinya, niscaya Allah akan mewariskan kepadanya ilmu lain yang belum dia ketahui. Dan barang siapa yang tidak beramal dengan ilmu yang sudah diketahuinya, maka sangat dikhuatirkan Allah akan melenyapkan ilmu yang dimilikinya.”
Perkataan ini dianggap hadis oleh sebahagian orang, padahal sebenarnya itu bukan hadis. Sebab ianya hanyalah ungkapan yang disebutkan Syeikhul Islam rahimahullah. Makna dari kalimat ‘Allah akan mewariskan kepadanya ilmu yang belum dimilikinya’ adalah Allah akan menambahkan keimanan dan menyinari pandangan mata hatinya serta membukakan baginya berbagai jenis ilmu dan cabang-cabangnya.
Oleh sebab itulah kita dapati orang alim yang sentiasa beramal terus mendapatkan peningkatan dan memperoleh limpahan barakah dari Allah SWT dalam hal waktu dan ilmunya. Dalil pernyataan ini terdapat di dalam Kitabullah. Allah SWT berfirman: “Dan orang-orang yang tetap mencari petunjuk, maka Allah SWT akan tambahkan kepada mereka petunjuk dan Allah SWT anugerahkan kepada mereka ketakwaan.” (QS Muhammad: 17)
Asy Syaukani mengatakan: “Ertinya Allah pasti akan menambahkan kepada mereka keimanan, dan ilmu serta bashirah dalam beragama. Sehingga maknanya orang-orang yang mencari hidayah dengan meniti jalan kebaikan, beriman kepada Allah, dan mengamalkan perintahNya, niscaya Allah akan tambahkan keimanan, ilmu dan bashirah dalam beragama kepada mereka”. Maka seorang muslim hendaknya mengenali urgensi mengamalkan ilmu.” (Hushulul Ma’mul, hal. 17)
Ilmu Akan Menjadi Pembela Atau Penentangmu
Syeikh Abdullah bin Soleh Al Fauzan berkata: “Dan hendaknya diingat bahawa seseorang yang tidak beramal dengan ilmunya, maka ilmunya itu kelak akan menjadi bukti yang menjatuhkannya.”
Hal ini sebagaimana terdapat dalam hadis Abu Barzah RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kedua telapak kaki seorang hamba tidak akan bergeser pada hari kiamat sampai dia akan ditanya tentang empat perkara, di antaranya adalah tentang ilmunya, apa yang sudah diamalkannya.”
Ini bukan hanya berlaku bagi para ulama saja, sebagaimana anggapan sebahagian orang. Akan tetapi semua orang yang mengetahui suatu perkara agama maka itu bererti telah tegak padanya hujah. Apabila seseorang memperoleh suatu pelajaran dari sebuah pengajian atau khutbah Jumaat yang di dalamnya dia mendapatkan peringatan dari suatu kemaksiatan yang dikerjakannya sehingga dia pun mengetahui bahawa kemaksiatan yang dilakukannya itu adalah haram, maka ini juga adalah ilmu.
Dan terdapat hadis yang sah dari Abu Musa Al Asy’ari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dan al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah untuk menjatuhkan dirimu.” (HR. Muslim) (Hushulul Ma’mul, hal. 18)
Hukum Bila Ilmu Tidak Diamalkan
Syeikh Soleh bin Abdul ‘Aziz Alusy Syeikh berkata: “Beramal dengan ilmu itu ada yang apabila ditinggalkan menyebabkan kekafiran, ada pula yang menyebabkan terjatuh dalam kemaksiatan, dan ada pula yang membuat dirinya terjatuh dalam perkara yang makruh, dan ada juga yang apabila ditinggalkan boleh. Lantas bagaimanakah maksudnya?
Ilmu itu terbahagi menjadi beberapa bahagian. Ilmu tentang tauhid, iaitu meyakini bahawasanya Allah SWT sajalah yang berhak disembah. Maka apabila seorang hamba mengetahui ilmu ini lalu tidak beramal dengan ilmu ini sehingga dia berbuat syirik kepada Allah SWT, maka ilmunya itu tidak akan bermanfaat baginya. Maka pada saat sebegitu bagi dirinya meninggalkan amalan menyebabkan dia kafir.
Dan kadang-kadang boleh dikategorikan maksiat iaitu misalnya apabila seseorang mengetahui bahawa arak haram diminum, dijual, dibeli, memberikan, memintanya, dan seterusnya. Kemudian dia membelakangkan ilmu yang dimilikinya padahal dia mengetahui keharamannya, tetapi dia tetap nekad melakukannya. Maka tindakannya ini dikategorikan kemaksiatan. Ertinya dia telah terjatuh dalam dosa besar.
Dalam pembahasan ini, ada pula ilmu yang apabila tidak diamalkan, dihukumi sebagai hal yang makruh. Seperti contohnya apabila seseorang mengetahui bahawa Nabi SAW melakukan solat dengan tatacara tertentu yang termasuk sunnah-sunnah solat kemudian dia tidak mengamalkannya maka ini makruh hukumnya. Kerana dia telah meninggalkan sebuah amal sunnah, bukan wajib. Sehingga hukum meninggalkannya adalah makruh saja sedangkan mengamalkannya hukumnya mustahab.
Dan kadang-kadang beramal dengan ilmu itu boleh saja begitu pula boleh meninggalkannya. Seperti perkara-perkara mubah dan adat dan semacamnya. Seperti misalnya apabila sampai kepada kita hadis bahawasanya Nabi SAW memakai pakaian dengan model tertentu, atau cara berjalan beliau adalah demikian dan demikian. Perkara-perkara ini adalah perkara manusiawi dan kebiasaan saja, sebagaimana sudah kita pelajari bahawa hal seperti ini tidak termasuk perkara yang kita diperintahkan untuk menirunya. Sehingga tidak mengerjakannya adalah mubah sebab seorang muslim memang tidak diperintahkan untuk meniru perkara-perkara semacam ini. Iaitu perkara-perkara seperti tatacara berjalan Nabi SAW, suaranya, atau hal-hal lain yang termasuk perkara manusiawi dan kebiasaan saja yang dilakukan beliau SAW. Sehingga mengamalkan hal itu mubah saja. Tetapi boleh juga diberi pahala apabila disertai niat ingin meneladani beliau. Kerana itulah maka meninggalkan amal dalam hal ini juga mubah…” (Syarh Kitab Tsalatsatul Ushul, hal. 5)
Mengamalkan Ilmu Adalah Ciri Penuntut Ilmu Sejati
Syeikh Muhammad bin Soleh Al ‘Ustaimin rahimahullah menyebutkan bahawa salah satu adab yang harus dimiliki oleh penuntut ilmu adalah mengamalkan ilmu yang dimiliki. Beliau mengatakan: “Sudah sepatutnya penuntut ilmu beramal dengan ilmunya, baik yang terkait dengan masalah aqidah, akhlak, adab mahupun muamalah, kerana sesungguhnya inilah buah ilmu dan hasil yang boleh dipetik darinya.
“Seseorang yang membawa ilmu itu seperti orang yang membawa senjata. Boleh jadi senjata itu membelanya atau berbalik mengenai dirinya. Oleh sebab itulah terdapat sebuah hadis sahih dari Nabi SAW bahawa beliau bersabda: “Al-Quran adalah hujah pembelamu atau yang menjatuhkanmu.” (HR. Muslim). Al-Quran akan membelamu jika kamu beramal dengannya. Dan dia akan berubah menjadi musuhmu apabila kamu tidak mengamalkannya…” (Kitabul ‘Ilmi, hal. 32)
Mengamalkan Ilmu Adalah Ciri Da’i Sejati
Syeikh Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah mengatakan: “Salah satu akhlak dan sifat yang semestinya bahkan wajib dimiliki oleh da’i adalah beramal dengan isi dakwahnya. Dan hendaknya dia boleh menjadi teladan yang baik dalam perkara yang didakwahkannya. Bukan termasuk orang yang mengajak kepada sesuatu kemudian meninggalkannya. Atau melarang sesuatu tetapi kemudian dia sendiri melakukannya. Ini adalah keadaan orang-orang yang merugi, kita berlindung kepada Allah darinya.”
Adapun keadaan orang-orang yang beriman dan beruntung adalah menjadi da’i kebenaran, mereka mengamalkan ajakannya, bersemangat melakukannya, bersegera mengerjakannya serta berusaha menjauhi perkara yang dilarangnya. Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kalian mengatakan sesuatu yang kalian sendiri tidak mengerjakannya. Sungguh besar murka Allah atas perkataan kalian terhadap sesuatu yang kalian sendiri tidak kerjakan.” (QS Ash Shaff: 2~3)
Allah SWT juga berfirman dalam konteks celaan terhadap kaum Yahudi kerana mereka menyuruh orang untuk berbuat baik sementara mereka sendiri melupakan diri sendiri: “Apakah kalian menyuruh orang untuk mengerjakan kebaikan sedangkan kalian melupakan kewajiban diri kalian sendiri. Padahal kalian juga membaca Al-Kitab. Tidakkah kalian memahami.” (QS Al-Baqarah: 44) (Wujuubu Da’wah ilallaah wa Akhlaaqu Du’aat, hal. 52)
Mengamalkan Ilmu Adalah BaHAgian dari Siratul Mustaqim
Setiap kali solat kita sentiasa memohon petunjuk kepada Allah agar diberi hidayah menuju dan meniti jalan yang lurus atau siratul mustaqim. Apakah yang dimaksud siratul mustaqim?
Syeikh Abdurrahman bin Naashir As Sa’di rahimahullah berkata: “(Siratul Mustaqim) adalah jalan terang yang akan mengantarkan hamba menuju Allah dan masuk ke dalam SyurgaNya. Hakikat jalan itu adalah mengetahui kebenaran dan mengamalkannya…” (Taisir Karimir Rahman, hal. 39)
Kemudian Allah memperjelaskan hakikat siratul mustaqim ini di dalam ayat berikutnya: “Iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka, bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.” (QS Al-Fatihah)
Syeikh Abdurrahman bin Naashir As Sa’di rahimahullah berkata: “Shirathalladziina an’amta ‘alaihim adalah jalan para Nabi, orang-orang siddiq, para syuhada dan orang-orang soleh, ‘bukan’ jalan “orang-orang yang dimurkai” iaitu orang-orang yang telah mengetahui kebenaran akan tetapi tidak mahu mengamalkannya, seperti halnya orang Yahudi dan orang lain yang memiliki ciri seperti mereka. Bukan pula jalan ‘orang-orang yang sesat’ iaitu orang-orang yang meninggalkan kebenaran di atas kebodohan dan kesesatan, seperti halnya orang Nasrani dan orang lain yang memiliki ciri seperti mereka.” (Taisir Karimir Rahman, hal. 39)
Oleh sebab itulah kita disarankan agar selalu memohon hidayah kepada Allah SWT; baik hidayah ilmu (hidayatul irsyad) mahupun hidayah amal (hidayatu taufiq).
Al Hafizh Ibnu Katsir rahimahullah mengatakan: “Seandainya bukan kerana betapa besar keperluan hamba untuk meminta hidayah sepanjang siang dan malam, tentulah Allah tidak akan menuntunnya untuk melakukan hal itu.”
Kerana sesungguhnya seorang hamba sentiasa memerlukan bimbingan Allah SWT pada setiap saat dan keadaan supaya dia memperoleh ketegaran di atas hidayah, mengokohkan diri di dalamnya, mendapatkan pencerahan, hidayah semakin bertambah dan berterusan di dalam dirinya.
Kerana seorang hamba tidak mampu menguasai barang sedikitpun manfaat mahupun mudarat bagi dirinya sendiri, kecuali yang diinginkan Allah SWT. Sehingga Allah SWT pun membimbingnya agar meminta petunjuk pada setiap waktu, yang dengan sebab itu Allah SWT akan membentangkan pertolongan, ketegaran dan taufiq kepadanya.
Maka orang yang berbahagia adalah orang yang diberi taufiq oleh Allah Ta’ala untuk selalu meminta petunjuk, kerana Allah menjamin akan mengabulkan permintaan orang yang berdoa kepadaNya. Terlebih lagi apabila orang yang meminta sedang berada dalam keadaan tersepit dan sangat merasa perlu kepada Allah, di waktu siang mahupun malam… (Tafsir Ibnu Katsir, I/37-38)
Wallahu a’lam.
8 ulasan:
Assalamualaikum Warahmatullah
Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.
Terima kasih atas perkongsian posting kali ini.
Saidina Ali pernah berkata,
"Ilmu itu adalah pemimpin dan amal itu adalah pengikutnya"
Sekadar berkongsi.
Wa'alaikumussalam wbt,
Alhamdulillah...
Assalam saudara
Alhamdulillah saya telah Allah ketemukan dengan blog saudara. Saya kira penulisan disini sangat baik kerana sarat dengan perkongsian ilmu yang bermenafaat dengan kupasan yang menarik(walaupun saya hanya sekadar sempat membaca beberapa topic terpilih dan juga tajuk2 post pada archive sahaja.) Insya Allah saya akan beransur-ansur membaca kesemuanya nanti.
Mohon sekiranya ada masa terluang saudara menulis tentang buah delima, rahsia dan hasiatnya.
Allah sahaja yang mempu memberkati keikhlasan usaha saudara. Jazakallah, wasallam
saya copy n paste ye abng
terima kasih atas postingannya, sangat bermanfaat
ilmu dan amal itu harus selalu berdampingan
Terima kasih ilmunya
Bismillahirrahmaanirrahiim jzkk atas perkongsian ilmu mohon share moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
Masyaallah Tabarakallah.
Jazakallahu khairan atas perkongsian yang sangat manfaat.
Catat Ulasan