Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


13 Ogos 2011

PERCUBAAN MENCURI JASAD RASULULLAH S.A.W


Seperti yang diriwayatkan oleh sejarawan, pada tahun 557H (1164M), di masa kacau bilau dan kelemahan dinasti Abbassiyah, orang-orang Kristian telah berpakat untuk memindahkan jasad Nabi SAW dari makam Baginda. Untuk tujuan itu, mereka telah mengirim 2 orang dari kalangan mereka untuk memasuki Madinah dengan mengenakan pakaian orang Morocco dan kedua-duanya mengatakan bahawa mereka adalah rakyat Andalusia (Sepanyol).

Kedua-duanya menginap di tempat bersebelahan dengan kamar Nabi SAW dari arah kiblat (selatan) di luar Masjid Nabawi, berhampiran dengan kawasan asal rumah keluarga 'Umar yang dikenali dengan nama Diyar Al-'Asyrah. Al-Asnawi mengatakan bahawa kedua-dua orang itu menginap di suatu serambi berdekatan Kamar Nabi SAW.

Kedua-dua orang itu menonjolkan diri mereka sebagai orang yang soleh, bertaqwa, menyambung talian siratulrahim, berbuat kebajikan, menunaikan solat dan menziarahi perkuburan Al-Baqi' dan makam Nabi SAW. Begitulah penampilan mereka secara lahiriah, namun sebenarnya mereka sedang menggali sebuah terowong menuju ke Kamar Nabi SAW.

Mereka mengangkut tanah yang digali sedikit demi sedikit, sebahagiannya dibuang di sebuah telaga berhampiran serambi tempat mereka menginap, dan adakalanya mereka mengangkut tanah itu di dalam beg kulit dan mengelabui mata masyarakat seolah-olah mereka menziarahi perkuburan Al-Baqi', padahal tujuan mereka sebenarnya adalah untuk membuang tanah di sana.

Mereka telah berjaya melakukan tugasan itu untuk satu tempoh waktu, sehingga mereka beranggapan bahawa misi mereka sudah hampir selesai apabila terowong itu sudah mendekati makam Nabi SAW. Ketika itu kedua penjahat ini mulai berfikir bagaimana caranya hendak mengangkut jasad Baginda Rasulullah SAW. Namun, sebenarnya gerak-geri mereka tidak pernah terlepas dari pandangan Allah SWT.

Suatu masa, Sultan Nuruddin Mahmud bin Zanki yang berada di Syam (Syria) bermimpi melihat Nabi SAW sedang menunjuk kepada dua lelaki berambut perang, seraya berkata: "Hai Mahmud, selamatkan aku dari kedua orang ini!". Maka terbangunlah Sultan Mahmud dalam keadaan gelisah. Beliau lalu menunaikan solat dan tidur kembali. Tapi beliau mengalami mimpi yang sama sebanyak 3 kali berturut-turut.

Ketika beliau terbangun untuk kali ketiganya, beliau memanggil menterinya, Jamaluddin Al-Muwashshali, seorang menteri yang berwawasan luas, alim serta sentiasa merendah diri. Mendengar tentang mimpi tersebut, Jamaluddin lalu berkata kepada Sultan: "Ini ada suatu kejadian di Madinah Munawarah, pergilah sekarang ke Madinah dan jangan bicarakan apa yang Tuanku lihat dalam mimpi Tuanku pada sesiapapun!"

Pada malam itu, Sultan Mahmud membuat persiapan dan pagi esoknya beliau berangkat bersama 20 orang lelaki beserta Jamaluddin, dengan membawa bekalan dan harta yang banyak (Majduddin Al-Mathari mengatakan Sultan membawa 1,000 ekor haiwan tunggangan sebagai kenderaan dan diikuti oleh kuda2). Rombongan beliau mengambil masa selama 16 hari untuk tiba ke Madinah setelah bertolak dari Syam.

Ketika di Madinah, beliau melakukan solat di Raudhah, lalu menziarahi makam Rasulullah SAW. Selepasnya beliau duduk termenung, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Ketika itu Jamaluddin bertanya kepada Sultan Mahmud: "Apakah Tuanku kenal kedua orang itu jika Tuanku melihatnya?" Beliau menjawab:"Ya." Maka berkatalah menteri itu kepada seluruh penduduk Madinah ketika mereka berkumpul di Masjid Nabawi: "Sultan Mahmud membawa harta untuk disedekahkan, tulislah oleh kalian nama2 orang yang memerlukan bantuan dan sedekah dari kalangan kamu dan bawalah orang-orang itu ke sini."

Tiap-tiap orang yang datang mengadap Sultan mendapat habuan masing-masing dan pada ketika itu sebenarnya Sultan Mahmud sedang meneliti orang-orang yang datang, tetapi beliau tidak menemui kedua orang yang dilihat di dalam mimpinya.

Maka berkatalah Sultan Mahmud: "Adakah ada di kalangan kamu orang yang belum mendapat habuannya?" Mereka menjawab: "Tidak ada, kecuali 2 orang Morocco. Keduanya tidak mengambil sedikitpun, kedua-duanya adalah orang soleh." Lalu Sultan Mahmud berkata: "Serahkan urusan mereka kepadaku dan bawalah mereka berjumpa aku."

Ternyatalah mereka berdua adalah orang ditunjuk oleh Rasulullah SAW dalam mimpi Sultan. Maka berkatalah Sultan: "Dari mana asal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami sesungguhnya dari Morocco. Kami datang menunaikan ibadah haji dan tahun ini kami pilih untuk berada dekat dengan tempat ini." Ketika ditanya dengan lebih lanjut, mereka tetap mempertahankan jawapan mereka.

Sultan Mahmud meninggalkan mereka berdua, dijaga oleh para pengawal beliau, lalu beliau pergi ke tempat penginapan mereka di serambi bersama beberapa orang penduduk Madinah. Di tempat itu mereka menemui harta yang banyak, dua mashaf al-Quran, buku-buku atas rak dan tidak menemui sesuatu yang pelik atau berlainan. Sultan Mahmud mengelilingi tempat itu dan pada ketika inilah Allah SWT memberi ilham kepada beliau sehingga beliau mengangkat sebuah tikar yang menutupi tempat tersebut. Maka kelihatanlah sebilah papan di bawah tikar itu, lalu diangkat papan itu. Di dapati terdapat sebuah terowong yang digali menuju ke Kamar Nabi SAW, menembusi asas Masjid Nabawi. Maka tercenganglah penduduk Madinah kerana mereka semua menyangka kedua orang itu adalah orang yang soleh.

Kemudian Sultan memukul keras kedua orang itu sehingga mereka akhirnya mengaku yang mereka sebenarnya beragama Kristian. Kedua-duanya telah diutuskan oleh raja-raja Kristian dalam pakaian jemaah haji Morocco dan membiayai mereka dengan dana yang amat besar serta memerintahkan agar mereka menggunakan muslihat supaya dapat memindahkan jasad Nabi SAW dan dibawa balik ke negeri mereka.

Apabila perbuatan mereka telah terbongkar dan diakui oleh mereka sendiri, Sultan Mahmud memerintahkan agar leher mereka dipenggal berhampiran jendela sebelah timur Kamar Nabi SAW, kemudian pada petangnya jasad kedua penjahat itu dibakar hangus.

Kemudian Sultan Nuruddin Mahmud memerintahkan agar digali sebuah parit mengelilingi makam Nabi SAW dan dituangkan timah cair ke dalam parit itu sehingga penuh. Kemudian barulah Sultan pulang ke Syam.

Wallahua’lam.

(Sumber: "Beberapa Bahagian dari Sejarah Madinah" oleh 'Ali Hafidh)



3 ulasan:

Firdaus Ibnu Ariffin berkata...

Assalamualaikum. sungguh bermanfaat. pernah juga baca buku citer pasal sejarah ini, , alhamdulillah dapat recall balik, sekian lama mencari sejarah ini [^__^]

Tigosotigo berkata...

Alhamdulillah...

sang sepakat berkata...

salam tuan admin, cuma ingin sampaikan...setahu saya gambar yang tuan poskan tu maka nabi tak silap saya itu makam sehkh Jalaluddin Rumi tokoh sufi turkiey. bukankah ada gambar makam yang lebih sahih.. maaf kalau saya yang silap