Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


07 Februari 2010

TANGGUNGJAWAB TERHADAP ANAK YATIM, FAKIR MISKIN DAN IBNU SABIL


MENYAYANGI dan memelihara anak yatim adalah kewajipan sosial setiap Muslim. Namun, sayang sekali ramai di kalangan kita yang tidak mengendahkannya.

Akibatnya timbul berbagai masalah sosial di dalam masyarakat kerana empat sebab iaitu tidak memuliakan anak yatim, tidak memberi makan fakir miskin, memakan warisan alam dengan tamak haloba serta mencintai harta benda secara berlebih-lebihan (QS Al-Fajr: 15 ~ 20).

Ketika ini, kita sering terpukau oleh kemewahan dunia tatkala golongan fakir miskin menangis menunggu pembelaan yang sepatutnya daripada kalangan pemimpin yang prihatin kepada rakyat bawahan, bukannya pemimpin elit yang memperjuangkan golongan yang setaraf dengan mereka sahaja.

Pemimpin untuk umat Islam ialah mereka yang memilih hidup sederhana, berteladankan cara hidup Rasulullah SAW kerana tahu bahawa sebahagian umat Islam yang lain masih hidup dalam serba kekurangan. Demikian juga dengan gerakan kebangkitan Islam seharusnya tidak hanya mengindahkan masjid, tetapi juga melepaskan belenggu mereka yang miskin, teraniaya, dianiayai atau yang tertindas oleh beban hutang.

Rasulullah SAW bersabda: "Bila masyarakat sudah membenci orang miskin dan menonjol-nonjolkan kehidupan dunia serta rakus dalam mengumpulkan harta, maka mereka akan ditimpa empat bencana iaitu zaman yang berat, pemimpin yang zalim, penegak hukum yang khianat dam musuh yang mengancam."

Daripada hadis itu, kita dapat pelajari bahawa munculnya masalah atau kesulitan ekonomi, kemunculan ramai pemimpin zalim, berlakunya pengkhianatan oleh penegak hukum adalah disebabkan oleh pengabaian terhadap nasib fakir miskin dan kegilaan mengumpul kekayaan seolah-olah saat kematian tidak akan datang.

"Dan nafkahkanlah sebahagian daripada hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya" (QS Al-Hadid: 7).

Kemiskinan yang berlaku dalam masyarakat kita adalah tanggungjawab kita bersama. Menolong dan membela yang lemah, mustadh'afin, adalah tanda-tanda orang yang bertakwa (QS Al-Baqarah: 197).

Inilah yang dikatakan golongan pendusta agama, mengabaikan nasib mustadh'afin, acuh tidak acuh terhadap mereka, enggan memberi pertolongan dan solat mereka pula membawa kecelakaan yang menjerumuskan mereka ke dalam neraka Saqar, nauzubillah.

Manusia yang tidak peka terhadap masalah anak yatim serta fakir miskin atau melalaikan solat serta riya', disebut oleh Allah SWT sebagai pendusta agama. Hal ini dijelaskan di dalam Surah Al-Maa'uun.

Nama Al-Maa'uun diambil daripada kata al-maa'uun yang terdapat pada ayat terakhir surah ini yang bererti "barang-barang yang berguna." Surah ini juga disebut Surah At-Takzib yang bererti pendustaan kerana di dalamnya dinyatakan sikap orang-orang yang mendustakan agama.

Bagi manusia yang mempunyai sifat-sifat seperti dalam Surah Al-Maa'uun, Allah SWT menjanjikan pembalasan dan seksaan neraka. Mereka digambarkan dalam surah itu sebagai orang-orang yang tidak peka terhadap tanggungjawab sosial dalam masyarakat. Mereka tidak mahu mengeluarkan walau sedikitpun harta untuk membantu sesama manusia.

Dalam hati mereka tidak ada rasa belas kasihan untuk membantu memenuhi keperluan sosial. Itulah yang dimaksudkan dengan orang-orang yang "menolak memberi bantuan" pada akhir surah ini.

Surah Al-Maa'uun memaparkan sikap manusia dalam kehidupan sosial yang dikategorikan sebagai pendusta agama. Mereka memiliki kebiasaan mengherdik anak yatim dan tidak memberi makanan kepada fakir miskin. Sikap itu menunjukkan sikap takabbur dalam diri sendiri. Mereka menganggap anak yatim serta fakir miskin sebagai golongan yang rendah dan hina yang menjadi bebanan kepada masyarakat.

Surah itu memperlihatkan sikap manusia dalam beribadah sebagai pendusta agama. Mereka melalaikan solat, melaksanakannya tanpa keikhlasan serta tidak khusyuk. Solat mereka tidak lebih daripada ucapan lisan serta gerakan badan yang telah terbentuk sedemikian rupa tanpa penghayatan makna serta hikmah setiap ucapan dan gerakan yang mereka lakukan.

Dalam Surah Al-Maa'uun juga disebutkan bahawa orang yang berbuat riya' akan dibalas oleh Allah SWT. Riya' ialah melakukan suatu amal perbuatan untuk mencari pujian yang ia anggap ibadah itu. Allah SWT sendiri mengancam mereka yang berbuat riya' dengan seksaan yang berat di neraka, nauzubillah.

Manusia yang digambarkan dalam Surah Al-Maa'uun tidak menempatkan solat sebagai saranan untuk berkomunikasi dengan Tuhan, melainkan hanya sebagai perbuatan rutin dalam kehidupan seharian mereka.

Ingatlah antara misi terpenting Islam seperti yang dinyatakan dalam al-Quran ialah membela, menyelamatkan, membebaskan, melindungi dan memuliakan kelompok dhu'afa atau mustadh'afin (yang lemah atau yang dilemahkan, yang menderita atau yang dizalimi).

Dalam sebuah hadis Qudsi diriwayatkan, Allah SWT hanya menerima solat daripada orang yang "menyayangi orang miskin, ibnu sabil, wanita yang ditinggalkan suami dan yang menyayangi orang yang mendapat musibah."

Ketika Nabi Musa AS bertanya kepada Allah SWT: "Tuhanku, di mana aku harus mencariMu?" Allah SWT menjawab: "Carilah Aku di tengah-tengah mereka yang hancur hatinya."

Wallahua'lam.

Tiada ulasan: