Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


30 Oktober 2008

TAWAKKAL SI ANAK KECIL

Abu Faidh Thauban atau yang terkenal dengan nama panggilan Zunnun Al-Mishri adalah seorang ahli Tasawwuf yang besar dari negara Mesir. Diceritakan bahawa pada suatu hari Zunnun Al-Mishri pergi ke laut untuk menjala ikan untuk menyara hidupnya dengan disertai oleh anak perempuannya yang masih kecil. Zunnun menebarkan jaringnya, tidak berapa lama kemudian jaring itupun ditariknya. Dia beruntung kerana dapat menangkap seekor ikan. Anak perempuanya yang ikut turun ke laut, menyaksikan bahawa mulut ikan itu bergerak-gerak seperti orang berzikir.
.
Apabila Zunnun menghulurkan tangannya untuk mengambil ikan yang sudah dijangka menjadi rezekinya itu, tiba-tiba anaknya menghalangnya. Dengan pantas anaknya mengambil ikan yang masih hidup itu dan mencampakkannya ke laut semula. Maka bebaslah ikan itu di alamnya. Zunnun tidak dapat menghalang perbuatan anaknya itu dan hanya melihat dengan penuh kehairanan.
.
"Mengapa kau membuang rezeki yang sudah kita perolehi?" tanya Zunnun kepada anaknya. Anaknya menjawab: "Saya tidak rela makan makhluk yang berzikir kepada Allah". Zunnun hairan terhadap jawapan anaknya itu kerana setiap ikan yang baru ditangkap sudah tentu bibirnya bergerak-gerak.
.
"Apa yang hendak kita buat?" tanya Zunnun lagi. Anaknya menjawab: "Kita bertawakkal kepada Allah semoga Dia memberi kita rezeki benda yang tidak berzikir kepada Allah. Kedua-duanya pun balik tidak meneruskan kerjanya sebagai penangkap ikan dan mencari kerja lain sambil bertawakkal kepada Allah.
.
Setelah bekerja sampai petang, keduanya belum juga mendapatkan sesuatu rezeki untuk dimakan sedangkan perutnya sudah mulai lapar. Apabila waktu Isyak sudah masuk, tiba-tiba Allah menurunkan hidangan dari langit yang terdiri daripada berbagai jenis makanan, maka makanlah keduanya dari rezeki itu. Keadaan seperti ini berlaku setiap malam dan berlangsung lebih kurang 12 tahun.
.
Zunnun menyangka bahawa kurnia dari Allah yang sangat istimewa ini adalah disebabkan dirinya yang sangat rajin beribadah, solat, berpuasa dan berdoa kepada Allah. Apabila keadaan ini sudah berlangsung lebih kurang 12 tahun, anak perempuannya yang ikut ke laut sudah meninggal. Ternyata hidangan dari langit tidak lagi turun berikutan kematian anaknya itu.
.
Lalu Zunnun menyedari bahawa kurnia Allah yang turun pada keluarganya berupa makanan dari langit itu bukan disebabkan kerana dirinya yang rajin beribadah dan berdoa, tetapi disebabkan kerana ketinggian tawakkal anak perempuannya yang sudah meninggal dunia."

Tiada ulasan: