Sabda Nabi SAW, "Orang-orang yang mahir membaca Al-Quran adalah orang-orang yang sentiasa ditemani oleh malaikat yang mulia lagi berbakti." (HR Bukhari/Muslim). Maknanya, orang yang mahir baca Al-Quran, malaikat akan jadi temannya. Perlu diingat bahawa dalam hadith lain Nabi SAW menyebut bahawa memang ada malaikat yang mengawal kita, i.e. ada malaikat yang jaga depan/belakang kita, terutamanya bayi.
.
Kita pernah dengar cerita kemalangan kereta satu keluarga mati, tapi yang selamat hanyalah seorang bayi. Ini adalah dengan izin dan pertolongan ALLAH melalui malaikat yang mengawal manusia. Jadi, antara kaedah kita nak berdamping dengan malaikat ialah dengan memahirkan diri membaca Al-Quran.
.
Ini cerita orang yang mahir membaca Al-Quran. Tapi bagaimana pula dengan orang yang tak mahir membaca Al-Quran? Umur 62 tahun baru nak baligh, umur 62 tahun baru nak kepit kitab tajwid, umur 62 tahun baru nak idram/izhar, baru nak belajar berdengung? Orang macam ni kata Nabi SAW, "Dan orang yang membaca Al-Quran tetapi sulit/payah hingga merangkak-rangkak, dia dapat 2 pahala. Yang pertama, dia dapat pahala nak baca Al-Quran. Dan yang keduanya ialah kerana walaupun susah tapi dia tetap mencubanya."
.
Sabda Nabi SAW, "Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang belajar Al-Quran, kemudian mengajarkannya." (HR Muslim). Sama ada dia belajar tajwid atau tafsir, kemudian bila dia mengajar semula kpd orang lain, maka kata Nabi SAW bahawa orang macam ni adalah baik.
.
Dari hadith Mushabih Sunnah, Nabi SAW bersabda, "Seseorang yang dalam kehidupan sehariannya langsung tidak membaca Al-Quran (seperti tak pernah beramal, tak pernah membaca dan jauh sekali menghafal), maka dia seperti sebuah rumah yang usang." Cuba tuan-tuan masuk rumah yang sudah ditinggalkan begitu lama, apa yang ada dalam rumah tu? Apa yang mungkin kita tengok ialah tahi tikus, telur ular dan bermacam-macam lagi benda yang teruk-teruk belaka. Inilah keadaan orang yang langsung tidak membaca dan memahami Al-Quran.
.
Sabda Nabi SAW, "Barang siapa yang membaca 1 huruf daripada Al-Quran, maka dia dapat 1 kebaikan. Dan 1 kebaikan itu pula diganda menjadi 10." (HR Tirmidzi). Ini merupakan satu bonus untuk kita daripada ALLAH SWT. Itu belum lagi ganjaran memahami maksud ayat. Dengan kita baca saja ayat Al-Quran, kita boleh mendapat bonus.
.
Timbul satu persoalan, iaitu seelok-eloknya sebanyak mana kita perlu baca? Seelok-eloknya kita ambil kaedah yang disebut dalam Surah al-Muzzammil ayat 20 yang bermaksud, "...bacalah oleh mu apa yang kamu rasa senang dan mudah daripada Al-Quran itu." Kalau tuan-tuan rasa mudah membaca hanya satu mukasurat sahaja, tak mengapa, silakan. Kalau tuan-tuan rasa mudah baca daripada satu `ain ke satu `ain, pun boleh, silakan. Kalau tuan-tuan rasa mudah baca satu juzuk, juga boleh silakan. Asalkan ada keinginan membaca sudah dikira baik.
.
Sebaiknya kalau boleh membaca Al-Quran setiap hari sebab itulah aset yang Nabi SAW sebut baca 1 huruf dapat 10 kebajikan. Tapi Nabi SAW tak sebut kebajikan itu dalam bentuk apa. Mungkin dalam bentuk diberi umur kita panjang. Boleh jadi dalam bentuk rezeki kita murah. Boleh jadi anak-anak kita nanti semuanya berjaya jadi orang-orang yang baik, memiliki pengetahuan agama dan seterusnya menjadi pejuang-pejuang Islam. Ini semua ada kemungkinannya, yang ALLAH janjikan kebajikan dari 1 huruf yang kita baca itu.
.
Sebab itu, saya seru diri saya sendiri dan kepada muslimin/muslimat sekelian, rebutlah peluang ini dengan memperbanyakkan membaca dan memahami Al-Quran kerana ia adalah ibadah yang tidak ada tolok bandingnya.
(Sumber: Internet)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan