Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


27 Oktober 2010

TEMAN JELITA ‘DI SANA’ ...


Mereka sangat cantik, memiliki suara-suara yang indah dan berakhlak mulia. Mereka mengenakan pakaian yang paling bagus dan siapapun yang membicarakan diri mereka pasti akan digamit kerinduan kepada mereka, seakan-akan sudah melihat bidadari-bidadari itu secara langsung. Siapapun ingin bertemu dengan mereka, ingin bersama mereka dan ingin hidup bersama mereka.

Semuanya itu adalah anugerah Allah SWT yang memberikan sifat-sifat terindah kepada mereka, iaitu bidadari-bidadari di syurga. Allah SWT mensifatkan wanita-wanita penghuni syurga sebagai kawa’ib, jama’ dari ka’ib yang ertinya ‘gadis-gadis remaja’, yang memiliki bentuk tubuh yang merupakan bentuk wanita yang paling indah, sebaya gadis-gadis remaja. Allah SWT mensifati mereka sebagai bidadari-bidadari, kerana kulit mereka yang indah dan putih bersih. Aisyah r.a. pernah berkata: “Warna putih adalah separuh keindahan.”

Bangsa Arab biasa menyanjungi wanita dengan warna putih. Seorang penyair berkata:

Kulitnya putih bersih, ghairahnya tiada diragukan
Laksana kijang Makkah yang tidak boleh dijadikan buruan
Dia menjadi perhatian kerana perkataannya lembut
Islam menghalanginya untuk mengucapkan perkataan jahat

Al-’In jama’ dari aina’, ertinya wanita yang matanya lebar, yang berwarna hitam, sangat hitam, dan yang berwarna putih, sangat putih, bulu matanya panjang dan hitam. Allah SWT mensifati mereka sebagai bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik, iaitu wanita yang menghimpun kesemua pesona, lahir dan batin. Ciptaan dan akhlaknya sempurna, akhlaknya baik dan wajahnya cantik menawan. Allah SWT juga mensifati mereka sebagai wanita-wanita yang suci. Firman Allah SWT, yang ertinya: “Dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci.” (QS Al-Baqarah: 25)

Makna dari firman di atas adalah bahawa bidadari adalah suci, tidak pernah haid, tidak membuang air kecil dan besar serta tidak kentut. Mereka tidak diusik dengan urusan-urusan wanita yang mengganggu seperti yang terjadi di dunia. Batin mereka juga suci, tidak cemburu, tidak menyakiti dan tidak jahat.

Allah SWT juga mensifati mereka sebagai wanita-wanita yang dipingit di dalam rumah. Ertinya mereka hanya berhias dan bersolek untuk suaminya. Bahkan mereka tidak pernah keluar dari rumah suaminya, serta tidak melayani kecuali suaminya.

Allah SWT juga mensifati mereka sebagai wanita-wanita yang tidak liar pandangannya. Sifat ini lebih sempurna lagi. Oleh kerana itu bidadari yang seperti ini diperuntukkan bagi para penghuni dua syurga yang tertinggi. Di antara wanita memang ada yang tidak mahu memandang suaminya dengan pandangan yang liar, kerana cinta dan keredhaannya, dan dia juga tidak mahu memandang kepada laki-laki selain suaminya, sebagaimana yang dikatakan dalam sebuah syair:

Ku tak mahu pandanganmu liar ke sekitar jika kau ingin cinta kita selalu mekar

Di samping keadaan mereka yang dipingit di dalam rumah dan tidak liar pandangannnya, mereka juga merupakan wanita-wanita gadis, ghairah penuh cinta dan sebaya umurnya. Aisyah r.a., pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, andaikata engkau melewati rerumputan yang pernah dijadikan tempat menggembala dan rerumputan yang belum pernah dijadikan tempat menggembala, maka dimanakah engkau menempatkan unta gembalamu?” Baginda menjawab: ”Di tempat yang belum dijadikan tempat gembalaan.” (Ditakhrij Muslim) Dengan kata lain, beliau tidak pernah menikahi perawan selain dari Aisyah r.a.

Rasulullah SAW bertanya kepada Jabir r.a. yang mengahwini seorang janda: “Mengapa tidak engkau nikahi wanita gadis agar engkau boleh bergurau senda dengannya?”

Sifat bidadari penghuni syurga yang lain adalah Al-’Urub, jama’ dari al-arub, ertinya mencerminkan rupa yang lemah lembut, perlakuan yang baik terhadap suami dan penuh cinta. Ucapan, tingkah laku dan gerak-geriknya serba halus.

Al-Bukhari berkata di dalam Sahihnya: “Al-’Urub, jama’ dari tirbin. Jika dikatakan, Fulan tirbiyyun”, ertinya Fulan berumur sebaya dengan orang yang dimaksudkan. Jadi mereka itu sebaya umurnya, sama-sama masih muda, tidak terlalu muda dan tidak pula tua. Usia mereka adalah usia remaja.

Allah SWT menyamai mereka dengan mutiara yang terpendam, dengan telur yang terjaga, seperti Yaqut dan Marjan. Mutiara diambil kebeningan, kecemerlangan dan kehalusan sentuhannya. Putih telur yang tersembunyi adalah sesuatu yang tidak pernah dipegang oleh tangan manusia, berwarna putih kekuning-kuningan, berbeza dengan putih murni yang tidak ada warna kuning atau merahnya. Yaqut dan Marjan diambil kerana keindahan warnanya dan kebeningannya.

Semoga para wanita-wanita di dunia ini mampu memperoleh kedudukan untuk menjadi Bidadari-Bidadari yang lebih mulia dari Bidadari-Bidadari yang tidak pernah hidup di dunia ini. Wallahu A’lam.

(Rujukan: Raudhah Al-Muhibbin wa Nuzhah Al-Musytaqin [Taman Orang-orang Jatuh Cinta dan Memendam Rindu], karya Ibnu Qoyyim Al-Jauziyyah)

12 Oktober 2010

SYUKUR SI BUTA...


Rasulullah SAW menceritakan suatu kisah kepada para sahabatnya. Kisah penuh hikmah ini, dicatat oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka (Bukhari no. 3464 dan Muslim no. 2964). Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW pernah bercerita:

“Dahulu ada tiga orang Bani Israil yang masing-masing menderita suatu penyakit. Orang pertama diserang penyakit kudis di seluruh tubuhnya, orang kedua tidak memiliki sehelai rambut pun di kepalanya (botak) dan orang ketiga menderita cacat pada matanya sehingga tidak boleh melihat (buta).

Allah ingin menguji mereka dengan mengutus seorang malaikat-Nya. Malaikat pun mendatangi orang pertama seraya bertanya: “Apakah yang paling anda inginkan?” Jawabnya: “Warna dan kulit yang indah serta hilangnya seluruh cacat di tubuhku yang membuat manusia menjauhiku.” Malaikat lalu mengusapnya sehingga kecacatan di kulitnya hilang dan berganti warna kulit yang indah. Malaikat lalu bertanya lagi: “Binatang (ternak) apa yang paling anda inginkan?” Jawabnya: “Unta…” Lantas diapun diberi unta yang sedang bunting dan malaikat berdoa: “Semoga Allah memberkatimu dengan binatang itu.”

Seterusnya malaikat mendatangi orang yang botak dan bertanya: “Apakah yang paling anda inginkan?” Jawabnya: “Rambut yang indah serta hilangnya seluruh kecacatan yang membuat manusia lari dariku.” Malaikat lalu mengusapnya sehingga kecacatan di kepalanya hilang dan diberi rambut yang indah. Malaikat lalu bertanya lagi: “Binatang apa yang paling anda sukai?” Jawabnya: “Sapi.” Lalu diapun diberi seekor sapi bunting. Kemudian malaikat berdoa: “Semoga Allah memberkatimu dengan binatang tersebut.”

Kemudian malaikat mendatangi orang yang ketiga (si buta) dengan pertanyaan yang sama: “Apakah sesuatu yang paling anda inginkan?” Jawabnya: “Semoga Allah menyembuhkan mataku hingga aku dapat melihat.” Malaikat lalu mengusapnya sehingga dia dapat melihat. Malaikat lalu bertanya lagi: “Binatang apa yang paling anda inginkan?” Jawabnya: “Kambing.” Lantas diapun diberi kambing bunting dan malaikat berdoa: “Semoga Allah memberkatimu dengan binatang itu.”

Waktu terus berputar, hari silih berganti, bulan berganti terus berjalan dan tahun-tahun terus berlalu. Ternakan mereka semakin berkembang biak dan bertambah banyak, sehingga masing-masing mempunyai sebuah lembah yang dipergunakan untuk menggembala ternakan masing-masing. Lembah unta, lembah sapi dan lembah kambing...

Kini tiba saatnya bagi Allah untuk menguji mereka. Malaikat kembali mendatangi orang pertama yang kini adalah orang kaya dan tidak lagi berkudis. Malaikat tersebut datang dengan wujud dan keadaan orang tersebut sebelum jadi kaya, iaitu seorang yang miskin lagi berkudis. Kemudian mengatakan: “Saya seorang miskin yang kehabisan bekal dalam perjalanan. Hari ini tiada yang dapat menolong diri saya kecuali Allah, kemudian tuan. Saya memohon kepada tuan yang telah dikurniai kulit yang indah supaya berkenan kiranya memberi harta demi meneruskan perjalanan saya.”

Si kudis menjawab: “Tidak, keperluanku yang lain masih banyak.” Malaikat berkata: “Dulu seperti saya pernah mengenal tuan. Bukankah dahulunya tuan adalah seorang yang berkudis lalu Allah sembuhkan dan dahulu tuan adalah seorang yang fakir lalu Allah cukupkan?” Dia menjawab: “Harta ini adalah harta warisan nenek moyang sejak dulu.” Kata Malaikat: “Jikalau tuan berdusta, maka Allah akan merubah tuan seperti keadaan dahulu.”

Berikutnya malaikat mendatangi orang kedua. Malaikat itu menyerupai wujudnya ketika masih miskin dan botak dahulu, seraya mengajukan permintaan yang serupa dengan orang kedua tadi. Jawapan yang diperoleh pun tidak berbeza dengan jawapan orang pertama. Akhirnya Malaikat berkata: “Jikalau tuan berdusta, maka Allah akan merubah tuan seperti keadaan dahulu.”

Malaikat kemudian mendatangi orang ketiga dengan rupa seorang buta yang miskin seraya mengatakan: “Saya orang miskin yang kehabisan bekal dalam perjalanan. Hari ini tiada yang dapat menolong diri saya kecuali Allah, kemudian tuan. Saya memohon kepada tuan yang telah disembuhkan oleh Allah untuk berkenan kiranya memberi saya sedikit harta demi meneruskan perjalanan saya ini.”

Jawab si buta: “Dahulu aku adalah seorang yang buta, kemudian Allah menyembuhkanku. Maka ambillah apa saja dan berapapun yang anda mahu dan tinggalkan yang anda tidak suka. Demi Allah, saya tidak merasa keberatan bila anda mengambil sesuatu untuk Allah.”

Malaikat menjawab: “Tahanlah hartamu, ambillah kembali. Sesungguhnya kalian sedang diuji. Allah telah meredhaimu dan murka kepada saudaramu.”

Si buta dengan ikhlas hati memberikan hartanya kepada malaikat tersebut yang dalam pandangannya adalah seorang yang memerlukan bantuan. Maka Allah memberkatinya dan dia tetap memiliki hartanya. Berbeza halnya dengan kedua rakannya dahulu yang ternyata berubah menjadi bakhil. Setelah berubah menjadi orang kaya dan berkedudukan, keduanya lupa kewajipan mereka, iaitu bersyukur kepada Allah dan memberikan hak orang lain yang juga memerlukan bantuan. Maka akhirnya keadaan mereka dikembalikan sebagaimana dahulu.”

03 Oktober 2010

SAYYIDAH NAFISAH, AHLULBAIT RASULULLAH S.A.W


Bumi Mesir diberi kelebihan oleh Allah SWT dengan bersemadinya sekalian ramai jasad Ahlul Bait. Antara mereka ialah Sayyidah Nafisah r.anha. Nama Sayyidah Nafisah tidak asing lagi bagi umat Islam di Mesir. Masjid beliau yang terletak berhampiran kubu Salahudin Al-Ayubi, Kaherah menjadi saksi betapa kasihnya umat Islam kepada beliau apatah lagi tanggal 9 Jamadilakhir setiap tahun, ramai umat Islam akan berkumpul di perkarangan masjid beliau bagi merayakan maulid beliau.

Berdekatan masjid beliau, juga terdapat beberapa maqam Ahlul Bait Nabi dan ulama yang lain, antaranya Sayyidah Sukainah binti Saidina Hussein, Sayyidah Ruqayah binti Saidina Ali, bapa saudaranya Sayyid Muhammad Al-Anwar dan pengarang kitab 'Tafsir Mimpi', Imam Ibnu Sirin.

Keturunan Mulia
Sayyidah Nafisah memang terkenal sebagai seorang serikandi yang berani bahkan terkenal dengan kehebatan ilmunya yang tinggi hingga digelar sebagai 'Ummul ‘Ulum' (ibu sekalian ilmu). Nama beliau ialah Nafisah binti Sayyid Hasan al-Anwar bin Saidina Zaid bin Saidina Hasan bin Saidina Ali bin Abi Talib, menantu Rasulullah SAW. “Nafisah” diambil dari kalimah 'an-nafasah' yang bermaksud 'kemuliaan atau ketinggian keadaan sesuatu'. Beliau sangat menyerupai emak saudara sebelah bapanya yang bernama Sayyidah Sukainah al-Kubra binti Zaid r.anhum.

Ayahandanya Sayyid Hasan al-Anwar dan diberi gelaran ‘al-Anwar’ iaitu yang bercahaya kerana keadaan mukanya yang kelihatan bercahaya kesan daripada kuat ibadat yang ikhlas kepada Allah. Beliau dilantik oleh Khalifah Jaafar al-Mansur sebagai gabenor Madinah al-Munawarah tahun 150 Hijrah. Sayyidah Nafisah dilahirkan di Makkah tanggal 11 Rabiul Awal tahun 145 Hijrah. Beliau dibesarkan di Madinah kerana ayahandanya seorang gabenor. Sejak kecil, beliau lebih suka membaca al-Quran, selawat ke atas Nabi di samping gemar menziarahi maqam Nabi. Hingga satu masa, setelah usia Sayyidah Nafisah mencecah beberapa tahun, ayahandanya telah membawa beliau menuju ke bilik yang bersemadi jasad Rasulullah SAW. Lalu ayahandanya berkata, "Ya Rasulullah! Redhailah anak perempuan aku yang aku namakan Nafisah ini." Lalu satu malam ayahandanya bermimpi bertemu Rasulullah SAW lalu Baginda bersabda: "Wahai Hasan! Sesungguhnya aku telah meredhai anakmu yang juga zuriatku, Nafisah dan Allah Taala juga meredhainya dengan sebab redha aku kepadanya."

Perkahwinan
Sayyidah Nafisah berkahwin dengan sepupu beliau yang berketurunan Saidina Hussein, Sayyidi Ishaq al-Mu'taman bin Saidina Jaafar As-Sodiq bin Saidina Muhammad al-Baqir bin Saidina Ali Zainal Abidin bin Saidina Hussein bin Saidina Ali menantu Rasulullah SAW. Suaminya digelar sebagai 'al-Mu'taman' kerana beliau seorang yang sangat amanah dan kuat imannya. Beliau merupakan saudara kandung kepada Sayyidah Aisyah (bukan Aisyah isteri Rasulullah SAW) iaitu anak kepada Saidina Jaafar as-Sodiq. Sayyidah Aisyah juga disemadikan dalam masjidnya di Hayyu Al-Khalifah dekat dengan Kubu Salahudin Al-Ayubi di Kaherah. Tatkala Sayyid Hasan Al-Anwar meninggalkan jawatan gabenor Madinah, ia diganti oleh menantunya Sayyid Ishaq Al-Mu'taman sebagai gabenor bagi khilafah Abbasiyah. Beliau diakad nikah pada hari Jumaat 5 Rejab tahun 161 Hijrah dan telah dikurniakan dua cahaya mata bernama Qasim dan Ummu Kalthum.

Ibadat Sayyidah Nafisah
Sayyidah Nafisah sangat gemar membaca al-Quran, kuat berpuasa di siang hari, solat pada malamnya, amat kasihan belas kepada orang miskin, anak-anak yatim dan manusia sekaliannya. Diriwayatkan daripada Sayyidah Zainab binti Sayyid Yahya yang juga anak saudaranya, beliau berkata, “Aku telah berkhidmat kepada emak saudaraku (sebelah ayah), Sayyidah Nafisah selama 40 tahun. Aku tidak pernah lagi melihat Sayyidah Nafisah tidur pada siang dan malam kecuali kerana darurat (terpaksa) kerana sibuk dengan beribadat. Beliau juga sentiasa berpuasa kecuali dua hari raya dan hari tasyriq. Lalu aku bertanya kepadanya, “Wahai emak saudaraku! Tidakkah kau berasa penat dan kasihani tubuhmu?” Lantas beliau berkata, “Bagaimana aku mampu mengasihani diriku sedangkan di hadapanku azab Allah sedang menanti. Tiada siapapun yang dapat mengelak daripadanya kecuali orang-orang yang berjaya.”

Sayyidah Nafisah telah mengerjakan haji sebanyak 30 kali dan kebanyakannya beliau pergi dengan berjalan kaki. Beliau selalu berdoa sambil menangis di sisi Kaabah “Tuhan ku! Penciptaku! Penolongku! Berikanlah kegembiraan kepadaku dengan redha-Mu kepadaku. Janganlah diriku ini menjadi sebab sebagai pendinding (hijab) antara Kau dan aku. Tuhanku! Permudahkanlah aku menziarahi kubur kekasih-Mu, Ibrahim (iaitu Makkah).”

Pada hari yang kesepuluh akhir Ramadhan tahun 193 Hijrah Sayyidah Nafisah bermusafir ke Mesir bersama suami, ayah dan kedua-dua anaknya yang ketika itu umur beliau mencecah 48 tahun kerana bertujuan menziarahi ahli keluarga Rasulullah SAW yang lain di Mesir. Setelah menziarahi Mekah dan Baitulmaqdis, mereka tiba di Mesir dengan disambut meriah oleh sekalian penduduk Mesir termasuk sekalian pembesar negara ketika itu. Kebanyakan mereka menjemput Sayyidah Nafisah ke rumah. Hinggalah beliau tiba di rumah Ummu Hani’, satu keajaiban telah berlaku apabila Allah SWT telah memuliakan hamba-Nya itu dengan disembuhkan kecacatan seorang budak perempuan Yahudi dengan keberkatan air wuduk Sayyidah Nafisah yang menyebabkan keluarga budak tadi memeluk Islam. Sejak itu, berduyun-duyun manusia menziarahi Sayyidah Nafisah meminta doa dengan pelbagai hajat hingga suaminya bercita-cita untuk kembali ke Madinah. Lalu Sayyidah Nafisah berkata, “Aku tidak boleh berbuat demikian kerana aku melihat Rasululah SAW dalam mimpi bersabda: “Jangan tinggalkan Mesir kerana Allah akan mematikan kamu di sana”.

Kasihnya beliau kepada Mesir dan penduduknya amatlah tinggi. Beliau pernah berkata, “Sesungguhnya aku amat menyayangi penduduk Mesir. Aku bercita-cita untuk dikuburkan di sini. Allah memuliakan Mesir dengan menyebutnya dalam al-Quran sebagaimana disebutnya Makkah.” (rujuk kitab Ad-Durr An-Nafisah oleh Syeikh Ramadhan Abdu Rabbuhu Asfur r.anhu).

Sayyidah Nafisah dan Imam Syafie
Imam Syafie r.anhu, Imam mazhab Feqah yang masyhur sempat hidup sezaman dengan Sayyidah Nafisah. Sayyidah Nafisah menjalani kehidupan di Mesir selama 15 tahun iaitu dari 26 Ramadhan tahun 193 Hijrah hingga 15 Ramadhan tahun 208 Hijrah. Imam Syafie amat kerap menziarahi beliau. Ini sebagai tanda mulia dan kasihnya Imam Syafie kepada ahli keluarga Nabi. Selain ziarah, Imam Syafie juga turut mendengar bacaan hadis daripada Sayyidah Nafisah dan beliau juga membaca hadis kepada Sayyidah Nafisah. Beliau juga kerap menunaikan solat tarawih di masjid Sayyidah Nafisah dan apabila Imam Syafie ditimpa sakit, beliau pasti akan menghantar seorang utusan bertemu Sayyidah Nafisah dan mengirim salam bertujuan menggantikannya menziarahi Sayyidah Nafisah. Beliau pasti meminta Sayyidah Nafisah mendoakan kesihatan untuk beliau. Hingga satu hari beliau ditimpa sakit yang membawa kepada kewafatan beliau, seperti biasa seorang utusan diutus bertemu Sayyidah Nafisah dan kali ini Sayyidah Nafisah berdoa: “Semoga Allah memberikan kepadanya (Imam Syafie) sebaik-baik pertemuan dan memberikan kenikmatan dengan melihat wajah-Nya yang mulia.” Maka utusan itu kembali dan memberi tahu apa yang didengar kepada Imam Syafie lalu tahulah beliau bahawa ajalnya bakal tiba tidak lama lagi. Lalu Imam Syafie berwasiat agar Sayyidah Nafisah menyembahyangkan jenazahnya, lalu wafatlah Imam Syafie pada hari Khamis, akhir bulan Rejab tahun 204 Hijrah.

Apabila mendengar berita kewafatan Imam Syafie dengan penuh kesedihan, Sayyidah Nafisah berdoa: ”Semoga Allah merahmatinya, dan adalah dia seorang yang memperelok wuduk”. Ini adalah sebagai penyaksian Sayyidah Nafisah kerana wuduk adalah asas melakukan ibadat. Apabila cantik asasnya maka cantiklah ibadat yang dibina padanya seolah-olah beliau berkata: “Imam Syafie itu elok pada ijtihadnya.” Tatkala terasa kesakitan yang menimpa amatlah kuat hingga memisahkannya dari dunia, Sayyidah Nafisah mula menggali kubur dalam biliknya. Pada saat-saat akhir usianya, beliau sering turun dan beribadat dalam liang lahad tersebut dengan banyak bersembahyang sunat dan membaca al-Quran. Berkata Al-Allamah Al-Ajhauri: "Adalah Sayyidah Nafisah membaca al-Quran dan mengkhatamnya dalam kuburnya sebanyak 6,000 kali dan beliau menghadiahkan pahalanya kepada sekalian umat Islam yang telah meninggal dunia.”

Menghembus Nafas Terakhir
Kesakitan yang menimpanya semakin kuat pada pertengahan bulan Ramadhan tahun 208 Hijrah dan beliau sedang berpuasa ketika itu. Maka sekalian orang yang hadir ketika itu menyarankan agar beliau berbuka puasa sahaja bagi meringankan kesakitan yang dihadapi. Mendengar hal tersebut beliau berkata: “Pelik sungguh. Aku berpuasa 30 tahun dan aku berdoa kepada Allah agar dimatikan aku dalam keadaan berpuasa tiba-tiba aku diminta berbuka?”.

Kesakitan yang ditanggungnya berlarutan hingga hari Jumaat hari yang ke-15 Ramadhan. Mulut beliau masih lagi mampu membaca al-Quran hingga sampai pada ayat ke-127 daripada Surah al-An’am yang bermaksud: “Bagi mereka itu (orang-orang yang merenung dan menghayati pesanan dari Allah) disediakan tempat yang selamat dan aman iaitu syurga di sisi Tuhan mereka dan mereka berada dalam kekuasaan dan pertolongan-Nya dengan sebab apa yang mereka kerjakan di dunia dahulu.” Ketika selesai membaca ayat ini, sunyi seketika rumah beliau diikuti tangisan dan doa sekalian manusia yang hadir mengiringi roh beliau yang baru dijemput mengadap Allah SWT.

Disemadikan Di Mesir
Setelah kewafatan Sayyidah Nafisah, suaminya Ishaq al-Mu’taman telah bercadang untuk membawa kembali jasad Sayyidah Nafisah ke Madinah untuk dikebumikan bersama-sama ahli keluarganya yang lain, tetapi penduduk Mesir telah membantah dan meminta agar Sayyidah Nafisah disemadikan di Mesir dalam kubur yang digali dengan tangan beliau sendiri. Setelah cubaan memujuk keluarganya menemui jalan buntu, sekalian penduduk Mesir telah mengadu kepada Ubaidillah bin as-Sura, gabenor Mesir ketika itu agar dapat menangani masalah ini dengan baik. Dikatakan sekalian penduduk Mesir telah mengumpulkan sekalian harta bagi diberikan kepada keluarga Sayyidah Nafisah agar hasrat untuk mengembalikan Sayyidah Nafisah ke Madinah dibatalkan. Pada malamnya, suaminya telah bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan Baginda bersabda kepada Ishaq: ”Wahai Ishaq! Kembalikan harta manusia (penduduk Mesir) kepada mereka dan semadikan Nafisah di sisi mereka kerana rahmat diturunkan kepada mereka dengan berkat Nafisah.” Keesokannya, Sayyid Ishaq telah memaklumkan mimpinya kepada penduduk Mesir. Dengan penuh gembira dan syukur kepada Allah, jasad Sayyidah Nafisah disempurnakan lalu disemadikan di dalam biliknya yang kini dibina masjid padanya yang dinamakan ‘Masjid Sayyidah Nafisah’. Setelah itu, suaminya bersama dua lagi anaknya kembali ke Madinah dan meninggal dunia di sana. Semoga Allah meredhai sekalian Ahlul Bait Rasulullah SAW dan menghimpunkan kita sekalian bersama-sama mereka di bawah panji datuk mereka dan pemberi syafaat kita, Nabi Muhammad SAW. Amin.

(Petikan daripada kitab Hadhratus Sayyidah Nafisah r.anha tulisan Syeikh Muhammad Muntasar Ahmad Hamid Al-Helwani)



23 September 2010

KISAH IMAM AHMAD BIN HANBAL DENGAN PEMBUAT ROTI


Pada suatu hari, Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah ingin menghabiskan malamnya di sebuah masjid, tetapi penjaga masjid tidak membenarkannya (mungkin kerana dia tidak mengenali Imam Ahmad bin Hanbal). Puas Imam Ahmad bin Hanbal memujuk penjaga masjid tersebut, namun tidak berhasil.

Sehingga Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku akan tidur di atas kakiku sendiri (yakni tidur berdiri).” Dan sememangnya Imam Ahmad bin Hanbal tidur dalam keadaan tersebut. Melihatkan keadaan itu, penjaga masjid tersebut tetap tidak berpuas hati, lalu dihalaunya Imam Ahmad bin Hanbal keluar dari masjid tersebut.

Keadaan ini telah diperhatikan oleh seorang pembuat roti, membuatkan timbul rasa belas kasihan terhadap Imam Ahmad bin Hanbal yang agak lanjut usianya pada ketika itu. Lalu beliau mempelawa Imam Ahmad bin Hanbal untuk bermalam di rumahnya pada malam itu. Kedua-duanya tidak mengenali antara satu sama lain.

Apabila tiba di rumah si pembuat roti, Imam Ahmad dilayani dengan baik sekali dan dimuliakan sebagai seorang tetamu.

Apabila si pembuat roti beredar untuk membuat roti, Imam Ahmad bin Hanbal mengekori sambil memerhatikannya. Imam Ahmad bin Hanbal kagum dan terkejut melihat si pembuat roti yang sentiasa beristighfar walaupun sibuk dengan kerja-kerjanya.

Pada pagi keesokannya, Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti tentang keadaannya yang sentiasa beristighfar walaupun sedang sibuk melakukan kerja.

“Alhamdulillah, saya sering beristighfar walau di manapun saya berada dan walau keadaan apa sekalipun yang saya hadapi,” jawab si pembuat roti jujur.

Lalu Imam Ahmad bertanya: “Adakah anda dapati apa-apa kebaikan dari perbuatanmu itu?”

Maka si pembuat roti menjawab: “Tidak ada satu doa pun yang aku pohon kecuali Allah SWT akan memperkenankan doaku itu.” Beliau terdiam seketika lalu menyambung: “Kecuali satu doa...”

“Apakah doa itu?” tanya Imam Ahmad bin Hanbal.

Jawab si pembuat roti: “Doa untuk aku melihat Imam Ahmad bin Hanbal.”

SUBHANALLAH...

Wallahua'lam.

18 September 2010

TEMPAT SYAITAN BERKUMPUL


Berikut adalah tempat-tempat yang banyak dikunjungi syaitan, di antaranya:

1. TEMPAT ISTIREHAT UNTA

Dari Abdullah bin Mughaffal r.a. berkata, bersabda Rasulullah SAW: "Solatlah kalian di tempat peristirahatan (kandang) kambing dan janganlah kalian solat di tempat peristirahatan (kandang) unta kerana sesungguhnya unta itu diciptakan dari syaitan." [HR Ahmad (4/85), Ibnu Majah (769) dan Ibnu Hibban (5657) dan selainnya)]

Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah sebagaimana yang disebutkan di dalam "Majmu Fatawa" (19/41) ketika menjelaskan tentang penyebab dilarangnya solat di tempat peristirahatan unta. Yang benar bahawa penyebab (dilarangnya solat) di kamar mandi, tempat peristirahatan unta dan yang semisalnya adalah kerana itu adalah tempat-tempat para syaitan.


2. TANDAS & BILIK MANDI

Dari Zaid bin Arqam r.a., bahawa Rasulullah SAW, bersabda: "Sesungguhnya tempat-tempat buang hajat ini dihadiri (oleh para syaitan, pen), maka jika salah seorang dari kalian hendak masuk kamar mandi, ucapkanlah "Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadamu dari syaitan laki-laki dan syaitan perempuan." [Ahmad (4/373), Ibnu Majah (296), Ibnu Hibban ( 1406), Al Hakim (1/187)]

الْخُبُثِ adalah syaitan laki-laki dan الْخَبَائِثِ adalah syaitan perempuan. Demikian banyak orang yang terkena gangguan jin adalah di tandas-tandas.


3. LEMBAH-LEMBAH

Sesungguhnya jin dan syaitan mengunjungi lembah-lembah dan tidak di pergunungan. Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah dalam "Majmu Fatawa" (19/33): "Lembah-lembah adalah tempatnya kaum jin kerana sesungguhnya mereka lebih banyak ditemukan di lembah-lembah daripada di dataran tinggi."


4. TEMPAT PEMBUANGAN SAMPAH / KOTORAN

Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah dalam "Majmu Fatawa" (19/41): "(Para syaitan) ditemukan di tempat-tempat bernajis seperti kamar mandi dan tandas, tempat sampah, kotoran serta perkuburan."


5. KAWASAN PERKUBURAN

Telah datang dari hadis Abu Said Al Khudri r.a. bahawa Rasulullah SAW, bersabda: "Permukaan bumi itu semuanya masjid (boleh dijadikan tempat untuk bersolat, pen) kecuali perkuburan dan kamar mandi." [HR Ahmad (3/83), Abu Daud (492), Tirmidzi (317), Ibnu Hibban (1699), Al Hakim (1/251)]

Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah sebagaimana yang disebutkan di dalam "Majmu Fatawa" (19/41) ketika berbicara tentang tempat-tempat jin: "Pada perkuburan itu terdapat sarana menuju kesyirikan sebagaimana perkuburan juga menjadi tempat mangkalnya para syaitan (Lihat ucapan beliau sebelumnya). Para syaitan menuntut orang yang hendak menjadi tukang sihir untuk selalu tinggal di perkuburan. Dan di sanalah para syaitan turun mendatanginya dan tukang sihir itu bolak balik ke tempat ini. Para syaitan menuntutnya untuk memakan sebahagian orang-orang mati.”


6. TEMPAT YANG TELAH ROSAK & KOSONG

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam "Al Adab Al Mufrad" (579) dari Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW, berkata kepadaku: "Janganlah kamu tinggal di tempat yang jauh dari pemukiman kerana tinggal di tempat yang jauh dari pemukiman itu seperti tinggal di kuburan."

Hadis ini hasan. Berkata lebih dari satu ulama bahawa Al Kufuur adalah tempat yang jauh dari pemukiman manusia dan hampir tidak ada seorang pun yang lalu di situ. Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah sebagaimana yang disebutkan dalam "Majmu Fatawa" (19/40-41) ketika berbicara tentang jin: "Oleh kerana itu, (para syaitan) banyak ditemukan di tempat yang telah rosak dan kosong."


7. LAUTAN

Dalam hadis Jabir r.a. berkata: Bersabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan (dalam riwayat lain di atar air) dan kemudian dia pun mengutus pasukannya.” [HR Muslim (2813)]

Dan juga datang dari hadis Abu Musa r.a. yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan yang lainnya dan hadis ini sahih. Sebahagian ulama menyebutkan bahawa lautan yang dimaksudkan ialah samudera "Al-Haadi" kerana di sanalah tempat berkumpulnya semua benua.


8. CELAH-CELAH BUKIT

Telah datang hadis Ibnu Sarjis r.a. dia berkata: Bersabda Rasulullah SAW: "Janganlah salah seorang diantara kalian kencing di lubang…"

Mereka berkata kepada Qatadah: "Apa yang menyebabkan dibencinya kencing di lubang?" Dia berkata: "Disebutkan bahawa itu adalah tempat tinggalnya jin". Hadis ini dikeluarkan oleh Ahmad (5/82), Abu Daud (29), An-Nasai (34), Al-Hakim (1/186) dan Al-Baihaqi (1/99). Lebih dari satu ulama yang membenarkan bahawa Qatadah mendengar dari Abdullah bin Sarjis r.a. (Lihat kitab "Jami' At Tahshiil.)

Hadis ini disahihkan oleh Al-Walid Al-Allamah Al-Wadi'i dalam "Ash Shahih Al Musnad Mimma Laisa fii Ash Shahihain" (579).


9. TEMPAT-TEMPAT KESYIRIKAN, BID'AH DAN MAKSIAT

Para syaitan mengunjungi setiap tempat yang di dalamnya manusia melakukan kesyirikan, bid'ah dan kemaksiatan. Tidaklah dilakukan kebid'ahan dan penyembahan kepada selain Allah SWT, kecuali syaitan melakukan kejahatan yang cukup besar di dalamnya dan memesongkan para pelakunya.


10. RUMAH-RUMAH YANG DIDALAMNYA MAKSIAT BERLELUASA

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan gambar." [HR Bukhari (3226) dan Muslim (2106) dari hadis Abu Thalhah dan Aisyah Radhiyallahu 'anhuma dan datang pula dari para sahabat yang lain).

Jika malaikat tidak masuk ke dalam rumah, maka syaitanlah yang masuk kerana malaikat adalah tentara-tentara Allah SWT yang diutus untuk menjaga kaum mukminin dan menolak kemudaratan dari mereka. Termasuk kebodohan adalah jika seorang muslim mengusir malaikat dari rumahnya yang menyebabkan masuknya jin dan syaitan ke dalamnya. Maka makmurkanlah rumah itu dengan zikir kepada Allah SWT, ibadah serta membaca Al-Quran.

Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian sebagai perkuburan kerana sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang di dalamnya dibacakan Surah Al-Baqarah." (HR. Muslim (780), Ahmad (2/337), Tirmidzi (2877) dan selainnya).


11. PASAR-PASAR

Telah datang dari Salman r.a., berkata: "Janganlah engkau menjadi orang pertama yang masuk ke pasar jika engkau mampu dan jangan pula menjadi orang paling terakhir yang keluar darinya kerana pasar itu adalah tempat peperangan para syaitan dan di sanalah ditancapkan benderanya." [HR Muslim (2451)]

Ucapan ini memiliki hukum marfu (disandarkan kepada Rasulullah SAW, pen). Yang dimaksud dengan
ا لمعر كة dalam kata " معركة الشيطان " adalah tempat peperangan para syaitan dan mereka menjadikan pasar sebagai tempat perang tersebut kerana dia mengalahkan majoriti penghuninya disebabkan kerana mereka lalai dari zikrullah dan gemar melakukan kemaksiatan.

Dan ucapannya "
وبها ينصب رايته " (dan dengannya dipasang benderanya), untuk menunjukkan perbuatan syaitan untuk melaga-lagakan sesama manusia. Oleh kerana itu, pasar merupakan tempat yang dibenci oleh Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: "Tempat yang paling disukai oleh Allah adalah masjid dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar." [HR Muslim (671)]

Demikianlah syaitan-syaitan berkumpul di tempat-tempat yang di dalamnya banyak berlakunya perbuatan maksiat dan kemungkaran.


12. JALAN-JALAN / LORONG-LORONG

Dari Jabir r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Jika telah datang malam, maka cegahlah anak-anak kalian untuk keluar kerana sesungguhnya jin itu berkeliaran dan melakukan penculikan. Matikan lampu di saat tidur kerana sesungguhnya binatang fasik itu kadang-kadang menarik sumbu lampu sehingga membakar penghuni rumah tersebut." [HR Bukhari (3303) dan Muslim (2012)]

Wallahua’lam.