Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


18 Julai 2011

DOSA, KEBAIKAN DAN YANG HAK


Aku kumpulkan sekalian dosa-dosaku
yang menghimpit jiwaku
aku melihat seluruh dunia adalah dosa
izinkan daku
meletakkan segala dosa di bawah tapak kaki ku.

Aku hadapkan pandangan kepada kebaikan
bila daku melihat diriku yang baik
berdatangan diri-diri lain menghijab
izinkan daku
meletakkan segala kebaikan di bawah dosa-dosa.

Aku berhadapan dengan keinginan-keinginan
tanpa dosa jiwa belum tenang
keinginan-keinginan mengheret kepada kegelisahan
tidak sabar.

Wajah keinginan memperlihatkan ego diri
takutkan kesusahan dan kehinaan.

Keinginan adalah dosa sebenar
dosa-dosa lain adalah anak-anaknya
walaupun anak-anak dikuburkan
ibu akan terus melahirkan anak-anak baharu.

Bagaimana menghapuskan keinginan
bukankah ia adalah diriku sendiri.

Aku melihat kepada diriku
terasa kesamaran di sebalik diri yang berkeinginan
dalam kesamaran itu
wujud diri yang suci murni
tanpa keinginan.

Ia tidak dikurung oleh jasad
tiada ruang
tiada zaman.

Ia sentiasa damai dan tenteram
namun ia tidak diberi kesempatan
untuk memperlihatkan wajahnya.

Kuburkan diri yang berkeinginan!
begitulah ucapan Mu yang ku dengar.

Bila daku mendengar ucapan Mu
aku melihat diri ku berada di tengah-tengah
di antara Engkau dan diri yang berkeinginan
aku melihat
diri yang berkeinginan itu bukanlah diriku yang sejati
ia hanyalah bayang-bayang yang muncul
dari pancaran cahaya Mu kepadaku yang terhijab

mengapa kepada bayang penglihatan ku tertuju
sedangkan Engkau adalah cahaya
dan aku yang menerima cahaya
bayang adalah kegelapan
mengapa terpesona dengan kegelapan.

Engkau terangi daku dengan cahaya Mu
untuk ku kenali diriku
agar pengenalan itu membuatku melihat cahaya Mu
dan mengetahui bahawa cahaya Mu yang paling nyata
sedangkan aku dan lain-lainnya
adalah zarah-zarah yang terapung-apung
di dalam angkasa raya cahaya Mu.

Cahaya Mu yang tanpa warna, tanpa rupa
adalah kebijaksanaan tanpa tara
dengannya segala menjadi nyata.

Sekalian wajah-wajah adalah cermin wajah Mu
cermin itu adalah keindahan
keindahan adalah bayangan wajah Mu
keindahan adalah rasa hati
bukan bentuk bukan rupa
apabila hati mesra di dalam keindahan Mu
itulah penatapan wajah Mu
bulat, leper, atau panjang
putih, kuning atau hijau
kelmarin, hari ini atau esok
semuanya tidak menjadi soal
pada hati yang melihat keindahan wajah Mu.

Hati itulah rahsia besar.

Pandanglah Tuhan tanpa menggunakan mata
Dia tidak pernah bersembunyi
Dengarlah ucapan tanpa menggunakan telinga
Dia tidak pernah berhenti berkata-kata

(Sumber: Internet)

02 Julai 2011

IMAM ALI ZAINAL ABIDIN, CICIT RASULULLAH S.A.W.

Imam Ali Zainal Abidin adalah cicit Rasulullah SAW dan anak Sayyidina Hussain RA (semoga Allah SWT meredhai mereka). Beliau diberi julukan ‘Abal Hasan’ atau ‘Abal Hussain’. Beliau juga mendapat julukan ‘As-Sajjad’ (orang yang ahli sujud). Beliau juga merupakan satu-satunya putera Sayyidina Hussain RA yang terselamat ketika tragedi Karbala, di mana bapanya, Sayyidina Hussain RA telah syahid akibat dipenggal kepalanya oleh tentera Yazid bin Muawiyah setelah dikepung dan dizalimi.

Disebabkan bonda beliau wafat ketika beliau masih kecil, beliau dibesarkan dan diasuh secara langsung oleh ibu saudara beliau sendiri. Ibu saudara beliau, Saiyyidah Zainab binti Ali bin Abu Talib RA merupakan saudara kandung Sayyidina Hasan RA dan Sayyidina Hussain RA. Ini bermakna, Imam Ali Zainal Abidin mendapat tarbiyah langsung daripada tiga orang Ahlul Bait Rasulullah SAW iaitu Sayyidina Hassan, Sayyidina Hussain dan Saiyyidah Zainab binti Ali radhiallahu ‘anhum.

Beliau adalah seorang yang ahli ibadah dan hamba yang amat taat kepada Allah SWT. Beliau meninggalkan segala sesuatu kecuali Tuhannya dan berpaling dari yang selain-Nya, serta yang selalu menghadap-Nya. Hati dan anggota tubuhnya diliputi ketenangan kerana ketinggian makrifahnya kepada Allah SWT, rasa hormatnya dan rasa takutnya kepada-Nya. Bercerita tentang ketaqwaan beliau, salah seorang putera beliau yang bernama Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin pernah menceritakan: “Pada saat sedang solat, ayahku demikian khusyuk berdiri hingga tak ada bezanya dengan seorang budak yang hina-dina berada di hadapan Maharaja terbesar di dunia. Begitu khusyuk ayahku solat seakan-akan sedang menunaikan solat terakhir dalam hidupnya.”

Beliau dilahirkan di kota Madinah pada tahun 33 Hijrah, atau dalam riwayat lain ada yang mengatakan 38 Hijrah. Beliau adalah termasuk generasi tabi’in. Beliau juga seorang imam agung. Beliau banyak meriwayatkan hadis dari ayahnya (Al-Imam Hussain RA), bapa saudaranya Al-Imam Hasan RA, Jabir RA, Ibnu Abbas RA, Al-Musawwir bin Makhromah RA, Abu Hurairah RA, Shofiyyah RA, Aisyah RA, Ummu Kalsum RA, serta para ummahatul mukminin/isteri-isteri Nabi SAW (semoga Allah SWT meredhai mereka semua). Al-Imam Ali Zainal Abidin, mewarisi sifat-sifat ayahnya (semoga Allah SWT meredhai keduanya) di dalam ilmu, sifat zuhud dan ibadah, serta mengumpulkan keagungan sifatnya pada dirinya di dalam setiap sesuatu.

Berkata Yahya Al-Anshari: “Dia (Al-Imam Ali) adalah paling mulianya Bani Hasyim yang pernah saya lihat.” Berkata Zuhri: “Saya tidak pernah menjumpai di kota Madinah orang yang lebih mulia dari beliau.” Hammad berkata: “Beliau adalah paling mulianya Bani Hasyim yang saya jumpai terakhir di kota Madinah.” Abu Bakar bin Abi Syaibah berkata: “Sanad yang paling dapat dipercayai adalah yang berasal dari Az-Zuhri dari Ali dari Al-Hussain dari ayahnya, Ali bin Abi Talib.”

Kelahiran beliau dan Az-Zuhri terjadi pada hari yang sama. Sebelum kelahirannya, Nabi SAW sudah menyebutkannya. Beliau solat 1000 rakaat setiap hari dan malamnya. Beliau jika berwuduk, pucat wajahnya. Ketika ditanya kenapa demikian, beliau menjawab, “Tahukah engkau kepada siapa aku akan menghadap?.” Beliau tidak suka seseorang membantunya untuk menyiramkan air ketika berwuduk. Beliau tidak pernah meninggalkan qiyamul lail, baik dalam keadaan di rumah ataupun berkelana. Beliau memuji Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Usman (semoga Allah SWT meredhai mereka semua). Ketika berhaji dan terdengar kalimat “Labbaikallah…”, beliau pengsan.

Suatu saat ketika beliau baru saja keluar dari masjid, seorang laki-laki menemuinya dan mencacinya dengan keras. Spontan orang-orang di sekitarnya, baik budak-budak dan tuan-tuannya, bersegera ingin menghukum orang tersebut, akan tetapi beliau mencegahnya. Beliau hanya berkata: “Tunggulah sebentar orang laki-laki ini.” Sesudah itu beliau menghampirinya dan berkata kepadanya: “Apa yang engkau tidak ketahui dari diriku lebih banyak lagi. Apakah engkau memerlukan sesuatu sehingga saya dapat membantumu?.” Orang laki-laki itu merasa malu. Beliau lalu memberinya 1000 dirham. Maka berkata laki-laki itu: “Saya bersaksi bahawa engkau adalah benar-benar cucu Rasulullah.”

Beliau berkata: “Kami ini ahlul bait, jika sudah memberi, pantang untuk mengharapkan balasannya.” Beliau sempat hidup bersama datuknya Al-Imam Ali bin Abi Talib, selama 2 tahun, bersama pakciknya, Al-Imam Hasan, 10 tahun, dan bersama ayahnya, Al-Imam Hussain, 11 tahun (semoga Allah SWT meredhai mereka semua).

Beliau setiap malamnya memikul sendiri karung makanan di atas punggungnya dan menyedekahkan kepada para fakir miskin di kota Madinah. Beliau berkata: “Sesungguhnya sedekah yang sembunyi-sembunyi itu dapat memadamkan murka Tuhan.” Muhammad bin Ishaq berkata: “Sebahagian dari orang-orang Madinah, mereka hidup tanpa mengetahui dari mana asalnya penghidupan mereka. Apabila Ali bin Al-Hussain wafat, mereka tidak lagi mendapatkan penghidupan itu.”

Amr bin Tsabit menceritakan, ketika jenazah Imam Ali Zainal Abidin dimandikan, kelihatan kulit menebal berwarna kehitam-hitaman pada punggung beliau dan mereka saling bertanya sesama sendiri. Kemudian ada yang menjawab: “Itu bekas beban berat yang dipikul beliau pada malam hari, iaitu kampit-kampit gandum yang dihantar sendiri berulang-ulang kali kepada kaum fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan di Madinah!

Beliau jika meminjamkan wang, tak pernah meminta kembali wangnya. Beliau jika meminjamkan pakaian, tak pernah meminta kembali pakaiannya. Beliau jika sudah berjanji, tidak mahu makan dan minum, sampai beliau dapat melaksanakan janjinya. Ketika beliau berhaji atau berperang mengenderai tunggangannya, beliau tak pernah memukul tunggangannya itu. Manaqib dan keutamaan-keutamaan beliau tak dapat dihitung, selalu dikenal dan dikenang. Beliau meninggal di kota Madinah pada 18 Muharram 94 Hijrah, dan disemayamkan di perkuburan Baqi’, dekat makam dari bapa saudaranya, Sayyidina Hasan RA, yang disemayamkan di kubah Al-Abbas. Beliau meninggal dunia dengan meninggalkan 11 orang putera dan 4 orang puteri. Adapun warisan yang ditinggalkannya kepada mereka adalah ilmu, kezuhudan dan ibadah.

Wallahua'lam.