Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


27 Mei 2010

UWAIS AL-QARNI: TIDAK TERKENAL DI BUMI, TERKENAL DI LANGIT


Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidina Umar r.a. dan Saidina Ali k.w.: Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

Saidina Umar dan Saidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah SAW: Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?

Rasulullah SAW menjawab: Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian."

Memang benarlah kata-kata Rasulullah SAW, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar dan Saidina Ali. Mereka memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar, tidak mungkin dia orang yang Rasulullah SAW maksudkan kerana di kalangan orang awam, Uwais dianggap sebagai seorang yang kurang waras.

Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak, badannya putih, yakni putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak, dia adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.

Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin untuk mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya berikhtiar agar dia dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa namun perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.

Pada suatu hari, ibu Uwais yang semakin uzur berkata kepada anaknya: Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”

Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.

Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Selepas lapan bulan, apabila sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?

Uwais menjawab: Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.

Ibunya bertanya lagi: Bagaimana pula dengan dosa kamu?

Uwais menjawab: Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga."

Ibunya berkata lagi: Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini."

Uwais berkata: Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala."

Ibunya menambah: Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa."

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya, dia berdoa: Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.”

Allah SWT lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah SAW kepada Saidina Umar dan Saidina Ali: "Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni."

Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Saidina Umar dan Saidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW, mereka meminta supaya Uwais berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata: Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah SAW kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku." Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

Setelah itu Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, bertanya kepadanya: "Anda hendak pergi ke mana?” “Kufah”, jawab Uwais. Saidina Umar bertanya lagi: “Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar melayanimu?” Uwais menjawab: “Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.” (HR Muslim)

Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit.


Wallahua’lam.


26 Mei 2010

MUS'AB BIN UMAIR R.A.: SYUHADA UHUD YANG ZUHUD


Mus’ab bin Umair r.a. adalah sahabat Rasulullah SAW yang sangat terkenal dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Sebelum memeluk Islam lagi Mus’ab memang terkenal sebagai seorang yang berperwatakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu bersaing dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus’ab menjadi kegilaan gadis-gadis di Makkah. Mereka sentiasa bercita-cita untuk menjadi teman hidupnya.

Mus’ab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding anggota keluarganya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Mus’ab telah menganut Islam. Ibunya telah mengurung dan menyeksa Mus’ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya langsung tidak berkesan. Apabila sudah habis ikhtiar, mereka membebaskannya buat sementara.

Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Mus’ab. Sebaliknya, dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya supaya memeluk Islam kerana sayangkan ibunya. Mus’ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya.

Cuba bayangkan bagaimana jika kita berada di tempat Mus’ab ketika itu, berhadapan dengan ibu yang hanya hampir tinggal nyawa-nyawa ikan? Apakah jawapan kita? Tergamakkah kita membiarkannya terlantar begitu? Atau apakah ada jawapan yang lain? Dengarlah jawapan Mus’ab kepada ibunya:

Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.”

Apa lagi lemahlah si ibu mendengar jawapan si anak. Dengan jawapan tersebut juga, Mus’ab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah Mus’ab bersama-sama Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu.

Untuk meneruskan kehidupannya, Mus’ab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Mus’ab. Adik-beradik Mus’ab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Mus’ab tetap mempertahankan keimanannya.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim semakin menjadi-jadi, Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Mus’ab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah SAW. Kata-kata Rasulullah SAW mengenai Mus’ab sering disebut-sebut oleh sahabat:

Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.”

Apabila ibu Mus’ab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Mus’ab yang bernama al-Rum untuk memujuknya. Namun Mus’ab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya.

Sewaktu Perang Uhud, Mus’ab ditugaskan memegang panji-panji Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Mus’ab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru: “Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.”

Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Mus’ab dan melibas tangan kanannya yang memegang panji-panji Islam. Mus’ab menyambut panji-panji itu dan memegang dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus’ab terus menyambut dan memeluk panji-panji itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai Syuhada Uhud.

Al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan panji-panji tersebut daripada jatuh ke bumi. Al-Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus’ab. Al-Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud.

Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup mayat Mus’ab. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah SAW tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air matanya. Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur:

Apabila ditarik ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.”

Demikian kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah. Kisahnya mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah berkat proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Mus’ab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Mus’ab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana dan kekurangan berbanding darjat dan kehidupan yang mewah. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mendapatkan keredhaan Allah dan RasulNya.


23 Mei 2010

AHLI SUFFAH


Ahli Suffah merupakan satu kumpulan sahabat Rasulullah SAW yang daripada mereka dikatakan bermulanya aliran sufi atau tasauf. Mereka dikenali sebagai golongan miskin yang menumpang tinggal di beranda masjid Rasulullah SAW di kota Madinah. Perbelanjaan mereka ditanggung oleh orang ramai. Mereka terdiri daripada golongan yang tidak memiliki apa-apa, lemah dan tiada kemahiran dalam urusan kehidupan harian. Walaupun keadaan Ahli Suffah yang demikian, kaum Muslimin tidak menganggap mereka sebagai beban. Kaum Muslimin yang berkemampuan dengan ikhlas hati memberi bantuan kepada golongan yang lemah itu.

Apabila perkembangan Islam telah pesat, ternyata peranan Ahli Suffah sangat penting. Tindakan Rasulullah SAW menyediakan tempat di beranda masjid Baginda SAW untuk satu puak yang menjadi ahli masjid merupakan satu tindakan yang sangat berhikmah. Ahli Suffah yang juga ahli masjid Rasulullah SAW merupakan kumpulan yang paling hampir dengan Baginda SAW serta dicintai Baginda. Merekalah yang mula-mula mendengar pengajaran Rasulullah SAW. Mereka sentiasa hadir di dalam majlis Baginda SAW. Mereka mempelajari al-Quran secara langsung daripada Rasulullah SAW. Peranan mereka adalah umpama perpustakaan yang menyimpan segala macam pengajaran Nabi Muhammad SAW.

Mereka hanya menceburi satu bidang sahaja dalam kehidupan ini, iaitu bidang ilmu Rasulullah SAW. Dari kalangan mereka terdapat orang-orang yang sangat mendalam pengetahuan mereka tentang agama Islam. ‘Khazanah ilmu agama’ itulah yang memainkan peranan penting sebagai mubaligh yang menyampaikan ajaran Islam kepada kaum Muslimin yang tidak dapat hadir di dalam majlis Rasulullah SAW dan juga kepada mereka yang baru memeluk Islam. Ahli Suffah, ahli masjid Nabi SAW atau ahli sufi pada zaman Rasulullah SAW merupakan golongan yang bekerja di dalam bidang ilmu sepanjang masa. Mereka merupakan gedung ilmu dan juga penyebar ilmu. Al-Quran memberikan perhatian istimewa kepada Ahli Suffah, ahli masjid Nabi SAW, ahli sufi atau ahli ilmu itu. Allah SWT memperakui kepentingan sumbangan mereka kepada perkembangan agama-Nya.

Ahli Suffah atau ahli sufi pada zaman Rasulullah SAW merupakan orang yang tidak memiliki apa-apa dan tidak berkehendakkan apa-apa kecuali Allah SWT dan Rasul-Nya. Mereka dikenali sebagai faqir yang terikat pada jalan Allah SWT. Jalan Allah SWT bukan semata-mata berperang mengangkat senjata, memelihara al-Quran dan al-Hadis juga merupakan jihad yang besar. Perkembangan Islam yang pesat memerlukan tenaga yang khusus dalam bidang tersebut. Urusan memelihara ilmu agama sangat penting. Jika tenaga khusus itu disalurkan kepada bidang pekerjaan harian, maka urusan pemeliharaan ilmu agama akan terjejas, sedangkan ianya sangatlah penting bagi perkembangan agama.

Al-Quran menganjurkan agar sebahagian daripada umat Islam tidak keluar berperang. Jihad bagi golongan yang dibenarkan tidak keluar ke medan perang itu adalah memperdalamkan dan mengembangkan ilmu agama. Allah SWT telah memberikan garisan pembahagian tugas dalam pembangunan masyarakat dan perkembangan agama. Berperang mengangkat senjata dan berjuang mengembangkan ilmu agama sama-sama mendapat penghargaan dari Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia yang paling hampir dengan darjat Kenabian adalah ahli ilmu.” Ahli ilmu menunjukkan kepada manusia apa yang dibawa oleh Rasul. Ahli jihad pula berjuang dengan pedang mereka membawa apa yang dibawa oleh Rasul. Baginda SAW juga bersabda yang bermaksud: “Pada hari kiamat tinta ulama ditimbang dengan darah syuhada.”

Ahli sufi pada zaman Rasulullah SAW merupakan orang-orang yang menyediakan diri mereka semata-mata untuk Allah SWT dan Rasul-Nya. Mereka berfungsi sebagai penyimpan ilmu al-Quran dan Hadis dan juga segala jenis ilmu agama. Mereka memancarkan ilmu-ilmu tersebut ke seluruh pelusuk muka bumi. Inilah dasar yang perlu diperhatikan dalam memperkaitkan Ahli Suffah dengan ahli sufi yang datang kemudian.

Jihad yang paling besar adalah jihad mengangkat senjata dan orang yang mati kerananya memperolehi syahid. Pekerjaan yang begitu besar dan mulia dikecualikan daripada ahli ilmu sepenuh masa, apa lagi pekerjaan yang berhubung dengan urusan mengisi perut. Pada zaman Rasulullah SAW, puak yang bekerja khusus dalam bidang ilmu agama itu ditanggung oleh pemerintah, iaitu Rasulullah SAW sendiri.

Oleh kerana ahli ilmu itu tidak melibatkan diri dalam urusan mencari rezeki, maka mereka tidak dapat mengecapi kemewahan dan kesenangan. Mereka hidup di dalam kefaqiran. Mereka faqir pada pandangan dunia, tetapi kaya dengan ilmu Tuhan dan Rasul-Nya. Lidah dan pena mereka adalah pedang jihad mereka. Ilmu yang mereka pelajari dan sebarkan itulah darah syahid mereka. Rasulullah SAW memperakui bahawa golongan demikian sebagai kumpulan yang paling hampir dengan darjat Kenabian. Ilmu mereka adalah percikan ilmu Nabi-Nabi. Rohani mereka adalah cermin jernih yang menerima pancaran cahaya Kenabian. Golongan seperti ini akan dihantarkan Tuhan dari masa ke masa pada setiap zaman. Tugas mereka adalah memperbaiki kerosakan yang berlaku pada ilmu agama, terutamanya dalam soal akidah.

Kerajaan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW bermula di Madinah. Semakin besar kerajaan Islam, semakin besar dan berat tugas yang dipikul oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW dibantu oleh empat orang ‘Menteri Kanan’. Mereka adalah Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Siapa pula ‘kakitangan kerajaan’ yang membantu Rasulullah SAW dan ‘Menteri-menteri’ Baginda SAW? Mereka adalah Ahli Suffah yang bekerja sepenuh masa untuk Rasulullah SAW. Kebanyakan daripada masa Baginda SAW dihabiskan di dalam masjid. Pengajaran, perancangan, strategi, polisi, wawasan dan lain-lain keluar daripada Rasulullah SAW dan disebarkan oleh Ahli Suffah. Mereka menyampaikan berita yang Rasulullah SAW ingin sampaikan kepada kaum Muslimin.

Ahli Suffah yang bergerak mempastikan latihan ketenteraan berjalan dengan teratur sebagai persiapan mempertahankan agama dan negara Islam. Ahli Suffah juga mengatur pembuatan senjata-senjata perang seperti baju besi dan pedang. Ahli Suffah juga menggerakkan kaum Muslimin mempersiapkan unta dan kuda mereka supaya apabila diperlukan semuanya berada dalam keadaan siap sedia. Kehadiran Ahli Suffah, ahli masjid Nabi SAW atau ahli sufi itulah yang memudahkan Rasulullah SAW mentadbir negara Islam dari dalam masjid Baginda.

Ketika bilangan tentera Islam masih sedikit, Ahli Suffah pernah ikut serta berperang. Jadi, Ahli Suffah adalah satu kumpulan yang sangat aktif bekerja untuk Allah SWT dan Rasul-Nya tanpa gaji. Apa sahaja yang Rasulullah SAW berikan, itulah bahagian mereka bagi menyara kehidupan mereka. Mereka redha dengan yang demikian. Mereka lebih suka nama mereka tidak dikenali kerana mereka tidak mencari nama dan kebesaran. Apa yang mereka cari hanyalah keredhaan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Semoga mereka diredhai Allah SWT dan Rasul-Nya. Amien...

18 Mei 2010

APABILA TIBA SAAT KEMATIAN...


Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, yang diriwayatkan Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah di dalam kitabnya ‘Al-Rûh’, menceritakan apa yang terjadi ketika seseorang itu meninggal dunia. Waktu itu para sahabat sedang berada di sekitar kawasan perkuburan. Rasulullah SAW datang menemui mereka, lalu Baginda bercerita:

Apabila seorang mukmin meninggal dunia, sejauh-jauh penglihatan akan terdapat para malaikat (yang menjemput jenazah mukmin itu). Para malaikat itu berbaris sementara malaikat maut duduk dekat kepala si Mukmin dan berkata, ”Hai ruh yang indah, keluarlah menuju ampunan Allah dan keredhaan-Nya.”


Ruh itu keluar dari jasadnya dengan amat mudah seperti keluarnya tetesan air dari wadahnya. Malaikat maut mengambil ruh itu dan tidak melepaskan dari tangannya walau sekejap mata pun. Dari ruh itu keluar bau semerbak yang memenuhi seluruh alam malakut.”


Ketika ruh jenazah itu lewat, para malaikat bertanya, ”Siapakah ruh ini?” Malaikat maut menjawab, ”Inilah ruh Fulan bin Fulan.” Dibawalah ia ke langit untuk menghadap Allah SWT dan diterima oleh Allah SWT dengan segala keredhaan-Nya. Kemudian ia dikembalikan lagi ke alam barzakh.”


Ketika itu datang malaikat yang bertanya, “Siapa Tuhanmu dan siapa yang diutus untuk datang kepadamu?Ia menjawab, “Tuhanku adalah Allah dan utusan yang datang kepadaku adalah Rasulullah.” Malaikat melanjutkan pertanyaannya, “Dari mana kau tahu tentang Rasulullah?Ia menjawab, “Aku mengetahuinya dari Al-Kitab, aku beriman dan mencintainya.” Mendengar jawapan hamba Allah yang soleh itu, terdengarlah suara keras dari langit.”


Rasulullah SAW melanjutkan ceritanya: “Namun apabila seorang kafir atau ahli maksiat meninggal dunia, turunlah malaikat ke bumi dengan wajah yang menakutkan. Malaikat maut duduk di samping kepalanya dan berkata, ”Hai jiwa yang kotor, keluarlah kamu menuju kemurkaan Allah dan azab-Nya.”


Betapa susah ruh itu keluar dari jasadnya, sampai-sampai seluruh tubuhnya seakan-akan pecah berkeping-keping. Ketika malaikat memegang ruh orang kafir itu, bau menyengat seperti bangkai keluar dari ruh itu memenuhi seluruh alam malakut.”


Para malaikat bertanya, “Siapakah ruh yang busuk itu?Disebutlah ia dengan nama yang paling jelek yang ia perolehi di dunia ini. Ia dibawa ke langit tetapi pintu-pintu langit tertutup rapat baginya. Jenazahnya dilemparkan ke bumi.”


"Ketika malaikat mengajukan beberapa pertanyaan kepadanya, ia tak sanggup menjawab pertanyaan itu dengan baik. Maka disempitkanlah kuburnya sesempit-sempitnya. Setelah itu datanglah makhluk yang wajahnya sangat menakutkan dengan bau yang sangat menjijikkan. Ruh kafir itu bertanya, “Siapakah engkau?Makhluk itu menjawab, ”Akulah amal burukmu dan aku akan menemanimu sejak barzakh sampai mahsyar nanti.”


Wallahua’lam
.

16 Mei 2010

ANTARA TAKUT (KHAUF) DAN MENGHARAPKAN (RAJA’)



Ketahuilah bahawasanya yang terpilih bagi seseorang hamba Tuhan di kala ia dalam keadaan sihat ialah supaya ia selalu dalam ketakutan (khauf) di samping pengharapan (raja’) kepada Tuhan. Ketakutan serta pengharapannya itu harus sama nilainya. Tetapi dalam keadaan sakit, haruslah ia lebih mengutamakan pengharapannya. Kaedah-kaedah syariat dari nash-nash al-Kitab dan as-Sunnah dan lain-lainnya menampakkan benar-benar keharusan yang sedemikian itu.


Allah Ta'ala berfirman: "Maka tidak akan merasa aman dari tipudaya - yakni siksa - Allah, melainkan kaum yang mendapatkan kerugian." (QS Al-A'raf:99)


Allah Ta'ala berfirman lagi: "Bahawasanya saya tidak akan berputus asa dari kerahmatan Allah, melainkan orang-orang kafir," (QS Yusuf:87)


Allah Ta'ala juga berfirman: "Pada hari itu - yakni hari kiamat -ada wajah-wajah yang putih yakni wajah-wajah kaum mukminin - dan wajah-wajah yang hitam - yakni wajah-wajah kaum kafirin." (Ali lmran: 106)


Allah Ta'ala berfirman lagi: "Sesungguhnya Tuhanmu adalah sangat cepat penyiksaanNya dan sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Penyayang." (QS Al-A'raf:167)


Allah Ta'ala berfirman pula: "Sesungguhnya orang-orang yang berbakti itu nescayalah dalam syurga Na'im - penuh kenikmatan - dan sesungguhnya orang-orang yang menyeleweng itu nescayalah dalam neraka Jahim - penuh kenistaan." (QS Al-lnfithar:13-14)


Juga Allah Ta'ala berfirman: "Maka barangsiapa yang berat timbangan amal kebaikannya, maka ia adalah dalam kehidupan yang menyenangkan. Tetapi barangsiapa yang ringan timbangan amal kebaikannya, maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah." (QS Al-Qari'ah:6-9)


Ayat-ayat yang semakna dengan di atas itu amat banyak sekali. Maka terkumpullah di dalamnya ketakutan dan pengharapan dalam dua ayat secara bersambungan atau di dalam beberapa ayat atau bahkan dalam satu ayat sahaja.


Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Andaikata seseorang mukmin itu mengetahui bagaimana keadaan siksaan yang ada di sisi Allah, tentu tidak seorangpun akan loba dengan syurgaNya. Tetapi andaikata seseorang kafir itu mengetahui bagaimana besarnya kerahmatan yang ada di sisi Allah, tentu tidak seorangpun yang akan berputus asa untuk dapat memasuki syurgaNya." (HR Muslim)


Dari Abu Said al-Khudri r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Apabila jenazah itu telah diletakkan - dalam usungan - dan orang-orang lelaki membawanya di atas leher-lehernya - diangkat ke kubur, maka jikalau jenazah itu soleh, ia berkata: "Dahulukanlah aku, dahulukanlah aku," - yakni segerakan ditanam kerana sudah amat rindu pada kerahmatan serta kenikmatan dalam kubur. Tetapi jikalau jenazah itu bukan soleh, maka iapun berkata: "Aduhai celakanya tubuhku, ke mana engkau semua membawa tubuhku ini." Suara jenazah itu dapat didengar oleh segala benda, melainkan manusia, sebab andaikata ia mendengarnya, tentulah ia akan mati sekali." (HR Bukhari)


Dari Ibnu Mas'ud r.a., katanya: "Rasulullah SAW bersabda kepadaku: "Syurga itu lebih dekat dari seseorang di antara engkau semua daripada tali terompahnya dan nerakapun demikian pula." (HR Bukhari)


Melihat pada ayat-ayat serta hadis-hadis di atas, dapat diambil kesimpulan bahawa hanya ketaatan kepada Allah SWT sahajalah yang dapat menyampaikan seseorang ke syurga, sedang kemaksiatan adalah mendekatkannya menuju ke neraka. Masing-masing dari keduanya, sama ada ketaatan ataupun kemaksiatan itu dapat berlaku atau terlaksana dalam segala sesuatu sekalipun kelihatan amat kecil dan tidak bererti, namun semua amalan itu pasti ada nilainya di sisi Allah SWT, yakni penilaian berupa pahala untuk ketaatan dan siksaan bagi kemaksiatan. Setiap kali berdoa, kita hendaklah meminta dengan perasaan takut (khauf) serta mengharapkan (raja’) doa kita dimakbulkan Allah SWT.


Wallahua’lam.


(Sumber: ‘Riyadhus Shalihin’ oleh Imam Nawawi)


08 Mei 2010

SAIDINA HAMZAH R.A.: PENGHULU SYUHADA

Riwayat Hidup

Saidina Hamzah r.a. merupakan bapa saudara kepada Rasulullah SAW, iaitu dari sebelah bapa Baginda. Beliau Dilahirkan pada tahun 570 Masihi, di Kota Makkah al-Mukarramah. Beliau sangat rapat dengan Rasulullah SAW sejak kecil. Hobi beliau adalah memanah dan memburu. Beliau pernah memukul Abu Jahal yang menampar Rasulullah SAW. Beliau juga digelar 'Asadullah' yang bermaksud 'Singa Allah" kerana keberaniannya di medan perang. Juga digelar 'Sayyidus Syuhada' (penghulu orang yang mati syahid) kerana mati dalam peperangan Uhud pada tahun ke 3 Hijrah dan dimakamkan berdekatan Bukit Uhud.


Sifat Peribadi

Beliau sangat menjaga tingkah lakunya dan tidak pernah terbabit dengan adab jahiliah yang buruk seperti berjudi, berzina & berpoya-poya.


Beliau juga adalah seorang yang gagah berani. Beliau pernah menyahut cabaran melawan 2 orang tentera musyrikin dalam perang Badar. Beliau banyak membunuh musuh dalam perang Uhud dan merupakan pemegang panji-panji tentera Islam dalam beberapa peperangan. Beliau juga pernah melindungi Rasulullah SAW dari ancaman pihak Quraisy.


Beliau adalah seorang yang cekal dan pantas bertindak. Beliau pernah ditugaskan sebagai Ketua Peninjau pergerakan musuh di antara Makkah dan Syam. Pernah dipilih oleh Rasulullah SAW sebagai panglima perang dalam perang Badar. Beliau merupakan seorang yang bijak mengatur strategi perang dan melancarkan serangan dengan tersusun ketika perang meletus hingga memberikan kemenangan kepada pihak Muslimin.


Pengislaman

Suatu hari Abu Jahal telah menghina dan mencerca Rasulullah SAW di Bukit Safa. Pada ketika itu, Saidina Hamzah sedang berburu. Dalam perjalanannya pulang, beliau diberitahu tentang penghinaan itu oleh 2 orang wanita. Saidina Hamzah sangat marah dan mencari Abu Jahal yang sedang berbincang dengan pembesar Quraisy di Masjidil Haram. Beliau memukul kepala Abu Jahal dengan busar panahnya hingga berlumuran darah. Kemudian beliau berkata: "Sesiapa yang berani menghalang dan mencabar aku, silakan! Telah jelas kepadaku bahawa Muhammad itu ialah Rasul Allah dan ajaran yang dibawanya adalah benar. Demi Allah, aku ialah pengikut Muhammad. Kalau kamu berani, halanglah aku." Inilah detik pengislaman Saidina Hamzah. Sikap beliau ini didorong oleh perasaan kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW serta kebenaran yang dibawa oleh Baginda. Pengislamannya ini menyebabkan umat Islam semakin kuat dan dihormati. Oleh itu pemimpin Quraisy mulai gentar untuk terus menindas umat Islam sesuka hati mereka.


Sumbangan Dan Pengorbanan

Antara sumbangan utama Saidina Hamzah ialah melindungi Rasulullah SAW dari ancaman musuh serta penglibatan dan peranannya di dalam semua peperangan yang melibatkan kaum Muslimin. Beliau juga banyak berkorban untuk menegakkan agama Allah SWT. Selain itu, beliau juga sentiasa mengambil berat tentang persaudaraan tanpa mengira pangkat atau kedudukan. Saidina Hamzah juga banyak membantu perkembangan dakwah Islam hingga dihormati oleh masyarakat luar.


Gugur Syahid

Beliau gugur sebagai syuhada semasa Perang Uhud setelah ditikam curi dengan lembing oleh seorang hamba sahaya bernama Wahsyi bin Harb yang dijanjikan pembebasan oleh pemiliknya, Jubair bin Muth'im, sekiranya dapat membunuh Saidina Hamzah. Setelah dibunuh, hati beliau telah dilapah oleh Hindun bt Utbah, isteri Abu Sufyan kerana ingin membalas dendam di atas kematian bapanya, Utbah bin Rabi'ah.


Semoga rohnya dicucuri rahmat olehNya...