Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


27 Ogos 2009

REZEKI YANG DIBERKATI ALLAH S.W.T.


Kekayaan tidak membawa apa-apa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya, tanpa keberkatan, kehidupan akan dirasakan sempit dan susah meskipun memiliki banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub AS ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman: "Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?" Nabi Ayub AS menjawab: "Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu". Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Berikut adalah antara cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah:

1. Sentiasa bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah SWT.

2. Membelanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Elakkan membelanjakan harta kita ke jalan maksiat.

3. Sentiasa berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal. Elakkan rezeki yang kurang jelas status halalnya.

4. Mengeluarkan zakat apabila cukup nisab dan berikan sedekah kepada fakir miskin, anak yatim dan ibnu sabil.

5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin seboleh-bolehnya setiap hari. (Carilah anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah SWT tanpa kita sedari.

6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah SWT tanpa mengharapkan pujian atau balasan. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah hendaklah dimulakan kepada keluarga sendiri dahulu, kemudian barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita. Sebenarnya dalam harta kita ada hak-hak mereka.

7. Hulurkan pemberian (hibah) secara rahsia - tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.

8. Konsep sedekah - Berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam firman Allah SWT: "Kamu tidak akan memperolah kebajikan, hanyalah jika kamu menafkahkan sebahagian dari apa yang kamu kasihi. Sesuatu yang kamu nafkahkan itu, sesungguhnya Allah mengetahui." (QS Ali Imran:92)

9. Carilah harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia)

10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan). Menurut Rasulullah SAW, 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%). Nabi Muhammad SAW sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardhu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.

11. Sentiasa hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami bagi meringankan beban mereka.

Dalam satu hadis, Nabi SAW menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru: "Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah." Yang satu lagi menyeru: "Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)."

Orang yang bakhil tidak memanfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (membelanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: "Takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar." Dan sabda baginda lagi: "Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api."
.
Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah SWT. Dan pemberian sedekah pada awal pagi amat digalakkan. Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insya Allah rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT akan diganti walaupun telah dibelanjakan apatah lagi di bulan Ramadan yang diberkati ini.
.
Amalkanlah ilmu di dada, insya Allah nanti Allah SWT akan menambahkan ilmu kepada kita, dan katakanlah: "Rabbidzidni Ilma" (Tambahkan ilmuku, ya Tuhanku)."
.

Tiada ulasan: