Mutiara Kata:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (QS Al-Qasas: 77)


Memaparkan catatan dengan label Keagungan Ilahi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keagungan Ilahi. Papar semua catatan

24 Jun 2014

TELAGA HAUDH RASULULLAH S.A.W.


Al-Haudh dari sudut bahasa bermaksud kolam atau tempat air, tetapi yang dimaksudkan haudh di sini adalah telaga Rasulullah SAW kerana Allah SWT menyediakan sebuah telaga yang diperuntukkan khas kepada Nabi Muhammad SAW yang terletak di padang Mahsyar pada hari akhirat kelak. 
 
Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berkhutbah di Ghadir Khom: "Sesungguhnya aku meninggalkan di tengah-tengah kamu dua perkara yang berat (As-Thaqalain), Kitab Allah dan Itrahku (keturunanku, yakni Ahlul Bait Baginda), dan bahawa keduanya tidak akan berpisah sehingga kelak datang kepadaku di Telaga Haudh."

Setiap nabi memiliki telaga yang diperuntukkan kepada umat masing-masing. Namun telaga Rasulullah SAW merupakan telaga yang berlainan dengan telaga-telaga para nabi-nabi yang lain. Telaga Baginda SAW adalah telaga paling besar, paling indah, paling lazat airnya, dan paling ramai dikunjungi oleh umatnya.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap Nabi mempunyai al-haudh (telaga) dan mereka saling berbangga diri, siapa di antara mereka yang paling banyak peminumnya (pengikutnya). Dan sungguh aku berharap, akulah yang paling banyak pengikutnya.” (HR Tirmidzi)

Rasulullah SAW juga bersabda: “Dialirkan pada telagaku itu dua saluran air yang (bersumber) dari (sungai al-Kautsar) di Syurga…” (HR Muslim)

Anas bin Malik RA menceritakan: “Pada suatu hari, ketika Rasulullah SAW berada di tengah-tengah kami, tiba-tiba baginda mengantuk sekejap. Kemudian Baginda mengangkat kepala sambil tersenyum. Maka kami pun bertanya: “Apa yang membuatkan Tuan tersenyum, ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Baru saja diturunkan kepadaku sebuah surah.” Lalu Beliau membaca: (maksudnya):

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu al-Kautsar. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus (dari rahmat Allah).” (QS Al-Kautsar: 1-3)

Kemudian Rasulullah SAW berkata: “Apakah kalian tahu apakah Al-Kautsar itu?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Al-Kautsar adalah sungai yang dijanjikan oleh Tuhanku ‘Azza wa Jalla untukku. Di sana, terdapat kebaikan yang banyak. Ia adalah (sumber air) telaga yang akan didatangi umatku pada hari Kiamat. Jumlah gayungnya sebanyak bintang-bintang.” (HR Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Telagaku (panjang dan lebarnya) satu bulan perjalanan. Airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih harum daripada kasturi, cawannya sebanyak bintang di langit. Sesiapa yang minum darinya, dia tidak akan haus untuk selamanya.” (HR Bukhari & Muslim)

Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya telagaku itu lebih panjang dari jarak antara Aylah (sebuah kota di teluk ‘Aqobah, Jordan) dan ‘Adan (kota Yaman). Seseungguhnya air telagaku itu lebih putih dari salji, lebih manis dari madu dicampur susu, serta bejana-bejananya lebih banyak dari bintang-bintang. Aku sungguh akan menjaganya dari orang lain, sebagaimana seseorang menjaga telaganya dari unta orang lain.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apakah pada hari itu tuan mengenali kami?” Baginda SAW menjawab: “Ya. Kalian punya tanda yang tidak dimiliki oleh umat lain. Kalian datang kepadaku dengan dahi dan kaki bercahaya putih kerana wuduk.” (HR Muslim)

Namun, ada sebahagian dari kalangan umat Nabi Muhammad SAW yang akan diusir ketika ingin mendatangi telaga itu. Di antara mereka adalah orang-orang yang menyimpang atau mengubah ajaran sebenar (sunnah) Rasulullah SAW atau kembali kafir setelah beriman selepas kewafatan Baginda.

Sabda Rasulullah SAW: “Aku adalah pendahulu kalian menuju telaga. Siapa saja yang melewatinya, pasti akan meminumnya. Dan sesiapa meminumnya, niscaya tidak akan haus selamanya. Nanti akan datang beberapa orang yang aku mengenali mereka dan mereka mengenaliku, namun mereka terhalangi dari menemui diriku.” (HR Bukhari & Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Aku berkata: “Mereka termasuk umatku!” Namun muncul jawapan: “Engkau tidak mengetahui perkara yang mereka ada-adakan selepas sepeninggalanmu.” Aku pun berkata: “Pergi dari sini! Pergi dari sini! Bagi orang yang mengubah (ajaran agama) setelahku.” (HR Bukhari)

Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya selepasku nanti akan ada para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa pergi kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka, maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan dapat mendatangi telagaku. Sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan dapat mendatangi telagaku.” (HR Ahmad, Nasai dan Tirmidzi)

“Ya Allah.. Izinkan dan permudahkanlah bagi kami agar dapat meminum air dari telaga Rasulullah SAW di akhirat kelak. Amin, ya Rabbal ’alamin...”

Wallahu a’lam..

28 Disember 2012

KISAH BENAR: TAWAKKAL KEPADA ALLAH S.W.T



Kisah ini diceritakan sendiri oleh Atha' bin Al-Azraq. Pada suatu hari isteri Atha' menyuruhnya pergi ke pasar untuk membeli gandum kerana gandum di rumahnya telah habis. Setelah isterinya memberi wang sebanyak 2 dirham, Atha' mengambil karung guni dan berjalan menuju ke pasar.

Di dalam perjalanan dia mendapati seorang hamba sahaya sedang menangis. Orang ramai yang lalu lalang di situ tidak mempedulikan hamba tersebut. Oleh kerana kasihan melihat keadaan hamba tersebut, Atha' menghampiri hamba yang sedang menangis itu lalu bertanya: "Kenapa kamu menangis di tepi jalan ini?" Hamba itu menjawab: "Saya diberi wang sebanyak 2 dirham oleh tuan saya supaya membeli barang keperluan di pasar. Apabila tiba di sini, saya dapati wang itu sudah tiada." Hamba tadi menangis lebih kuat lagi seraya menyambung: "Mungkin wang itu tercicir semasa dalam perjalanan kemari."

Atha' bertanya lagi: "Kenapa kamu tidak pulang saja dan memberitahu tuanmu tentang kehilangan wang tersebut?." Sambil menangis hamba tadi menjawab: "Jika saya pulang dan memberitahu tentang kehilangan wang tersebut, tentulah saya dimarahi dan dipukul dengan teruk". Atha' merasa simpati di atas penjelasan hamba itu lalu berkata: "Ambil wang ini dan belilah barang-barang yang dipesan oleh tuanmu." Hamba tadi mengambil wang itu dan mengucapkan terima kasih kepada Atha' lalu beredar dari situ menuju ke pasar untuk membeli barang-barang yang dipesan oleh tuannya.

Setelah hamba tadi beredar dari situ Atha' berfikir sendirian: "Bagaimana aku hendak membeli gandum yang dipesan oleh isteriku sedangkan wang 2 dirham telah aku berikan kepada hamba tadi?" "Dari mana aku hendak mencari wang sebanyak itu?" katanya lagi. Untuk menenangkan fikirannya, Atha' menuju ke sebuah masjid yang berhampiran untuk menunaikan solat sunat. Atha' berada di dalam masjid agak lama, sehingga beliau sempat bersolat Asar di situ. Beliau berdoa supaya Allah SWT membantunya.

Setelah selesai solat Asar, Atha' menuju ke rumah kawannya kerana ia takut dileteri oleh isterinya kerana pulang tanpa membawa gandum yang dipesannya. Pada mulanya Atha' ingin menceritakan dan meminta bantuan daripada kawannya tetapi apabila tiba di rumah kawannya, ia tidak tergamak untuk memberitahu hajatnya. Apabila kawannya melihat Atha' membawa karung kosong, lalu kawannya bertanya: "Apa tu? Karung kosong?" jawab Atha': "Ya" "Kalau begitu isilah habuk kayu ini dan bawalah pulang untuk dijadikan bahan bakar," kata kawannya. Tanpa berkata apa-apa, Atha' terus mengisi karung guni dengan habuk kayu yang diberikan oleh kawannya dan terus pulang ke rumahnya.

Apabila tiba dirumahnya, Atha' meletakkan guni yang berisi habuk kayu tadi di rumahnya dan beredar dari situ dengan senyap-senyap kerana takut isterinya berleter disebabkan karung tersebut telah diisi dengan habuk kayu. Atha' kemudian menuju ke masjid. Agak lama juga beliau berada di sana sehingga hampir larut malam barulah dia pulang. Setibanya di rumah, dia tercium bau harum roti yang sedang dibakar. Atha' kemudiannya masuk ke dapur dan melihat isterinya sedang membakar roti lalu berkata: "Harumnya bau roti ini!" Jawab isterinya: "Memanglah kerana gandum ini dari kualiti yang baik". Atha' bertanya lagi: "Dari mana kamu dapat tepungnya?" "Dari mana lagi, dari karung yang awak bawa baliklah!", jawab isterinya. Atha' kehairanan lalu berkata di dalam hatinya: "Dari mana datangnya gandum itu sedangkan karung tadi berisi dengan habuk kayu. Ajaib sungguh!"

Atha' bertanya kepada isterinya: "Mana karungnya? Biar aku lihat.." Isterinya menghulurkan karung tadi dan dilihatnya. "Memang benar, karung tadi yang berisi habuk kayu telah bertukar menjadi gandum yang berkualiti baik," kata Atha' di dalam hatinya. Atha' hanya mampu memandang sahaja sedangkan dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya gandum tersebut.

Begitulah jika kita sentiasa merendah diri, beriman dan bertawakkal kepada Allah SWT...

Firman Allah SWT: “Dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pemelihara.” (QS Al-Ahzab: 33)

Allah SWT juga berfirman: “Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan yang teguh dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (QS Luqman: 22)

Wallahua’lam..

04 Ogos 2012

PENGAJARAN DARI PERANG BADAR...





Marilah sejenak kita melakukan flashback terhadap suatu peristiwa di bulan Ramadhan. Mudah-mudahan dengan mempelajari dan mengamati peristiwa ini, kita mendapat banyak hikmah dan pelajaran berharga bagi kehidupan kita sehari-hari. Dua tahun setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, bertepatan dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, terjadilah satu peristiwa besar namun sering dilupakan kaum muslimin, iaitu Perang Badar.

Ia disebut sebagai peristiwa besar, kerana perang Badar merupakan pertempuran bersenjata pertama dalam kapasiti besar yang dilakukan antara pembela Islam dan musuh Islam. Kerana hebatnya peristiwa ini, Allah SWT menamakan hari terjadinya peristiwa tersebut dengan Yaum Al Furqan (hari pembeda) kerana pada waktu itu, Allah SWT hendak membezakan di antara yang haq dengan yang batil. Di saat itulah Allah SWT mengangkat derajat kebenaran dengan jumlah kekuatan yang terbatas dan merendahkan kebatilan walaupun jumlah kekuatannya 3 kali ganda. Allah SWT menurunkan pertolongan yang besar bagi kaum muslimin dan memenangkan mereka di atas musuh-musuh Islam. 

Latar Belakang Pertempuran
Suatu ketika terdengarlah khabar di kalangan kaum muslimin Madinah bahawa Abu Sufyan, beserta kafilah dagangnya, hendak berangkat pulang dari Syam menuju ke Mekah. Jalan mudah dan terdekat untuk perjalanan Syam menuju Mekah perlu melalui Madinah. Kesempatan berharga ini dimanfaatkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat untuk merampas barang dagangan mereka. Harta mereka menjadi halal bagi kaum muslimin. Mengapa demikian? Bukankah harta dan darah orang kafir yang tidak bersalah itu haram hukumnya?

Ada dua alasan yang menyebabkan harta Orang kafir Quraisy tersebut halal bagi para sahabat. Pertama, orang-orang kafir Quraisy statusnya adalah kafir harbi, iaitu orang kafir yang secara terang-terangan memerangi kaum muslimin, mengusir kaum muslimin dari tanah kelahiran mereka di Mekah, dan melarang kaum muslimin untuk memanfaatkan harta mereka sendiri. Kedua, tidak ada perjanjian damai antara kaum muslimin dan orang kafir Quraisy yang memerangi kaum muslimin. Dengan alasan inilah, mereka berhak untuk menarik kembali harta yang telah mereka tinggalkan dan merampas harta golongan musyrik.

Seterusnya Rasulullah SAW berangkat bersama tiga ratus sekian belas sahabat. Di antara tiga ratus belasan pasukan itu, ada dua orang penunggang kuda dan 70 ekor unta yang ditunggangi secara bergilir-gilir. 70 orang di kalangan Muhajirin dan selebihnya dari kalangan Ansar.

Sementara di pihak lain, orang kafir Quraisy ketika mendengar khabar bahawa kafilah dagang Abu Sufyan meminta bantuan, dengan segera mereka menyiapkan kekuatan mereka seramai 1000 orang, 600 baju besi, 100 ekor kuda, dan 700 ekor unta serta dengan persenjataan yang lengkap. Mereka berangkat mempamerkan kekuatan dan kesombongan di bawah pimpinan Abu Jahal. 

Kehendak Allah SWT Lain
Rasulullah SAW bersama para sahabat keluar dari Madinah dengan harapan dapat menyekat kafilah dagang Abu Sufyan untuk merampas harta mereka sebagai ganti rugi terhadap harta yang ditinggalkan kaum muhajirin di Mekah. Meskipun demikian, mereka merasa cemas kerana kemungkinan yang mereka hadapi adalah pasukan perang kerana persenjataan yang dibawa para sahabat tidak lengkap. Namun, kehendak Allah SWT berlainan. Allah SWT mentakdirkan agar pasukan tauhid yang kecil ini bertemu dengan pasukan perang yang lengkap bersenjata kerana Allah SWT hendak menunjukkan kehebatan agamaNya, merendahkan kesyirikan.

Allah SWT gambarkan kisah mereka dalam firmanNya: Dan (ingatlah), ketika Allah menjanjikan kepadamu bahawa salah satu dari dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu, sedang kamu menginginkan bahawa yang tidak mempunyai kekuatan senjatalah yang untukmu, dan Allah menghendaki untuk membenarkan yang benar dengan ayat-ayatNya dan memusnahkan orang-orang kafir.” (QS Al-Anfal: 7)

Demikianlah gambaran orang soleh. Harapan Rasulullah SAW dan para sahabat tidak tercapai. Mereka menginginkan harta kafilah dagang, tetapi yang mereka hadapi adalah pasukan perang. Kenyataan ini memberikan pelajaran penting dalam masalah aqidah bahawa tidak semua yang dikehendaki orang soleh selalu dikabulkan oleh Allah SWT. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, tidak ada yang mampu menyekatkan kehendak Allah SWT. Sehebat apapun kesolehan seseorang, setinggi apapun darjat seseorang sama sekali tidak mampu mengubah apa yang dikehendaki Allah SWT. 

Keangkuhan Pasukan Iblis
Ketika Abu Sufyan berjaya melepaskan diri dari pasukan kaum muslimin, dia terus mengirimkan surat kepada pasukan Mekah untuk meminta agar pasukan Mekah kembali pulang. Namun, dengan sombongnya, pasukan kesyirikan enggan menerima tawaran ini. Malah ada yang mengatakan: “Demi Allah, kita tidak akan kembali sampai kita tiba di Badar. Kita akan tinggal di sana tiga hari, menyembelih unta, pesta makan, minum khamar, mendengarkan dendang lagu biduwanita sampai masyarakat jazirah arab mengetahui kita dan sentiasa takut kepada kita…

Keangkuhan mereka ini Allah SWT gambarkan dalam firmanNya:Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riak kepada manusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah. Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan… (QS Al-Anfal: 47) 

Kesetiaan Sejati Para Sahabat
Ketika Rasulullah SAW merasa yakin bahawa yang akan dihadapi adalah pasukan perang dan bukan kafilah dagang, Baginda mulai cemas dan khuatir terhadap keteguhan dan semangat para sahabat. Baginda sedar bahawa pasukan yang akan Baginda hadapi kekuatannya jauh lebih besar dari pada kekuatan pasukan yang dipimpinnya. Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika ada sebahagian sahabat yang merasa berat dengan keberangkatan pasukan menuju Badar.

Allah SWT menggambarkan keadaan mereka dalam firmanNya: Sebagaimana Tuhanmu menyuruhmu pergi dari rumahmu dengan kebenaran, padahal sesungguhnya sebahagian dari orang-orang yang beriman itu tidak menyukainya.” (QS Al-Anfal: 5)

Sementara itu, para komandan pasukan Muhajirin, seperti Abu Bakar As-Siddiq RA dan Umar bin Al-Khattab RA sama sekali tidak berganjak, tidak ingin berundur. Namun, ini belum dianggap cukup oleh Rasulullah SAW. Baginda masih menginginkan bukti kukuh kesetiaan dari sahabat yang lain. Akhirnya, untuk menghilangkan kecemasan itu, baginda berunding dengan para sahabat, meminta kepastian sikap mereka untuk menentukan dua pilihan: (1) tetap melanjutkan perang dalam apa jua keadaan, atau (2) kembali ke Madinah.

Lalu Al Miqdad bin ‘Amr seraya berkata: Wahai Rasulullah, majulah terus sesuai apa yang diperintahkan Allah kepada anda. Kami akan bersama anda. Demi Allah, kami tidak akan mengatakan sebagaimana perkataan Bani Israil kepada Musa: ‘Pergi saja kamu, wahai Musa bersama Rabb-mu (Allah) berperanglah kalian berdua, kami biar duduk menanti di sini saja. (*petikan dari firman Allah surah Al-Maidah: 24)‘” Kemudian Al Miqdad melanjutkan: Tetapi pergilah anda bersama Rabb anda (Allah), lalu berperanglah kalian berdua, dan kami akan ikut berperang bersama kalian berdua. Demi Dzat Yang mengutusmu dengan kebenaran, andai anda pergi membawa kami ke dasar sumur yang gelap, kamipun siap bertempur bersama engkau hingga engkau boleh mencapai tempat itu.” 

Kemudian Rasulullah SAW menyambut baik perkataan Al Miqdad dan mendoakan kebaikan untuknya. Seterusnya, majulah Sa’ad bin Muadz RA, komandan pasukan kaum Ansar. Sa’ad mengatakan: “Kami telah beriman kepada anda. Kami telah membenarkan anda. Andaikan anda bersama kami terhalang lautan lalu anda terjun ke dalam lautan itu, kami pun akan terjun bersama anda….” Seterusnya Sa’ad RA mengatakan: “Boleh jadi anda khuatir, jangan-jangan kaum Ansar tidak mahu menolong anda kecuali di perkampungan mereka (Madinah). Sesungguhnya aku berbicara dan memberi jawapan atas nama orang-orang Ansar. Maka dari itu, majulah seperti yang anda kehendaki…. 

Malam Yang Menyentuh Jiwa…
Pada malam itu, malam Jumaat 17 Ramadhan 2 Hijrah, Rasulullah SAW lebih banyak mendirikan solat di kawasan pepohonan. Sementara Allah SWT menurunkan rasa mengantuk kepada kaum muslimin sebagai penenang bagi mereka agar boleh beristirehat. Sedangkan kaum musyrikin berada di dalam keadaan cemas. Allah SWT menurunkan rasa takut kepada mereka. Adapun Rasulullah SAW sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT, memohon pertolongan dariNya.

Di antara doa yang dibaca Rasulullah SAW berulang-ulang adalah: …Ya Allah, jika Engkau berkehendak (orang kafir menang), Engkau tidak akan disembah. Ya Allah, jika pasukan yang kecil ini Engkau binasakan pada hari ini, Engkau tidak akan disembah….. 

Baginda SAW mengulang-ulangi doa ini sampai selendang baginda terjatuh kerana lamanya berdoa, kemudian datanglah Abu Bakar As-Siddiq RA memakaikan selendang baginda yang terjatuh sambil memeluk baginda… “Cukup-cukup, wahai Rasulullah…” 

Kisah ini diabadikan oleh Allah SWT dalam firmanNya:Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”. Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap ujung jari mereka. Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya; dan barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Allah amat keras siksaan-Nya.” (QS Al-Anfal: 12-13) 

Bukti Kemukjizatan Rasulullah SAW
Selesai Baginda SAW menyiapkan barisan pasukan sahabatnya, Baginda SAW berjalan di tempat pertempuran dua pasukan. Kemudian baginda berkata: “Ini tempat terbunuhnya si fulan, itu tempat matinya si fulan, sana tempat terbunuhnya si fulan….” Tidak satupun orang kafir yang Baginda sebut namanya, kecuali benar-benar terbunuh di tempat yang diisyaratkan oleh Baginda. 

Bara Peperangan Mulai Menyala
Yang pertama kali menyalakan api peperangan adalah Al Aswad Al Makhzumi, seorang yang berperangai kasar dan buruk akhlaknya. Kedatangannya terus disambut oleh Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib RA, bapa saudara Rasulullah SAW. Setelah saling berhadapan, Saidina Hamzah RA terus menghayunkan pedangnya hingga kaki Al Aswad Al Makhzumi putus. Setelah itu, Al Aswad merangkak ke kolam dan terjatuh di dalamnya. Kemudian Hamzah menghayunkan sekali lagi ketika dia berada di dalam kolam. Inilah korban Badar pertama kali yang memulakan peperangan.

Selanjutnya, muncul tiga penunggang kuda yang handal dari kaum Musyrikin. Ketiganya berasal dari satu keluarga. Syaibah bin Rabi’ah, Utbah bin Rabi’ah, dan anaknya Al Walid bin Utbah. Kedatangan mereka disambut oleh 3 pemuda Ansar, iaitu Auf bin Harits, Mu’awwidz bin Harits, dan Abdullah bin Rawahah. Namun, ketiga orang kafir tersebut menolak adu tanding dengan tiga orang Ansar tersebut dan mereka mengajak orang yang berkedudukan di kalangan Muhajirin. Kemudian Rasulullah SAW memerintahkan Ali, Hamzah, dan Ubaidah bin Harits untuk maju. Ubaidah berhadapan dengan Al Walid, Ali berhadapan dengan Syaibah, dan Hamzah berhadapan dengan Utbah. Bagi Ali dan Hamzah, menghadapi musuhnya tidak ada kesulitan. Lain halnya dengan Ubaidah. Masing-masing saling melancarkan serangan, hingga masing-masing terluka. Kemudian lawan Ubaidah dibunuh oleh Ali RA.

Atas peristiwa ini, Allah SWT abadikan dalam firmanNya: Inilah dua golongan (golongan mukmin dan golongan kafir) yang bertengkar, mereka saling bertengkar mengenai Tuhan mereka (Allah)… (QS Al Hajj: 19)

Akhirnya bertemulah dua pasukan. Pertempuran-pun terjadi antara pembela Tauhid dan pembela syirik. Mereka berperang kerana perbezaan prinsip beragama, bukan kerana rebutan dunia. Sementara itu, Rasulullah SAW berada di tenda Baginda, memberikan arahan kepada tentera muslimin. Abu Bakar RA dan Sa’ad bin Muadz RA bertugas menjaga baginda. Tidak pernah putus, Rasulullah SAW sentiasa melantunkan doa dan memohon bantuan dan pertolongan kepada Allah SWT. Pernah baginda keluar dari tenda dan mengatakan: Pasukan (Quraisy) akan dikalahkan dan ditekuk mundur… 

Baginda SAW juga sentiasa memberi motivasi kepada para sahabat untuk berjuang. Baginda bersabda: Demi Allah, tidaklah seseorang memerangi mereka pada hari ini, kemudian dia terbunuh dengan sabar dan mengharap pahala serta terus maju dan tidak mundur, pasti Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.” 

Tiba-tiba berdirilah Umair bin Al Himam Al-Ansari RA sambil membawa beberapa kurma untuk dimakan, beliau bertanya: Wahai Rasulullah, apakah syurga lebarnya selebar langit dan bumi? Rasulullah SAW menjawab: Ya.” Kemudian Umair mengatakan: Bakh…Bakh… (kagum). Wahai Rasulullah, antara diriku dan aku masuk syurga adalah ketika mereka membunuhku. Demi Allah, andaikan saya hidup harus makan kurma dulu, sungguh ini adalah usia yang terlalu panjang." Kemudian beliau melemparkan kurmanya, dan terjun ke medan perang sampai syahid. 

Dalam kesempatan yang lain, Rasulullah SAW mengambil segenggam pasir dan melemparkannya ke barisan musuh. Sehingga tidak ada satu pun orang kafir kecuali matanya penuh dengan pasir. Mereka pun sibuk dengan mata masing-masing, sebagai tanda kemukjizatan Baginda atas kehendak Allah SWT. 

Kuatnya Pengaruh Teman Dekat Dalam Hidup
Rasulullah SAW melarang untuk membunuh Abul Bakhtari, kerana ketika di Mekah, dia sering melindungi Baginda dan yang berusaha untuk menggugurkan pemboikotan puak Quraisy terhadap Bani Hasyim. Suatu ketika Al-Mujadzar bin Ziyad bertemu dengannya di tengah medan pertempuran. Ketika, itu Abul Bakhtari bersama rakannya. 

Maka, Al-Mujadzar mengatakan: Wahai Abul Bakhtari, sesungguhnya Rasulullah SAW melarang kami membunuhmu.” Lalu bagaimana dengan temanku ini?, tanya Abul Bakhtari. Demi Allah, kami tidak akan membiarkan temanmu”, jawab Al-Mujadzar. Akhirnya mereka berdua bertempur, sehingga Al-Mujadzar terpaksa membunuh Abul Bakhtari. 

Kemenangan Bagi Kaum Muslimin
Medan Badar menyaksikan pasukan musyrikin mengalami kekalahan yang amat memalukan. Pasukan kaum muslimin berjaya membunuh dan menangkap beberapa orang di antara tentera mereka. Ada tujuh puluh orang kafir terbunuh dan tujuh puluh yang dijadikan tawanan. Di antara 70 yang terbunuh termasuklah 24 pemimpin kaum Musyrikin Quraisy yang diseret dan dimasukkan ke dalam lubang-lubang di Badar, di antaranya Abu Jahal, Syaibah bin Rabi’ah, Utbah bin Rabi’ah dan anaknya, Al Walid bin Utbah.

Demikianlah perang Badar, pasukan kecil mampu mengalahkan pasukan yang lebih besar dengan izin Allah SWT. Allah SWT berfirman:…Betapa banyak golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.” (QS Al Baqarah: 249)



06 Mac 2012

KEISTIMEWAAN MADU LEBAH


Rasulullah SAW pernah mengatakan bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya. Baginda SAW bersabda: "Berubatlah, maka sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit kecuali Allah menyediakan baginya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua." (HR Abu Dawud)

Rasulullah SAW juga pernah berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan al-Quran. Baginda SAW bersabda: "Ambillah (yakni gunakanlah) olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh, iaitu madu dan al-Quran." (HR Ibnu Majah)

Berbagai kajian telah dilakukan dengan tumpuan kepada pelbagai jenis bahan-bahan semulajadi daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Begitu juga dengan madu lebah kerana dalam al-Quran sendiri telah menyatakan pelbagai pengajaran dan maklumat penjagaan diri daripada pelbagai penyakit, mahupun kesihatan fizikal atau rohani agar kita dapat mengerjakan segala perintah Allah dengan teratur.

Firman Allah SWT: "Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan." (QS An-Nahl: 69)

Daripada ayat Al-Quran serta hadis di atas ternyata madu mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana selain menyembuhkan pelbagai jenis penyakit, ianya juga membantu memenuhi keperluan tubuh badan manusia.

Terdapat banyak hadis-hadis lain berkenaan madu lebah. Di antaranya tentang dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Pertama, mengenai kisah seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah SAW mengadu tentang saudaranya yang sakit perut. Baginda SAW menyarankan agar dia diberikan madu. Namun, lelaki tersebut datang semula mengatakan penyakit saudaranya tidak juga sembuh. Nabi Muhammad SAW menyuruh saudara pemuda itu terus minum madu sehingga tiga kali. Jawab lelaki itu, saudaranya telah minum madu tetapi penyakitnya bertambah, akhirnya Nabi SAW berkata: ”Allah benar dan perut saudaramu itu berbohong." Lalu Rasulullah SAW sendiri memberi minum lelaki tersebut dengan madu dan dia akhirnya sembuh. (HR Bukhari & Muslim)

Hadis di atas menjelaskan bahawa madu merupakan ubat segala penyakit kerana Rasulullah SAW tidak melihat pesakit berkenaan, sebaliknya terus menyebutkan madu sebagai ubatnya.

Hadis yang kedua disebutkan oleh Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: ”Kesembuhan itu berada pada tiga hal iaitu minum madu, sayatan pisau bekam dan sundutan dengan api panas (kay). Sesungguhnya aku melarang umatku berubat dengan kay.” (HR Bukhari)

Madu juga memiliki aroma enak yang meningkatkan selera. Rasulullah SAW pernah bersabda daripada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: "Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang menjilat madu sebanyak tiga kali pagi pada setiap bulan, maka dia tidak akan terkena cubaan yang besar."

Mereka yang mengetahui akan khasiat madu akan menggunakannya secara berterusan. Hal ini bukan hanya teori tetapi telah dibuktikan daripada beberapa kajian yang telah dilakukan di mana jika ianya diamalkan secara konsisten, ianya akan membantu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit selain memberi nutrien yang mencukupi untuk kesihatan manusia.

Manusia sejak zaman berzaman sudah menggunakan madu sebagai makanan dan ubat. Masyarakat Mesir purba sudah menggunakan madu di dalam bidang ilmu perubatan mereka untuk mengubat penyakit luka, sakit perut, usus, pinggang dan mata. Mereka juga menggunakan madu untuk mengawet mayat supaya tidak busuk. Masyarakat Yunani dan Rumawi menganggap madu sebagai sumber kesihatan yang boleh melanjutkan usia.

Misalnya Pitagoras, seorang ahli matematik mengatakan beliau mengamalkan madu untuk hidup sihat. Beliau meninggal dunia ketika berusia 90 tahun. Abu Qirat yang hidup selama 107 tahun adalah seorang yang sering mengamalkan meminum madu. Demikian juga Aristotle dan Galenos, ahli perubatan Greek. Ibnu Sina menyatakan: ”Jika anda ingin awet muda, minumlah madu." Beliau ada menambah: ”Sesungguhnya madu lebah dapat menguatkan semangat, menambah kerajinan, menjaga awet muda dan melancarkan percakapan.”

Madu mengandungi bahan anti-oksidan yang menghalang kanser. Ia juga berupaya mengekalkan kemudaan (awet muda), merawat sakit perut, menghilangkan kahak, memutih dan menguatkan gigi serta menguatkan badan bagi yang berumur selain merangsang tenaga batin. Ia juga menstabilkan kandungan gula dalam darah apabila digunakan bagi menggantikan gula. Selain itu, madu lebah juga memudahkan proses penghadaman, memulihkan penyakit yang berpanjangan serta menguatkan jantung dan buah pinggang.

Di samping itu dengan memakan madu juga boleh menyembuhkan batuk-batuk yang menganggu dan boleh mencegah daripada kekejangan pada otot tubuh khususnya pada bahagian kaki. Dalam perubatan tradisional, madu telah dimanfaatkan untuk menahan luka-luka terbakar pada kulit. Jika disapukan madu akan dapat mengurangkan rasa sakit yang menyengat dan mencegah pembentukan lepuh (melecur) dan cepat sekali menyembuhkan kulit yang terbakar. Di samping itu banyak lagi penyakit yang boleh sembuh misalnya hidung tersumbat, anak yang kencing malam dan sesuai untuk kanak-kanak yang baru lahir.

Wallahua’lam.



16 Disember 2011

KISAH 'UZAIR



Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan pokok-pokok tamar, tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini. Sesudah memetik buah-buahan, dia pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali serta sudah jauh dari negerinya sendiri.

Sebaik sahaja dia sampai ke daerah itu, dilihatnya kampung itu baru sahaja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak binasa sama sekali. Di tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia yang bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan pemandangan yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua bakul buah-buahan. Selepas menambat keldainya di situ, dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu, fikirannya mula memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.

"Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?" Begitulah pertanyaan yang datang bertalu-talu dan tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi lemah-longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu, dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau semalam, tetapi tanpa disedari, dia telah tidur terus-menerus selama seratus tahun lamanya.

Semasa dia tertidur, keadaan di sekitarnya sudah ramai lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam masa seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah, manakala 'Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur berderai. Kemudian jasad 'Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah SWT pada bahagiannya masing-masing lalu ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga 'Uzair hidup kembali seperti dahulu. 'Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur, lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya yang disimpan di dalam bakul dahulu.

Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat seraya bertanya: "Tahukah engkau, ya 'Uzair, berapa lama engkau tidur?" Tanpa berfikir panjang 'Uzair menjawab: "Saya tertidur sehari dua ataupun setengah hari." Lalu malaikat pun berkata kepadanya: "Bahawa engkau terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring, berhujan dan berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri pun sudah hancur dan dagingnya sudah busuk."

Berkata malaikat lagi: "Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah SWT. Allah SWTTuhan akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati itu nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili segala perbuatannya. Hal ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau supaya iman engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan Tuhan tentang akhirat itu."

Setelah 'Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka 'Uzair pun berkata: "Sekarang tahulah saya bahawa Allah SWT itu adalah berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu." Tiba-tiba keldai yang sudah hancur berderai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti sediakala iaitu hidup kembali bergerak-gerak dan berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun berkata: "Sekarang tahulah saya bahawa Allah SWT berkuasa di atas segala-galanya."

Lalu dia pun terus mengambil keldainya dahulu dan terus menunggangnya pulang ke rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala telah berubah. Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke rumahnya. Sebaik sahaja dia sampai di situ, dia mendapati rumahnya sudah pun buruk di mana segala dinding rumahnya telah habis runtuh.

Semasa dia memandang keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak seorang perempuan tua, lantas dia pun bertanya: "Inikah rumah tuan 'Uzair?" "Ya," jawab perempuan itu. "Inilah rumah 'Uzair dahulu, tetapi 'Uzair telah lama pergi dan tiada didengari berita tentangnya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut namanya selain kali ini sahaja.", kata perempuan itu sambil menitiskan airmata.

"Sayalah 'Uzair," jawab 'Uzair dengan pantas. "Saya telah dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan sekarang saya sudah dihidupkan oleh Allah SWT kembali." Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata: "'Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat." Sambungnya lagi: "Saya ini adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu menangis terkenangkan 'Uzair. Kalaulah tuan ini 'Uzair, maka cubalah tuan doakan kepada Tuhan supaya mata saya terang kembali dan dapat melihat tuan."

'Uzair pun menadah kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata orang tua itupun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah merenung wajah 'Uzair dia pun berkata: "Benar, tuanlah 'Uzair. Saya masih ingat." Hambanya itu terus mencium tangan 'Uzair lalu keduanya pergi mendapatkan orang ramai, bangsa Israil. 'Uzair memperkenalkan dirinya bahawa dialah 'Uzair yang pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.

Berita itu bukan sahaja mengejutkan bangsa Israil, tetapi ada juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun berita itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran 'Uzair. Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya bertanya: "Saya masih ingat bahawa bapa saya mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah dia 'Uzair."

Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka mereka berkata kepada 'Uzair: "Sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal isi Taurat kecuali 'Uzair sahaja. Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan sebutkan isi Taurat yang betul."

'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka percaya bahawa sungguh benar itulah 'Uzair. Ketika itu, semua bangsa Israil pun percaya bahawa dialah 'Uzair yang telah mati dan dihidupkan semula oleh Tuhan. Banyak di antara mereka yang bersalam dan mencium tangan 'Uzair serta meminta nasihat dan panduan daripadanya.

Namun, sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh menganggap 'Uzair sebagai anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak sama ada 'Uzair mahupun Nabi Isa AS kerana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya. Perkara ini disangkal di dalam Al-Quran, di mana Allah SWT telah berfirman:

Dan berkata orang-orang Yahudi: “’Uzair anak Allah”. Dan berkata orang-orang Nasrani: “Al-Masih anak Allah”. Demikian itulah kata-kata mereka dengan mulut mereka; menyerupai perkataan orang-orang kafir yang dahulu. Diperangi Allah akan mereka. Bagaimana mereka dapat dipalingkan? Telah mereka ambil guru-guru mereka dan pendeta-pendeta mereka menjadi Tuhan selain Allah dan (juga) al-Masih anak Maryam; padahal tidaklah mereka diperintahkan melainkan supaya menyembah kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan melainkan Dia. Maha Suci Dia dari apa yang mereka sekutukan.” (QS At-Taubah: 30~31)

Wallahua’lam.